BAB 2
“Termenungkan apa tu
kak?”sergah mama mengejutkan lamunanku. Bibir aku leretkan menghadiahkan mama
dengan senyuman yang paling manis. Seorang ibu selayaknya mendapat penghargaan
setinggi itu dari seorang yang bernama anak. Untuk itu walaupun aku terkejut
mama menyergahku, sebaik mungkin aku menyembunyikan perasaan geramku itu.
“Orang tengok tvlah
ma. Mana ada menung,”jawabku menipu.
Mama melabuhkan punggungnya di sebelah lantas memeluk
bahuku. “Nampak sangat menipu. Faham sangat ke tengok cerita tamil. Tak ada subtittles pulak tu.”
Televisyen empat puluh dua inci di depan mata aku pandang.
Skrin memaparkan channel 201. Vaanavil.
“Fahamlah ma kalau tidak buat apa kakak tengok channel ni.”sengihku membuat percubaan menipu
untuk kali kedua.
“Yelah tu,”kata mama ketawa kecil. Dikuatkan pelukannya
terhadapku sehingga aku sukar bernafas.
“Overlah mama
ni,”dengan susah payah aku cuba meleraikan pelukan mama.
“Kakak tu comel sangat. Geram mama tengok.”
Setelah berjaya melepaskan diri dari mama, aku menjarakkan
tubuh kami bimbang mama makin over.
Digentelnya aku macam kanak-kanak tadika nanti lagilah haru. Mama memang
begitu. Sentiasa menganggap anak-anaknya yang sudah besar panjang ini masih
kecil.
“Ma...”panggilku setelah aku rasakan kedudukkanku
benar-benar selamat.
“Hmm...”jawab mama pendek. Matanya asyik memandang
televisyen yang sudah pun ditukar ke channel
135.
“Mama kisah tak kalau bermenantukan orang yang kerja
biasa-biasa sahaja?”entah mengapa soalan itu yang aku ajukan. Kepala mama laju berpusing
memandang ke arahku. Mata mama besar macam bola golf.
“Kakak
dah ada calon ke? Dia kerja apa sampai kakak tanya mama soalan ni?”
“Tak. Kakak cuma tanya.”
Mata mama semakin besar. Tak puas hatilah tu dengan
jawapan aku.
“Kerja biasa-biasa tu kerja apa? Manager pun kerjanya
biasa-biasa aje. Tak ada pun yang luar biasa. Lainlah kerja jolok bintang di
langit, tak pun timba air sungai sampai kering, haa yang itu barulah boleh
dipanggil kerja luar biasa.”
Aku mengeluh. Masa inilah mama nak buat lurus dan masa
inilah juga mama nak buat lawak. “Kerja biasa-biasa tu maksudnya tak berjawatan
tinggi. Mama ni sajakan buat-buat tak tahu.”
Mama sengih. “Mama ni tak kisah. Nak memilih karang orang
mengata mama semula sebab adik kamu si Aiman tu pun kerjanya bawa lori walaupun
ada degree.”
Ingatanku terus kepada Aiman apabila namanya disebut. Ya,
Aiman satu-satunya adik yang aku ada bekerja sebagai pemandu lori walaupun
punya kelulusan tinggi. Betul kata mama, jika mama memilih ibarat mama mengata
diri mama sendiri.
“Ya tak ya juga.”
“Lagi satu pada mama apa pun pekerjaan yang dipilih, yang
penting kerajinan dan usaha yang berpanjangan dalam mencari rezeki. Barulah
hidup diberkati,”tambah mama lagi menunjukkan pendirian dan hatinya yang tulus
suci.
“Ma percaya tak pada cinta pandang pertama?”
Mama ternganga. Kali ini mama pusingkan tubuhnya
menghadapku. “Ha... ni mesti dah terjatuh cinta dengan sesiapa kalau tak takkan
nak bagi mama soalan yang bukan-bukan. Siapa yang kakak jumpa dan terus suka?
Kerja apa? Tinggal di mana?
“Kakak belum pun sukakan sesiapa cuma.....,”aku termenung
panjang. Kata-kataku mati di situ. Bukan mahu mendera hati mama tetapi aku
sendiri pun tidak mengerti mengapa aku sering saja teringatkan tentang si dia.
“Tapi apa?”desak mama tidak sabar.
“Tadi masa kakak pergi teman Win cuci kereta, kakak
ternampak ada seorang lelaki ni iras macam lelaki yang kakak pernah selamatkan
dulu. Sejak tu hati kakak tak tenteram. Asyik-asyik muka dia saja yang
terbayang.”
“Muka siapa yang kakak terbayang? Lelaki yang di tempat
cuci kereta tu ke ataupun mamat tulang yang sentiasa buat mama terseksa?”
Sempat lagi mama menyindirku secara halus. Aku tahu mama
bosan mendengar mulutku asyik saja membangkitkan tentang lelaki yang tidak bernama
itu. Amaran mama sebelum ini langsung tidak aku endahkan.
“Dua-dua sekali,”akuiku jujur.
Aku pandang wajah mama yang sudah pun memandang ke arah
televisyen. Mengapa mama diam?
“Yang
tu bukan cinta pandang pertama,”jawab mama tiba-tiba. Aku tarik nafas lega.
Walaupun mama menafikan perasaanku tetapi aku senang melihat kesudian mama
memberikan respon. Ini tandanya mama tidaklah benci sangat dengan si dia.
“Tapi kenapa kakak asyik teringat muka dia ma? Mazuin
kata kakak dah jatuh cinta.”
“Nanti mama cili mulut Mazuin.”Mama ketawa.
Mendengarkan itu aku turut ketawa. Mama ingat senang ke nak
cili mulut anak orang walaupun mama sudah menganggap Mazuin tu seperti anak mama
sendiri.
“Seriuslah ma. Dengan siapa lagi kakak nak minta pendapat
kalau bukan dengan mama,”rengekku manja lalu terus menghimpit tubuh mama. Aku
lihat mama senyum bangga senang dengan perlakuanku.
“Kakak nak tahu sesuatu?”tanya mama lalu memeluk bahuku.
Aku angguk. “Kakak ni sebiji perangai abah. Selagi tak dapat jawapan pada
sesuatu persoalan tu memang takkan senanglah hati mama. Mulut tu sentiasa
menyebut benda yang sama berulang kali sampailah dapat apa yang dihajati cuma satu
saja beza kakak dengan abah...”kata-kata mama terhenti di situ. Aku tegakkan
tubuh memandang ke dalam anak mata mama. Jelas kelihatan mama hanyut dalam
kenangan.
“Ma...”panggilku perlahan tidak mahu mengejutkan lamunan
mama secara kasar.
Mama tarik nafas panjang dan senyum. “Abah sangat
rasional. Tak over macam kakak. Kakak
ni kuat berdrama,”serentak dengan itu mama ketawa kecil. Aku hanya tersenyum
panjang. Ya, aku akui kata-kata mama itu. Aku memang senantiasa melebih-lebih
dalam mengekspresikan perasaan. Perempuan agaknya. Mudalah pula jadi mungkin
itu yang menyebabkan aku sukar mengawal tingkahlaku.
“Mana lagi kuah nak tumpah mama kalau tak ke nasi. Kakak
ikut separuh perangai abah dan separuh perangai mama.”
“Mana ada,”mama menafikan kenyataan yang padaku langsung
tidak boleh disangkal itu.
“Bab drama tu kakak ikut mama. Tak ingat dulu siapa yang
selalu berlakon sakit kalau di depan abah. Mengelat sebab nak ajak abah makan
di luar.”
Mata mama bulat. Terkejut agaknya mendengar aku boleh
mengingati kisah lima belas tahun dahulu.
“Kakak tahu ya mama buat-buat sakit?”
Aku sambut soalan mama itu dengan tawa yang besar. Hilang
segala resah dan gundahku sebentar tadi apabila teringatkan memori dulu.
Benarlah orang kata kasih ibu membawa ke syurga. Jika ada saja masalah, carilah
mereka yang pasti akan memberikan terapi yang paling baik untuk santapan jiwa.
BAB 3
Di
malam sepi aku bermimpi
Mimpi
yang sedih sekali
Kau
akan pergi tinggalkan diriku
Aku
menangis tersedu
Diriku
tak pernah lepas dari penderitaan
Mimpi
yg kini terjadi.....
Dari
jauh aku sudah dengar suara Mazuin menyanyikan lagu dendangan Mazuin Hamzah.
Mentang-mentanglah nama sama, lagu penyanyi yang pernah popular satu ketika
dahulu itu juga yang dipilihnya.
“Tak habis-habis nak menyanyi lagu tu,”sergahku sebaik
sampai di hadapan Mazuin. Mazuin tarik muka kelat.
“Suka hati akulah. Dah aku suka.”
“Di malam sepi aku
bermimpi... mimpi yang sedih sekali.... dengar kau menyanyi lagu ni bukan
mimpi sedih lagi dah... mimpi ngeri adalah,”ejekku saja menyakitkan hati. Sudah
naik hafal aku lirik lagu tersebut. Bukan setahun dua aku mendengar Mazuin
menyanyikannya tetapi sudah bertahun-tahun lamanya telingaku terseksa. Aku
tidak bermaksud mahu memperlekehkan Mazuin Hamzah tetapi aku hanya mahu
mengusik Mazuin Abdullah.
“Kau apa tahu. Tak menghargai langsung penyanyi lama. Tak
ada yang lama tak adalah yang baru. Mazuin Hamzah dan kumpulan Quinary M tu
dulu famos amos tau. Kalau tak takkan
nama aku ni diberi oleh mak aku sempena nama artis pujaannya,”kata Mazuin
bangga. Itulah saja modal Mazuin. Tak habis-habis mahu orang tahu kronologi
nama yang dimilikinya.
“Orang layan K-POP ajelah babe. Tak mainlah lagu mimpi-mimpi ngeri ni.”
“Eh, kau datang ni kenapa? Kalau nak jumpa Abang Sham kau
tu dia tak ada. Dah keluar,”usik Mazuin mahu mengubah topik seterusnya
mengenakan aku. Abang Sham konon. Dia yang minat dengan bossnya tu aku pula yang
nak dikenen-kenenkan.
“Tak ada masa aku nak jumpa Abang Sham kau. Aku datang ni
nak ajak kau pergi cuci kereta kat tempat semalam. Aku bayar,”sebaik mendengar
permintaanku itu bulat mata Mazuin. Sama dengan mata mamaku semalam. Agaknya
asal terkejut saja mesti mata jadi bulat. Banyak lagi gaya terkejut lain yang
boleh digayakan. Contohnya boleh saja ngangakan mulut, tak pun buat gaya kaku
tak bergerak. Ni nak juga bulatkan mata yang sudah sedia bulat itu.
“Jangan kau cakap yang kau nak jumpa dengan mamat tu. Dia
bukan mamat tulang. Dia tu bangla babe.
Bangla,”tangan Mazuin terangkat-angkat menunjukkan kesungguhannya mahu
menyakinkan aku.
“Itu yang aku nak confirmkan. Kau kasilah chance. Biar aku puas hati. Bukan kau tak
tahu perangai aku. Selagi tak puas hati selagi itulah aku tak senang
duduk,”rayuku minta simpati Mazuin.
“Tak habis-habis kau ni dengan teori tak masuk akal kau
tu. Tak faham aku.”
“Aku cuma nak tahu saja. Salah ke?”soalku geram dengan
sikap Mazuin. Berdosa ke aku mahu tahu apa yang terbuku di hati? Bukannya
perlukan passport pun untuk ke tempat cuci kereta tersebut, sekadar sedikit
modal untuk minyak dan mencuci kereta. Itu pun Mazuin berat hati mahu memenuhi
permintaanku.
“Salah tu memanglah tak. Katalah lelaki cuci kereta tu
mamat tulang yang kau cari, kau nak buat apa?”
Aku terdiam. Tidak terfikir pula apa yang harus aku lakukan
jika dia orang yang aku cari. “Aku...”sukar mulutku mahu memberikan jawapan.
“Aku ajak dia bersembang. Tanya dia kenapa dia jadi begitu? Adakah dia dianiaya
atau dia yang menganiaya dirinya sendiri?”
“Lepas tu...”
“Lepas tu apa?”aku mula buat muka. Mazuin ni tak pernah
berpuas hati dengan jawapanku. Tak kiralah topik apa pun yang kami bincangkan
mesti ada saja soalan balasnya.
“Lepas dah selesai sesi soal siasat kau nak buat apa?”
Entah. Otakku belum lagi sampai sejauh itu. “Kalau aku rasa
dia tu okey, aku kawanlah. Kalau tak okey aku buat tak tahu saja.”
“Lelaki biasanya cepat perasan tau. Buatnya dia syok
dengan kau macam mana?”
Aku semakin panas hati. Mazuin ni saja mahu mendera
hatiku. Bagi persetujuan mahu pergi atau
tidak sudahlah. Buat apa nak dipanjangkan perkara yang belum lagi berlaku.
“Win, aku rasa kalau kau nak tahu jawapan tu, kau kena bawa
aku ke situ dulu.”
“Aku boleh bawa tapi janji ya kau belanja kos mandikan
kereta aku tu,”akhirnya Mazuin mengalah. Aku senyum menang.
“Bisa di atur bu.”
“NAMPAK arahan tu. Kau freekan gear,”Mazuin pun
menunjukkan kepada aku apa yang perlu dilakukan. Diletaknya gear ke N. Kereta bergerak sendiri masuk
ke dalam mesin pencuci.
Aku mula menikmati keseronokan berada di dalam kereta
sewaktu kereta dicuci. Melihat berus-berus besar membantai buih-buih yang
memutih amatlah mengasyikkan. Terasa diri sedang berada di taman tema.
“Kau ni dah macam kanak-kanak Dumex pulak aku tengok.
Anak sedara aku pun tak gini,”sengih Mazuin kelakar melihat gelagatku yang
melekapkan tangan ke cermin kereta.
“Kecik-kecil dulu tak merasa pengalaman begini babe.”
“Yelahkan. Masa kecil dulu semuanya tak ada. Permainan
pun cipta sendiri,”sambut Mazuin bersetuju. Kalau mahukan keseronokan kami akan
mencipta mainan sendiri seperti bermain getah, main tembak-tembak menggunakan
pistol yang diperbuat daripada batang pen dan bermain layang-layang yang juga dibuat
sendiri. Sekarang semuanya sudah tersedia, keluarkan sajalah duit untuk membeli
segala mainan yang disebutkan di atas tanpa perlu bersusah payah menciptanya.
“Win, dah habis. Nak buat apa?”jeritku yang lebih gelabah
sebaik aku sedar kereta sudah pun bergerak ke hujung mesin pencuci.
“Kau ni. Buat terkejut aku saja. Macam semalamlah. Tunggu
lampu tu hijau. Dah hijau kau masukkan gear
dan gerak.”
Aku angguk faham. Setelah lampu hijau menyala, Mazuin
menggerakkan keretanya ke hadapan dan berhenti di kelompok lelaki-lelaki
berpakaian warna kelabu yang sudah setia menunggu. Mataku apa lagi liar
memandang sekeliling.
“Tak ada pun,”rungutku hampa. Cermin kereta di kiri aku
turunkan lalu aku menjenguk ke belakang.
“Cari siapa?”Sapa seseorang mengejutkan aku. Sebaik aku
berpaling memandang ke arahnya dan pandangan mata kami bertaut, jantungku
berdegup dengan kencang.
“Cari awak,”spontan jawapan itu aku beri. Dahi lelaki yang
menegurku berkerut.“Awak pernah pengsan tak setahun lepas?”Tanpa menghiraukan
kerutan lelaki itu yang jelas terkejut mendengar jawapanku laju aku menyoal.
Langsung tidak ada mukadimah ataupun kata-kata aluan. “Pernah jadi gelandangan?
Kurus kering tinggal tulang?”tambahku lagi tanpa malu.
“Abaikan sajalah kawan saya ni encik. Boleh tak encik
kilatkan tayar saya sekali,”tanpa aku sangka Mazuin sibuk menyampuk. Ditariknya
tubuhku supaya duduk elok.
Lelaki itu angguk tetapi masih lagi menunjukkan wajah
kebingungan. Tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulutnya untuk menjawab
soalan yang aku ajukan tadi.
“Awak tak jaw...”
“Duduk elok-elok Lis. Tersepit karang,”potong Mazuin
cepat lalu menaikkan cermin kereta.
“Kenapa dengan kau ni Win?”Marahku bengang dengan sikap
sibuk Mazuin. Tak habis-habis nak masuk campur urusan soal siasatku.
“Kau
ni Lis. Agak-agaklah nak tanya tu. Bagi salam dulu. Borak-borak santai lepas tu
baru masuk jarum tanya soalan yang kau nak tahu,”
“Kacau betul.”
“Kacau apanya? Aku baru selamatkan kau dari kena lempang
tahu tak? Bukannya nak ucap terima kasih.”Mazuin mula marah.
Aku terdiam mendengar teguran Mazuin itu. Betul juga
katanya. Aku agak keterlaluan. Ibarat masuk ke rumah orang tidak memberi salam
terus saja duduk dan makan.
“Aku gabralah Win.”
“Kau tengok muka dia tadi?”
Aku angguk. “Kenapa?”
“Merah macam udang kena bakar.”
Aku
menggeleng pula. “Tak ada pun merah.”
“Haish
kau ni,”marah Mazuin geram dengan jawapanku.
“Kau bukan saja tak ada adab tetapi juga telah menghina dia. Yang pergi
sebut tentang gelandangan dan tulang tu kenapa?”
Aku telan liur. Betul kata Mazuin. Mulut aku langsung tak
berhemah. Lancang semacam tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain. Orang
yang tidak dikenali pula tu. Tiba-tiba aku rasa menyesal.
“Habis tu macam mana Win?”
Cermin kereta diketuk membuatkan aku dan Mazuin terkejut.
Mazuin pantas bertindak. Ditekannya butang open.
“Enam ringgit kakak. Itu boss suruh bayar sama Ali,”kata lelaki yang mengetuk cermin kereta
tadi.
“Boss
sapa?”balas Mazuin kurang faham.
“Hari-hari boss
ambil duit tapi ini hari boss suruh
ini Ali juga ambil,”terang lelaki berbangsa Bangladesh itu kepada kami.
Tangannya siap menunjukkan ke arah lelaki yang sedang berdiri nun jauh di
hadapan kereta kami.
“Eh, lelaki tadi tu boss?!”soalku
kepada Mazuin sebaik mataku dapat mengecam boss
yang Ali maksudkan itu.
Mazuin tidak mempedulikan soalan aku. Dia membayar kepada
Ali lalu cepat-cepat beredar dari situ.
“Win kau dengar tak soalan aku tadi?”soalku semula.
“Soalan yang mana? Banyak sangat soalan yang kau
kasi,”jawab Mazuin yang menumpukan sepenuh perhatian terhadap pemanduan.
“Lelaki yang aku tegur tadi, dia tu ke boss yang bangla tu maksudkan?”
“Yelah kut.”
“Logik juga dia boss
di situ. Mukanya macam melayu. Mesti orang kita.”cepat aku membuat kesimpulan.
“Kau ingat orang bangla tak ada yang jadi boss di Malaysia? Kau dah dengar ke dia
bercakap? Mana tahu loghatnya sama macam Ali. Kakak, saya Bangladesh mari.
Sudikah kakak bercinta sama saya?”terus Mazuin mengajuk cara percakapan Ali.
Aku bantai gelak. Tidak tertahan rasanya melihat kepala Mazuin yang
tergeleng-geleng.
“Dia ada bercakap tapi pendek sangat ayatnya. Tak boleh
nak dipastikan bangla atau pun melayu.”
“Setakat sepatah dua perkataan tu macam manalah kau nak
cam.”
“Tulah
pasal.”
“Lis..”panggil Mazuin lembut. Apabila Mazuin
dan bertukar nada tu aku faham sangat apa yang hendak Mazuin buat. Mesti dia
mahu menyekolahkan aku.
“Haa...”jawabku kasar.
“Cuba kau lupakan sajalah mamat tulang tu. Berpijak di
bumi yang nyata. Disebabkan oleh dia kau banyak memalukan diri kau sendiri.
Contohnya tadi. Kau juga banyak menyakitkan hati orang dan contohnya juga
seperti tadi. Cukup-cukuplah tu Win.”
Aku tahu Mazuin bingung dengan sikapku. Aku sendiri pun
bingung dengan sikapku yang masih lagi tidak berpuas hati selagi tidak berjumpa
dengan mamat tulang yang aku tolong dulu. Mengapa ya? Bukannya dia ada
kena-mengena denganku. Nak kata aku jatuh cinta dengannya lagilah mengarut. Tak
ada walau secalit pun perasaan itu di hatiku. Entahlah. Yang aku pasti aku
berharap dapat berjumpa semula dengannya sehingga menyebabkan semua orang yang
aku lihat seiras dengannya menjadi mangsa.
Semoga terhibur uolsss :D
Much luv,
Liz Haliza
No comments:
Post a Comment