Wednesday, January 20, 2016

DBM? (Bab 4)


BAB 4

            Hari ini aku memandu sendiri ke pejabat. Alasanku kepada Mazuin ialah aku mahu mengambil Aiman di Petaling Jaya selepas habis waktu kerja nanti. Mujurlah Mazuin tidak banyak tanya dan menerima saja alasan bohongku itu. Yang sebenarnya aku ada agenda lain. Aku mahu mencari lelaki yang telah aku hina semalam dan meminta ampun darinya.
            Tepat jam lima petang, aku laju memandu ke Setapak. Sampai saja di Pusat cuci kereta bling bling, terus aku memakir keretaku di tepi. Aku tidak berhajat mahu mencuci kereta. Yang aku inginkan hanyalah berjumpa dengan lelaki itu secepat mungkin.
            Setelah keluar dari kereta, perlahan-lahan aku menghampiri ke arah segerombolan lelaki berbaju kelabu yang hanya duduk melepak. Mereka tiada pelanggan waktu itu. Mataku tekun memandang setiap wajah yang semuanya sedang memandang ke arahku dan sewaktu mataku tertancap ke wajah yang aku cari, bibirku menguntumkan senyuman. Lelaki itu aku hampiri.
            “Assalammualaikum,”sapaku sopan. Lelaki itu tidak menjawab ucapan salamku. Dia hanya mengangguk.
            “Saya yang datang cuci kereta dengan kawan semalam. Myvi hitam. Ingat tak?”
            Lelaki itu mengangguk-angguk lagi. Nak kata dia tidak boleh bercakap, semalam aku dengar elok saja dia berkata-kata walaupun hanya sepatah dua. Ini tak lain mesti dia marahkan aku sehingga melancarkan mogok bisu. Aku renung wajah lelaki itu mahu melihat reaksinya tetapi aku lihat wajahnya tenang sahaja. Senyum tidak, berkerut tidak dan masam pun tidak.
            “Saya nak minta maaf hal semalam. Saya agak kurang ajar dengan awakkan?”malas menunggu lama terus aku luahkan permohonan maafku.
            Lelaki itu menghadiahkan aku dengan sebuah senyuman yang seperti biasa aku lihat manis bak madu. Senyumannya itu benar-benar menyebabkan jiwaku bergoncang. Memang naik tahap glukosa dalam tubuhku. Kalau pakreasku gagal berfungsi dengan baik rasanya sudah lama aku tumbang kerana kadar gula dalam tubuhku terlalu tinggi.

            Senang dengan senyuman manis itu tanpa aku sedar bibirku menguntumkan senyuman dengan lebih lebar lagi. “Saya kira senyuman awak tu adalah tanda awak dah maafkan saya.”
            Lelaki itu tersenyum lagi tetapi kali ini disertai dengan satu anggukkan.
            “Terima kasih. Wajah awak ni ada iras-iras seorang lelaki yang saya tolong dulu. Saya teringin sangat nak jumpa dia, nak tahu keadaannya sama ada selamat atau pun tidak. Jika dia selamat sayalah orang yang paling gembira. Perasaan teruja keterlaluan mahu tahu sama ada awak adalah dia membuatkan saya gagal mengawal diri. Selamba saja saya tanya awak soalan yang tak masuk akal tu.”
            Terang aku panjang lebar. Biar hilang segala prasangka buruk yang membelenggu diri lelaki itu terhadapku. Lelaki itu masih lagi diam membisu. Kali ini dia tunduk memandang ke lantai.
            “Awak baru dengar tentang dia awak dah rasa sedihkan? Bayangkanlah saya yang memangku kepalanya, yang melihat wajah cengkungnya. Sampai sekarang takkan saya lupakan wajah itu,”sambungku lagi faham dengan reaksi yang diberikan oleh lelaki itu.
            Aku diam untuk beberapa ketika mengharapkan ada sebarang balasan yang akan kedengaran di telinga tetapi nampaknya aku hampa. Lelaki itu masih setia membisu. Malas mahu menunggu lama akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang. Lagi pun tugasku mahu meminta maaf sudah pun selesai.
            “Okeylah. Saya minta diri dulu tetapi sebelum tu boleh saya tanya satu soalan?”soalku sekali lagi mengharapkan akan ada jawapan yang diberi. Lelaki tadi laju mengangguk.
            “Siapa nama awak?”
            “Ismail,”sepatah saja jawapan yang aku terima itu pun dalam nada yang sangat perlahan tetapi sudah cukup membuatkan aku puas hati.
            “Sedap nama tu,”pujiku bersama dengan sebuah senyuman yang panjang. Ismail makin tunduk malu.
            Memikirkan tiada apa lagi yang perlu aku lakukan di situ, perlahan-lahan kaki aku atur ke arah kereta. Hatiku yang runsing sejak semalam sudah pun lapang. Aku rasa gembira.
            “Pssttt... Kakak manis,”panggil seseorang mengejutkan lamunanku. Aku menoleh ke belakang dan aku lihat Ali yang menyapa.
            “Bila masa mak aku beranakkan kau? Sesuka hati saya nak panggil aku kakak,”kataku menyampah. Mama aku pesan kena berhati-hati dengan warga asing kerana mereka suka mengambil kesempatan. Yelah budaya kita kan berbeza. Perlu diletakkan sempadan terlebih dahulu.
            “Kakak datang sini mau cari itu boss?”soal Ali tanpa aku nampak dia mengambil hati dengan kata-kataku tadi.
            “Kenapa kau nak tahu?”
            “Ali mahu kasi itu petunjuk sama kakak.”
            “Petunjuk? Kau ingat aku ni Sherlock Holmes ke?”soalku lucu. Apa punya Ali. Datang-datang saja terus memberitahu mahu memberi aku petunjuk. Hilang rasa was-wasku tadi melihatkan gelagat Ali yang lucu itu.
            “Itu informations,”betul Ali apabila dia lihat aku kehairanan.
            “Oh... informasi!”anggukku faham. Senyuman sudah terbit di bibir. “Informasi pasal itu boss ka?”soalku pula berminat.
            “Ya. Ali tahu kakak suka sama itu boss,”kenyit Ali membuatkan aku ketawa terbahak-bahak. Gaya Ali betul-betul macam watak Mujibur yang dilakonkan oleh Shahrul Shiro.
            “Pandai aje kau ni Ali,”dalam sengih aku bersuara. “Apa informasi yang kau nak beritahu aku tu?”
            “Boss masih single. Available. Tarak kahwin.”
            “Jadi?”aku langsung tidak berminat mendengar berita yang Ali sampaikan. Apa Ali ingat aku datang mahu mengurat majikannya? Silap besarlah.
            “Boss banyak kiciwa. Itu kahwin kensel. Kiciwa punya pasal boss jatuh sakit. Sekarang baru wokey.”
            Informasi yang kedua ini buat aku terkedu. “Boss sakit apa?”soalku mula mengorek rahsia.
            “Kiciwalah kakak. Itu cinta pergi. Badan banyak kurus. Macam mayat yidup,”tambah Ali lagi sungguh-sungguh.
            Wajahku bersinar-sinar. “Boss kau kurus? Tulang nampak?”
Ali angguk. “Butul. Ini tulang boleh pegang dan kira.”Ali memegang kiri dan kanan tulang rusuknya.
“Kau pegang tak apa. Jangan kau bukak baju kau tu sudah,”kataku memberikan amaran. Ngeri aku jika Ali bertindak demikian.
Boss tarak masuk opis lama. Orang kata boss yelang,”tambah Ali lagi sungguh-sungguh.
Yelang?”jeritku tidak faham. Nak kata helang bukan. Apa kena-mengena helang dengan Ismail. Nak kata gelang lagilah bukan.
“Itu gone kakak. Disappear.”
Aku ketawa terbahak-bahak. “Hilang. Aduh kau ni Ali. Pening aku.”
Boss yelang lama. Hospital juga masuk,”tubuhku sedikit menggeletar mendengar informasi seterusnya. Nampaknya telahanku selama ini tepat. “Betul ni Ali?”
Butul. Ali tarak tipu. Berdosa. Itu api neraka juga masuk,”aku ketawa lagi. Bercakap dengan Ali terasa macam tengok rancangan lawak. Maharaja Lawak Mega pun aku rasa tak boleh buat aku ketawa sampai macam ni sekali.
“Kenapa kau bagitahu aku semua ni?”
            “Sebab Ali dengar kakak manis tanya boss soalan.”
            “Telinga kau memang macam telinga lintah tapi aku suka. Lagi satu kau ni boleh tahan juga suka jaga tepi kain orang,”kataku memuji dalam mengeji.
            “Molest? Tarak kakak. Ali sembahyang juga. Nanti Allah marah.”
            Terhambur kuat tawaku sebaik mendengar kata-kata Ali yang seterusnya. Wajah Ali yang takut-takut itu lagi buat gelakku menjadi-jadi.
            “Kau ni Ali. Bukan molestlah. Maksud aku suka sibuk hal orang. Busybody,”terangku supaya Ali faham. Bahaya betul bercakap dengan Bangladesh mari ni. Lain yang kita cakap lain yang diaorang faham. Silap-silap haribulan kita juga yang kena nanti.
            Ali sengih apabila menyedari pemahamannya tadi salah. Dia menggaru kepala. “Bangladesh juga mari. Dua tahun juga.”
            “Tapi kira terrorlah kau dua tahun duduk sini dah pandai mengumpat orang dalam bahasa Malaysia,”pujiku jujur. Aku yang belajar bahasa Inggeris dari tadika pun tak berapa lancar untuk bertutur bahasa tersebut. Ali hanya mengambil masa dua tahun untuk pandai bercakap bahasa ibundaku.
            “Wokey kakak. Ali mahu sambung kirja. Nanti boss marah,”kata Ali meminta diri.
            “Ali, betul ya kau tak tipu aku tentang tadi?”sempat lagi aku menyoal sebelum membenarkan Ali pergi.
            Ali terangguk-angguk. “Tipu juga neraka masuk,”jawab Ali menekankan sekali lagi tentang syurga dan neraka.
            “Nah dua puluh ringgit. Terima kasih atas informasi kau,”kataku mengeluarkan wang dua puluh ringgit dari dalam kocek seluar.
            “Ali hati bersih. Tarak mahu ini wang. Serupa rosuah,”tolak Ali membuatkan aku tergamam. Baik rupanya hati lelaki berbangsa Bangladesh ini. Aku saja yang sering berprasangka dengan mereka. Seorang yang jahat habis semuanya terpalit sama.
            “Ambil sajalah. Ini bukan rasuah tapi aku ikhlas nak bagi sebagai tanda aku dengan kau jadi kawan. Setuju?”mendengar kejujuran hati Ali terus saja ringan mulutku untuk berkata begitu. Kalau mama aku tahu ni memang sah aku kena bebel dua hari dua malam.
            “Terima kasih kakak. Alhamdulillah,”angguk Ali dengan senyuman yang lebar. Duit di tangan aku Ali ambil.
            “Sama-sama.”
            Hatiku berbunga riang. Untuk pertama kalinya dalam hidup aku rasa bersyukur berjumpa dengan lelaki Bangladesh yang selama ini aku pandang negatif. Tidak sabar aku mahu pulang ke rumah dan menyampaikan berita itu kepada mama. Pasti mama tidak akan percaya yang penantianku selama ini sudah berhasil.

            PENERIMAAN mama amat mengejutkan. Mama buat muka seposen. Terkejut tidak bertempik pun tidak. Aku punyalah beria-ia bercerita, siap berlakon jadi Ali lagi tapi apabila melihat begini reaksi mama, aku jadi kecewa.
            “Mama dengar tak apa kakak cerita?”rengekku tidak puas hati. Selalunya mama bukan begini. Memanjang overacting. Sama saja dengan reaksiku jika teruja tentang sesuatu.
            “Mama dengar,”dua patah mama jawab.
            “Habis tu kenapa tak bagi respon?”
            Mama pandang wajahku. Kali ini nampak bibir mama panjang. “Sebab informer kakak tu Bangladesh mari. Manalah mama nak percaya.”
            “Tak baik mama pandang hina pada Ali tau. Kakak nak beri dia upah pun dia tak mahu. Kita kena buang persepsi negatif kita kepada warga Bangladesh ma. Kalau Ali tu Amerika mari mesti mama percayakan,”cebikku kecil hati bagi pihak Ali. Kalau Ali tahu aku membela dia ni pasti dia terharu.
            “Bangladesh ni lebih kurang hindustanlah kakak. Berdrama memang pandai,”makin kecil hatiku mendengar penilaian mama.
            “Tapi Ali ni lain. Dua tiga kali dia cakap dia tak tipu.” Aku terus tegakkan tubuh. “Itu neraka juga masuk,”kataku meniru cara Ali bercakap. “Macam tulah dia cakap kat kakak ma. Lagi satu mama tak boleh samakan filem dengan realiti kehidupan. Filem tu cuma fantasi si pengarahnya ma.”
            “Kakak... kakak,”mama gelengkan kepala masih lagi tidak mahu menerima hujahku.
            “Sebiji macam Ali ma bila mama geleng,”kataku laju. Mama terus membaling bantal kecil empat segi warna coklat ke arahku. Mujurlah di sekolah dulu aku menjadi wakil sekolah dalam sukan bola jaring jadi dengan mudah aku dapat menangkap balingan mama.
            “Jangan nak samakan mama dengan Abu,”kata mama muncung.
            “Abu apanya ma. Alilah,”betulku.
            “Ha... Ali. Apa-apa sajalah.” Aku ketawa. Comel sangat wajah mama aku lihat.
            “Kakak percaya dia ma sebab kakak memang pasti Ismail tu mamat tulang yang kakak cari,”kataku penuh yakin.
            “Tapi yang empunya badan pun tak kata apa. Kakak sendiri yang cakap selepas minta maaf kakak ada bercerita mengapa kakak jadi begitu tetapi ada dia bagi respon?”
            Aku terdiam. Kata-kata mama itu ada benarnya juga. “Entah-entah dia lupa kut ma.”
            “Haish mana boleh lupa pada orang yang berbudi dengan kita. Lagi-lagi yang melibatkan nyawa.”
            Sekali lagi mama memberikan fakta yang langsung tidak boleh aku bantah. “Mungkin setahun lepas dia hilang ingatan, sekarang ni dia dah ingat balik sebab itu dia lupa apa yang berlaku sepanjang dia sakit.”Mulalah aku berfantasi.
            Mama sengih mengejek. “Kakak ni memang mudah dipengaruhi oleh tv. Tadi kata mama yang terpengaruh dengan filem hindustan. Yang kakak tu terpengaruh dengan drama melayu tak apa pula. Sikit-sikit hilang ingatan. Lepas tu terhantuk kat batu ingat balik. Senang sangat padahal kalau kepala terhantuk kat batu tu silap-silap haribulan boleh koma tau disebabkan oleh pendarahan dalaman.”
            Heh... dah macam doktor pakar pula aku lihat gaya mama bercakap. Bab kompelin hasil kerja orang memang mama nombor satu. Cuba bagi mama jadi pengarah, tak pun penulis skrip, belum tentu satu baris ayat pun mama boleh buat.
            “Buat apa Ali nak tipu ma? Bukannya ada faedah pun.”
            “Haaaa.....,”panjang mama ber ‘ha’. Siap menepuk pehaku lagi. “Dia nak mengurat kakaklah tu. Takkan tak faham-faham lagi.”
            Gulp! Aku telan liur. “Takkanlah ma,”gelengku tidak puas hati.
Mama ni memang pandai buat aku serba-salah dan jadi tidak yakin. Tapi kalau betul apa yang mama katakan tadi bagaimana? Wajah Ali mula terbayang di depan mata. Aku telan liur lagi. Oh no... aku tak rela!!!

Much Luv,
Liz Haliza.                                                                                                                                                                                                                                                                                   

No comments:

Post a Comment