Monday, February 15, 2016

Dia Bangladesh Mari? Bab 9 dan Bab 10


BAB 9




Bacille calmette et guerrin atau pun lebih dikenali sebagai BCG adalah suntikan yang diberikan kepada kanak-kanak untuk mengelakkan jangkita miliary TB iaitu menyerang paru2 dan TB miningitis yang menyerang selaput otak. Di malaysia, suntikan BCG wajib diberikan kepada bayi yang baru dilahirkan.
Dengan tekun aku membaca informasi yang aku jumpa di dalam sebuah blog di internet.
Walau kita sebagai rakyat Malaysia sudah pun diberikan imunisasi tersebut tetapi kita masih berisiko dijangkiti oleh penyakit TB kerana kebanjiran warga asing yang datang ke Malaysia seperti dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan negara-negara yang banyak kes penyakit tersebut.
Bacaku lagi dengan penuh minat. Disebabkan oleh Ismail tak pasal-pasal aku google tentang BCG yang sudah bertahun aku tahu tentangnya tetapi langsung tidak aku sedar kegunaannya.
“Bagus juga aku ambil tahu tentang semua ni. Ada anak besok tak adalah aku skip imunisasi yang penting macam gini,”kataku pada diri sendiri.
“Amboi, amboi, amboi!!! Mengeletis ye kau ni. Encik Yahya baru offer kahwin dengan anak dia, belum lagi nak masuk meminang tapi kau dah berangan soal anak.”
Dengan mulut yang dijuihkan ke depan dan kedua-dua tangan diletakkan di pinggang aku lihat bukan main berlagak lagi Mazuin mencemuhku.
“Tak tahu hujung pangkal tak payah nak cakap yang bukan-bukan,”kataku tegas. Mata dialihkan semula memandang ke skrin komputer.
“Apa yang kau tengok tu?”Mazuin sudah mula mendekatiku dan melihat ke skrin. Aku langsung tidak menyahut. Biar dia lihat sendiri apa yang aku cari. “BCG? Are you serious Nur Ailis?”kuat suara Mazuin kedengaran di telinga yang hanya beberapa inci saja dari mulutnya.
“Seriuslah.”
Bukk...
Satu tumbukan hinggap di papan bahu. Aku menjerit kesakitan. “Kau gila ke Win. Marahkan aku sampai tahap memukul,”kataku tidak percaya. Mama aku pun sudah tidak lagi mengangkat kaki dan tangan jika mahu mengajarku.
“Aku bukan berniat nak pukul kau sekadar nak tengok daya tahan tubuh kau.”
Tanganku masih lagi menggosok-gosok bahagian yang sakit itu. Langsung aku tidak mahu memandang Mazuin yang sudah pun duduk di hadapan.
“Itu baru penumbuk comel aku. Kalau Ismail yang tumbuk apa kau rasa? Tentu lagi sakit,kan. Kau jangan nak buat kerja gilalah Lis. Menyentuh tubuh badan orang adalah satu kesalahan. Lebih parah jika kau dituduh melakukan gangguan seksual. Yang tu aku pun tak mampu nak tolong. Bukan setakat aku, dengan mama kau sekali pun tak mampu nak buat apa-apa.”
Aku tersandar ke kerusi. Dalam melampau tu ada betulnya juga perbuatan Mazuin tadi.  “Tapi aku mesti juga tengok BCG dia. Kau ada idea?”
Mata hitam Mazuin bergerak ke atas. Dahinya berkerut-kerut manakala bibirnya tersimpul ke hadapan. Buruk betul aku lihat wajahnya dalam keadaan itu.
Okey, okey macam ni,”Mazuin duduk tertib bersedia untuk melontarkan idea. “Kau pergi jumpa Ismail ajak bersembang. Kau belasahlah nak bersembang apa pun asalkan dia selesa dengan kau. Lepas tu kau pergi stesen minyak sebelah kedai Ismail dan kau beli dua ais krim. Satu untuk kau dan satu untuk Ismail.”
Aku cebik bibir. “Cadangan ni tak boleh diterima pakai. Ada unsur-unsur mengurat. Malulah aku.”
“Mengurat? Tang mana yang menguratnya,”wajah Mazuin jelas kelihatan tidak berpuas hati.
“Pasangan kekasihkan selalu makan ais krim. Nanti Ismail perasan aku mahu menguratnya.”
Mazuin ketawa. “Habis tu kalau budak-budak makan ais krim kita nak panggil apa?”
Aku diam tidak mampu bersuara terjerat dengan persepsi sempitku sendiri. “Lepas dah makan ais krim apa aku nak kena buat?”
“Kau tempek ais krim tu kat baju dia. Lepas tu kau buatlah gabra. Ambil tisu dan cuba bersihkan pakaian dia. Dalam kelam-kabut tu kau ambillah peluang untuk selak lengan t shirt dia.”
Kembang pipiku tersenyum mendengar idea brilliant Mazuin. Bab mengarah memang Mazuin champion dan bab berlakon serah saja kepadaku. “Balik ni aku terus buatlah tapi kau hantar aku ke sana ya Win.”
“Aduhh aku juga yang jadi mangsa. Lama tu nak tunggu.”
“Dah aku tumpang kereta kau jadi macam mana aku nak ke sana kalau tak menyusahkan kau,”jegilku geram. Dia juga yang suka memaksa aku menaiki keretanya kononnya bosan memandu sendirian tetapi apabila disuruh hantar ke tempat lain yang dia tidak punya kepentingan mulalah nak bising.
“Janji jangan lama sangat.”
“Yelah,”cebikku. Yang sebenarnya aku seram memikirkan rancangan yang akan aku jalankan petang nanti. Berjayakah atau sebaliknya? Selamatkah atau ke hospitalkah aku? Tak mampu aku mencari jawapan yang boleh menyedapkan hati. Yang aku mampu hanyalah berdoa banyak-banyak moga segala-galanya akan berjalan dengan lancar.

            “JIKA lama sangat aku di dalam kau tolong telefon polis. Andai kata aku tidak dapat diselamatkan, kau tolong sampaikan pada mama yang aku ada hutang Aiman lima ratus ringgit. Minta mama bayarkan bagi pihak aku. Taklah tergantung roh aku nanti. Minta juga mama halalkan susu yang telah diberikannya kepada aku. Cakap padanya yang dia adalah ibu terbaik di dunia. Untuk kau pula aku nak pesan supaya rajin-rajinlah sedekahkan aku al-fatihah dan aku nak kau tahu kaulah sahabat aku dunia dan akhirat.”
            “Weh, apa yang kau merepek ni?!”dengan pantas Mazuin memukul bahuku.Wajahnya tidak boleh ceritalah terberakup, masam bercampur bengis.
            “Aku nak pergi buat misi yang merbahaya. Entah hidup entahkan...”
            “Heh sudahlah,”tengking Mazuin marah. Mukanya makin garang macam singa lapar. “Kalau kau tak mahu berhenti merepek aku janji aku blah,”ugut Mazuin menakutkan aku.
            “Tak, tak... aku okey. Kau tunggu sini. Aku pergi beli ais krim lepas tu terus masuk jumpa Ismail.”
            “Nak beli ais krim sekarang? Bukan borak dulu ke?”
            “Lagi cepat lagi baik. Okey. Aku chow dulu.”
            Aku pun keluar dari kereta lalu terus ke stesen minyak yang hanya beberapa meter sahaja dari tempat cuci milik Ismail. Setelah membeli dua belas ais krim cornetto aku pun kembali semula mencari Ismail.
            “Ali, itu boss mana?”laungku kepada Ali yang sedang tekun mengelap cermin kereta Alza berwarna putih.
            “Oh kakak! Boss office dalam,”katanya lalu menunjukkan ke arah pejabat kecil Ismail.
            “Ini ada aiskrim. Korang makanlah nanti ya,”kataku sambil menunjukkan beg plastik di tangan. Ali hanya mengangguk. “Nak letak mana aiskrim ni?”soalku kebingungan.
            “Rahman...,”jerit Ali sambil menunjuk ke arahku. Rahman pantas berlari lalu merapati aku.
            “Ya kakak,”katanya dalam keadaan termengah-mengah.
            “Ini ada ais krim. Cepat makan ya. Nanti cair.”
            “Okey kakak. Dhan’yabada.”
            Aku ternganga. Dia ni pekak ke apa? “Yabada bedu apanya. Aku kata ambil aiskrim ni. Cair karang lengah nak tunggu kau bersorak.”
            Rahman ketawa sambil kepalanya tergeleng-geleng. Eh bangla ni! Nak beramah mesra pula dengan aku di saat aku mahu menjalankan misi penting.
Dhan’yabada. Maksudnya terima kasih,”terangnya bersungguh-sungguh.
Aku tarik muka masam. Masa inilah dia nak mengajar aku bahasa Bangladeshnya. Tapi okey juga. Kurang-kurang nanti aku tahulah bagaimana mahu mengucapkan terima kasih jika melancong ke Bangladesh.
Setelah memberikan satu anggukan kepada Rahman, aku pun berlalu bersama-sama dengan dua aiskrim cornetto yang sudah aku keluarkan terlebih dahulu dari dalam plastik.
            Sebaik sampai di pintu, aku memberikan salam dan mengetuknya terlebih dahulu. Adab dan sopan perlu juga dijagakan. Itu pesan mama. Cuping telinga aku tegakkan mengharapkan ada jawapan dari dalam tetapi tiada sebarang bunyi yang kedengaran.
            “Pekak ke apa dia ni,”kataku celopar dan sebaik ayat itu aku habiskan pintu pun terbuka.
            “Apa kau cakap?”
            “Aiskrim,”dengan cekap aiskrim cornetto di tangan aku angkat. Minta-mintalah Ismail tidak bertanyakan soalan tadi sekali lagi.
            “Untuk aku?”soal Ismail terkejut. Dia menjauhkan dirinya sedikit daripada pintu.
            “Iye. Diaorang pun saya ada belikan sorang satu.”kataku sambil menunjukkan ke arah pekerja-pekerja Ismail.
            “Masuklah,”pelawa Ismail lalu bergerak ke mejanya. Aku senyum dalam debar. Kaki aku gerakkan juga mengikut langkahnya.
            “Ada apa hal?”
            “Saja datang sini. Awak tak suka?”aku menduga.
            “Tak adalah tak suka cuma aku pelik sikit. Kau tak kisah bersembang dengan bangla macam aku?”
            Aku buat muka pelik. “Nak kisahkan apa?”
            Ismail bersandar ke kerusi. “Takut orang macam aku mengurat korang?”
            Aku ketawa berdekah-dekah. “Ambil aiskrim ni. Dah cair pun,”unjukku yang baru teringat tentang aiskrim di tangan.
            Ismail mengikut arahan. Diambilnya aiskrim yang aku unjuk dan dibukanya dengan rakus. “Yang kau ketawa kenapa?”soalnya pelik.
            “Statement tu kelakar,”pendek jawapanku. Aku turut membuka aiskrim milikku.
            “Bangsa kau pandang serong pada kami. Semalam baru saja Kareem dimarahi oleh seorang wanita kerana senyum kepada anak gadisnya. Kasihan Kareem. Senyuman itukan satu sedekah tetapi menjadi satu kesalahan di sini.”
            Aku terkejut mendengar cerita Ismail. Takkan sampai begitu sekali penerimaan sesetengah orang terhadap warga asing sehingga senyum pun tidak boleh.
            “Tak semua begitu. Berbaik dengan sesama manusia bukanlah satu kesalahan besar pun,”kataku sambil otakku ligat memikirkan bagaimanakah caranya untuk aku merapati Ismail. Aiskrim Ismail sudah pun tinggal separuh manakala aiskrimku sudah suku aku jilat jadi aku harus cepat bertindak.
            Tingkap di belakang Ismail aku pandang dan satu idea muncul. Perlahan-lahan aku menghala ke situ dan melihat keluar.
            “Apa yang kau tengok tu?”Ismail datang berdiri di sebelahku.
            “Saja tengok luar.”kataku berdebar-debar. “Kut-kut nampak muka pekerja awak dari sini. Saya tak sampai hati tengok muka mereka lagi-lagi dalam keadaan mereka letih bekerja.”
            “Mereka datangnya dari keluarga yang miskin. Datang ke sini mahu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarga.”hatiku langsung tidak tersentuh mendengar kata-kata Ismail itu kerana aku sedang melakukan kiraan satu, dua dan.....
            “Allah,”jerit Ismail sebaik aiskrim yang aku pegang tertonyoh ke lengan kanannya.
            “Ya Allah awak. Saya minta maaf. Minta maaf.”kataku pura-pura panik. Aku berlari mengambil tisu di atas meja dan menolong Ismail mengelap bajunya yang kotor. Sewaktu mengelap itu sempat aku selak lengan t shirt yang dipakainya.
            “Tak apa Ailis. Aku boleh bersihkan sendiri,”kata Ismail yang nampak tidak selesa dengan perlakuanku. Bukannya aku sentuh tubuhnya, aku hanya mengelap lengan bajunya sahaja. Sewaktu menyelak lengan bajunya pun aku pastikan yang tanganku tidak terkena kulitnya tetapi Ismail tetap tidak selesa dengan situasi ini. Sikap sopan lelaki itu buat hatiku dipagut rasa bersalah.
            “Awak marahkan saya ke?”kataku menyesal.
            “Tak. Kau bukannya sengaja. Aku nak ke toilet. Aiskrim yang ada di atas lantai ni biar pekerja aku yang bersihkan. Kau duduk sini tunggu aku.”
            “Wak.. saya balik dululah. Maafkan saya ya,”kataku membuat keputusan. Ada dua sebab mengapa aku mahu cepat-cepat beredar dari situ. Sebab yang pertama ialah aku malu dengan Ismail manakala sebab yang kedua pula ialah aku sudah dapat apa yang aku mahu.
            “Kan aku dah cakap tadi tak apa.”
            “Okey. Saya tahu tapi saya memang nak balik. Jangan serik berbual dengan saya ya.”
            Ismail senyum. “Ha yelah. Aku ke toilet dulu. Assalammualaikum.”
            “Waalaikumusalam.”
            Ismail menapak keluar dari pejabat diikuti oleh aku. Dia ke bilik air manakala aku mendapatkan Mazuin yang setia menanti.
            “Macam mana babe? Berjaya tak?”Mazuin kelihatan teruja.Dalam senyum yang tawar aku menganggukkan kepala.“So?”
            “Aku rasa bersalah pula tonyoh aiskrim ke baju dia. Bukannya dia nak marah aku, siap tak bagi aku bersihkan aiskrim yang jatuh di atas lantai lagi,”keluhku kesal dengan sikapku yang keterlaluan. Terlalu mengikutkan kata hati sehingga sanggup memperlakukan Ismail sedemikian rupa.
            “Lain macam saja aku dengar. Misi berjaya ke tidak ni?”Mazuin mula rasa sangsi dengan hasil yang aku perolehi.
            “Kau gerak dulu,”arahku saja mendera hati Mazuin. Dengan pantas Mazuin menurut perintah.
            “Dia memang bangla ya Lis?”akhirnya Mazuin dapat meneka kenapa aku berat hati mahu membuka mulut.
            Aku angguk. “Tak ada kesanlah Win. Nampaknya dia tak tipu. Ismail tu memang baik orangnya bukan pembohong macam aku.”
            “Lengan mana yang kau tengok?”tanpa diduga Mazuin melemparkan soalan itu.
            “Kanan.”
            “Patutlah tak ada kesan sebab biasanya BCG diberikan di tangan kiri. Ada dalam rencana di internet yang kau baca pagi tadi.”
            Aku terkejut. Langsung tidak aku sedar tentang itu. “Betul ke ni Win? Awat hang tak habaq kat cheq?”
            “Nampaknya misi tak berjayalah. Aduhh... kena ada misi kedualah pulak lepas ni,”kata Mazuin tanpa mahu menjawab soalanku.
            “Tak mungkin akan ada misi yang kedua. Aku tak sangguplah Win nak berlakon lagi. Ismail tu baik.”Aku membuat keputusan. Entah kenapa aku sudah tidak seghairah seperti sebelum ini.
            “Takkan kau nak beritahu yang kau dah jatuh cinta dengan dia.”
            “Merepek sajalah kau ni,”marahku tidak bersetuju dengan Mazuin.
            “Terlanjur hati dah berkocak tu baiklah kau teruskan misi yang kedua. Kalau betul dia mamat tulang yang kita cari tak sia-sia kau jatuh hati. Bolehlah diteruskan ke fasa yang seterusnya. Mama kau pun tentu takkan membantah.”
            Aku hanya diam membisu. Tak pula aku melenting mendengar usikan Mazuin seperti selalu. Apa dah jadi dengan hatiku ini? Benarkah aku sudah jatuh cinta dengan Ismail? Oh aku keliru!
           
           







BAB 10

            “Terlanjur hati dah berkocak tu baiklah kau teruskan misi yang kedua. Kalau betul dia mamat tulang yang kita cari tak sia-sia kau jatuh hati. Bolehlah diteruskan ke fasa yang seterusnya. Mama kau pun tentu takkan membantah.”
            Berulangkali ayat yang telah diungkapkan oleh Mazuin itu terngiang-ngiang di gegendang telinga. Puas aku cuba menghindarinya tetapi tidak berjaya. Telingaku umpama sudah dipasang cip yang telah di programkan dengan rakaman suara Mazuin itu.
            Jam di dinding aku lirik. Sudah hampir pukul 12 tengah malam. Pukul berapalah baru aku akan dapat melelapkan mata jika begini keadaannya. Pelbagai posisi telah aku gayakan. Terlentang, meniarap, menonggeng, mengiring dan berselubung namun semuanya tidak membuahkan hasil.
            “Aku jadi begini disebabkan oleh Mazuin jadi aku akan call dia,”kataku membuat keputusan. Nombor Mazuin aku dail. Langsung aku tidak rasa bersalah jika tindakanku ini akan membuatkan tidur Mazuin terganggu.
            “Hai dear,”suara Mazuin aku dengar begitu ceria. Gembira sungguh dia menerima panggilan telefon dariku. Tak tidur lagi rupanya minah ni. Aku merengus geram kerana niatku mahu mengganggu tidurnya tidak berjaya.
            “Kau tak tidur lagi ke Win?”
            “Baru lepas tengok movie di astro first. Biasalah, duduk bujang. Nak layan apa lagi. Movielah babe.”
            Aku diam meradang. Aku harapkan dia marah tetapi aku yang terkena.
            “Lis, kau ada masalah ke?”kali ini aku dengar suara Mazuin agak serius. Kebisuan aku buat Mazuin bersangka begitu.
            “Aku tak rasa aku jatuh cinta dengan Ismail macam yang kau cakapkan tadi,”terus penafian itu aku lakukan.
            “Masa bila pulak aku cakap kau jatuh cinta. Aku cuma kata hati kau tu dah berkocak.”
            “Samalah tu Win.”
            “Tak sama. Berkocak maknanya baru nak diketuk. Belum jatuh cinta lagi.”
Pandai sungguh Mazuin mereka fakta tentang cinta. Dia yang baru sekali merasai nikmat mempunyai perasaan itu sudah pandai mahu mengajar aku yang punya pengalaman lebih banyak daripadanya.
“Apa yang buat kau rasa hati aku sudah berkocak?”
“Kalau kau tanya soalan ini siang tadi memang susah aku nak jawab tapi disebabkan kau tanya soalan ini pada aku sekarang dengan yakinnya aku nak cakap yang kau takkan call aku jika kau tak memikirkan tentang perkara ini. Betul tak? Itu maknanya kau pun keliru dengan hati kau sendiri. Separuh daripada hati kau menyatakan ya, kau sudah mula suka pada Ismail dan separuh lagi menyatakan sebaliknya.”
Aku terdiam tidak mampu bersuara. Mazuin seperti sudah memasukkan aku ke dalam mesin MRI, membuat imbasan ke atas otak dan tubuhku seterusnya membaca segala keputusan yang keluar. Semuanya benar dan tepat. Ya, aku memang sedang keliru dengan hatiku sendiri.
“Kau teruskan sajalah misi kedua untuk melihat BCG Ismail. Kali ni mesti lagi senang. Alang-alang dah suka, kau godalah dia sampai dia menyerah. Kau buka satu-satu pakaiannya. Mula-mula sekali baju, selepas tu tali pinggang...”
“Apa yang kau merepek ni Win. Kau ingat aku ni pelacur?”marahku rasa terhina dengan cadangan Mazuin.
Bukannya Mazuin hendak takut mendengar marahku. Lagi dia ketawa kuat adalah. “Kau tu yang bisu tak mahu bercakap. Lain kali bagilah respon. Tak adalah aku rasa macam aku bercakap dengan dinding. Aku saja mengusiklah.”
“Ya pun janganlah bagi cadangan macam tu. Seram sejuk tau aku rasa. Mujur tak pengsan.”
Tawa Mazuin kedengaran lagi. “Sebenarnya aku pun dah tak ada idea nak kasi kat kau. Ada peluang kau sia-siakan. Takkan nak diulang taktik yang sama. Kau ingat Ismail tu tak ada otak?”
“Itu yang menjadi masalah sekarang ni Win. Aku pun sama  tak ada idea macam kau. Tak tahu nak berlakon apa lagi.”Kataku buntu.
“Kau kena fikirkan juga caranya kerana jika kita tahu dia bukan warganegara Bangladesh makanya aku yakin dialah mamat tulang yang kau cari.”
            Betul kata Mazuin. Misi melihat BCG Ismail tetap akan diteruskan walaupun sukar. Banyak persoalan yang akan terjawab jika aku berjaya melakukannya tetapi aku tidak boleh gopoh. Aku perlu memikirkan strategi yang terbaik untuk menjalankan misi ini supaya Ismail tidak mengesyaki apa-apa tetapi bagaimana?

            HARI ini aku mendapat jiran baru. Pulang saja dari bekerja aku lihat jiran baruku sedang sibuk mengangkat beberapa barangan yang dipunggah dari dalam kereta viosnya. Melihat air mukanya yang keletihan, aku terpanggil untuk membantu.
            “Assalammualaikum,”sapaku ramah. Wanita bertudung labuh itu terkejut. Kotak yang dipegangnya diletakkan semula di dalam kereta.
            “Waalaikumusalam,”jawabnya sedikit tercungap.
            “Saya Ailis. Jiran sebelah. Akak sorang saja ke?”
            Tangan aku hulurkan mahu bersalaman dengan wanita yang aku kira berumur dalam lingkungan tiga puluhan itu.
            “Ada adik kat dalam tapi dia tak sihat,”jawab wanita itu ramah dan menyambut huluran salamku.
            “Biar saya tolong akak ya.”Terus aku menawarkan diri untuk membantu. Wanita itu tidak terus bersetuju. Dia kelihatan serba-salah.
            “Tak payahlah. Tinggal bakul ni dan barang yang di dalam kereta saja. Barang-barang lain semuanya sudah dipunggah dari lori.”Wanita itu menolak dengan sopan permintaanku.
            “Banyak juga lagi barang yang ada dalam kereta. Penat akak nanti.”Beberapa kotak yang berada di dalam kereta aku pandang. Jenuh juga wanita itu mahu mengangkatnya nanti dalam keadaan wajahnya yang sudah pun nampak lesu.
“Kak Cah tak menyusahkan Ailis ke?”soalnya risau.
            Oh, Kak Cah nama panggilannya! Aku tersenyum senang. “Nak susahkan apanya Kak Cah. Saya yang offer diri.”
            Tanpa disuruh, aku mula mengangkat bakul berisi periuk belanga yang aku lihat elok tertenggek di atas rumput. Melihatkan aku sudah pun mula berkerja, Kak Cah tidak banyak cakap. Dia mengangkat semula kotak yang diletakkannya tadi. Selepas itu Kak Cah mendahului aku masuk ke rumah.
            “Bakul tu Ailis letak saja di dapur.”Arah Kak Cah melihat aku termangu- mangu tidak tahu mana mahu meletakkan bakul yang sedang aku pegang. Aku mengangguk faham. Bakul yang boleh tahan beratnya itu aku letakkan di dapur. Selepas itu aku keluar semula mengambil kotak yang berada di dalam kereta Kak Cah.
            “Lajunya Ailis,”kata Kak Cah sewaktu kami berselisih di pintu utama.
            “Nak letak di mana ni Kak Cah?”
            “Letak saja di ruang tamu.”Jawab Kak Cah lantas meninggalkan aku. Kotak yang tidak berlabel itu aku letakkan di tepi meja kopi di ruang tamu. Baru saja aku mahu berpatah balik ke kereta, Kak Cah datang menahan.
            “Ini kotak last. Dah tak ada lagi barang yang perlu Ailis angkat,”kata Kak Cah tercungap-cungap.
            “Patutnya Kak Cah biarkan saja saya yang angkat. Tengoklah Kak Cah tercungap-cungap,”tegurku kasihan melihat Kak Cah kepenatan. Setakat satu lagi kotak yang perlu diangkat tu apalah sangat. Kudratku masih lagi kuat untuk membantu.
            “Adat orang berpindah Ailis. Tak penat bukan pindah rumah namanya,”gelak Kak Cah lantas duduk di atas lantai. Kotak yang dipegangnya itu ditolak ke sisi. Aku turut sama jejak Kak Cah. Tanpa kekok aku labuhkan punggungku ke atas lantai yang sudah pun berdebu.
            “Dah habis semua ke barang Kak Cah?”soalku sekali lagi mahukan kepastian. Aku lihat tidak banyak sangat barang yang Kak Cah bawa ke rumah yang baru disewanya ini. Di ruang tamu itu perabut yang ada cuma satu sofa dua tempat duduk dan meja kopi.
            “Dah habis semuanya. Rumah bujang. Bukannya perlu banyak perabut. Pinggan mangkuk pun setakat dibawa untuk kegunaan kami berdua sahaja.”
            “Ni pun kira okeylah Kak Cah,”kataku memandang ke dapur. Aku lihat kemudahan asas seperti mesin basuh, peti sejuk dan beberapa barangan elektrik lain sudah pun elok tersusun di situ. “Yang penting ada mesin basuh dengan peti sejuk.”
            “Memang itu yang Kak Cah utamakan dulu. Tak adalah teruk nak menyental kain.”
“Dapur masak tak ada lagi ke Kak Cah?”soalku ingin tahu kerana kelengkapan itu tidak kelihatan di pandanganku.
“Tak sempat lagi nak beli. Kak Cah ni lebih utamakan adik. Keperluan dia yang Kak Cah titik beratkan dahulu. Katilnya perlu ditempah khas, tiub makanan perlu dipastikan sentiasa ada dan macam-macam lagilah keperluan hariannya sehingga Kak Cah terlepas pandang dapur yang sangat penting tu.”kata Kak Cah tergeleng-geleng menyesali kealpaan diri.
 Aku kebingungan. Sakit yang bagaimanakah yang dihidapi oleh adik Kak Cah sehingga kelengkapannya seperti kemudahan asas yang digunakan di hospital? Faham dengan perubahan air mukaku Kak Cah melambai. “Mari masuk sini,”katanya lalu bangun dan membuka pintu bilik utama.
Aku turutkan saja kehendak Kak Cah. Kaki aku atur masuk ke dalam bilik tersebut dan sebaik masuk aku tergamam dengan apa yang aku lihat. Seorang wanita berambut pendek seperti lelaki sedang berbaring elok di atas katil hospital. Dilehernya terdapat tampalan putih dan wayar yang tergantung.
“Adik Kak Cah?”
            “Ya. Ailis boleh panggil dia Kak Nin.”Angguk Kak Cah mengiyakan kata-kataku tadi.
            Perlahan-lahan aku mendekati Kak Nin yang langsung tidak bergerak. Tangan kirinya aku pegang. Sejuk.
            “Nin, kita ada tamu. Jiran sebelah. Namanya Ailis. Cantik orangnya Nin. Dahlah cantik baik pula tu. Dia tolong Kak Cah angkat barang. Dia ada dalam bilik ni nak berkenalan dengan Nin.”Aku dengar Kak Cah memberitahu Kak Nin akan kehadiranku. Entah mengapa sebaik mendengar kata-kata Kak Cah itu airmataku terus mengalir laju membasahi pipi. Cepat-cepat aku berlari keluar malu dengan tindakanku itu.
            “Ailis sedih,kan?”Bahuku terasa dipegang. Aku menoleh memandang Kak Cah yang rupanya membuntutiku.
            “Maafkan saya Kak Cah,”pintaku rasa bersalah. Tidak patut aku menunjukkan kesedihan di hadapan Kak Cah yang baru sahaja aku kenal.
            “Siapa pun yang melihat Nin untuk pertama kali pasti akan tersentuh.”
            Airmata yang mengalir aku kesat. “Saya sedih lepas tengok cara Kak Cah bercakap dengan Kak Nin,”terangku jujur. Kak Cah menganggap Kak Nin normal seperti aku, seperti dia dan seperti orang lain. Itu sebenarnya yang meruntun tangkai hatiku.
            “Doktor kata Nin dengar orang disekelilingnya bercakap cuma dia tidak mampu untuk memberikan sebarang respon. Kak Cah tak mahu dia rasa terpinggir jika Kak Cah melayaninya seperti orang sakit. Kak Cah buat macam biasa, macam dulu-dulu sebelum dia jatuh sakit,”terang Kak Cah agar aku faham.
            “Dah lama Kak Nin sakit?”
            “Lama jugalah. Dia kemalangan kereta. Kalau Ailis nak tahu tempurung kepala Nin sudah dibuang sedikit.”
            Aku benar-benar terkejut dan ternganga kerana ngeri mendengar penderitaan yang harus ditanggung oleh Kak Nin.“Ya Allah, seksanya Kak Nin.”
            “Selepas enam bulan kemalangan, Nin sedar dari koma. Kak Cah bawa Nin pulang ke kampung. Nin di refer di hospital sana tetapi tiga bulan lepas, Nin koma semula. Doktor kata harapan Nin untuk sedar adalah tipis tetapi Kak Cah tak berputus asa. Nin pernah koma selama enam bulan jadi Kak Cah yakin yang Nin akan sedar juga. Kak Cah pindahkan Nin ke sini. Doktor di sini pun tidak memberikan sebarang harapan kepada Nin. Kak Cah dah tiada upaya. Akhirnya Kak Cah berbincang dengan doktor untuk mengizinkan Kak Cah membawa Nin pulang ke rumah. Sekurang-kurangnya Nin dapat rasa suasana rumah yang lebih selesa. Mulanya Kak Cah nak bawa Nin pulang ke kampung semula tetapi atas perbincangan semua ahli keluarga adalah lebih baik Kak Cah menetap saja di Kuala Lumpur.”
            Aku mengangguk-anggukkan kepala faham dengan penerangan panjang lebar Kak Cah.
            “Kebetulan pula Kak Cah memang ada butik di sini. Walaupun ada sepupu yang menjaganya tetapi bila ada masalah tak adalah jauh sangat Kak Cah nak berulang-alik ke butik. Waktu di kampung dulu memang susah Kak Cah. Apabila perlu menjenguk butik, Kak Cah kena cari orang yang boleh jaga Nin. Hati Kak Cah di Kuala Lumpur pun tak tenang. Dah duduk di sini tak apa. Kak Cah suruh sahaja pekerja datang cari Kak Cah di rumah jika ada hal yang perlukan kelulusan Kak Cah.”
            Kasihan aku mendengar beban yang harus ditanggung oleh Kak Cah. Mahu bertanya lebih lanjut kenapa ayah dan ibunya atau ahli keluarga yang lain tidak turut membantu menjaga Kak Nin aku segan. Yelah, kami baru saja berkenalan masakan mahu bertanyakan soalan sensitif  itu.
            “Memandangkan Kak Cah dah pun jadi jiran kami, saya harap Kak Cah janganlah segan-segan untuk bercerita dengan kami jika ada masalah. Apa yang kami boleh bantu, kami akan bantu,”dengan ikhlas hati aku menawarkan diri. Lagi pun siapa lagi yang boleh Kak Cah harapkan melainkan kami jirannya.
            “Malulah Kak Cah. Ailis tolong Kak Cah angkat semua kotak-kotak tu pun Kak Cah tak tahu nak berterima kasih macam mana.”
            Aku senyum faham dengan situasi Kak Cah. “Sikit aje Kak Cah. Tak keluar peluh pun saya angkat kotak-kotak tu.”
            “Untung Kak Cah dapat jiran sebaik Ailis.”Kak Cah memberikan pujian. Aku tersenyum senang.
            Jam di pergelangan tangan aku lirik. Jarum sudah pun menunjukkan ke pukul enam empat puluh lima petang. Waktu maghrib hampir tiba. Aku rasa lebih baik aku pulang dahulu membersihkan diri. Selepas maghrib nanti aku akan ke situ semula membawakan makanan buat Kak Cah yang tidak punya kelengkapan memasak.
            “Saya minta diri dulu ya Kak Cah. Nak balik mandi dan solat. Lepas tu saya datang balik hantar makanan untuk Kak Cah jadi Kak Cah tak perlulah susah-susah keluar cari makanan ya,”pesanku meminta diri.
“Ya Allah Ailis. Tak perlulah susah-susah sampai macam tu sekali.”Sewaktu menuturkan kata-kata itu aku lihat wajah Kak Cah seperti mahu menangis. Dia tersentuh barangkali dengan sikap ambil beratku tadi.
“Tak ada apa yang susahnya Kak Cah. Kak Cah anggap itu sebagai salam perkenalan kita.”
Kak Cah angguk faham bersama dengan sebuah senyuman yang panjang.  Dia tidak bersuara tetapi mengiringi langkahku sehingga ke pintu pagar.
            “Assalammualaikum Kak Cah,”ucapku sebaik keluar dari pagar.
            “Waalaikumusalam. Terima kasih sekali lagi ye Ailis.”
            “Sama-sama Kak Cah.”

            Jawabku senang. Aku atur langkah masuk ke rumah bersama dengan seribu satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Rasa sedih, terharu, insaf dan syukur dikisar menjadi satu. Melihat dugaan orang lain dengan mata kepala sendiri membuatkan aku sedar kehidupan yang aku miliki kini adalah terlalu baik. Melihat betapa redanya Kak Cah menerima dugaan yang Allah berikan buat aku malu.  Selama ini aku sering merungut apabila ditimpa dugaan-dugaan yang kecil. Sepatutnya aku perlu lebih mensyukuri nikmat hidup yang aku miliki. Mengenangkan itu tanpa sedar sekali lagi airmataku mengalir membasahi pipi. Aku insaf.


** Alhamdulillah... cukup 10 bab untuk tatapan semua. Moga anda terhibur membacanya.... Untuk bacaan versi yang telah dibuat penambah baikan dari segi ejaan oleh editor, bolehlah singgah di www.penulisan2u.my ataupun di wattpad karyaseni.

Much Luv,

Liz Haliza.

No comments:

Post a Comment