Thursday, February 4, 2016

Dia Bangladesh Mari? Bab 8


BAB 8

          
          Petang itu aku pulang ke rumah dengan langkah kanan. Melihat kuih seri muka, mertabak ayam, apam balik dan sate terhidang di atas meja, perut yang tidak lapar pun akan jadi lapar. Hati yang gundah-gulana pun akan jadi ceria. Inilah bertuahnya jika Aiman ada di rumah. Meja makan akan mewah dengan makanan yang berwarna-warni. Mujur meja yang mama beli hanya ada empat kerusi. Kalau meja enam kerusi tidak dapat aku bayangkan banyak mana makanan yang akan terhidang di atasnya.
Memang sejak kecil Aiman kuat makan tapi badan tidak juga gemuk. Kerimping macam tu juga. Bercakap tentang kuat makan, aku pernah menganggap Aiman ada membela polong. Menurut nenek, polong adalah hantu belaan. Menjaganya sama seperti menjaga hantu raya. Perlu diberi nafkah zahir dan batin. Penjaganya akan makan dalam jumlah yang banyak kerana makanan yang masuk turut dikongsi bersama-sama dengan polong jagaan mereka. Sejak itu aku jadi curiga pada sesiapa yang aku lihat makan tak ingat dunia. Persepsiku hanya berubah setelah aku masuk ke sekolah menengah. Masa tu fikiran sudah semakin matang jadi kepercayaan karut-marut itu langsung dilupakan.
“Yang direnung makanan tu kenapa kakak? Boleh kenyang ke?”mama menepuk bahu kananku. Tepukan mama buat aku tersedar yang aku telah mengelamun jauh.
“Banyak sangat makanan ni ma. Ada tamu nak datang ke?”saja aku bertanyakan soalan itu sedangkan langsung tidak relevan.
“Macam kakak tak tahu perangai Aiman. Kalau boleh semua makanan kat pasar malam tu nak dikautnya bawa balik.”
Aku gelak. Aiman... Aiman. Untung isteri dan anak-anaknya nanti.
            “Mana dia mak?”soalku sebaik menyedari yang batang hidung Aiman tidak kelihatan sejak aku pulang.
            “Rumah sebelah. Kak Ton telefon minta bersihkan rumah tu. Lusa ada orang nak pindah masuk.”
            “Eh, bukan ke rumah tu memang bersih?! Dua minggu lepaskan ada Kak Ton datang dan bersihkan.”
            Kak Ton adalah jiran sebelah rumahku. Dia tidak lagi menetap di situ. Sejak berpindah, rumahnya disewakan. Sudah hampir sebulan rumahnya kosong setelah penyewa terakhir berpindah keluar.
            “Minta tolong sapu-sapukan habuk saja. Mama nak buat tapi Aiman tak kasi.”
            “Kakak nak ke sebelahlah ma,”kataku terus pergi. Aku berlari ke pintu dan menjengah keluar. Aku lihat pintu rumah sebelah bertutup rapat.
            “Adik,”laungku kuat. Beberapa saat kemudian pintu yang tertutup rapat itu terbuka. Wajah Aiman jelas kelihatan terkejut.
            “Kenapa kak?”
            “Saja nak make sure adik ada kat sana atau tidak,”jawabku lantas ketawa. Aku pergi mendapatkan Aiman.
            “Buat terkejut orang sajalah kakak ni. Ingat ada emergency tadi,”jeling Aiman geram. Dia masuk semula ke dalam rumah diikuti oleh aku.
            “Mama kata Kak Ton suruh sapu habuk saja. Yang rajin mop lantai ni kenapa?”soalku sebaik melihat Aiman mengambil mop yang disandarkan ke dinding lalu mula menyambung tugasnya yang terbengkalai tadi.
            “Tak apalah kakak. Alang-alang dah bersihkan baik bersihkan betul-betul. Esok Man dah start kerja. Tak ada masa nak buat.”
            Aku senyum tawar. Baik betul hati Aiman. Berbeza benar dengan aku yang agak berkira dalam memberikan pertolongan. Sudahlah berkira, kedekut pula tu bab membeli makanan.
            “Family ke orang bujang yang pindah ke sini?”Lupa pula aku mahu bertanyakan soalan itu kepada mama tadi. Nak juga tahu tentang bakal jiran kami.
            “Mama kata tadi adik beradik. Dua orang. Dua-dua perempuan.”
            “Patutlah rajin sangat. Baik ada makna,”ejekku mengusik. Aiman buat dek saja. Tangannya lincah menolak dan menarik batang mop di lantai. “Pergi raya rumah Mak Enon, buat-buat tak dengar konon,”tambahku berpantun.
            “Kakak ni sengaja nak provok. Man tolong dengan ikhlaslah. Tak ada niat tersembunyi. Dua beradik tu pun bukan Man tahu berapa umurnya. Entah-entah dah lima series.”
            Aku senyum meleret. Boleh jadi juga telahan Aiman itu. Bukan senang ibu bapa mahu melepaskan anak dara yang masih muda tinggal berdua.
            “Melepaslah adik,”ejekku lagi. “Memandangkan adik sibuk, kakak nak balik rumah. Nak ngap.”
            “Bukannya nak tolong kita ni. Ngap saja dia tahu,”bebel Aiman menyindirku. Kali ini aku yang buat dek pula. Langkah kaki aku atur laju pulang ke rumah.
            Sebaik melangkah masuk, aku dengar telefon bimbit yang aku letakkan di atas meja kopi berbunyi. Berlari-lari anak aku menjawab panggilan bimbang jika pemanggilnya memutuskan talian akibat jemu menunggu terlalu lama. Rugilah duitku nanti mahu membuat panggilan balas.
            “Hello Assalammualaikum,”kataku dalam keadaan tercungap-cungap.
            “Lis, Sorrylah tadi aku sibuk. Kau dah sampai rumah ke?”nyaring saja aku dengar suara Mazuin yang langsung tidak menjawab salam. Petang tadi aku ada mencari Mazuin di pejabat tetapi Mazuin tidak dapat melayaniku kerana kesibukan menolong Encik Sham menyiapkan kertas kerja yang perlu dihantar hari ini juga.
            “Tak apalah babe. Dah namanya kerja. Takkan aku nak marah pula.”
            “Apa cer? Ini mesti ada cerita hebat nak diceritakan pada aku. Eh, eh sebelum tu waalaikumusalam!”
            Aku ketawa kecil. “Tahu pun nak jawab salam. Ingatkan tak tahu dosa dan pahala.”
“Tahulah. Kau ingat kau sorang sekolah agama.”
“Saja nak mendengki kaulah,”kataku seronok mengusik Mazuin.
“Sebelum aku bercerita kau kena janji dulu tak mahu marah-marah ya?”awal-awal lagi aku sudah memintas. Tak mahulah nanti mendengar bebelan Mazuin yang berkecil hati kerana aku tidak mengajaknya berjumpa dengan Ismail.
            “Yelah. Cepat cerita.”
            “Pagi tadi aku half day sebab pergi berjumpa dengan Ismail.” Senyap. Aku tidak mendengar sebarang decitan pun dari pihak di sebelah sana waima dengusan nafasnya juga. “Kan aku dah cakap jangan marah dengan aku.”
            “Aku tak marah cuma sentap sikit saja.”
            Aku ketawa. Sentap dengan marah tu sama saja maksudnya. “Aku saja nak berbual hati ke hati dengan dia. Takut ramai-ramai nanti dia malu,”terangku mempertahankan tindakanku itu.
Okeylah. Masuk akal juga alasan kau tu. Teruskan.”
Aku sengih lagi. Sudah aku kata Mazuin ini sangat memahami dan bertolak ansur orangnya. Sebab itu aku sayang Mazuin seperti mana aku sayangkan mama dan Aiman. “Kau tahu apa dia cakap?”
            “Ya Allah Lis. Teruskan ajelah bercerita tu,”marah Mazuin tidak sabar. Baru saja aku memberi pujian kepadanya tetapi dia sudah pun menunjukkan perangai yang agak menyakitkan hati.
            “Dia tetap juga tak nak mengaku. Dihimpun segala bala tentera banglanya dan minta mereka bercerita tentang dia kepada aku. Semuanya mengatakan yang Ismail itu Bangladesh mari.”
            Mazuin masih lagi senyap tidak mahu menyampuk. Tidak aku pasti adakah itu disebabkan oleh perasaan terkejutnya mendengar ceritaku atau dia sedang mencari idea untuk melakukan sesuatu.
            “Win kau dengar tak?”ugutku yang resah mendengar kebisuan Mazuin. Mula-mula aku terjangkit penyakit bisu Ismail dan sekarang Mazuin pula terjangkit penyakit bisuku.
            “Dengar. Kau percaya ke cerita dia? Aku susah nak percayalah sebab kita sendiri pun sangkut-sangkut nak meniru orang Kelantan bercakap. Silap gaya macam bunyi siam adalah.”
            “Oh, katanya dulu dia pernah bekerja di Kota Bahru! Bercinta pula dengan awek Kelate sebab itulah lidah dia tu fasih loghat sana,”terangku lagi menjawab persoalan Mazuin.
            Mazuin diam lagi. Hari ini memang banyak sesi mendiamkan diri tapi aku peduli apa sebab bukan kreditku yang kena telan.
            “Perasaan kau sendiri bagaimana? Kau rasa fakta atau auta?”
            “Entahlah Win. Susah sangat soalan yang kau bagi tu. Kalah soalan ekonomi masa kita berlajar dulu. Tak mampu aku nak menjawabnya.”
            Aku dengar Mazuin mengeluh kecil. “Susah-susah sangat kau kahwin sajalah dengan anak Encik Yahya. Dah tentu-tentu masa depan kau terjamin. Tak perlu lagi mencari mamat tulang cinta pandang pertama kau tu sehinggakan siapa yang kau lihat iras-irasnya pun kau nak sapu. Soal muka macam pecah rumah tak payahlah kau kisahkan sangat asalkan dia ada amik imunisasi. Tak macam Bangladesh mari suntikan BCG pun tak ada. Risiko kau dijangkiti penyakit berjangkit seperti batuk kering tu kurang sikit.”
            BCG? Aku kaku tetapi melompat keriangan beberapa saat kemudian. Kenapalah aku tidak terfikirkan tentang itu. “Win, kau ni memang win. Aku dah apat idea macam mana nak buktikan yang Ismail tu bangla atau pun tidak,”terjerit-jerit aku macam orang gila sehingga mama datang menjengah.
            “Macam mana?”soal Mazuin yang jelas tidak dapat menangkap maksud kata-kataku tadi. Biasalah Mazuin. Kadangkala lembab juga. Orang dah pakai 4G dia masih lagi 2G.
            “BCG. Kalau di lengan dia tak ada kesan BCG maksudnya dia memang bukan orang Malaysia.”
            “Mana kau tahu kerajaan Bangladeh tak beri imunisasi BCG pada warganegara dia?”bantah Mazuin tidak bersetuju dengan rancanganku.
            “Takkan ada punyalah,”jawabku yakin. “Aku pernah tengok satu dokumentari di channel History. Negara seperti Indonesia dan Bangladesh tidak memberikan imunisasi percuma seperti yang kita nikmati di Malaysia. Hanya imunisasi tertentu sahaja yang dipilih. Di UK pula lain kesnya. Kalau nak dapatkan suntikan BCG mereka perlu mendapatkannya sendiri. Bukan disebabkan kerajaan mereka tidak mampu tetapi jangkitan penyakit berjangkit seperti tibi sangat kurang di sana.
            “Kau berani ke nak selak lengan t shirt Ismail?”
            Yang ini memang buat aku terdiam. Takkan aku berani bertindak sedemikian. Itu namanya saja mahu menjerat diri. Tak dapat buku lima aku dapat penendang sulung Ismail nanti. Sanggupkah? Tidak. Aku tidak sanggup. Mengenangkan itu harapanku yang sudah pun bercambah semula tadi jadi lebur.



Much Luv
Liz Haliza

















No comments:

Post a Comment