Wednesday, January 20, 2016

DBM? (Bab 4)


BAB 4

            Hari ini aku memandu sendiri ke pejabat. Alasanku kepada Mazuin ialah aku mahu mengambil Aiman di Petaling Jaya selepas habis waktu kerja nanti. Mujurlah Mazuin tidak banyak tanya dan menerima saja alasan bohongku itu. Yang sebenarnya aku ada agenda lain. Aku mahu mencari lelaki yang telah aku hina semalam dan meminta ampun darinya.
            Tepat jam lima petang, aku laju memandu ke Setapak. Sampai saja di Pusat cuci kereta bling bling, terus aku memakir keretaku di tepi. Aku tidak berhajat mahu mencuci kereta. Yang aku inginkan hanyalah berjumpa dengan lelaki itu secepat mungkin.
            Setelah keluar dari kereta, perlahan-lahan aku menghampiri ke arah segerombolan lelaki berbaju kelabu yang hanya duduk melepak. Mereka tiada pelanggan waktu itu. Mataku tekun memandang setiap wajah yang semuanya sedang memandang ke arahku dan sewaktu mataku tertancap ke wajah yang aku cari, bibirku menguntumkan senyuman. Lelaki itu aku hampiri.
            “Assalammualaikum,”sapaku sopan. Lelaki itu tidak menjawab ucapan salamku. Dia hanya mengangguk.
            “Saya yang datang cuci kereta dengan kawan semalam. Myvi hitam. Ingat tak?”
            Lelaki itu mengangguk-angguk lagi. Nak kata dia tidak boleh bercakap, semalam aku dengar elok saja dia berkata-kata walaupun hanya sepatah dua. Ini tak lain mesti dia marahkan aku sehingga melancarkan mogok bisu. Aku renung wajah lelaki itu mahu melihat reaksinya tetapi aku lihat wajahnya tenang sahaja. Senyum tidak, berkerut tidak dan masam pun tidak.
            “Saya nak minta maaf hal semalam. Saya agak kurang ajar dengan awakkan?”malas menunggu lama terus aku luahkan permohonan maafku.
            Lelaki itu menghadiahkan aku dengan sebuah senyuman yang seperti biasa aku lihat manis bak madu. Senyumannya itu benar-benar menyebabkan jiwaku bergoncang. Memang naik tahap glukosa dalam tubuhku. Kalau pakreasku gagal berfungsi dengan baik rasanya sudah lama aku tumbang kerana kadar gula dalam tubuhku terlalu tinggi.

            Senang dengan senyuman manis itu tanpa aku sedar bibirku menguntumkan senyuman dengan lebih lebar lagi. “Saya kira senyuman awak tu adalah tanda awak dah maafkan saya.”
            Lelaki itu tersenyum lagi tetapi kali ini disertai dengan satu anggukkan.
            “Terima kasih. Wajah awak ni ada iras-iras seorang lelaki yang saya tolong dulu. Saya teringin sangat nak jumpa dia, nak tahu keadaannya sama ada selamat atau pun tidak. Jika dia selamat sayalah orang yang paling gembira. Perasaan teruja keterlaluan mahu tahu sama ada awak adalah dia membuatkan saya gagal mengawal diri. Selamba saja saya tanya awak soalan yang tak masuk akal tu.”
            Terang aku panjang lebar. Biar hilang segala prasangka buruk yang membelenggu diri lelaki itu terhadapku. Lelaki itu masih lagi diam membisu. Kali ini dia tunduk memandang ke lantai.
            “Awak baru dengar tentang dia awak dah rasa sedihkan? Bayangkanlah saya yang memangku kepalanya, yang melihat wajah cengkungnya. Sampai sekarang takkan saya lupakan wajah itu,”sambungku lagi faham dengan reaksi yang diberikan oleh lelaki itu.
            Aku diam untuk beberapa ketika mengharapkan ada sebarang balasan yang akan kedengaran di telinga tetapi nampaknya aku hampa. Lelaki itu masih setia membisu. Malas mahu menunggu lama akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang. Lagi pun tugasku mahu meminta maaf sudah pun selesai.
            “Okeylah. Saya minta diri dulu tetapi sebelum tu boleh saya tanya satu soalan?”soalku sekali lagi mengharapkan akan ada jawapan yang diberi. Lelaki tadi laju mengangguk.
            “Siapa nama awak?”
            “Ismail,”sepatah saja jawapan yang aku terima itu pun dalam nada yang sangat perlahan tetapi sudah cukup membuatkan aku puas hati.
            “Sedap nama tu,”pujiku bersama dengan sebuah senyuman yang panjang. Ismail makin tunduk malu.
            Memikirkan tiada apa lagi yang perlu aku lakukan di situ, perlahan-lahan kaki aku atur ke arah kereta. Hatiku yang runsing sejak semalam sudah pun lapang. Aku rasa gembira.
            “Pssttt... Kakak manis,”panggil seseorang mengejutkan lamunanku. Aku menoleh ke belakang dan aku lihat Ali yang menyapa.
            “Bila masa mak aku beranakkan kau? Sesuka hati saya nak panggil aku kakak,”kataku menyampah. Mama aku pesan kena berhati-hati dengan warga asing kerana mereka suka mengambil kesempatan. Yelah budaya kita kan berbeza. Perlu diletakkan sempadan terlebih dahulu.
            “Kakak datang sini mau cari itu boss?”soal Ali tanpa aku nampak dia mengambil hati dengan kata-kataku tadi.
            “Kenapa kau nak tahu?”
            “Ali mahu kasi itu petunjuk sama kakak.”
            “Petunjuk? Kau ingat aku ni Sherlock Holmes ke?”soalku lucu. Apa punya Ali. Datang-datang saja terus memberitahu mahu memberi aku petunjuk. Hilang rasa was-wasku tadi melihatkan gelagat Ali yang lucu itu.
            “Itu informations,”betul Ali apabila dia lihat aku kehairanan.
            “Oh... informasi!”anggukku faham. Senyuman sudah terbit di bibir. “Informasi pasal itu boss ka?”soalku pula berminat.
            “Ya. Ali tahu kakak suka sama itu boss,”kenyit Ali membuatkan aku ketawa terbahak-bahak. Gaya Ali betul-betul macam watak Mujibur yang dilakonkan oleh Shahrul Shiro.
            “Pandai aje kau ni Ali,”dalam sengih aku bersuara. “Apa informasi yang kau nak beritahu aku tu?”
            “Boss masih single. Available. Tarak kahwin.”
            “Jadi?”aku langsung tidak berminat mendengar berita yang Ali sampaikan. Apa Ali ingat aku datang mahu mengurat majikannya? Silap besarlah.
            “Boss banyak kiciwa. Itu kahwin kensel. Kiciwa punya pasal boss jatuh sakit. Sekarang baru wokey.”
            Informasi yang kedua ini buat aku terkedu. “Boss sakit apa?”soalku mula mengorek rahsia.
            “Kiciwalah kakak. Itu cinta pergi. Badan banyak kurus. Macam mayat yidup,”tambah Ali lagi sungguh-sungguh.
            Wajahku bersinar-sinar. “Boss kau kurus? Tulang nampak?”
Ali angguk. “Butul. Ini tulang boleh pegang dan kira.”Ali memegang kiri dan kanan tulang rusuknya.
“Kau pegang tak apa. Jangan kau bukak baju kau tu sudah,”kataku memberikan amaran. Ngeri aku jika Ali bertindak demikian.
“Boss tarak masuk opis lama. Orang kata boss yelang,”tambah Ali lagi sungguh-sungguh.
“Yelang?”jeritku tidak faham. Nak kata helang bukan. Apa kena-mengena helang dengan Ismail. Nak kata gelang lagilah bukan.
“Itu gone kakak. Disappear.”
Aku ketawa terbahak-bahak. “Hilang. Aduh kau ni Ali. Pening aku.”
“Boss yelang lama. Hospital juga masuk,”tubuhku sedikit menggeletar mendengar informasi seterusnya. Nampaknya telahanku selama ini tepat. “Betul ni Ali?”
“Butul. Ali tarak tipu. Berdosa. Itu api neraka juga masuk,”aku ketawa lagi. Bercakap dengan Ali terasa macam tengok rancangan lawak. Maharaja Lawak Mega pun aku rasa tak boleh buat aku ketawa sampai macam ni sekali.
“Kenapa kau bagitahu aku semua ni?”
            “Sebab Ali dengar kakak manis tanya boss soalan.”
            “Telinga kau memang macam telinga lintah tapi aku suka. Lagi satu kau ni boleh tahan juga suka jaga tepi kain orang,”kataku memuji dalam mengeji.
            “Molest? Tarak kakak. Ali sembahyang juga. Nanti Allah marah.”
            Terhambur kuat tawaku sebaik mendengar kata-kata Ali yang seterusnya. Wajah Ali yang takut-takut itu lagi buat gelakku menjadi-jadi.
            “Kau ni Ali. Bukan molestlah. Maksud aku suka sibuk hal orang. Busybody,”terangku supaya Ali faham. Bahaya betul bercakap dengan Bangladesh mari ni. Lain yang kita cakap lain yang diaorang faham. Silap-silap haribulan kita juga yang kena nanti.
            Ali sengih apabila menyedari pemahamannya tadi salah. Dia menggaru kepala. “Bangladesh juga mari. Dua tahun juga.”
            “Tapi kira terrorlah kau dua tahun duduk sini dah pandai mengumpat orang dalam bahasa Malaysia,”pujiku jujur. Aku yang belajar bahasa Inggeris dari tadika pun tak berapa lancar untuk bertutur bahasa tersebut. Ali hanya mengambil masa dua tahun untuk pandai bercakap bahasa ibundaku.
            “Wokey kakak. Ali mahu sambung kirja. Nanti boss marah,”kata Ali meminta diri.
            “Ali, betul ya kau tak tipu aku tentang tadi?”sempat lagi aku menyoal sebelum membenarkan Ali pergi.
            Ali terangguk-angguk. “Tipu juga neraka masuk,”jawab Ali menekankan sekali lagi tentang syurga dan neraka.
            “Nah dua puluh ringgit. Terima kasih atas informasi kau,”kataku mengeluarkan wang dua puluh ringgit dari dalam kocek seluar.
            “Ali hati bersih. Tarak mahu ini wang. Serupa rosuah,”tolak Ali membuatkan aku tergamam. Baik rupanya hati lelaki berbangsa Bangladesh ini. Aku saja yang sering berprasangka dengan mereka. Seorang yang jahat habis semuanya terpalit sama.
            “Ambil sajalah. Ini bukan rasuah tapi aku ikhlas nak bagi sebagai tanda aku dengan kau jadi kawan. Setuju?”mendengar kejujuran hati Ali terus saja ringan mulutku untuk berkata begitu. Kalau mama aku tahu ni memang sah aku kena bebel dua hari dua malam.
            “Terima kasih kakak. Alhamdulillah,”angguk Ali dengan senyuman yang lebar. Duit di tangan aku Ali ambil.
            “Sama-sama.”
            Hatiku berbunga riang. Untuk pertama kalinya dalam hidup aku rasa bersyukur berjumpa dengan lelaki Bangladesh yang selama ini aku pandang negatif. Tidak sabar aku mahu pulang ke rumah dan menyampaikan berita itu kepada mama. Pasti mama tidak akan percaya yang penantianku selama ini sudah berhasil.

            PENERIMAAN mama amat mengejutkan. Mama buat muka seposen. Terkejut tidak bertempik pun tidak. Aku punyalah beria-ia bercerita, siap berlakon jadi Ali lagi tapi apabila melihat begini reaksi mama, aku jadi kecewa.
            “Mama dengar tak apa kakak cerita?”rengekku tidak puas hati. Selalunya mama bukan begini. Memanjang overacting. Sama saja dengan reaksiku jika teruja tentang sesuatu.
            “Mama dengar,”dua patah mama jawab.
            “Habis tu kenapa tak bagi respon?”
            Mama pandang wajahku. Kali ini nampak bibir mama panjang. “Sebab informer kakak tu Bangladesh mari. Manalah mama nak percaya.”
            “Tak baik mama pandang hina pada Ali tau. Kakak nak beri dia upah pun dia tak mahu. Kita kena buang persepsi negatif kita kepada warga Bangladesh ma. Kalau Ali tu Amerika mari mesti mama percayakan,”cebikku kecil hati bagi pihak Ali. Kalau Ali tahu aku membela dia ni pasti dia terharu.
            “Bangladesh ni lebih kurang hindustanlah kakak. Berdrama memang pandai,”makin kecil hatiku mendengar penilaian mama.
            “Tapi Ali ni lain. Dua tiga kali dia cakap dia tak tipu.” Aku terus tegakkan tubuh. “Itu neraka juga masuk,”kataku meniru cara Ali bercakap. “Macam tulah dia cakap kat kakak ma. Lagi satu mama tak boleh samakan filem dengan realiti kehidupan. Filem tu cuma fantasi si pengarahnya ma.”
            “Kakak... kakak,”mama gelengkan kepala masih lagi tidak mahu menerima hujahku.
            “Sebiji macam Ali ma bila mama geleng,”kataku laju. Mama terus membaling bantal kecil empat segi warna coklat ke arahku. Mujurlah di sekolah dulu aku menjadi wakil sekolah dalam sukan bola jaring jadi dengan mudah aku dapat menangkap balingan mama.
            “Jangan nak samakan mama dengan Abu,”kata mama muncung.
            “Abu apanya ma. Alilah,”betulku.
            “Ha... Ali. Apa-apa sajalah.” Aku ketawa. Comel sangat wajah mama aku lihat.
            “Kakak percaya dia ma sebab kakak memang pasti Ismail tu mamat tulang yang kakak cari,”kataku penuh yakin.
            “Tapi yang empunya badan pun tak kata apa. Kakak sendiri yang cakap selepas minta maaf kakak ada bercerita mengapa kakak jadi begitu tetapi ada dia bagi respon?”
            Aku terdiam. Kata-kata mama itu ada benarnya juga. “Entah-entah dia lupa kut ma.”
            “Haish mana boleh lupa pada orang yang berbudi dengan kita. Lagi-lagi yang melibatkan nyawa.”
            Sekali lagi mama memberikan fakta yang langsung tidak boleh aku bantah. “Mungkin setahun lepas dia hilang ingatan, sekarang ni dia dah ingat balik sebab itu dia lupa apa yang berlaku sepanjang dia sakit.”Mulalah aku berfantasi.
            Mama sengih mengejek. “Kakak ni memang mudah dipengaruhi oleh tv. Tadi kata mama yang terpengaruh dengan filem hindustan. Yang kakak tu terpengaruh dengan drama melayu tak apa pula. Sikit-sikit hilang ingatan. Lepas tu terhantuk kat batu ingat balik. Senang sangat padahal kalau kepala terhantuk kat batu tu silap-silap haribulan boleh koma tau disebabkan oleh pendarahan dalaman.”
            Heh... dah macam doktor pakar pula aku lihat gaya mama bercakap. Bab kompelin hasil kerja orang memang mama nombor satu. Cuba bagi mama jadi pengarah, tak pun penulis skrip, belum tentu satu baris ayat pun mama boleh buat.
            “Buat apa Ali nak tipu ma? Bukannya ada faedah pun.”
            “Haaaa.....,”panjang mama ber ‘ha’. Siap menepuk pehaku lagi. “Dia nak mengurat kakaklah tu. Takkan tak faham-faham lagi.”
            Gulp! Aku telan liur. “Takkanlah ma,”gelengku tidak puas hati.
Mama ni memang pandai buat aku serba-salah dan jadi tidak yakin. Tapi kalau betul apa yang mama katakan tadi bagaimana? Wajah Ali mula terbayang di depan mata. Aku telan liur lagi. Oh no... aku tak rela!!!

Much Luv,
Liz Haliza.                                                                                                                                                                                                                                                                                   

Monday, January 18, 2016

DBM? (BAB 2 & BAB 3)


BAB 2



“Termenungkan apa tu kak?”sergah mama mengejutkan lamunanku. Bibir aku leretkan menghadiahkan mama dengan senyuman yang paling manis. Seorang ibu selayaknya mendapat penghargaan setinggi itu dari seorang yang bernama anak. Untuk itu walaupun aku terkejut mama menyergahku, sebaik mungkin aku menyembunyikan perasaan geramku itu.
            “Orang tengok tvlah ma. Mana ada menung,”jawabku menipu.
            Mama melabuhkan punggungnya di sebelah lantas memeluk bahuku. “Nampak sangat menipu. Faham sangat ke tengok cerita tamil. Tak ada subtittles pulak tu.”
            Televisyen empat puluh dua inci di depan mata aku pandang. Skrin memaparkan channel 201. Vaanavil.
            “Fahamlah ma kalau tidak buat apa kakak tengok channel ni.”sengihku membuat percubaan menipu untuk kali kedua.
            “Yelah tu,”kata mama ketawa kecil. Dikuatkan pelukannya terhadapku sehingga aku sukar bernafas.
            “Overlah mama ni,”dengan susah payah aku cuba meleraikan pelukan mama.
            “Kakak tu comel sangat. Geram mama tengok.”
            Setelah berjaya melepaskan diri dari mama, aku menjarakkan tubuh kami bimbang mama makin over. Digentelnya aku macam kanak-kanak tadika nanti lagilah haru. Mama memang begitu. Sentiasa menganggap anak-anaknya yang sudah besar panjang ini masih kecil.
            “Ma...”panggilku setelah aku rasakan kedudukkanku benar-benar selamat.
            “Hmm...”jawab mama pendek. Matanya asyik memandang televisyen yang sudah pun ditukar ke channel 135.
            “Mama kisah tak kalau bermenantukan orang yang kerja biasa-biasa sahaja?”entah mengapa soalan itu yang aku ajukan. Kepala mama laju berpusing memandang ke arahku. Mata mama besar macam bola golf.
“Kakak dah ada calon ke? Dia kerja apa sampai kakak tanya mama soalan ni?”
            “Tak. Kakak cuma tanya.”
            Mata mama semakin besar. Tak puas hatilah tu dengan jawapan aku.
            “Kerja biasa-biasa tu kerja apa? Manager pun kerjanya biasa-biasa aje. Tak ada pun yang luar biasa. Lainlah kerja jolok bintang di langit, tak pun timba air sungai sampai kering, haa yang itu barulah boleh dipanggil kerja luar biasa.”
            Aku mengeluh. Masa inilah mama nak buat lurus dan masa inilah juga mama nak buat lawak. “Kerja biasa-biasa tu maksudnya tak berjawatan tinggi. Mama ni sajakan buat-buat tak tahu.”
            Mama sengih. “Mama ni tak kisah. Nak memilih karang orang mengata mama semula sebab adik kamu si Aiman tu pun kerjanya bawa lori walaupun ada degree.”
            Ingatanku terus kepada Aiman apabila namanya disebut. Ya, Aiman satu-satunya adik yang aku ada bekerja sebagai pemandu lori walaupun punya kelulusan tinggi. Betul kata mama, jika mama memilih ibarat mama mengata diri mama sendiri.
            “Ya tak ya juga.”
            “Lagi satu pada mama apa pun pekerjaan yang dipilih, yang penting kerajinan dan usaha yang berpanjangan dalam mencari rezeki. Barulah hidup diberkati,”tambah mama lagi menunjukkan pendirian dan hatinya yang tulus suci.
            “Ma percaya tak pada cinta pandang pertama?”
            Mama ternganga. Kali ini mama pusingkan tubuhnya menghadapku. “Ha... ni mesti dah terjatuh cinta dengan sesiapa kalau tak takkan nak bagi mama soalan yang bukan-bukan. Siapa yang kakak jumpa dan terus suka? Kerja apa? Tinggal di mana?
            “Kakak belum pun sukakan sesiapa cuma.....,”aku termenung panjang. Kata-kataku mati di situ. Bukan mahu mendera hati mama tetapi aku sendiri pun tidak mengerti mengapa aku sering saja teringatkan tentang si dia.
            “Tapi apa?”desak mama tidak sabar.
            “Tadi masa kakak pergi teman Win cuci kereta, kakak ternampak ada seorang lelaki ni iras macam lelaki yang kakak pernah selamatkan dulu. Sejak tu hati kakak tak tenteram. Asyik-asyik muka dia saja yang terbayang.”
            “Muka siapa yang kakak terbayang? Lelaki yang di tempat cuci kereta tu ke ataupun mamat tulang yang sentiasa buat mama terseksa?”
            Sempat lagi mama menyindirku secara halus. Aku tahu mama bosan mendengar mulutku asyik saja membangkitkan tentang lelaki yang tidak bernama itu. Amaran mama sebelum ini langsung tidak aku endahkan.
            “Dua-dua sekali,”akuiku jujur.
            Aku pandang wajah mama yang sudah pun memandang ke arah televisyen. Mengapa mama diam?
“Yang tu bukan cinta pandang pertama,”jawab mama tiba-tiba. Aku tarik nafas lega. Walaupun mama menafikan perasaanku tetapi aku senang melihat kesudian mama memberikan respon. Ini tandanya mama tidaklah benci sangat dengan si dia.
            “Tapi kenapa kakak asyik teringat muka dia ma? Mazuin kata kakak dah jatuh cinta.”
            “Nanti mama cili mulut Mazuin.”Mama ketawa.
            Mendengarkan itu aku turut ketawa. Mama ingat senang ke nak cili mulut anak orang walaupun mama sudah menganggap Mazuin tu seperti anak mama sendiri.
            “Seriuslah ma. Dengan siapa lagi kakak nak minta pendapat kalau bukan dengan mama,”rengekku manja lalu terus menghimpit tubuh mama. Aku lihat mama senyum bangga senang dengan perlakuanku.
            “Kakak nak tahu sesuatu?”tanya mama lalu memeluk bahuku. Aku angguk. “Kakak ni sebiji perangai abah. Selagi tak dapat jawapan pada sesuatu persoalan tu memang takkan senanglah hati mama. Mulut tu sentiasa menyebut benda yang sama berulang kali sampailah dapat apa yang dihajati cuma satu saja beza kakak dengan abah...”kata-kata mama terhenti di situ. Aku tegakkan tubuh memandang ke dalam anak mata mama. Jelas kelihatan mama hanyut dalam kenangan.
            “Ma...”panggilku perlahan tidak mahu mengejutkan lamunan mama secara kasar.
            Mama tarik nafas panjang dan senyum. “Abah sangat rasional. Tak over macam kakak. Kakak ni kuat berdrama,”serentak dengan itu mama ketawa kecil. Aku hanya tersenyum panjang. Ya, aku akui kata-kata mama itu. Aku memang senantiasa melebih-lebih dalam mengekspresikan perasaan. Perempuan agaknya. Mudalah pula jadi mungkin itu yang menyebabkan aku sukar mengawal tingkahlaku.
            “Mana lagi kuah nak tumpah mama kalau tak ke nasi. Kakak ikut separuh perangai abah dan separuh perangai mama.”
            “Mana ada,”mama menafikan kenyataan yang padaku langsung tidak boleh disangkal itu.
            “Bab drama tu kakak ikut mama. Tak ingat dulu siapa yang selalu berlakon sakit kalau di depan abah. Mengelat sebab nak ajak abah makan di luar.”
            Mata mama bulat. Terkejut agaknya mendengar aku boleh mengingati kisah lima belas tahun dahulu.
            “Kakak tahu ya mama buat-buat sakit?”
            Aku sambut soalan mama itu dengan tawa yang besar. Hilang segala resah dan gundahku sebentar tadi apabila teringatkan memori dulu. Benarlah orang kata kasih ibu membawa ke syurga. Jika ada saja masalah, carilah mereka yang pasti akan memberikan terapi yang paling baik untuk santapan jiwa.
           







BAB 3

Di malam sepi aku bermimpi
Mimpi yang sedih sekali
Kau akan pergi tinggalkan diriku
Aku menangis tersedu
Diriku tak pernah lepas dari penderitaan
Mimpi yg kini terjadi.....
Dari jauh aku sudah dengar suara Mazuin menyanyikan lagu dendangan Mazuin Hamzah. Mentang-mentanglah nama sama, lagu penyanyi yang pernah popular satu ketika dahulu itu juga yang dipilihnya.
            “Tak habis-habis nak menyanyi lagu tu,”sergahku sebaik sampai di hadapan Mazuin. Mazuin tarik muka kelat.
 “Suka hati akulah. Dah aku suka.”
            “Di malam sepi aku bermimpi... mimpi yang sedih sekali.... dengar kau menyanyi lagu ni bukan mimpi sedih lagi dah... mimpi ngeri adalah,”ejekku saja menyakitkan hati. Sudah naik hafal aku lirik lagu tersebut. Bukan setahun dua aku mendengar Mazuin menyanyikannya tetapi sudah bertahun-tahun lamanya telingaku terseksa. Aku tidak bermaksud mahu memperlekehkan Mazuin Hamzah tetapi aku hanya mahu mengusik Mazuin Abdullah.
            “Kau apa tahu. Tak menghargai langsung penyanyi lama. Tak ada yang lama tak adalah yang baru. Mazuin Hamzah dan kumpulan Quinary M tu dulu famos amos tau. Kalau tak takkan nama aku ni diberi oleh mak aku sempena nama artis pujaannya,”kata Mazuin bangga. Itulah saja modal Mazuin. Tak habis-habis mahu orang tahu kronologi nama yang dimilikinya.
            “Orang layan K-POP ajelah babe. Tak mainlah lagu mimpi-mimpi ngeri ni.”
            “Eh, kau datang ni kenapa? Kalau nak jumpa Abang Sham kau tu dia tak ada. Dah keluar,”usik Mazuin mahu mengubah topik seterusnya mengenakan aku. Abang Sham konon. Dia yang minat dengan bossnya tu aku pula yang nak dikenen-kenenkan.
            “Tak ada masa aku nak jumpa Abang Sham kau. Aku datang ni nak ajak kau pergi cuci kereta kat tempat semalam. Aku bayar,”sebaik mendengar permintaanku itu bulat mata Mazuin. Sama dengan mata mamaku semalam. Agaknya asal terkejut saja mesti mata jadi bulat. Banyak lagi gaya terkejut lain yang boleh digayakan. Contohnya boleh saja ngangakan mulut, tak pun buat gaya kaku tak bergerak. Ni nak juga bulatkan mata yang sudah sedia bulat itu.
            “Jangan kau cakap yang kau nak jumpa dengan mamat tu. Dia bukan mamat tulang. Dia tu bangla babe. Bangla,”tangan Mazuin terangkat-angkat menunjukkan kesungguhannya mahu menyakinkan aku.
            “Itu yang aku nak confirmkan. Kau kasilah chance. Biar aku puas hati. Bukan kau tak tahu perangai aku. Selagi tak puas hati selagi itulah aku tak senang duduk,”rayuku minta simpati Mazuin.
            “Tak habis-habis kau ni dengan teori tak masuk akal kau tu. Tak faham aku.”
            “Aku cuma nak tahu saja. Salah ke?”soalku geram dengan sikap Mazuin. Berdosa ke aku mahu tahu apa yang terbuku di hati? Bukannya perlukan passport pun untuk ke tempat cuci kereta tersebut, sekadar sedikit modal untuk minyak dan mencuci kereta. Itu pun Mazuin berat hati mahu memenuhi permintaanku.
            “Salah tu memanglah tak. Katalah lelaki cuci kereta tu mamat tulang yang kau cari, kau nak buat apa?”
            Aku terdiam. Tidak terfikir pula apa yang harus aku lakukan jika dia orang yang aku cari. “Aku...”sukar mulutku mahu memberikan jawapan. “Aku ajak dia bersembang. Tanya dia kenapa dia jadi begitu? Adakah dia dianiaya atau dia yang menganiaya dirinya sendiri?”
            “Lepas tu...”
            “Lepas tu apa?”aku mula buat muka. Mazuin ni tak pernah berpuas hati dengan jawapanku. Tak kiralah topik apa pun yang kami bincangkan mesti ada saja soalan balasnya.
            “Lepas dah selesai sesi soal siasat kau nak buat apa?”
            Entah. Otakku belum lagi sampai sejauh itu. “Kalau aku rasa dia tu okey, aku kawanlah. Kalau tak okey aku buat tak tahu saja.”
            “Lelaki biasanya cepat perasan tau. Buatnya dia syok dengan kau macam mana?”
            Aku semakin panas hati. Mazuin ni saja mahu mendera hatiku. Bagi persetujuan  mahu pergi atau tidak sudahlah. Buat apa nak dipanjangkan perkara yang belum lagi berlaku.
            “Win, aku rasa kalau kau nak tahu jawapan tu, kau kena bawa aku ke situ dulu.”
            “Aku boleh bawa tapi janji ya kau belanja kos mandikan kereta aku tu,”akhirnya Mazuin mengalah. Aku senyum menang.
            “Bisa di atur bu.”

            “NAMPAK arahan tu. Kau freekan gear,”Mazuin pun menunjukkan kepada aku apa yang perlu dilakukan. Diletaknya gear ke N. Kereta bergerak sendiri masuk ke dalam mesin pencuci.
            Aku mula menikmati keseronokan berada di dalam kereta sewaktu kereta dicuci. Melihat berus-berus besar membantai buih-buih yang memutih amatlah mengasyikkan. Terasa diri sedang berada di taman tema.
            “Kau ni dah macam kanak-kanak Dumex pulak aku tengok. Anak sedara aku pun tak gini,”sengih Mazuin kelakar melihat gelagatku yang melekapkan tangan ke cermin kereta.
            “Kecik-kecil dulu tak merasa pengalaman begini babe.”
            “Yelahkan. Masa kecil dulu semuanya tak ada. Permainan pun cipta sendiri,”sambut Mazuin bersetuju. Kalau mahukan keseronokan kami akan mencipta mainan sendiri seperti bermain getah, main tembak-tembak menggunakan pistol yang diperbuat daripada batang pen dan  bermain layang-layang yang juga dibuat sendiri. Sekarang semuanya sudah tersedia, keluarkan sajalah duit untuk membeli segala mainan yang disebutkan di atas tanpa perlu bersusah payah menciptanya.
            “Win, dah habis. Nak buat apa?”jeritku yang lebih gelabah sebaik aku sedar kereta sudah pun bergerak ke hujung mesin pencuci.
            “Kau ni. Buat terkejut aku saja. Macam semalamlah. Tunggu lampu tu hijau. Dah hijau kau masukkan gear dan gerak.”
            Aku angguk faham. Setelah lampu hijau menyala, Mazuin menggerakkan keretanya ke hadapan dan berhenti di kelompok lelaki-lelaki berpakaian warna kelabu yang sudah setia menunggu. Mataku apa lagi liar memandang sekeliling.
            “Tak ada pun,”rungutku hampa. Cermin kereta di kiri aku turunkan lalu aku menjenguk ke belakang.
            “Cari siapa?”Sapa seseorang mengejutkan aku. Sebaik aku berpaling memandang ke arahnya dan pandangan mata kami bertaut, jantungku berdegup dengan kencang.
            “Cari awak,”spontan jawapan itu aku beri. Dahi lelaki yang menegurku berkerut.“Awak pernah pengsan tak setahun lepas?”Tanpa menghiraukan kerutan lelaki itu yang jelas terkejut mendengar jawapanku laju aku menyoal. Langsung tidak ada mukadimah ataupun kata-kata aluan. “Pernah jadi gelandangan? Kurus kering tinggal tulang?”tambahku lagi tanpa malu.
            “Abaikan sajalah kawan saya ni encik. Boleh tak encik kilatkan tayar saya sekali,”tanpa aku sangka Mazuin sibuk menyampuk. Ditariknya tubuhku supaya duduk elok.
            Lelaki itu angguk tetapi masih lagi menunjukkan wajah kebingungan. Tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulutnya untuk menjawab soalan yang aku ajukan tadi.
            “Awak tak jaw...”
            “Duduk elok-elok Lis. Tersepit karang,”potong Mazuin cepat lalu menaikkan cermin kereta.
            “Kenapa dengan kau ni Win?”Marahku bengang dengan sikap sibuk Mazuin. Tak habis-habis nak masuk campur urusan soal siasatku.
“Kau ni Lis. Agak-agaklah nak tanya tu. Bagi salam dulu. Borak-borak santai lepas tu baru masuk jarum tanya soalan yang kau nak tahu,”
            “Kacau betul.”
            “Kacau apanya? Aku baru selamatkan kau dari kena lempang tahu tak? Bukannya nak ucap terima kasih.”Mazuin mula marah.
            Aku terdiam mendengar teguran Mazuin itu. Betul juga katanya. Aku agak keterlaluan. Ibarat masuk ke rumah orang tidak memberi salam terus saja duduk dan makan.
            “Aku gabralah Win.”
            “Kau tengok muka dia tadi?”
            Aku angguk. “Kenapa?”
            “Merah macam udang kena bakar.”
Aku menggeleng pula. “Tak ada pun merah.”
“Haish kau ni,”marah Mazuin geram dengan jawapanku.  “Kau bukan saja tak ada adab tetapi juga telah menghina dia. Yang pergi sebut tentang gelandangan dan tulang tu kenapa?”
            Aku telan liur. Betul kata Mazuin. Mulut aku langsung tak berhemah. Lancang semacam tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain. Orang yang tidak dikenali pula tu. Tiba-tiba aku rasa menyesal.
            “Habis tu macam mana Win?”
            Cermin kereta diketuk membuatkan aku dan Mazuin terkejut. Mazuin pantas bertindak. Ditekannya butang open.
            “Enam ringgit kakak. Itu boss suruh bayar sama Ali,”kata lelaki yang mengetuk cermin kereta tadi.
            “Boss sapa?”balas Mazuin kurang faham.
            “Hari-hari boss ambil duit tapi ini hari boss suruh ini Ali juga ambil,”terang lelaki berbangsa Bangladesh itu kepada kami. Tangannya siap menunjukkan ke arah lelaki yang sedang berdiri nun jauh di hadapan kereta kami.
            “Eh, lelaki tadi tu boss?!”soalku kepada Mazuin sebaik mataku dapat mengecam boss yang Ali maksudkan itu.
            Mazuin tidak mempedulikan soalan aku. Dia membayar kepada Ali lalu cepat-cepat beredar dari situ.
            “Win kau dengar tak soalan aku tadi?”soalku semula.
            “Soalan yang mana? Banyak sangat soalan yang kau kasi,”jawab Mazuin yang menumpukan sepenuh perhatian terhadap pemanduan.
            “Lelaki yang aku tegur tadi, dia tu ke boss yang bangla tu maksudkan?”
            “Yelah kut.”
            “Logik juga dia boss di situ. Mukanya macam melayu. Mesti orang kita.”cepat aku membuat kesimpulan.
            “Kau ingat orang bangla tak ada yang jadi boss di Malaysia? Kau dah dengar ke dia bercakap? Mana tahu loghatnya sama macam Ali. Kakak, saya Bangladesh mari. Sudikah kakak bercinta sama saya?”terus Mazuin mengajuk cara percakapan Ali. Aku bantai gelak. Tidak tertahan rasanya melihat kepala Mazuin yang tergeleng-geleng.
            “Dia ada bercakap tapi pendek sangat ayatnya. Tak boleh nak dipastikan bangla atau pun melayu.”
            “Setakat sepatah dua perkataan tu macam manalah kau nak cam.”
“Tulah pasal.”
 “Lis..”panggil Mazuin lembut. Apabila Mazuin dan bertukar nada tu aku faham sangat apa yang hendak Mazuin buat. Mesti dia mahu menyekolahkan aku.
            “Haa...”jawabku kasar.
            “Cuba kau lupakan sajalah mamat tulang tu. Berpijak di bumi yang nyata. Disebabkan oleh dia kau banyak memalukan diri kau sendiri. Contohnya tadi. Kau juga banyak menyakitkan hati orang dan contohnya juga seperti tadi. Cukup-cukuplah tu Win.”

            Aku tahu Mazuin bingung dengan sikapku. Aku sendiri pun bingung dengan sikapku yang masih lagi tidak berpuas hati selagi tidak berjumpa dengan mamat tulang yang aku tolong dulu. Mengapa ya? Bukannya dia ada kena-mengena denganku. Nak kata aku jatuh cinta dengannya lagilah mengarut. Tak ada walau secalit pun perasaan itu di hatiku. Entahlah. Yang aku pasti aku berharap dapat berjumpa semula dengannya sehingga menyebabkan semua orang yang aku lihat seiras dengannya menjadi mangsa.




Semoga terhibur uolsss :D

Much luv,
Liz Haliza


Friday, January 15, 2016

I'm back!

Assalammualaikum dan morning semua...

Lamanya tak update blog. Sampai saya terlupa password. Mujur memang ada tulis dulu jadi selongkarlah buku catatan lama mencari.


Ada orang kata saya tak serius menulis, ada orang nasihat macam mana nak berjaya dalam bidang ni kalau jadi choc fudge. Kejap ada kejap tak ada. Saya sengih dan telan sajalah apa yang orang kata. Betullah tu tapi kehidupan setiap manusia manakan sama. Apa yang berlaku di sebalik pintu rumah seseorang itu tak kan serupa dengan yang lain. Tiada istilah nak seribu daya tak hendak seribu dalih bagi seorang ibu seperti saya. Yang ada hanyalah cuba menggembirkan hati semua pihak sebaik mungkin mengikut kudrat yang ada. Apa yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu akan diutamakan. 


Menulis bukanlah sesuatu yang saya anggap tidak penting. Ianya tetap menjadi minat saya sampai bila-bila. Saya ikhlas berkarya dan berusaha sebaik mungkin di dalam bidang ini.


Sejujurnya pada tahun lepas saya ada menulis manuskrip thriller. Saja cuba cabar diri. Dan hasilnya.... ternyata hancuss. Hihihi. Mungkin saya bukan tergolong dalam golongan yang memang menjadi aje buat cerita apa pun. Saya ni jenis yang perlu belajar, perlu di polish banyak kali baru cantik hasilnya. Jadi, saya stop dulu cita-cita saya tu. Kena banyakkan membaca genre seperti itu dan buat research. Penuhkan ilmu di dada . Dah penuh baru saya berjuang balik ya.


Jadi saya 'u trun' ke genre sengal saya. Di sini saya tepek manuskrip saya yang bakal diterbitkan tidak lama lagi. Ianya versi asal yang belum di edit editor. Tajuk tu biarlah rahsia dulu. Nanti saya beritahu tau. Moga anda semua terhibur membacanya. Mana yang terkurang tu harap dimaafin. Muahhh.


Kurnia Cinta...

Liz Haliza.



DBM?

Tak mungkin ku percaya...


PROLOG

            “Terima kasih,”kata lelaki itu dalam keadaan sangat lemah. Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Mataku sudah bergenangan airmata manakala jantungku berdegup dengan kencang.
            Sewaktu tubuhnya mahu disorongkan ke dalam ambulan, sempat lagi dia cuba memegang tanganku tetapi pegangan yang sangat lemah itu mudah saja terlerai.
            “Sudahlah Tu Lis,”bisik Mazuin menarik tubuhku ke belakang. Pintu ambulan ditutup dan di situlah pengakhiran pertemuan kami.
            “Kami nak gerak dululah ya cik,”kata pemandu ambulan mengejutkanku. Aku pantas menahan.
            “Nak bawa pesakit ke hospital mana?”Kataku mahu tahu. Mujurlah juga aku mampu berfikir untuk bertanyakan soalan itu. Sekurang-kurangnya boleh juga aku menjenguknya jika ada kelapangan masa.
            “Hospital Selayang.”
            Aku angguk faham. Pemandu ambulan tersebut terus berlalu ke hadapan.
            “Ke tepi sikit Lis,”tarik Mazuin bimbang melihat tubuhku semakin mendekati ambulan yang sudah pun bersedia  untuk bergerak. Aku akur dengan arahan Mazuin. Tubuh aku anjakkan ke belakang semula.
            Ambulan bergerak perlahan-lahan. Airmataku juga perlahan-lahan mengalir jatuh ke pipi. Entah mengapa aku jadi sayu ditinggalkan oleh lelaki yang langsung tiada pertalian darah denganku. Lelaki yang aku jumpa hanya beberapa minit tetapi telah berjaya merobek hatiku dengan renungannya.
            “Sudahlah tu Lis. Dia selamat di hospital,”pujuk Mazuin menepuk-nepuk belakang tubuhku. Tepukan itu aku kira adalah sebagai tanda penenang tetapi sebenarnya aku langsung tidak merasai apa-apa. Mazuin gagal dalam usahanya.
            “Kasihan sungguh Win. Siapakah dia? Macam mana dia boleh berada di sini?”soalku mencari jawapan atas persoalan yang Mazuin sendiri tidak tahu jawapannya.
            “Entahlah Lis,”keluh Mazuin berat.
            “Dia bukan gelandangan. Kukunya sangat bersih. Tetapi mengapa tubuhnya seperti mayat hidup?”Soalku kebingungan. Dengan mata yang terperosok ke dalam, tubuh yang kurus kering dan pipi yang cengkung, lelaki itu dilihat tidak ubah seperti mayat hidup.
Masih segar di ingatanku sewaktu kami meninggalkan perkarangan masjid menuju ke arah kereta yang diparkir di luar pagar, kami melihat sesusuk tubuh yang tidak bermaya sedang merangkak meminta bantuan. Aku pantas berlari menangkap tubuh itu yang hampir tertiarap di atas jalan raya bertar. Tubuh itu aku letakkan di atas pangkuanku. Selepas itu aku menjerit menyuruh Mazuin menghubungi ambulan.
“Sudahlah tu Lis. Kita dah pun jalankan tanggungjawab kita. Tahulah pihak hospital mencari warisnya nanti,”pujuk Mazuin mematikan lamunanku.
“Moga begitulah Win,”kataku mengharap. Aku membuntuti langkah Mazuin yang sudah pun mula menapak menuju ke kereta sambil membetulkan tudungku yang senget benget ditarik oleh lelaki tadi. Brooch yang mencantumkan tudung di bahagian dada aku raba dengan niat mahu membetulkan kedudukannya yang terkangkang . Sebaik menyedari apa yang aku cari tiada aku menjerit kuat. “Brooch aku tanggallah Win.”
Tanpa menunggu reaksi Mazuin terus aku berpatah semula ke belakang mencari kalau-kalau ada broochku tercicir di situ.
“Alah brooch aje kut. Macamlah tak ada brooch lain di rumah,”bebel Mazuin yang jelas kelihatan terganggu. Dia mendapatkan aku.
“Tapi ini brooch yang mama bagi. Yang tertera nama aku tu,”terangku mengharapkan agar Mazuin memahami betapa bermaknanya brooch tersebut kepadaku.
 “Brooch yang mama kau tempah khas tu ke? Uish susah nak dapat,”mendengarkan itu barulah Mazuin mahu membantu. Dia turut terbongkok-bongkok mencari di atas jalanraya.
“Yelah Win. Kalau bukan yang itu tak adalah aku gabra sangat.”Kataku hampir melelehkan airmata.
“Tak apa. Kita cari slow-slow okey. Mesti jumpa punya,”Mazuin memujukku. Terbongkok-bongkoklah kami melihat ke atas jalan raya mencari brooch yang begitu bermakna kepadaku. Hadiah pemberian mama sempena meraikan aku tamat belajar dua tahun yang lalu.
“Tak adalah Win.” Aku semakin panik kerana brooch kesayanganku itu langsung tidak kelihatan di mana-mana. Tubuh yang terasa sakit akibat membongkok aku tegakkan. Mazuin juga berbuat demikian.
“Tercicir di dalam masjid kut.”katanya meneka.
“Tak, aku ingat lagi aku betulkan pinnya sambil kita berjalan keluar masjid tadi. Lepas tu kita nampak lelaki yang kita tolong tadi dan....”
“Tercicir masa tulah agaknya sebab dia ada tarik tudung kau,kan?”Potong Mazuin mengingati momen tadi.
“Alah Win. Mungkin jatuh atas tubuhnya.”Keluhku kecewa.
“Kelam kabut tadi Lis. Manalah nak perasan.”
Aku mengeluh kesal dengan kecuaianku. Suka atau tidak nampak gayanya terpaksalah aku reda sahaja dengan kehilangan ini. Pandai-pandailah aku memberikan alasan kepada mama nanti. Pasti mama akan memahami.
“Dah tak ada rezeki aku Win. Jomlah kita balik.”
“Betul nak balik? Tak nak cari lagi?”Soal Mazuin mahukan kepastian.
“Dah lewat malam ni Win. Bahaya. Lebih baiklah kita balik. Tentang brooch tu kalau dah memang bukan rezeki aku nak buat macam mana.”
Keselamatan diri lebih menjadi keutamaan saat ini. Aku tidak mahu menanggung risiko hanya kerana sebiji brooch. Tetapkan hati redakan diri, kehilangan pasti akan berlaku tidak kira dalam bentuk apa sekali pun.




BAB 1
Setahun kemudian

Pintu rumahku diketuk dengan kuat. Aku menoleh memandang ke arah mama yang sebelum ini sudah pun terlelap di sofa. Aku lihat mama terpisat-pisat bangun sambil menggosok-gosok matanya.
“Siapa yang ketuk ma?”soalku cuak. Jam di dinding aku lirik. “Dah pukul satu pagi ni ma.”
Pintu sekali lagi berdentum-dentam berbunyi. Aku semakin panik. Dengan penuh hati-hati langkah aku atur ke arah pintu utama.
“Tak payah bukalah kakak. Aiman tak ada ni. Kalau dia ada beranilah juga mama,”nasihat mama yang jelas kelihatan pucat.
“Tolong saya cik. Buka pintu ni,”tiba-tiba ada suara yang aku dengar dari sebalik daun pintu dan suara itu aku kenal pemiliknya. Dengan pantas tanganku menyelak daun pintu. Sebaik pintu terbuka aku dapat lihat lelaki yang pernah aku tolong dahulu sedang berpaut di gril.
“Awak,”jeritku terkejut tidak sangka tekaanku tepat.“Mama, ambilkan kunci. Kakak kenal siapa dia,”laungku meminta pertolongan mama. Mujurlah mama tidak banyak soal dan terus mencari kunci rumah yang biasanya kami letakkan di atas kabinet tv.
“Kawan kakak ke ni?”soal mama sebaik kunci dijumpai. Dia pantas memasukkan kepala kunci ke gril.
Aku tidak menjawab hanya sabar menanti gril terbuka. Sebaik gril mama tolak, aku keluar lalu memapah tubuh lelaki itu masuk ke dalam. Aku sandarkan tubuhnya ke sofa yang mama duduki tadi.
“Nak buat apa ni kakak?”soal mama yang jelas kelihatan panik. Sebenarnya aku turut merasai perasaan yang sama tetapi demi lelaki itu aku kuatkan semangat.
“Boleh mama ambilkan kakak kain basah? Yang bersih ya ma,”pintaku dengan lembut. Seperti tadi mama hanya menurut. Terus saja dia masuk ke bilik.
“Awak masih ingat saya?”soalku pula kepada lelaki yang kurus-kering itu. Aku melutut menghadapnya.
“Ingat sebab itulah saya cari awak,”katanya mengangguk. Aku rasa sangat terharu. Gigih lelaki yang tidak aku kenali itu mencariku di rumah. Bagaimana dia tahu alamat rumahku itu agak misteri tetapi lantaklah janji dia telah pun berusaha untuk mencariku dan usahanya itu patut diberikan pujian.
“Awak lari dari hospital ke?”Dugaku mengorek rahsia. Manalah tahu agakkan aku itu tepat.
“Mereka tak nak tolong saya jadi buat apa saya tinggal di sana.”
“Ni tuala yang kakak nak,”mama datang menghulurkan tuala basah berwarna pink kepadaku sekaligus mengganggu perbualan kami.
“Terima kasih mama.”Kataku berbahasa. Tuala di tangan mama aku ambil. Selepas itu dengan penuh hati-hati aku lap wajah lelaki itu.
“Sini rupanya kau,”kuat satu suara bertempik. Aku terkejut sehingga terlepas tuala di tangan. Seorang lelaki berbadan besar muncul entah dari mana menerpa masuk melalui pintu yang tidak bertutup.
“Tolong saya Ailis.”Rayu lelaki yang aku tolong tadi ketakutan. Aku tergamam tidak tahu apa yang harus dilakukan. Niat di hati mahu menolong tetapi melihatkan betapa besarnya tubuh lelaki yang bertempik tadi aku rasa takut.
“Tolong saya Ailis. Tolong saya,” rayu lelaki yang aku tolong tadi sekali lagi apabila tubuhnya ditarik dengan kasar oleh lelaki berbadan besar itu.
“Kau siapa? Apa yang kau nak buat dengan dia?”Bagaikan mendapat kekuatan luar biasa terus aku bertempik memarahi lelaki berbadan besar itu.
“Kakak.”
“Kakak? Kau panggil aku kakak. Sejak bila mak aku beranakkan kau?”Tengkingku dengan garang.
“Kakak, bangun kakak.”Aku terasa tubuhku digoncang. Pipiku pula terasa perit seperti ditampar.
“Berani kau sentuh aku. Tak guna.”Aku mula memberikan serangan balas. Tanganku terkapai-kapai mahu memukul lelaki itu.
“Kakak.. apa ni? Bangun?”Aku makin geram. Tak reti bahasa betul lelaki ini. Masih berani memanggilku kakak seperti sudah lama mengenaliku. Aku terus memberikan serangan kepada lelaki itu dan tiba-tiba.....
Pangg, satu tamparan hinggap di pipi.
“Sakitlah,”marahku meradang. Mata aku buka dan aku bingkas duduk.“Mama,”jeritku terkejut melihat mama berada di depan mata.
“Ya Allah kakak. Sedar pun. Teruk mama kakak kerjakan. Bermimpi sampai menengking-nengking mama. Tak cukup menengking memukul mama pula. Apa nak jadi ni?”geleng mama emosi. Wajahnya tak boleh ceritalah nampak bengis dan garang.
“Kakak kat mana ni ma? Lelaki tu mana?”Aku tercengang-cengang. Mataku liar memandang sekeliling bilik.
“Lelaki mana?”
Aku pandang wajah mama yang telah bertukar galau. “Kakak mimpi ya ma,”keluhku perlahan setelah menyedari apa yang berlaku. Selain itu aku juga kesal kerana telah mengasari mama.
“Kakak mimpikan mamat tulang tu lagi?”Aku hanya mampu mengeluh lagi. Soalan mama itu tidak aku jawab. “Betul,kan?”soal mama lagi dengan tegas.
“Dah setahun dah ma tetapi kenapalah kakak asyik teringatkan dia?”Akhirnya aku mengaku. Ketegasan mama menakutkan aku.
“Sebab kakak terlalu memikirkan tentang dia. Kan mama dah pernah cakap dulu, dia bukan tanggungjawab kakak. Pertolongan kakak cukup setakat yang kakak mampu.”
“Sepatutnya kakak ikut dia ke hospital. Kakak pastikan dia selamat. Entah-entah dia dah tak ada lagi ma,”kataku menyesal. Kalaulah aku luangkan masa untuk mengikut ambulan yang membawa lelaki yang aku tolong itu ke hospital pasti sekarang ini aku tahu apa yang berlaku kepadanya.
“Bukankah kakak dah ke hospital cari dia. Kakak dah usaha.”Mama mengingatkan aku tentang itu.  Dua hari selepas peristiwa itu, aku pergi ke Hospital Selayang mencari lelaki itu tetapi tidak berjumpa. Amat susah untuk pihak hospital memberikan bantuan kepadaku tanpa sebarang maklumat.
“Usaha yang tak cukup ma.”
“Sudahlah kakak. Tak perlu diingatkan lagi orang yang tidak ada kena mengena dengan kita. Pertolongan yang kakak berikan sudah lebih daripada cukup. Dia ada keluarga dan mama pasti keluarganya tidak akan membiarkan dia tanpa pembelaan.”
Sekali lagi dengan tegas mama memberikan arahan. Selepas itu mama berlalu pergi meninggalkan aku yang terasa hati dengan sikap mama yang seperti mementingkan diri itu.
“Mama ni,”keluhku kesal. Aku duduk di birai katil. Rambut yang kusut masai aku usap ke belakang. “Mama yang aku kenal baik hati orangnya. Mungkin mama sudah tidak boleh bertolak-ansur lagi dengan sikap aku yang terlalu memikirkan tentang mamat tulang itu.”Kataku memujuk diri sendiri. Tidak baik aku berprasangka dengan wanita yang telah menjaga aku selama ini dengan sebaik-baik jagaan. Takkanlah hanya kerana dia tidak menyukai aku bercerita tentang mamat tulang itu lagi aku terus melabelkannya sebagai kejam dan tidak bertimbang rasa.
Aku berbaring semula ke katil. Mata aku pejamkan cuba untuk menyambung tidur tetapi aku gagal berbuat demikian. Bayangan mamat tulang itu masih kelihatan di ruangan mata.
“Siapa pun kau, bagaimana pun keadaan kau dan di mana pun kau berada tolonglah...” Aku terdiam seketika. “Tolonglah pergi jauh dari hidupku.”

AKU ralit memandang berus berwarna-warni itu bergerak dari depan ke belakang menjalankan tugasnya mencuci kereta myvi comel milik Mazuin. Sekali-sekala bibirku menguntumkan senyuman bak kanak-kanak kecil yang rasa seronok dan kagum dengan sesuatu yang jarang aku nikmati.
“Kau ni Lis macam tak pernah cuci kereta saja aku tengok,”muncul ayat itu dari mulut Mazuin. Aku menoleh memandang ke arah sahabat baikku itu yang sudah pun memandang ke hadapan menunggu masa untuk bergerak sebaik mesin habis menjalankan tugas.
“Aku tak pernah cuci kereta macam ni. Rasa seronoklah pula,”kataku tidak malu mengaku. Biasanya mama yang rajin menaburkan bakti mencuci kereta milikku. Kata mama buat apa membazirkan wang mencuci kereta di kedai.
“Kau bawalah kereta kau ke sini. Hari-hari pun tak apa sebab kau suka,kan?”senyum Mazuin menyindir.
“Tak naklah. Takut.”
“Apa yang nak ditakutkan?”bulat mata Mazuin memandang ke arahku. Pelik barangkali mendengar kata-kataku tadi.
“Tak biasa tentulah takut.”
“Ikut sajalah arahan yang diberi. Bukannya susah. Susah lagi masak nasi,”gelak Mazuin kelakar dengan kata-katanya sendiri.
Aku hanya tersenyum kecil tanpa sebarang kata. Mataku lebih seronok memerhatikan buih-buih sabun yang bertebaran di atas cermin kereta umpama salji memutih yang menggamit tanganku untuk menyentuhnya.
“Kemain khsusyuk lagi kau ya Ailis. Nanti kau carilah lelaki tauke kedai cuci kereta sebagai suami. Sehari sepuluh kali cuci kereta pun tak apa. Taklah kau rugi sebab free of charge,”usik Mazuin mahu menarik perhatianku yang seperti hanyut di alam fantasiku sendiri.
“Minta-minta masinlah mulut kau tu Win. Mana tahu jodoh aku dengan tauke kedai cuci kereta alamat hari-harilah aku mengadap benda alah ini,”sambutku dalam tawa.
“Tak berasap dapur kau Lis. Cukup enam bulan laki kau kahwin lain,”sambung Mazuin turut sama ketawa.
“Win gerak. Dah hijau,”jeritku tiba-tiba membantutkan tawa besar Mazuin tadi. Lampu hijau yang menyala membuatkan aku gelabah.
“Kau ni, buat terkejut aku sahaja. Aku tahulah nak gerak,”Mazuin muncung tidak senang dengan jeritanku tadi. Perlahan-lahan dia menggerakkan keretanya.“Orang tengah sedap-sedap gelak dia menjerit pula,”tambah Mazuin lagi setelah kereta elok dihentikan di kelompok lelaki yang memakai pakaian berwarna kelabu.
“Sorry.”Kataku meminta maaf. “Aku ingat kau tak perasan lampu tu menyala.”
“Mana boleh tak perasan. Aku yang bawa kereta jadi aku tahulah apa yang perlu aku buat,”kata Mazuin berlagak.
Tidak aku hiraukan lagak Mazuin itu. Aku ralit memandang ke arah lelaki-lelaki yang sedang mengelap kereta kami. Persefahaman yang mereka miliki buat aku kagum.
            Dalam banyak-banyak wajah yang sedang khusyuk menjalankan tugas, mataku tertancap ke arah seseorang. Lelaki itu nampak lebih cerah daripada rakan-rakannya yang lain. Wajahnya juga kelihatan lebih kemelayuan.
            “Tengok tu Win,”kataku memuncungkan bibir menunjuk ke arah lelaki yang menarik perhatianku. Mazuin pantas bertindak. Matanya terus menghala ke arah yang aku tunjuk.
            “Siapa? Kau kenal ke?”soalnya penuh tanda tanya.
            “Tak kenal.”Jawabku jujur.
            “Habis tu buat apa kau suruh aku tengok. Kalau handsome tak apalah juga,”cebik Mazuin menyesal mengikut arahanku. Huh, dia ni nak yang handsome saja! Macamlah muka tu lawa sangat.
            “Boleh tahanlah juga muka dia. Kau ni tak baik tahu asyik nak mengata ciptaan Allah. Cuba kau pandang betul-betul.”
            Mazuin turutkan kehendakku. Dia memandang semula wajah lelaki yang sedang mengelap bahagian hadapan kereta kami. “Bolehlah,”komennya tidak ikhlas.
            “Macam muka melayu,kan. Tak sangka ada melayu yang sanggup buat kerja-kerja macam ni,”pujiku melambung tinggi. Kagum aku dengan semangat lelaki melayu yang tidak kisah berpanas  dan berpeluh dalam mencari rezeki.
            “Mana ada melayu nak buat kerja macam ni. Semuanya pekerja Bangladesh mari,”juih Mazuin tidak bersetuju dengan pendapatku. Dia ni memang ratu bangkang. Nak juga menang.
            “Melayu. Aku yakin sangat. Kau tengok lelaki kiri kanan kita ni.”Aku menunjuk ke arah lelaki yang berada di kiri dan kanan kami.
            “Kenapa?”
            “Muka sepesen,kan? Sekali tengok dah tahu mereka warga asing tetapi yang itu tak,”kataku yakin.
            “Mana ada lain. Sama saja aku tengok. Sah-sah satu kapal. Mesti semuanya datang dari Bangladesh,”dengan senang Mazuin menjatuhkan hukum.
            “Tidak Win. Aku yakin dia melayu. Memang aku respectlah orang melayu yang sanggup buat kerja kuli macam ni,”pujiku sekali lagi dengan ikhlas. Sebagai melayu aku kenal sangat pemikiran bangsaku sendiri kerana aku juga tergolong dalam golongan yang memilih pekerjaan. Tidak akan aku lakukan kerja-kerja buruh sebegini yang menuntut aku untuk kelihatan selekeh dan berpeluh sepanjang masa.
            “Kau ingat tak ada orang luar yang muka macam melayu?”sekali lagi aku lihat bibir Mazuin menjuih tetapi kali ini kadar juihannya lebih panjang.
            “Dia lain Win. Mukanya tu manis. Kulitnya walaupun tak berapa nak putih macam kita tetapi aku tahu dia ni Made In Malaysia.”
            Mazuin ketawa kecil. Dia menepuk-nepuk bahuku. “Made in Malaysia? Kelakarlah kau ni. Ingat barang ke?”
            Belum sempat aku menjawab kata-kata Mazuin itu, aku terdengar cermin kereta diketuk. Mazuin pantas menurunkan cermin di kanannya. Serentak dengan itu bau yang kurang enak menerjah masuk ke rongga hidung.
            “Sudah siap?”Soal Mazuin lalu mencari-cari beg duitnya.
            “Bolum. Kakak mahu kilat itu tayar ka?”Lelaki berhidung mancung seperti Shah Rukh Khan itu menyoal.
            “Berapa charge?”soal Mazuin garang. Aku terkejut mendengar frekuensi suara Mazuin tiba-tiba berubah tinggi.
            “Tambah satu ringgit juga kakak. Semua sekali enam.”Lima jari kanan ditunjukkan berserta dengan sebuah senyuman yang panjang di bibir. Haish dia ni. Enam dengan lima pun tak boleh nak beza tetapi tak apalah.
            “Okeylah,”angguk Mazuin bersetuju. Tangan Mazuin laju menaikkan cermin kereta. Lelaki tadi pula terus beredar menyambung tugasannya.
            “Apasal kau tak pastikan betul-betul bayarannya? Mulut kata enam tapi jari bangla tadi tunjuk lima?”Soalku saja mahu tahu isi hati Mazuin.
            “Busuk tahu tak. Busuk.”
            “Sebab itu tadi kau garang sangat dengan dia? Tak baik tau,”kritikku tidak bersetuju dengan tingkah laku Mazuin. Anak dara mana boleh garang sangat. Tak kiralah siapa pun yang sedang berkomunikasi dengan kita, sebagai manusia kita perlulah bersifat lebih sopan.
            “Dah busuk sangat. Tak tahan.”
            Aku geleng kepala bersulamkan tawa. Bahu Mazuin aku tepuk. “Itulah aku kata tadi. Orang melayu takkan sanggup buat kerja macam ni. Berpeluh, selekeh, busuk. Orang luar saja yang sanggup. Tengok kau sendiri pun tak tahan,kan? Tapi busuk-busuk mereka pun mereka mencari rezeki yang halal. Dengan kudrat yang mereka ada. Sebab itulah aku kagum sangat dengan lelaki yang aku kata melayu tadi.”Mataku laju memandang ke hadapan mahu melihat semula lelaki yang telah menarik perhatianku tadi tetapi malangnya tiada sesiapa pun yang berada di situ. “Eh, dah tak adalah!”
            “Dia seram dengan kau sebab itu dia lari.”
Tidak semena-mena cermin kereta diketuk sekali lagi tetapi kali ini bukan di bahagian pemandu tetapi di bahagian tempat dudukku. Laju aku menoleh ke kiri mahu melihat siapa yang mengetuk dan tatkala mataku tertancap ke wajah itu aku terpaku.
“Woi Lis. Apasal tak dibuka tingkap tu?”nyaring kedengaran suara Mazuin menegurku.
“Haa apa?”Soalku blur.
“Turunkan cermin tu,”gesa Mazuin sambil menunjukkan butang kawalan cermin di kiriku. Aku patuh mengikut.
“Siap,”sebaik cermin tingkap terbuka aku dengar lelaki itu laju mengeluarkan kata.
“Siap? Apa yang siap?”Aku kebingungan. Lelaki itu tersenyum panjang. Manis sungguh senyumannya itu memukauku.
            “Tepilah kau Lis. Nah enam ringgit,”dengan kasar Mazuin menolak tubuhku. Dia bongkok lalu menghulurkan wang kertas berwarna hijau dan biru kepada lelaki tidak bernama itu.
            “Thanks.”
            Dengan sopan lelaki tadi menyambut pemberian Mazuin. Aku mengambil peluang yang ada untuk terus merenung wajahnya dan tiba-tiba hatiku terdetik sesuatu. Macam sama. Tak  mungkinlah. Tapi ya sama.
            “Sudahlah tu Lis. Kita dah ada atas jalanraya ni,”sergah Mazuin mengejutkan aku.
            “Haa... atas jalanraya. Bila masa kau gerak?”Soalku terkejut. Aku langsung tidak menyedari yang Mazuin sudah pun meninggalkan tempat cuci kereta tadi.
            “Macam mana kau nak perasan kalau kau asyik nak berangan. Dengan lelaki yang macam gitu pun kau dah terpukau dan angau.”
            Aku cubit lengan Mazuin marah dengan mulut cabulnya itu. Sesuka hati saja buat kesimpulan sendiri sedangkan yang sebenarnya aku sedang memikirkan hal yang lain.
            “Dah betul,kan. Nak mencubit kita pula,”marah Mazuin menampar pehaku.
            “Kau perasan tak Win?”
            “Perasankan apa? Peha kau besar macam kayu balak?”
            Pecah tawaku mendengarkan pertanyaan Mazuin itu. Dia ni memang loyar buruk sungguh. Suka sangat menyakatku. Hilang marahku tadi.
“Seriuslah Win. Aku maksudkan kau perasan tak muka lelaki tu macam siapa?”
            “Macam melayu? Haish kau ni, tadikan kau dah cakap. Selagi aku tak kata ya dan bersetuju dengan kau selagi itulah kau tak berpuas hati,kan?”Bebel Mazuin serkap jarang.
            “Muka dia tu macam mamat tulang yang kita cari-cari selama ini.”
            Mulanya Mazuin senyap tidak bereaksi tetapi beberapa saat kemudian tawanya meletus kuat. Sampai simpang siur kereta yang sedang dipandu mengikut rentak tubuhnya yang bergoyang-goyang ketawa.
            “Hati-hatilah Win. Ketawa-ketawa juga,”tegurku memberikan amaran. Aku tidak mahu kami tersadai di hospital disebabkan oleh kecuaian sendiri. Ramai yang akan susah nanti jika ada perkara buruk yang berlaku kepada kami.
            “Sorry babe”angguk Mazuin akur akan perbuatan merbahayanya. Mujur yang ini dia mengaku kalau dia berkeras tadi memang sah kena penamparku. Bagiku soal keselamatan diri tidak boleh dibuat main.
            “Kau setuju tak dengan apa yang aku cakap tadi?”soalku semula setelah aku lihat Mazuin kembali tenang.
            “Soalan kau tulah yang buat aku gelak sakan.” Tawa Mazuin kedengaran semula. Entah apa yang kelakar sangat dengan soalan itu pun aku tidak tahu.
“Kenapa?”
“Tak logik langsung. Mamat tulang tu macam tengkorak babe. Yang ini banyak isi.”
            “Dah setahun berlalu Win. Mestilah tubuhnya dah berisi tapi aku tetap boleh cam wajah dia Win,”kataku sungguh-sungguh mempertahankan pendapatku tadi.
            “Masa kita jumpa dia dulu pipinya cengkung, mata terperosok ke dalam dan kulit tak berapa nak tegang. Tang mana yang boleh membuatkan kau tahu rupa dia yang sebenar?”
            “Ya, aku faham maksud kau tapi aku tetap yakin dengan apa yang aku rasa. Aku yang memangku tubuh lelaki tersebut sementara menunggu ambulan tiba. Seluruh wajahnya sudah aku scan masuk ke dalam kepala. Kurus atau gemuk bukan penghalang untuk aku mengenali dia Win,”yakiniku sungguh-sungguh.
            Mazuin tergeleng-geleng. “Lain macam benar aku tengok kau ni Lis. Mabuk cinta sungguh kau dengan mamat tulang tu.”
            “Aku bukan mabuk cinta dengan dia. Aku cuma luahkan apa yang aku nampak saja.”
            “Lis, aku malas nak bertekak dengan kau pasal hal remeh-temeh ni. Ikut suka kaulah. Kalau kau yakin lelaki tadi si mamat tulang tu, buatlah apa yang patut. Aku tak mahu ambil tahu. Yang aku tahu sekarang ini tekak aku dah kering. Jom kita pergi minum.”Mazuin memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan Mailis Corner. Aku terkejut.
            “Dah sampai sini? Kejapnya,”kataku baru menyedari di mana kami berada. Nampak sangatlah yang aku memang hilang fokus.
            “Sebab sejak tadi fikiran kau tu asyik menerawang entah ke mana. Sebab tu tak perasan. Jom keluar.”Arah Mazuin lalu mematikan enjin kereta.
            “Aku tak nak minumlah. Tekak aku tak haus pun,”tolakku yang memang tiada selera untuk makan atau minum. Selain daripada itu aku sebenarnya terasa dengan kata-kata Mazuin tadi. Dia langsung tidak cuba untuk mempercayai kata-kataku.
            “Lah... masa kat office tadi bukan kau ke yang beria-ia sangat nak makan kueyteow basah Mailis?
            “Ye ke?”
            “Yelah,”suara Mazuin sudah pun tinggi. Aku semakin kecil hati.
            “Tak ada seleralah Win. Jom balik.”
            Mazuin berjeda sebentar dan kemudian menoleh memandang ke arahku.“Takkan sebab mamat tulang tu selera kau mati? Wake up Lis. Aku pun ada sekali sama-sama membantu lelaki itu tapi tak adalah hari-hari aku asyik teringat atau bercakap tentang dia. Sampai bila kau nak memikirkan tentang orang yang kau tak tahu pun asal usulnya tu?”
            Aku terdiam. Mazuin sama macam mama. Cepat sangat melenting jika aku memperkatakan tentang mamat tulang itu.“Mana ada aku asyik teringatkan dia.”
            “Kalau kau tak ingat tentang dia habis tu kenapa semua orang yang kau jumpa kau syak dia. Kau dah jatuh cinta dengan dia ke Lis?”Dahi Mazuin mula berkerut seribu.
            Aku kecewa. Asal menyebut saja tentang ini mulalah dikatakan sudah jatuh cinta. Sempit sangat pemikiran Mazuin.
            “Haish minta dijauhkanlah Win. Tak sanggup aku bercinta dengan mamat tulang tu. Aku cuma teringatkan dia disebabkan aku tersentuh melihat nasibnya. Masa dia ucapkan terima kasih pada aku dulu wajah dia sangat-sangat ikhlas. Seperti ada kekesalan di tubir matanya,”terangku panjang lebar.
            “Okey. Aku terima. Buktikan yang kau tak angaukan dia. Jom kita bersuka ria.”
            “Aku memang tak ada moodlah Win. Kita baliklah.”Tolakku membantah permintaan Mazuin.
            “See, kau terganggukan dan mahukan kepastian adakah lelaki di tempat cuci kereta tadi adalah mamat tulang yang kita tolong tu sehingga membantutkan selera kau.”Tegas Mazuin mahu juga aku mengakui kata-katanya.
            “Mana ada. Dah memang aku tak ada selera. Nak buat macam mana?”Dengusku geram dengan syak wasangka Mazuin. Dah diterangkan panjang lebar pun masih lagi tak mahu percaya.
            “Lain kali cakap awal-awal kalau tak ada selera. Buang masa aku saja ke sini.”
            “Sorrylah Win.”Aku mengalah.
            Mazuin tidak menjawab permohonan maafku. Tangannya laju menghidupkan enjin kereta, memasukkan gear ke D dan mula memandu laju. Aku tahu dia marah tetapi aku biarkan saja dia melayani perasaannya. Sejam dua nanti sejuklah hatinya dan waktu itu barulah aku memujuk.