Friday, January 29, 2016

Dia Bangladesh Mari? Bab 6 & Bab 7


BAB 6


            Keluar sahaja dari kereta aku dengar suara orang bergelak ketawa. Dengan pantas mata aku liarkan mencari motosikal Aiman tetapi tidak berjumpa.
            “Motor tak ada maksudnya Aiman belum balik lagi. Siapa pulak yang tengah berbual dengan mama aku tu?”kataku pada diri sendiri. “Suara lelaki. Tak boleh jadi ni,”kerana ingin tahu yang menggunung tinggi laju saja aku menerjah masuk.
            “Hai kakak,”sapa Aiman sebaik tubuhku berada di dalam rumah. Aku tergamam. Nasib baik Aiman yang aku lihat. Jika orang lain tadi memang sudah lama aku tamatkan riwayatnya. Eh, boleh pula aku berprasangka dengan mama sendiri! Jika mama tahu ni memang azab aku kena lesing. Mengenangkan itu tanpa sedar bibirku menguntumkan senyuman.
            “Kakak ni dah kenapa?”kuat suara mama menyergahku. Pelik agaknya mama melihat aku tersenyum sorang-sorang.
            “Kakak okey,”jawabku seraya mendapatkan Aiman. Tengkuk Aiman aku peluk dari belakang.“Motor mana?”soalku ingin tahu.
            “Ada kat office. Tadi kawan tumpangkan balik,”terang Aiman berpusing-pusing cuba melepaskan pelukanku.
            “Motor rosak ke?”
            “Tak. Penat nak drive,”jawab Aiman menolak tanganku. Tidak aku lepaskan tengkuk Aiman. Saja aku mahu mendera dirinya setelah lama tidak berjumpa.
            “Rindulah kat adik. Hantar batu nun jauh sampai ke Perlis. Macamlah kat Perlis atau sekitarnya tak ada supplier batu bata,”kompelinku melepaskan tengkuk Aiman dan duduk di sebelahnya.
            Aiman tarik nafas lega. Seronok sangat agaknya terlepas seksa. Dia menjauhkan sedikit tubuhnya dariku.“Hantar ke kampung boss. Ada projek besar agaknya. Man ni kuli saja. Orang bagi arahan Man ikut.”
            “Tulah, elok-elok jadi engineer...”
“Tapi bestkan dik dapat makan angin. Jauh perjalanan luas pandangan. Tak macam kakak yang dua puluh empat jam terperuk dalam office,”pantas aku memotong kata-kata mama. Aku tahu mama tak habis lagi kecewa kerana Aiman menukar kerjaya tetapi dalam masa yang sama aku tidak mahu Aiman berkecil hati. Dia baru saja pulang ke rumah dan tidak patut hatinya disakiti.
            “Seronok memang seronok tapi penatlah kakak,”Aiman seperti mengadu.
            “Itulah mama dah...”
            “Kakak ada masalah ke?”Kali ini Aiman pula yang cekap memotong kata-kata mama. Pandai Aiman. Aku juga yang menjadi mangsa.
            “Mana ada?”gelengku tidak mahu mengaku.
            “Kakak, Man kenal sangat kakak. Cuba cerita.”
            Mata aku kecilkan tanda kagum dengan kepekaan Aiman. Nampaknya Aiman bukan sengaja mengubah topik perbualan kami tetapi dia memang nampak perubahan air mukaku. Cekap. Memang cekap.
            “Adik ingat tak lelaki yang kakak tolong dulu?”dengan rela aku memulakan cerita. Hubungan kami dua beradik memang tidak pernah ada rahsia.
            “Mana boleh lupa. Mulut kakak tak berhenti bercakap tentang dia.”
            Aku sengih malu. Aiman pun bercakap macam Mazuin. Nampak sangat memang mamat tulang tu sentiasa menjadi topik perbualanku.
            “Kakak ada nampak seorang lelaki yang seriras dengannya. Kakak terus-terang dan lelaki itu tak cakap apa. Nak dijadikan cerita, pekerja dia yang berbangsa Bangladesh buka cerita dengan kakak mengatakan lelaki itu mungkin orang yang kakak cari. Kakak dengan yakinnya jumpa dia semula. Adik nak tahu apa yang terjadi?”
            “Apa dia kakak?”hampir serentak Aiman dan mama menyoal. Wajah mereka kelihatan begitu teruja mahu tahu cerita seterusnya.
            “Dia tu juga Bangladesh mari. Sama macam pekerjanya tu.”
            Aku lihat Aiman dan mama berpandangan dan selepas itu mereka gelak besar. Berdensing telingaku tidak dapat menahan frekuensi gelakkan mereka yang agak luar biasa.
            “Hisham tu Bangladesh juga rupanya,”kata mama dalam gelak.
            Aku tarik muka.“Hisham? Ismaillah ma,”tak ada kerja lain aku. Asyik membetulkan nama orang saja jika berbual dengan mama.
            “Lah... Ismail ke namanya,”tawa mama dan Aiman semakin menjadi-jadi. Mulanya aku masam mencuka tetapi lama kelamaan aku juga turut serta tergelak macam mereka.
            “Kakak manis, saya bukan cinta hati yang kakak mahukan. Saya Bangladeh juga mari,”kata Aiman mengajuk gaya lelaki Bangladesh bercakap.
            “Ayoyo, saya banyak kiciwa,”sambutku dalam loghat yang sama.
            “Mengucap, mengucap,”tegur mama mengingatkan kami yang ketawa tak ingat dunia. Wajah mama sudah nampak tenang semula.
            “Lawaklah cerita kakak ni. Boleh buat drama tv,”Aiman masih lagi ketawa tetapi ketawanya sudah tidak sekuat tadi.
            “Dah nasib kakak dik oii. Itulah. Mama nasihat tak mahu dengar. Ya tak ma?”
            “Tahu pun. Orang tua macam mama ni lebih dulu makan garam.”
            “Lepas ni jangan nak buat kerja gila macam ni lagi,”nasihat Aiman kepadaku.
            “Yelah dik. Tak berani kakak. Serik,”anggukku menerima nasihat Aiman itu dengan lapang dada.
            Aku bangun. “Kakak nak mandi dululah ma, dik. Nak buang DNA Bangladesh yang melekap kat badan kakak ni. Takut termimpi.”
            “Haa... eloklah tu. Buanglah cepat DNA mereka. Mama bukan apa, seram. Masa kakak mimpikan mamat tulang tu dulu, kakak belasah mama. Kalau termimpikan bangla, takut pula nanti kakak buat aksi macam Rajnikanth. Tak terlawan mama. Dah pergi cepat. Lepas ni mama pula nak mandi,”kata mama tergeleng-geleng dalam sengih.
            Aku bernyanyi-nyanyi ke bilik sambil sengih mendengar usikan mama. Senang hatiku tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hilang segala kehampaan yang melingkari di jiwa akibat tidak bertemu dengan apa yang aku hajati. Sudahlah. Akan aku lupakan saja mamat tulang itu. Bukan aku tidak berusaha untuk mencarinya tetapi nampak gayanya bukan rezeki kami untuk bertemu kembali.

            “KAN aku dah kata. Kau tak nak dengar. Sekali tengok saja aku tahu dia orang luar,”dengan penuh bangga Mazuin memuji dirinya sendiri. Puas hati sangatlah tu yang tekaannya selama ini tepat. Bibir tu bukan main lagi panjang mengekspresskan rasa hati. Mujur tak berpusing tiga ratus enam puluh darjah, jika tak mahu aku cabut lari.
            “Tak payahlah bangga sangat Win. Bukan dapat pingat emas pun,”kataku seraya ketawa setelah aku lihat bibir Mazuin yang panjang tadi sudah pendek semula tetapi digantikan dengan wajah yang bangga.
            “Kau nak ke berkawan dengan bangla? Eiii kalau aku tak sanggup. Buatnya dia jatuh cinta tak ke naya. Berkahwin dengan rakyat tempatan yang sama adat dan budaya pun tak aman inikan pula warga asing.”
            “Ke situ pula kau. Aku bukannya nak rapat dengan dia. Dah tahu tu sudahlah. Takkan nak sombong pula,”tak salah rasanya aku bertegur sapa dengan Ismail jika bertemunya di tempat cuci kereta. Untung-untung dapat harga istimewa. Kan dah senang.
            “Mula-mula bertegur sapa, lepas tu main-main mata pula. Hati dan perasaan ni bukannya boleh dijangka. Yang tak nak itulah yang kita dapat.”
            Mazuin memang saja nak memainkan perasaanku. Nak bagi aku rasa takut. “Kau ingat senang hati dan perasaan nak berubah? Mama aku tu bukannya akan berkompromi dengan aku jika dia tahu aku jatuh cinta dengan orang asing jadi kau tak payah nak mereka-reka cerita. Yang gini-gini takkan berlaku.”
            “Apa yang gini-gini tu Ailis?”
            Suara garau yang amat aku kenali bergema di corong telinga. Cepat-cepat aku bangun berdiri sebagai tanda hormat kepada majikanku. Mazuin juga begitu. Jika tadi dia sedap lentok di atas meja tetapi berdezup dia bangun kerana malu.
            “Assalammualaikum boss. Awal sampai?”sapaku sopan. Seperti biasa aku lihat lelaki yang telah dua tahun menjadi majikanku itu melemparkan senyuman.
            “Waalaikumusalam. Rancak berbual. Tak nak share dengan saya ke yang gini-gini,”kedua-dua tangan Encik Yahya gerakkan mengikut gaya pelawak Apek. Kelakar pula aku lihat sehingga aku dan Mazuin tersengih-sengih.
            “Dia ni berkenankan bangla boss,”dengan celopar Mazuin menjawab. Hendak saja aku lekuk kepala Mazuin kerana mereka-reka cerita.
            “Dah tak ada lelaki melayu yang awak suka ke Ailis? Saya ni bukannya saja nak masuk campur urusan peribadi awak tetapi besar risikonya bercinta dengan warga asing.”
            Percuma saja aku kena bebel pagi-pagi begini. Aku pandang wajah Encik Yahya. Aku lihat wajah itu sarat dengan seribu kebimbangan. Wajah penuh kebapaan yang begitu mengambil berat akan masa depan anak gadisnya.
            “Mana ada boss. Si Mazuin ni buat cerita.”
            “Apa pulak mereka cerita? Boss, Ailis ni baru berkenalan dengan seorang mamat cuci kereta. Ingatkan melayu tapi rupa-rupanya bangla.”
            Tak sensitif langsung Mazuin. Ditokok tambahnya lagi adalah. “Kau ni memanglah,”kataku geram.
            “Lelaki asing ni biasanya akan pulang semula ke kampung halaman mereka apabila sampai masanya nanti. Biasalah tu, siapa pun yang merantau pasti berkeinginan untuk pulang semula ke tempat asal. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri tapi baik lagi di negeri sendiri. Tak ke merana awak nanti?”
            Agak panjang nasihat Encik Yahya kali ini. Aku mengangguk-anggukkan kepala tanda faham sekaligus mengambil hati akan keprihatinannya terhadapku walaupun yang sebenarnya hatiku membara marahkan Mazuin yang menyebabkan aku disekolahkan pagi-pagi begini.
            “Saya faham boss. Boss janganlah risau.”
            “Apa-apa perbuatan kita, utamakan perasaan kedua ibu bapa kita dahulu. Orang-orang muda ni kalau dah bercinta, mereka rasa mereka saja yang betul. Saya tak mahu awak tergolong dalam golongan itu.”
            Makin laju kepalaku terangguk-angguk menghadam dan cuba menerima dengan hati yang terbuka nasihat dari majikanku.
            “Faham tak Ailis? Jangan duk terangguk-angguk saja.”
            “Faham boss,”dah macam askar aku menjawab. Kuat dan meyakinkan.
            “Saya masuk dulu. Buatkan saya kopi tanpa gula satu.”
Aku tarik nafas lega. Berakhir juga sesi persekolahanku pagi ini. Ingatkan tadi Encik Yahya tidak mahu berhenti memberikan nasihat percuma.
“Baik boss.”
Baru saja Encik Yahya selangkah menapak untuk masuk ke biliknya, aku lihat dia berpaling semula memandang ke arahku. “Daripada awak berkahwin dengan bangla tu lebih baiklah awak jadi menantu saya. Dekat nak balik berhari raya. Tak adalah berebut negara mana nak balik dulu nanti.”
            Aku terlopong. Gila tak terkejut mendengar tawaran yang tidak dijangka itu. Kerana terlalu terkejut, aku tidak mampu bersuara dan hanya melihat Encik Yahya tersenyum sebelum masuk ke biliknya.
“Tak payah nak terkejut sangat. Aku tahu kau seronok lebih kan... kan... kan..”Mazuin terus mengambil peluang yang ada untuk mengusikku. Perempuan ni memang pantang dapat peluang, cekap saja dia mengenakan aku.
“Cehh... tak ada maknanya aku nak seronok,”kataku mencebik. “Jadi menantu boss memanglah best tapi buatnya muka anak dia macam pecah rumah. Tak naklah aku.”gelengku laju. Aku tahu pernyataan yang aku berikan ini kedengaran agak kejam. Kacak, cantik ataupun lawa adalah mengikut perspektif mata sendiri. Tidak semestinya apa yang aku lihat cantik maka akan cantik juga di mata orang lain dan begitulah sebaliknya. Aku hanya memberi kenyataan berpandukan kepada pandangan mataku bukannya mahu menyinggung hati mana-mana pihak.
“Biar muka pecah rumah asalkan warganegara Malaysia. Tak payah nak menyusahkan kerajaan Malaysia sebab anak dilarikan ke luar negara nanti.”
Aku tergelak kecil. Macam-macam Mazuin ni. Ada saja jawapannya. Nak marah pun tak jadi. “Eh Win!”panggilku memberi isyarat supaya Mazuin duduk. Aku sudah pun duduk elok.
“Aku nak pergi tempat akulah. Lama sangat kat sini bahaya untuk kenaikan gaji aku nanti,”tolak Mazuin dengan alasan yang sengal.
“Balik kerja nanti kita singgah makan kat Binjai nak?”ajakku yang sudah pun membayangkan nasi briyani kambing Binjai yang enak itu.
“Tak ada tempat lain ke? Asyik-asyik Binjai. Sebab tu kau bingai.”
“Woi mulut tu. Bukan kau ke yang selalu ajak aku ke sana?”
“Aku bergurau. Saja nak kenakan kau. Kita berkongsi kereta sajalah ke sana. Lepas makan kita sama-sama pulang ke office ambil kereta kau. Bukan jauh pun.”
Mengada betul Mazuin. Tak habis-habis mahu mengusikku. Di dalam kepalanya itu agaknya tak ada benda lain yang difikirkan. Menyakat Nur Ailis, mengenakan Nur Ailis dan mengusik Nur Ailis saja agaknya tetapi dalam-dalam menyakat dan mengusik tu segala kemahuanku dituruti. Itu yang buat aku lemah dan sayangkannya. “Tak susahkan kau ke pergi balik pergi balik hantar aku?”
 “No problem. Aku pun dah teringat-ingat kueyteow udang galahnya tu. Pergh, kecur air liur babe.”
Aku ketawa. Ini yang seronoknya berkawan dengan Mazuin. Bab makan memang kami sehati sejiwa. Jika sudah sehati dan sejiwa sifat tolak ansur itu senantiasa ada. Bersyukur aku ditemukan dengan sahabat sebaik Mazuin. Moga persahabatan ini akan berkekalan sehingga ke hujung nyawa.
           






BAB 7

            “Kau nampak tak apa yang aku nampak?”soal Mazuin dengan bibir yang tidak bergerak. Matanya menjeling ke arah dua orang lelaki yang baru masuk tadi.
            Aku sorot jelingan mata Mazuin dan mulutku ternganga. “Ismail,”kataku juga berbisik.
            “Dahsyat oo. Abang bangla kau makan di Binjai.”
            Aku diam untuk beberapa ketika. “Jenis bangla yang ada-ada kut kalau tak takkan datang Malaysia jadi boss,”aku memberikan pendapat.  Tak elok pula terlalu memandang rendah kepada rakyat dari negara itu. Kebanyakkan daripada mereka adalah seagama denganku.
            “Yelah tu.”
            “Kau tu yang suka mengagung-agungkan orang barat. Yang seagama tak mahu diangkat ke tempat yang lebih tinggi. Islamkan bersaudara,”boleh pula mulutku bercakap seperti penceramah agama. Ada rasa bangga yang terbit di jiwa.
            “Kau ni dulu pernah masuk rancangan ustazah pilihan ke? Episod ke berapa kau tersingkir?”
            Cepat jariku mencubit lengan Mazuin. Dia nikan celopar betul. Tak betul ke apa yang aku sebutkan tadi? “Mengada.”
            “Baik ustazah. Saya setuju dengan kata-kata ustazah tadi.”
            Tidak aku hiraukan usikan Mazuin itu. Mata aku jelingkan sekali lagi memandang ke arah Ismail dan kawan lelakinya tetapi mereka sudah pun tiada di tempat yang aku lihat tadi. “Mana diaorang pergi?”aku tercari-cari. Mazuin turut serta liar memandang sekeliling.
            “Diaorang pindah duduk di meja luar sana,”muncung Mazuin panjang menghala keluar. “Senang nak merokoklah tu,”tokok Mazuin lagi.
            Belum sempat aku bersuara, seorang pelayan restoran berbaju hijau datang membawa nasi briyani yang aku pesan. Haruman yang datang dari nasi briyani itu buat aku terlupa seketika tentang Ismail.
            “Kena ambil gambar dulu sebelum ngap,”kataku mencari-cari telefon pintarku di dalam beg tangan. Bukannya berniat mahu menunjuk-nunjuk di instagram mahu pun di facebook. Sekadar menghargai makanan yang dihias cantik dan nampak menyelerakan itu.
“Eh, handphone aku mana Win?”Jeritku gelabah. Habis beg tangan aku selongkar sehingga tunggang langgang isi di dalamnya.
            “Handphone kau jadi kaulah yang jaga. Buat apa tanya aku,”dengan sombong Mazuin menjawab. Mentang-mentang kueyteownya baru sampai. Tak sabar nak makanlah tu sehingga langsung tidak mengambil berat tentang telefon bimbitku yang tidak ada.
            “Dalam kereta kut Win. Bak kunci kereta kau,”aku menadah tangan. Mazuin laju memberi apa yang aku minta.
            Tanpa berlengah-lengah lagi aku keluar menghala ke kereta yang Mazuin perkirkan di bahu jalan. Biasalah Mazuin, bukannya dia mahu memakir di tempat yang betul. Selagi boleh diparkir sedekat yang mungkin dengan tempat yang hendak dituju selagi itulah dia akan buat begitu. Sewaktu melintasi Ismail dan rakan lelakinya, aku tunduk dan mengereng sedikit ke kiri supaya Ismail tidak menyedari kehadiranku di situ tetapi telingaku dapat mencuri dengar perbualan Ismail dan sahabatnya yang membuatkan aku berpatah semula mendapatkan Mazuin.
            “Dia melayu babe. Melayu,”kataku separuh menjerit. Tanganku menggigil. Jantungku melompat-lompat laju.
            “Siapa?”soal Mazuin dengan mata yang dibeliakkan bingung dengan siapa yang aku maksudkan.
            “Ismail itulah. Aku terdengar dia berborak dengan kawan dia tadi. Langsung tak ada loghat bangla. Siap bercakap dialek Kelantan lagi.”
            Mendengarkan itu barulah Mazuin meletakkan sudu dan garfunya berminat melayaniku. “Kau dengar perbualan orang lain kut?”
            “Tidak. Mereka saja melayu yang ada di situ. Couple yang satu lagi tu cina.”
            Mazuin memerhati ke luar. “Haah, betullah. Tapi untuk menguatkan lagi dakwaan kau biar aku pulak yang dengar. Handphone tadi kau dah ambil ke belum?”
            Aku geleng. “Belum. Nah kunci. Terlanjur nak busybody tu kau ambillah handphone aku.”
            Mazuin bingkas bangun. Dia berjalan keluar. Aku hanya menjadi pemerhati dengan sabar. Lima minit kemudian Mazuin sudah pun duduk di hadapanku semula.
            “Ni handphone kau,”hulurnya. Telefon bercasing warna merah itu aku sambut.
            “Betul tak apa yang aku cakap?”
            Mazuin angguk. “Speaking Kelantan weh. Pekat lagi. Aku tak rasa bangla tahu. Kalau boleh pun takkan sepekat itu”
            Gotcha. Mata aku bersinar-sinar. Senyumanku lebar. “Kan dah kena tangkap. Kantoi. Itulah menipu lagi. Sekejap saja kebenaran sudah terbukti,”kataku berlagak.
            “Frankly speaking aku mula mempercayai naluri hati kau tu. Kalau dia bukan mamat tulang yang kita cari kenapa dia menipu? Siap menyamar jadi bangla lagi.”
            Lagakku semakin menjadi-jadi setelah mendengar pengakuan Mazuin. Tubuh aku tegakkan sebagai tanda bongkak.
            “See. Ini Nur Ailis,lah.”
            “Habis tu apa plan kau?”
            “Kita makan cepat lepas tu masa nak ke kereta kita tegur dia dan blah,”cadangku tidak sabar mahu mengenakan Ismail.
            Mazuin senyum bersetuju. Kami cepat-cepat makan tanpa sempat menikmati kesedapan makanan yang kami pesan. Hati lebih teruja mahu melihat reaksi Ismail sewaktu aku menegurnya nanti.
            Setelah membayar harga makanan kami, aku menghampiri Ismail dalam debar. Lelaki itu terkejut sebaik terpandangkan wajahku.
            “Assalammualaikum,”sapaku berbudi bahasa.
            “Waalaikumusalam,”jawab Ismail dalam nada suara yang bergetar.
            “Bukok keda ko dok ni?”
            “Buko. Eh, buka!”
            “Sapo jago keda?”
            “Pekerja.”
            “Mari sini sokmo ko?”Ismail angguk. “Makaney sini sedak-sedak blako.Melayu, cino, india, bangla pakak suko makey sini. Dok gitu?
            Ismail aku lihat hanya tersenyum tawar.
            “Kito gerak dulu deh. Suko jupo demo. Tata titi tutu.”
            Cepat-cepat aku dan Mazuin meninggalkan Ismail yang jelas terpinga-pinga. Sampai saja di dalam kereta terhambur tawa yang sudah lama kami simpan. Aku rasa puas hati. Padan dengan muka Ismail. Nak menipu lagi. Bangladeh mari konon... Choilah. Made in Malaysia, Made in Kelantan lagi mahu berlakon.

KEESOKKAN harinya aku mengambil keputusan untuk mengambil cuti setengah hari. Kepada mama aku khabarkan yang aku tidak sihat manakala dengan Mazuin aku katakan yang aku ada urusan penting. Bukannya aku tidak mahu berterus-terang dengan Mazuin rancanganku tetapi aku tahu jika aku berbuat demikian, dia mahu turut serta berjumpa dengan Ismail. Padaku, Ismail pasti ada sebab yang tersendiri sehingga tergamak menipu. Biar aku tanyakan sebab itu dari hati ke hati. Jika ramai yang campur tangan dibimbangi lelaki itu tidak akan membuka mulutnya.
            “Belum buka lagi?”soalku kepada seorang lelaki bangla yang sedang elok bersila di atas lantai di tepi pejabat sebaik sampai.
            “Bulum. Sepuluh juga kakak,”jawab pekerja tersebut sambil bangun sebagai tanda hormat kepadaku. Mereka ini sebenarnya punya adab yang tinggi. Sedar diri merantau jauh di negeri orang. Tak semuanya jahat seperti yang digambarkan olehku selama ini.
            “Siapa nama kau?”
            “Rahman,”jawab Rahman ringkas.
            “Bagus nama tu,”pujiku ikhlas. Rahman tertunduk malu.“Kau baik dengan Ali?”aku semakin galak bertanya.
            “Itu Ali sini kirja ka?”tanya Rahman terkejut. Hilang malunya tadi.
            “Habis tu Ali mana lagi?”
            “Oh itu Ali sepupu juga. Mak Ali saya punya kakak,”terang Rahman akan pertalian darahnya dengan Ali. Aku terdiam sebentar cuba menafsirkan kata-kata Rahman tadi. Kalau mak Ali adalah kakak kepada Rahman maknanya Ali adalah anak saudara Rahman bukannya sepupu.
            “Anak saudaralah. Kau ni. Tu pun tak tahu,”marahku membetulkan fakta. Rahman ternganga. Kemudiannya dia bercakap-cakap perlahan sambil mengira-ngira jarinya. “Kau tak payahlah nak fikir banyak. Kalau aku dah kata Ali tu anak saudara, kau percaya sajalah.”
            Rahman mengegeleng-gelengkan kepalanya. Aku tahu itu tandanya dia faham. Bangsa mereka ni samalah macam hindustan. Faham geleng, tak faham pun geleng.“Kakak mahu cuci kereta?”
            “Tak. Aku nak cari Ali. Nak tanya dia sesuatu.”jujur aku menyatakan tujuanku ke situ walaupun itu bukanlah tujuan utama.
            “Kakak tanya saja sama saya. Rahsia Ali rahsia Rahman juga.”
            Aku gelak kecil. Bukan main lagi Rahman bermadah pujangga. Rahsiamu rahsiaku jua konon. Dasar busybody mengaku sajalah. Sah Rahman sedarah dengan Ali. Suka sangat mengambil tahu hal orang.
            “Itu Ali sudah tipu sama aku. Dia cakap dulu boss kau Ismail pernah sakit tapi Ismail tak mengaku.”
            “Buat apa kat sini?”
            Satu suara yang sangat aku kenali menyampuk. Suara itu tidak lagi menggunakan loghat Bangladesh. Aku menoleh memandang ke si empunya suara yang sedang tersenyum manis.
            “Saya nak jumpa awak,”akuiku tanpa mahu berselindung.
            “Rahman, pergi buat kerja. Kau ikut aku. Kita bersembang di office,”pelawa Ismail membuatkan aku tersenyum sinis. Tahu pun rasa bersalah. Ingatkan masih lagi mahu bersikap sombong dan berlakon.
            Ismail sudah pun mendahului. Aku mengikut langkahnya dari belakang dengan hati yang lapang. Sebaik masuk, aku lihat Ismail terus menghidupkan penghawa dingin. Selepas itu dia mengeluarkan komputer riba dari beg galas yang dibawa.
            “Marilah. Yang kau takut-takut sangat nak dekat dengan aku ni kenapa? Aku bukannya makan orang.”
            Berdensing aku dengar suara Ismail masuk ke dalam gegendang telinga. Macam menyindir saja nadanya itu.
            “Saya bukannya takut tetapi pelik,”cebikku lalu berdiri betul-betul di hadapan meja Ismail.
            “Apa yang pelik sangat ya cik....”
            “Ailis,”sahutku cepat.
            “Ailis. Cantik nama tu secantik orangnya,”puji Ismail dengan senyuman yang panjang. Dia ni kecil-kecil dulu terkena sawan senyum gamaknya. Asyik nak tersenyum sahaja. Walaupun senyum itu satu sedekah tetapi kalau dah dua puluh empat jam renyih seriau juga aku dibuatnya.
            “Terima kasih,”anggukku dengan hati yang pelik. Lain macam baiknya pula Ismail. Bersopan santun sangat. Ini mesti sebab dah kantoi semalam. Nak beli hati akulah tu. Jangan harap.
            “Duduklah. Macam mana nak berborak jika sorang duduk sorang berdiri.”
            Aku semakin bingung tetapi tetap juga mengikut arahan. “Awak ni pelik ya. Hari tu bisu, kemudian menipu saya kononnya datang dari Bangladesh, kali ni apa pula trick awak?”
            “Aku dah agak yang kau akan datang ke sini untuk bertanyakan tentang itu.”
            Aku cebik. Tahu pun. Dia ingat aku akan membiarkan saja perbuatannya itu. Apa salahnya mengaku. Jika dia tidak sudi berkawan denganku selepas ini aku bukannya marah.
            “Apa salahnya awak mengaku saja yang awak adalah lelaki yang saya cari. Tak perlulah sampai menipu semata-mata tak mahu berkawan dengan saya,”terus aku meluahkan apa yang terbuku di hati. “Saya bukannya nak bercinta dengan awak pun. Saya juga bukannya nak menuntut apa-apa ganjaran atas budi yang telah saya berikan. Saya cuma mahu tahu yang awak selamat. Itu saja,”entah mengapa kali ini ada airmata yang bergenangan di kelopak mata. Sedih aku mengenangkan sikap lelaki yang pernah aku tolong dulu.
            Ismail memusingkan kerusi yang didudukinya lalu membelakangikan aku. Lama dia berkeadaan begitu sebelum berpusing memandangku semula. “Aku panggil kau masuk ke sini sebab aku nak berbincang elok-elok dengan kau. Janganlah terlalu emosi.”
            “Nak berbincang apa lagi? mengaku saja cukup,”kataku malas memanjangkan cerita.
            “Ailis, aku memang orang Bangladesh. Aku sampai Malaysia masa umur aku dua puluh dua tahun. Masa tu aku ikut pakcik aku kerja kelapa sawit di satu felda di Kahang. Kau pernah dengar tempat tu?”
            Aku geleng. Manalah aku tahu sangat nama semua tempat di Malaysia. Dia ingat mata pelajaran geografi sahaja yang perlu aku telaah. Tak payah nak belajar mata pelajaran lain?
            “Kahang tu terletak di Kluang, Johor. Itu pun kau tak tahu,”kata Ismail menyakitkan hatiku. “Lepas setahun setengah aku bosan menghadap pokok kelapa sawit sahaja jadi aku pulang semula ke Bangladesh. Tak sampai setahun aku datang semula tapi kali ini aku bekerja di Kota Bahru sebagai pencuci kereta. Sejak itu aku serius untuk mengabdikan diri aku di bumi Malaysia. Aku bercinta dengan orang Kelantan yang mana telah mengajar aku untuk fasih bertutur loghat negeri itu.”
            Aku ternganga, terbeliak, terlopong, terkesima, terkejut dan seribu satu ter lagi yang menggambarkan perasaanku tika ini.
            “Aku dah jangka kau takkan percaya. Ini bukan kali pertama pun kau tak percaya apa yang aku cakap.”
            Aku masih lagi mendiamkan diri. Kali ini kebisuan Ismail sudah berjangkit kepadaku.
            “Kau tunggu sini sekejap.”
            Aku lihat Ismail bergegas keluar dan masuk semula lima minit kemudian bersama-sama dengan pekerja-pekerjanya. Perasaan takut mula menguasai diri apabila melihat terlalu ramai warga asing berkumpul di dalam pejabat kecil itu. Jika mereka melakukan sesuatu kepada aku bagaimana?
            “Ali, Rahman, Faisal, Rafique, Ahmed, Musolah, Kareem, Ben, Ral dan Qhuol. Cerita sama kakak manis,”suruh Ismail lalu duduk di hadapanku.
            “Boss Kareem punya sepupu. Itu Bangladeh sana mari,”lelaki yang aku tidak pasti siapa namanya memulakan bicara.
            “Dia banyak baik. Bagi puluang sama kita,”sambung lelaki yang lain pula.
            “Butul apa yang Faisal cakap. Saya Kareem. Bangladesh duduk susah. Boss panggil Malaysia. Kirja sini. Gaji enam ratus juga. Tiga ratus hantar isteri. Dua ratus makan sama itu handphone. Satu ratus lagi...”
            “Sudah. Aku tak mahu tahu pasal bajet bulanan kau,”potongku yang sudah mula rasa rimas.
“Kakak, ini boss serupa superhero.  Tolong sama saya, sama kawan-kawan saya.”Karem langsung tidak menghiraukanku. Dia masih lagi menyambung kata-katanya yang terhenti tadi.
 “Suruh diaorang keluarlah Ismail. Saya percayalah cakap awak.”kataku mengalah. Tidak sanggup lagi aku mahu mendengar sebarang kata yang bakal keluar dari mulut pekerja-pekerja Ismail. Nampak gayanya terpaksalah aku menerima hakikat yang sebenar. Ismail sememangnya bukan lelaki yang aku cari. Dia benar-benar Bangladesh mari.

 ** Bagi dua bab sekali sebab lusa nak pergi bercuti. Nanti susah nak pegang lappy.
Enjoy reading semua. 

Much Luv
Liz Haliza.


Wednesday, January 27, 2016

Dia Bangladesh Mari? Bab 5





BAB 5

            “Hei cik kak. Bukan main kekwat kau sekarang ya. Tak nak lagi berkongsi kereta dengan aku.”
            Belum sempat aku on kumputer di atas meja Mazuin telah datang menyerang. Siap buat memek muka macam Joyah dalam drama Opah lagi. Kecil hati sangat dengan akulah tu. Tak apa. Mari aku pujuk.
            “Alolo Win. Janganlah macam ni. Pagi-pagi marah rezeki payah nak masuk. Aku baru nak puji kau cantik berseri-seri tapi tengok kau mengaruk tak jadi mulut aku nak meluahkan kata-kata.”Wah, ayat skema! Harap Mazuin termakanlah dengan kata-kata manisku ini.
            “Tak payah nak berlakonlah,”juih Mazuin tidak percaya dengan mulut manisku.
            “Win, baru dua hari aku tak berkongsi kereta dengan kau, kau dah nak melenting. Aku bukannya sengaja. Petang ni aku kena ambil Aiman di PJ lagi,”bohongku untuk kali kedua. Tak terkira banyaknya dosa aku pada Mazuin tetapi aku tiada pilihan. Kadangkala dalam menjaga hati dan perasaan orang yang kita sayang pembohongan terpaksa dilakukan.
            “Adik kau buat apa di PJ?”soal Mazuin ingin tahu. Semalam tidak pula dia banyak tanya. Hari ni mungkin saja mahu mengujiku.
            “Kursus,”cepat aku belasah.
            “Kerja bawa lori pun kena pergi kursus? Kau biar benar.”
            Aduhh... aku menyumpah di dalam hati. Ya tak ya juga. Kalau nak menipu tu biarlah logik sikit. Kerja macam Aiman tu bukannya ada kursus bagai. Lainlah kalau Aiman kerja kerajaan ke, kerja pejabat ke bolehlah aku beri alasan sebegitu.
            “Kau jangan pandang sebelah mata pada adik aku. Mentang-mentang dia cuma driver lori,”Aku buat suara sedih. Haraplah Mazuin terpedaya.
            “Bukan itu maksud aku Lis. Aku langsung tak pandang hina pada Aiman,”nada suara Mazuin telah berubah rendah. Yeay, nampaknya cara yang aku gunakan tadi menjadi. Lepas ini bolehlah selalu aku aplikasikan taktik ini kepada Mazuin.
            “Win...,”dengan lembut aku panggil nama Mazuin. Lebih baik aku ubah topik perbualan kami dari bertelagah tentang Aiman.
            “Kenapa?”dengan laju Mazuin duduk di hadapanku. Itulah Mazuin yang aku kenal. Mudah dapat membaca lenggokkan suaraku yang mahu menyampaikan sesuatu.
            “Semalam aku jumpa Ismail,”kataku mula membuka cerita.
            Wajah Mazuin berkerut. “Ismail mana?”
            “Lelaki yang kau kata aku telah hina dia tulah. Si pengelap kereta,”terangku mengingatkan Mazuin.
            Ternganga mulut Mazuin. Aku sudah agak pasti Mazuin terkejut dengan keberanianku.
            “Kau jumpa dia? Untuk apa?”
            Aku angguk bersama senyuman penuh bangga. “Aku minta maaflah dengan dia. Baikkan aku.”
            “Lepas tu.. lepas tu?”desak Mazuin mahu tahu. Langsung dia tidak menjuih melihat aku masuk bakul angkat sendiri macam selalu.
            “Minta maaf sajalah. Kau ingat aku nak buat apa lagi? Takkan aku nak peluk kaki dia macam babak dalam filem hindustan.”
            Bibir Mazuin kembang. Kelakar agaknya mendengar keceloparan mulutku. “Dia maafkan kau?”
            “Maafkanlah kut.”aku kenyitkan mata.
            “Apasal pulak kut? Macam tak yakin saja.”
            “Sebab sepatah haram pun dia tak bercakap. Bibir dia cuma senyum saja. Manisnya ya Allah macam equal,”boleh pula aku menyamakan senyuman Ismail seperti pemanis tiruan itu.
            “Hmmm,”senget kening Mazuin mendengar penghormatan yang aku berikan terhadap Ismail. Dah macam orang kemaruk cinta pun ada juga tetapi tidak. Aku memuji dengan ikhlas hati kerana senyuman itu benar-benar memukauku. Bukannya ada niat yang lain.
            “Cerita aku tak habis lagi tau,”aku tambah teruja.
            “Wah, panjang cerita kau!”
            “Masa aku nak pergi lepas minta maaf...”aku tarik nafas panjang dan senyum senget. “Jeng, jeng, jeng.”
            “Ya Allah Ya Tuhanku. Bagilah aku kesabaran yang tinggi dengan kawanku ini,”spontan Mazuin menadah tangan dan berdoa.
            “Pekerja dia datang bagi aku informasi yang sangat berguna.”
            Mata Mazuin bersinar-sinar. “Apa katanya?”
            “Dia cakap Ismail pernah merana. Tubuhnya jadi kurus macam mayat yidup. Eh hidup!”
            Aku lihat mulut Mazuin ternganga. Penerimaan sebeginilah yang aku mahu. Bukannya macam mama. Buat aku hilang keyakinan diri saja.
            “Memang tepatlah naluri kau. Alhamdulillah. Akhirnya kita jumpa juga mamat tulang yang kita cari-cari selama ini. Bolehlah aku interview dia lebih sikit. Macam mana dia boleh jadi begitu? Siapa yang menyebabkan dia terlalu kecewa? Kalau nasib baik lagi mana tahu dia anak orang kaya, bolehlah aku minta sesuatu sebagai reward.”
            Dengan pantas lengan Mazuin aku cubit. Bukan main lagi Mazuin berangan. Dulu dia yang menasihati aku supaya melupakan Ismail tetapi sekarang dia yang teruja lebih.
            “Bukan main kau ya. Dulu kau yang tak suka aku asyik bercakap tentang si tulang tu. Sekarang kau yang berangan lebih. Siap nak minta sesuatu sebagai balasan. Nampak sangat tak ikhlas.”
            Senyuman manis Mazuin tadi bertukar tawar.  Lengannya yang aku cubit digosok perlahan-lahan. “Aku saja berangan. Berangan tukan free.”
            “Tapi masalahnya sekarang mama tak percaya. Dia kata senang-senang aku kena tipu dengan Ali,”kataku susah hati.
            “Ali tu siapa pulak?”soal Mazuin kebingungan.
            “Pekerja si Ismail yang kasi aku informasi tulah. Kau takkan tak ingat? Si Bangladesh mari yang minta duit dengan kau tempohari.”
            “Ingat, ingat.”angguk Mazuin faham. “Betul juga apa yang mama kau cakap tu. Boleh percaya ke Lis?”
            Aku tarik muka empat belas. Sudah. Mazuin dah termakan kata-kata mama. Menyesal aku beritahu dia tadi. Apabila begini, aku juga jadi tidak yakin. Nampak gayanya terpaksalah aku mencari Ismail lagi. Akan aku berterus-terang dengannya apa yang aku tahu dari Ali. Biar aku lihat reaksinya dan selepas itu barulah aku boleh membuat keputusan sama ada Ali berbohong atau pun tidak.

            

           AKU tersenyum lebar. Berus-berus yang bergerak cantik aku perhatikan dengan penuh minat. Berjaya juga aku masuk sendiri ke sini. Tidak susah rupanya. Betul kata Mazuin. Ikut saja arahan yang tertulis. Nescaya semuanya akan selamat.
            Sebaik mesin selesai menjalankan tugas, aku memandu dengan penuh hati-hati ke arah pekerja-pekerja yang setia menanti. Cermin kereta aku turunkan.
            “Kalau nak vacum dalam boleh ke?”soalku tidak biasa. Buatnya tidak boleh seganlah juga.
            “Boleh tapi sana parking juga,”tunjuk lelaki yang juga warganegara Bangladesh ke arah tempat yang perlu aku tuju. Aku angguk. Cermin kereta aku naikkan dan terus memandu ke situ.
            “Berapa semua campur vacum?”soalku lagi sebaik melangkah keluar dari kereta. Seram juga aku jika harganya keterlaluan.
            “Sepuluh kakak,”jawab lelaki Bangladesh tadi tergeleng-geleng.
            Aku tarik nafas lega. Tak adalah mahal mana. Kaki aku atur menghala ke arah Ismail yang awal-awal tadi sudah aku nampak kelibatnya.
            “Hai,”kataku sebaik mendekati. Ismail terkejut. Dia membalas senyumanku dengan senyuman yang seperti biasa manis bergula.
            “Saya dah tahu awak siapa. Memang awak lelaki yang saya tolong dulu. Ali dah ceritakan segala-galanya pada saya,”kataku berterus-terang. Tak perlu ambil jalan jauh sebab aku tahu Ismail takkan bersuara.
            Wajah Ismail tampak sangat terkejut.“Saya tak pasti kenapa awak tak nak mengaku. Mungkin awak ada reason yang tersendiri. Cuma satu saya nak awak tahu, saya tak ada pun nak tuntut apa-apa pada awak sebagai balasan atas pertolongan yang saya berikan. Selama ini saya berusaha cari awak sebab saya nak sangat tahu keadaan awak yang sebenarnya. Dah tengok awak sihat itu sudah cukup buat saya puas hati. Syukur Alhamdulillah. Allah makbulkan juga doa saya.”
            Aku pandang wajah Ismail. Wajah yang terkejut tadi bertukar sayu. Matanya  berkaca. Aku semakin yakin Ismaillah orangnya.
            “Saya tahu awak tak suka bercakap tetapi sekurang-kurangnya katalah ya sebagai tanda awak mengaku. Itu dah cukup buat saya puas hati.”
            Mataku sudah merah. Aku berharap sangat agar Ismail mengalah dan mengaku tetapi ternyata Ismail punya hati yang sangat keras. Dia meninggalkan aku seorang diri di situ tanpa sebarang kata.
            Lama juga aku longlai di situ tidak mampu untuk bergerak kerana terlalu kecewa dengan sikap Ismail. Apabila sedar yang aku saja tersorong-sorong aku mengambil keputusan untuk beredar dari situ tetapi belum pun sempat aku melangkahkan kaki aku lihat Ismail datang kembali tetapi kali ini dia tidak berseorangan. Ali ada di sisi dengan wajah yang suram.
            Ismail memberikan isyarat kepada Ali. Aku kira itu isyarat supaya Ali bersuara.
            “Maaf kakak. Semalam Ali tipu.”
            Menyirap darahku mendengar pengakuan Ali. Wajah Ali aku renung tajam. Tidak tahan dengan panahan berapiku, Ali tunduk malu.
            “Kau menipu aku hal semalam ke hal yang sekarang?”sinis aku menyindir.
            “Semalam kakak.”
            “Habis tu yang kau bercerita dengan aku semalam sebab apa?”
            “Sebab Ali mahu cakap sama kakak. Mahu chatting.”
            Semakin menyirap darahku mendengar pengakuan Ali tetapi dalam waktu yang sama aku rasa was-was. Manalah tahu Ismail memaksa Ali mengaku menipu dan kerana takutkan Ismail, Ali turutkan juga kehendaknya.
            “Kau yang cakap menipu neraka juga masuk. Baik kau cakap betul-betul yang mana satu yang betul?”ugutku mengingatkan Ali tentang balasan kepada orang yang membuat dosa.
            Ali diam tidak bersuara. Aku pandang pula wajah Ismail yang seperti mahu memperkatakan sesuatu.
 “Maafkan Ali kakak. Ali tipu. Saya bukan orang yang kakak cari sebab saya Bangladesh juga mari.”
            Pitam. Aku hampir pitam.



Betul ka Ismail Bangladesh Mari?
Boleh dapatkan novel ini Februari nanti.


Much Love,
Liz Haliza.