Lamanya tak update blog. Sampai saya terlupa password. Mujur memang ada tulis dulu jadi selongkarlah buku catatan lama mencari.
Ada orang kata saya tak serius menulis, ada orang nasihat macam mana nak berjaya dalam bidang ni kalau jadi choc fudge. Kejap ada kejap tak ada. Saya sengih dan telan sajalah apa yang orang kata. Betullah tu tapi kehidupan setiap manusia manakan sama. Apa yang berlaku di sebalik pintu rumah seseorang itu tak kan serupa dengan yang lain. Tiada istilah nak seribu daya tak hendak seribu dalih bagi seorang ibu seperti saya. Yang ada hanyalah cuba menggembirkan hati semua pihak sebaik mungkin mengikut kudrat yang ada. Apa yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu akan diutamakan.
Menulis bukanlah sesuatu yang saya anggap tidak penting. Ianya tetap menjadi minat saya sampai bila-bila. Saya ikhlas berkarya dan berusaha sebaik mungkin di dalam bidang ini.
Sejujurnya pada tahun lepas saya ada menulis manuskrip thriller. Saja cuba cabar diri. Dan hasilnya.... ternyata hancuss. Hihihi. Mungkin saya bukan tergolong dalam golongan yang memang menjadi aje buat cerita apa pun. Saya ni jenis yang perlu belajar, perlu di polish banyak kali baru cantik hasilnya. Jadi, saya stop dulu cita-cita saya tu. Kena banyakkan membaca genre seperti itu dan buat research. Penuhkan ilmu di dada . Dah penuh baru saya berjuang balik ya.
Jadi saya 'u trun' ke genre sengal saya. Di sini saya tepek manuskrip saya yang bakal diterbitkan tidak lama lagi. Ianya versi asal yang belum di edit editor. Tajuk tu biarlah rahsia dulu. Nanti saya beritahu tau. Moga anda semua terhibur membacanya. Mana yang terkurang tu harap dimaafin. Muahhh.
Kurnia Cinta...
Liz Haliza.
DBM?
Tak mungkin ku percaya...
PROLOG
“Terima kasih,”kata lelaki itu dalam keadaan sangat
lemah. Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Lidahku kelu untuk berkata-kata.
Mataku sudah bergenangan airmata manakala jantungku berdegup dengan kencang.
Sewaktu tubuhnya mahu disorongkan ke dalam ambulan,
sempat lagi dia cuba memegang tanganku tetapi pegangan yang sangat lemah itu
mudah saja terlerai.
“Sudahlah Tu Lis,”bisik Mazuin menarik tubuhku ke
belakang. Pintu ambulan ditutup dan di situlah pengakhiran pertemuan kami.
“Kami nak gerak dululah ya cik,”kata pemandu ambulan
mengejutkanku. Aku pantas menahan.
“Nak bawa pesakit ke hospital mana?”Kataku mahu tahu.
Mujurlah juga aku mampu berfikir untuk bertanyakan soalan itu.
Sekurang-kurangnya boleh juga aku menjenguknya jika ada kelapangan masa.
“Hospital Selayang.”
Aku angguk faham. Pemandu ambulan tersebut terus berlalu
ke hadapan.
“Ke tepi sikit Lis,”tarik Mazuin bimbang melihat tubuhku
semakin mendekati ambulan yang sudah pun bersedia untuk bergerak. Aku akur dengan arahan Mazuin.
Tubuh aku anjakkan ke belakang semula.
Ambulan bergerak perlahan-lahan. Airmataku juga
perlahan-lahan mengalir jatuh ke pipi. Entah mengapa aku jadi sayu ditinggalkan
oleh lelaki yang langsung tiada pertalian darah denganku. Lelaki yang aku jumpa
hanya beberapa minit tetapi telah berjaya merobek hatiku dengan renungannya.
“Sudahlah tu Lis. Dia selamat di hospital,”pujuk Mazuin
menepuk-nepuk belakang tubuhku. Tepukan itu aku kira adalah sebagai tanda
penenang tetapi sebenarnya aku langsung tidak merasai apa-apa. Mazuin gagal
dalam usahanya.
“Kasihan sungguh Win. Siapakah dia? Macam mana dia boleh
berada di sini?”soalku mencari jawapan atas persoalan yang Mazuin sendiri tidak
tahu jawapannya.
“Entahlah Lis,”keluh Mazuin berat.
“Dia bukan gelandangan. Kukunya sangat bersih. Tetapi
mengapa tubuhnya seperti mayat hidup?”Soalku kebingungan. Dengan mata yang
terperosok ke dalam, tubuh yang kurus kering dan pipi yang cengkung, lelaki itu
dilihat tidak ubah seperti mayat hidup.
Masih
segar di ingatanku sewaktu kami meninggalkan perkarangan masjid menuju ke arah
kereta yang diparkir di luar pagar, kami melihat sesusuk tubuh yang tidak
bermaya sedang merangkak meminta bantuan. Aku pantas berlari menangkap tubuh
itu yang hampir tertiarap di atas jalan raya bertar. Tubuh itu aku letakkan di
atas pangkuanku. Selepas itu aku menjerit menyuruh Mazuin menghubungi ambulan.
“Sudahlah
tu Lis. Kita dah pun jalankan tanggungjawab kita. Tahulah pihak hospital
mencari warisnya nanti,”pujuk Mazuin mematikan lamunanku.
“Moga
begitulah Win,”kataku mengharap. Aku membuntuti langkah Mazuin yang sudah pun
mula menapak menuju ke kereta sambil membetulkan tudungku yang senget benget
ditarik oleh lelaki tadi. Brooch yang
mencantumkan tudung di bahagian dada aku raba dengan niat mahu membetulkan
kedudukannya yang terkangkang . Sebaik menyedari apa yang aku cari tiada aku
menjerit kuat. “Brooch aku tanggallah
Win.”
Tanpa
menunggu reaksi Mazuin terus aku berpatah semula ke belakang mencari kalau-kalau
ada broochku tercicir di situ.
“Alah
brooch aje kut. Macamlah tak ada
brooch lain di rumah,”bebel Mazuin yang jelas kelihatan terganggu. Dia
mendapatkan aku.
“Tapi
ini brooch yang mama bagi. Yang
tertera nama aku tu,”terangku mengharapkan agar Mazuin memahami betapa
bermaknanya brooch tersebut kepadaku.
“Brooch
yang mama kau tempah khas tu ke? Uish susah nak dapat,”mendengarkan itu barulah
Mazuin mahu membantu. Dia turut terbongkok-bongkok mencari di atas jalanraya.
“Yelah
Win. Kalau bukan yang itu tak adalah aku gabra sangat.”Kataku hampir melelehkan
airmata.
“Tak
apa. Kita cari slow-slow okey. Mesti
jumpa punya,”Mazuin memujukku. Terbongkok-bongkoklah kami melihat ke atas jalan
raya mencari brooch yang begitu
bermakna kepadaku. Hadiah pemberian mama sempena meraikan aku tamat belajar dua
tahun yang lalu.
“Tak
adalah Win.” Aku semakin panik kerana
brooch kesayanganku itu langsung tidak kelihatan di mana-mana. Tubuh yang
terasa sakit akibat membongkok aku tegakkan. Mazuin juga berbuat demikian.
“Tercicir
di dalam masjid kut.”katanya meneka.
“Tak,
aku ingat lagi aku betulkan pinnya sambil kita berjalan keluar masjid tadi.
Lepas tu kita nampak lelaki yang kita tolong tadi dan....”
“Tercicir
masa tulah agaknya sebab dia ada tarik tudung kau,kan?”Potong Mazuin mengingati
momen tadi.
“Alah
Win. Mungkin jatuh atas tubuhnya.”Keluhku kecewa.
“Kelam
kabut tadi Lis. Manalah nak perasan.”
Aku
mengeluh kesal dengan kecuaianku. Suka atau tidak nampak gayanya terpaksalah
aku reda sahaja dengan kehilangan ini. Pandai-pandailah aku memberikan alasan
kepada mama nanti. Pasti mama akan memahami.
“Dah
tak ada rezeki aku Win. Jomlah kita balik.”
“Betul
nak balik? Tak nak cari lagi?”Soal Mazuin mahukan kepastian.
“Dah
lewat malam ni Win. Bahaya. Lebih baiklah kita balik. Tentang brooch tu kalau dah memang bukan rezeki
aku nak buat macam mana.”
Keselamatan
diri lebih menjadi keutamaan saat ini. Aku tidak mahu menanggung risiko hanya
kerana sebiji brooch. Tetapkan hati
redakan diri, kehilangan pasti akan berlaku tidak kira dalam bentuk apa sekali
pun.
BAB 1
Setahun
kemudian
Pintu
rumahku diketuk dengan kuat. Aku menoleh memandang ke arah mama yang sebelum
ini sudah pun terlelap di sofa. Aku lihat mama terpisat-pisat bangun sambil
menggosok-gosok matanya.
“Siapa
yang ketuk ma?”soalku cuak. Jam di dinding aku lirik. “Dah pukul satu pagi ni
ma.”
Pintu
sekali lagi berdentum-dentam berbunyi. Aku semakin panik. Dengan penuh
hati-hati langkah aku atur ke arah pintu utama.
“Tak
payah bukalah kakak. Aiman tak ada ni. Kalau dia ada beranilah juga
mama,”nasihat mama yang jelas kelihatan pucat.
“Tolong
saya cik. Buka pintu ni,”tiba-tiba ada suara yang aku dengar dari sebalik daun
pintu dan suara itu aku kenal pemiliknya. Dengan pantas tanganku menyelak daun
pintu. Sebaik pintu terbuka aku dapat lihat lelaki yang pernah aku tolong
dahulu sedang berpaut di gril.
“Awak,”jeritku
terkejut tidak sangka tekaanku tepat.“Mama, ambilkan kunci. Kakak kenal siapa
dia,”laungku meminta pertolongan mama. Mujurlah mama tidak banyak soal dan
terus mencari kunci rumah yang biasanya kami letakkan di atas kabinet tv.
“Kawan
kakak ke ni?”soal mama sebaik kunci dijumpai. Dia pantas memasukkan kepala
kunci ke gril.
Aku
tidak menjawab hanya sabar menanti gril terbuka. Sebaik gril mama tolak, aku
keluar lalu memapah tubuh lelaki itu masuk ke dalam. Aku sandarkan tubuhnya ke
sofa yang mama duduki tadi.
“Nak
buat apa ni kakak?”soal mama yang jelas kelihatan panik. Sebenarnya aku turut
merasai perasaan yang sama tetapi demi lelaki itu aku kuatkan semangat.
“Boleh
mama ambilkan kakak kain basah? Yang bersih ya ma,”pintaku dengan lembut. Seperti
tadi mama hanya menurut. Terus saja dia masuk ke bilik.
“Awak
masih ingat saya?”soalku pula kepada lelaki yang kurus-kering itu. Aku melutut
menghadapnya.
“Ingat
sebab itulah saya cari awak,”katanya mengangguk. Aku rasa sangat terharu. Gigih
lelaki yang tidak aku kenali itu mencariku di rumah. Bagaimana dia tahu alamat
rumahku itu agak misteri tetapi lantaklah janji dia telah pun berusaha untuk
mencariku dan usahanya itu patut diberikan pujian.
“Awak
lari dari hospital ke?”Dugaku mengorek rahsia. Manalah tahu agakkan aku itu
tepat.
“Mereka
tak nak tolong saya jadi buat apa saya tinggal di sana.”
“Ni
tuala yang kakak nak,”mama datang menghulurkan tuala basah berwarna pink kepadaku sekaligus mengganggu
perbualan kami.
“Terima
kasih mama.”Kataku berbahasa. Tuala di tangan mama aku ambil. Selepas itu dengan
penuh hati-hati aku lap wajah lelaki itu.
“Sini
rupanya kau,”kuat satu suara bertempik. Aku terkejut sehingga terlepas tuala di
tangan. Seorang lelaki berbadan besar muncul entah dari mana menerpa masuk
melalui pintu yang tidak bertutup.
“Tolong
saya Ailis.”Rayu lelaki yang aku tolong tadi ketakutan. Aku tergamam tidak tahu
apa yang harus dilakukan. Niat di hati mahu menolong tetapi melihatkan betapa
besarnya tubuh lelaki yang bertempik tadi aku rasa takut.
“Tolong
saya Ailis. Tolong saya,” rayu lelaki yang aku tolong tadi sekali lagi apabila
tubuhnya ditarik dengan kasar oleh lelaki berbadan besar itu.
“Kau
siapa? Apa yang kau nak buat dengan dia?”Bagaikan mendapat kekuatan luar biasa
terus aku bertempik memarahi lelaki berbadan besar itu.
“Kakak.”
“Kakak?
Kau panggil aku kakak. Sejak bila mak aku beranakkan kau?”Tengkingku dengan
garang.
“Kakak,
bangun kakak.”Aku terasa tubuhku digoncang. Pipiku pula terasa perit seperti ditampar.
“Berani
kau sentuh aku. Tak guna.”Aku mula memberikan serangan balas. Tanganku
terkapai-kapai mahu memukul lelaki itu.
“Kakak..
apa ni? Bangun?”Aku makin geram. Tak reti bahasa betul lelaki ini. Masih berani
memanggilku kakak seperti sudah lama mengenaliku. Aku terus memberikan serangan
kepada lelaki itu dan tiba-tiba.....
Pangg,
satu tamparan hinggap di pipi.
“Sakitlah,”marahku
meradang. Mata aku buka dan aku bingkas duduk.“Mama,”jeritku terkejut melihat
mama berada di depan mata.
“Ya
Allah kakak. Sedar pun. Teruk mama kakak kerjakan. Bermimpi sampai
menengking-nengking mama. Tak cukup menengking memukul mama pula. Apa nak jadi
ni?”geleng mama emosi. Wajahnya tak boleh ceritalah nampak bengis dan garang.
“Kakak
kat mana ni ma? Lelaki tu mana?”Aku tercengang-cengang. Mataku liar memandang
sekeliling bilik.
“Lelaki
mana?”
Aku
pandang wajah mama yang telah bertukar galau. “Kakak mimpi ya ma,”keluhku
perlahan setelah menyedari apa yang berlaku. Selain itu aku juga kesal kerana
telah mengasari mama.
“Kakak
mimpikan mamat tulang tu lagi?”Aku hanya mampu mengeluh lagi. Soalan mama itu
tidak aku jawab. “Betul,kan?”soal mama lagi dengan tegas.
“Dah
setahun dah ma tetapi kenapalah kakak asyik teringatkan dia?”Akhirnya aku
mengaku. Ketegasan mama menakutkan aku.
“Sebab
kakak terlalu memikirkan tentang dia. Kan mama dah pernah cakap dulu, dia bukan
tanggungjawab kakak. Pertolongan kakak cukup setakat yang kakak mampu.”
“Sepatutnya
kakak ikut dia ke hospital. Kakak pastikan dia selamat. Entah-entah dia dah tak
ada lagi ma,”kataku menyesal. Kalaulah aku luangkan masa untuk mengikut ambulan
yang membawa lelaki yang aku tolong itu ke hospital pasti sekarang ini aku tahu
apa yang berlaku kepadanya.
“Bukankah
kakak dah ke hospital cari dia. Kakak dah usaha.”Mama mengingatkan aku tentang
itu. Dua hari selepas peristiwa itu, aku
pergi ke Hospital Selayang mencari lelaki itu tetapi tidak berjumpa. Amat susah
untuk pihak hospital memberikan bantuan kepadaku tanpa sebarang maklumat.
“Usaha
yang tak cukup ma.”
“Sudahlah
kakak. Tak perlu diingatkan lagi orang yang tidak ada kena mengena dengan kita.
Pertolongan yang kakak berikan sudah lebih daripada cukup. Dia ada keluarga dan
mama pasti keluarganya tidak akan membiarkan dia tanpa pembelaan.”
Sekali
lagi dengan tegas mama memberikan arahan. Selepas itu mama berlalu pergi
meninggalkan aku yang terasa hati dengan sikap mama yang seperti mementingkan
diri itu.
“Mama
ni,”keluhku kesal. Aku duduk di birai katil. Rambut yang kusut masai aku usap
ke belakang. “Mama yang aku kenal baik hati orangnya. Mungkin mama sudah tidak
boleh bertolak-ansur lagi dengan sikap aku yang terlalu memikirkan tentang
mamat tulang itu.”Kataku memujuk diri sendiri. Tidak baik aku berprasangka
dengan wanita yang telah menjaga aku selama ini dengan sebaik-baik jagaan.
Takkanlah hanya kerana dia tidak menyukai aku bercerita tentang mamat tulang
itu lagi aku terus melabelkannya sebagai kejam dan tidak bertimbang rasa.
Aku
berbaring semula ke katil. Mata aku pejamkan cuba untuk menyambung tidur tetapi
aku gagal berbuat demikian. Bayangan mamat tulang itu masih kelihatan di
ruangan mata.
“Siapa
pun kau, bagaimana pun keadaan kau dan di mana pun kau berada tolonglah...” Aku
terdiam seketika. “Tolonglah pergi jauh dari hidupku.”
AKU
ralit memandang berus berwarna-warni itu bergerak dari depan ke belakang
menjalankan tugasnya mencuci kereta myvi comel milik Mazuin. Sekali-sekala
bibirku menguntumkan senyuman bak kanak-kanak kecil yang rasa seronok dan kagum
dengan sesuatu yang jarang aku nikmati.
“Kau
ni Lis macam tak pernah cuci kereta saja aku tengok,”muncul ayat itu dari mulut
Mazuin. Aku menoleh memandang ke arah sahabat baikku itu yang sudah pun
memandang ke hadapan menunggu masa untuk bergerak sebaik mesin habis menjalankan
tugas.
“Aku
tak pernah cuci kereta macam ni. Rasa seronoklah pula,”kataku tidak malu
mengaku. Biasanya mama yang rajin menaburkan bakti mencuci kereta milikku. Kata
mama buat apa membazirkan wang mencuci kereta di kedai.
“Kau
bawalah kereta kau ke sini. Hari-hari pun tak apa sebab kau suka,kan?”senyum
Mazuin menyindir.
“Tak
naklah. Takut.”
“Apa
yang nak ditakutkan?”bulat mata Mazuin memandang ke arahku. Pelik barangkali
mendengar kata-kataku tadi.
“Tak
biasa tentulah takut.”
“Ikut
sajalah arahan yang diberi. Bukannya susah. Susah lagi masak nasi,”gelak Mazuin
kelakar dengan kata-katanya sendiri.
Aku
hanya tersenyum kecil tanpa sebarang kata. Mataku lebih seronok memerhatikan
buih-buih sabun yang bertebaran di atas cermin kereta umpama salji memutih yang
menggamit tanganku untuk menyentuhnya.
“Kemain
khsusyuk lagi kau ya Ailis. Nanti kau carilah lelaki tauke kedai cuci kereta
sebagai suami. Sehari sepuluh kali cuci kereta pun tak apa. Taklah kau rugi
sebab free of charge,”usik Mazuin
mahu menarik perhatianku yang seperti hanyut di alam fantasiku sendiri.
“Minta-minta
masinlah mulut kau tu Win. Mana tahu jodoh aku dengan tauke kedai cuci kereta
alamat hari-harilah aku mengadap benda alah ini,”sambutku dalam tawa.
“Tak
berasap dapur kau Lis. Cukup enam bulan laki kau kahwin lain,”sambung Mazuin
turut sama ketawa.
“Win
gerak. Dah hijau,”jeritku tiba-tiba membantutkan tawa besar Mazuin tadi. Lampu
hijau yang menyala membuatkan aku gelabah.
“Kau
ni, buat terkejut aku sahaja. Aku tahulah nak gerak,”Mazuin muncung tidak
senang dengan jeritanku tadi. Perlahan-lahan dia menggerakkan keretanya.“Orang
tengah sedap-sedap gelak dia menjerit pula,”tambah Mazuin lagi setelah kereta
elok dihentikan di kelompok lelaki yang memakai pakaian berwarna kelabu.
“Sorry.”Kataku meminta maaf. “Aku ingat
kau tak perasan lampu tu menyala.”
“Mana
boleh tak perasan. Aku yang bawa kereta jadi aku tahulah apa yang perlu aku
buat,”kata Mazuin berlagak.
Tidak
aku hiraukan lagak Mazuin itu. Aku ralit memandang ke arah lelaki-lelaki yang
sedang mengelap kereta kami. Persefahaman yang mereka miliki buat aku kagum.
Dalam banyak-banyak wajah yang sedang khusyuk menjalankan
tugas, mataku tertancap ke arah seseorang. Lelaki itu nampak lebih cerah
daripada rakan-rakannya yang lain. Wajahnya juga kelihatan lebih kemelayuan.
“Tengok tu Win,”kataku memuncungkan bibir menunjuk ke
arah lelaki yang menarik perhatianku. Mazuin pantas bertindak. Matanya terus
menghala ke arah yang aku tunjuk.
“Siapa? Kau kenal ke?”soalnya penuh tanda tanya.
“Tak kenal.”Jawabku jujur.
“Habis tu buat apa kau suruh aku tengok. Kalau handsome
tak apalah juga,”cebik Mazuin menyesal mengikut arahanku. Huh, dia ni nak yang
handsome saja! Macamlah muka tu lawa sangat.
“Boleh tahanlah juga muka dia. Kau ni tak baik tahu asyik
nak mengata ciptaan Allah. Cuba kau pandang betul-betul.”
Mazuin turutkan kehendakku. Dia memandang semula wajah
lelaki yang sedang mengelap bahagian hadapan kereta kami. “Bolehlah,”komennya
tidak ikhlas.
“Macam muka melayu,kan. Tak sangka ada melayu yang sanggup
buat kerja-kerja macam ni,”pujiku melambung tinggi. Kagum aku dengan semangat
lelaki melayu yang tidak kisah berpanas dan
berpeluh dalam mencari rezeki.
“Mana ada melayu nak buat kerja macam ni. Semuanya
pekerja Bangladesh mari,”juih Mazuin tidak bersetuju dengan pendapatku. Dia ni
memang ratu bangkang. Nak juga menang.
“Melayu. Aku yakin sangat. Kau tengok lelaki kiri kanan
kita ni.”Aku menunjuk ke arah lelaki yang berada di kiri dan kanan kami.
“Kenapa?”
“Muka sepesen,kan? Sekali tengok dah tahu mereka warga
asing tetapi yang itu tak,”kataku yakin.
“Mana ada lain. Sama saja aku tengok. Sah-sah satu kapal.
Mesti semuanya datang dari Bangladesh,”dengan senang Mazuin menjatuhkan hukum.
“Tidak Win. Aku yakin dia melayu. Memang aku respectlah orang melayu yang sanggup
buat kerja kuli macam ni,”pujiku sekali lagi dengan ikhlas. Sebagai melayu aku
kenal sangat pemikiran bangsaku sendiri kerana aku juga tergolong dalam
golongan yang memilih pekerjaan. Tidak akan aku lakukan kerja-kerja buruh
sebegini yang menuntut aku untuk kelihatan selekeh dan berpeluh sepanjang masa.
“Kau ingat tak ada orang luar yang muka macam
melayu?”sekali lagi aku lihat bibir Mazuin menjuih tetapi kali ini kadar
juihannya lebih panjang.
“Dia lain Win. Mukanya tu manis. Kulitnya walaupun tak
berapa nak putih macam kita tetapi aku tahu dia ni Made In Malaysia.”
Mazuin ketawa kecil. Dia menepuk-nepuk bahuku. “Made in Malaysia? Kelakarlah kau ni.
Ingat barang ke?”
Belum sempat aku menjawab kata-kata Mazuin itu, aku
terdengar cermin kereta diketuk. Mazuin pantas menurunkan cermin di kanannya.
Serentak dengan itu bau yang kurang enak menerjah masuk ke rongga hidung.
“Sudah siap?”Soal Mazuin lalu mencari-cari beg duitnya.
“Bolum. Kakak mahu kilat itu tayar ka?”Lelaki berhidung mancung
seperti Shah Rukh Khan itu menyoal.
“Berapa charge?”soal
Mazuin garang. Aku terkejut mendengar frekuensi suara Mazuin tiba-tiba berubah
tinggi.
“Tambah satu ringgit juga kakak. Semua sekali enam.”Lima
jari kanan ditunjukkan berserta dengan sebuah senyuman yang panjang di bibir.
Haish dia ni. Enam dengan lima pun tak boleh nak beza tetapi tak apalah.
“Okeylah,”angguk
Mazuin bersetuju. Tangan Mazuin laju menaikkan cermin kereta. Lelaki tadi pula terus
beredar menyambung tugasannya.
“Apasal kau tak pastikan betul-betul bayarannya? Mulut
kata enam tapi jari bangla tadi tunjuk lima?”Soalku saja mahu tahu isi hati
Mazuin.
“Busuk tahu tak. Busuk.”
“Sebab itu tadi kau garang sangat dengan dia? Tak baik
tau,”kritikku tidak bersetuju dengan tingkah laku Mazuin. Anak dara mana boleh
garang sangat. Tak kiralah siapa pun yang sedang berkomunikasi dengan kita,
sebagai manusia kita perlulah bersifat lebih sopan.
“Dah busuk sangat. Tak tahan.”
Aku geleng kepala bersulamkan tawa. Bahu Mazuin aku
tepuk. “Itulah aku kata tadi. Orang melayu takkan sanggup buat kerja macam ni.
Berpeluh, selekeh, busuk. Orang luar saja yang sanggup. Tengok kau sendiri pun
tak tahan,kan? Tapi busuk-busuk mereka pun mereka mencari rezeki yang halal.
Dengan kudrat yang mereka ada. Sebab itulah aku kagum sangat dengan lelaki yang
aku kata melayu tadi.”Mataku laju memandang ke hadapan mahu melihat semula
lelaki yang telah menarik perhatianku tadi tetapi malangnya tiada sesiapa pun
yang berada di situ. “Eh, dah tak adalah!”
“Dia seram dengan kau sebab itu dia lari.”
Tidak
semena-mena cermin kereta diketuk sekali lagi tetapi kali ini bukan di bahagian
pemandu tetapi di bahagian tempat dudukku. Laju aku menoleh ke kiri mahu melihat
siapa yang mengetuk dan tatkala mataku tertancap ke wajah itu aku terpaku.
“Woi
Lis. Apasal tak dibuka tingkap tu?”nyaring kedengaran suara Mazuin menegurku.
“Haa
apa?”Soalku blur.
“Turunkan
cermin tu,”gesa Mazuin sambil menunjukkan butang kawalan cermin di kiriku. Aku
patuh mengikut.
“Siap,”sebaik
cermin tingkap terbuka aku dengar lelaki itu laju mengeluarkan kata.
“Siap?
Apa yang siap?”Aku kebingungan. Lelaki itu tersenyum panjang. Manis sungguh
senyumannya itu memukauku.
“Tepilah kau Lis. Nah enam ringgit,”dengan kasar Mazuin menolak
tubuhku. Dia bongkok lalu menghulurkan wang kertas berwarna hijau dan biru kepada
lelaki tidak bernama itu.
“Thanks.”
Dengan sopan lelaki tadi menyambut pemberian Mazuin. Aku
mengambil peluang yang ada untuk terus merenung wajahnya dan tiba-tiba hatiku
terdetik sesuatu. Macam sama. Tak
mungkinlah. Tapi ya sama.
“Sudahlah tu Lis. Kita dah ada atas jalanraya ni,”sergah
Mazuin mengejutkan aku.
“Haa... atas jalanraya. Bila masa kau gerak?”Soalku
terkejut. Aku langsung tidak menyedari yang Mazuin sudah pun meninggalkan
tempat cuci kereta tadi.
“Macam mana kau nak perasan kalau kau asyik nak berangan.
Dengan lelaki yang macam gitu pun kau dah terpukau dan angau.”
Aku cubit lengan Mazuin marah dengan mulut cabulnya itu.
Sesuka hati saja buat kesimpulan sendiri sedangkan yang sebenarnya aku sedang
memikirkan hal yang lain.
“Dah betul,kan. Nak mencubit kita pula,”marah Mazuin
menampar pehaku.
“Kau perasan tak Win?”
“Perasankan apa? Peha kau besar macam kayu balak?”
Pecah tawaku mendengarkan pertanyaan Mazuin itu. Dia ni
memang loyar buruk sungguh. Suka sangat menyakatku. Hilang marahku tadi.
“Seriuslah
Win. Aku maksudkan kau perasan tak muka lelaki tu macam siapa?”
“Macam melayu? Haish kau ni, tadikan kau dah cakap.
Selagi aku tak kata ya dan bersetuju dengan kau selagi itulah kau tak berpuas
hati,kan?”Bebel Mazuin serkap jarang.
“Muka dia tu macam mamat tulang yang kita cari-cari
selama ini.”
Mulanya Mazuin senyap tidak bereaksi tetapi beberapa saat
kemudian tawanya meletus kuat. Sampai simpang siur kereta yang sedang dipandu
mengikut rentak tubuhnya yang bergoyang-goyang ketawa.
“Hati-hatilah Win. Ketawa-ketawa juga,”tegurku memberikan
amaran. Aku tidak mahu kami tersadai di hospital disebabkan oleh kecuaian
sendiri. Ramai yang akan susah nanti jika ada perkara buruk yang berlaku kepada
kami.
“Sorry babe”angguk
Mazuin akur akan perbuatan merbahayanya. Mujur yang ini dia mengaku kalau dia berkeras
tadi memang sah kena penamparku. Bagiku soal keselamatan diri tidak boleh
dibuat main.
“Kau setuju tak dengan apa yang aku cakap tadi?”soalku
semula setelah aku lihat Mazuin kembali tenang.
“Soalan kau tulah yang buat aku gelak sakan.” Tawa Mazuin
kedengaran semula. Entah apa yang kelakar sangat dengan soalan itu pun aku
tidak tahu.
“Kenapa?”
“Tak
logik langsung. Mamat tulang tu macam tengkorak babe. Yang ini banyak isi.”
“Dah setahun berlalu Win. Mestilah tubuhnya dah berisi
tapi aku tetap boleh cam wajah dia Win,”kataku sungguh-sungguh mempertahankan
pendapatku tadi.
“Masa kita jumpa dia dulu pipinya cengkung, mata
terperosok ke dalam dan kulit tak berapa nak tegang. Tang mana yang boleh
membuatkan kau tahu rupa dia yang sebenar?”
“Ya, aku faham maksud kau tapi aku tetap yakin dengan apa
yang aku rasa. Aku yang memangku tubuh lelaki tersebut sementara menunggu ambulan
tiba. Seluruh wajahnya sudah aku scan
masuk ke dalam kepala. Kurus atau gemuk bukan penghalang untuk aku mengenali
dia Win,”yakiniku sungguh-sungguh.
Mazuin tergeleng-geleng. “Lain macam benar aku tengok kau
ni Lis. Mabuk cinta sungguh kau dengan mamat tulang tu.”
“Aku bukan mabuk cinta dengan dia. Aku cuma luahkan apa
yang aku nampak saja.”
“Lis, aku malas nak bertekak dengan kau pasal hal remeh-temeh
ni. Ikut suka kaulah. Kalau kau yakin lelaki tadi si mamat tulang tu, buatlah
apa yang patut. Aku tak mahu ambil tahu. Yang aku tahu sekarang ini tekak aku
dah kering. Jom kita pergi minum.”Mazuin memberhentikan keretanya betul-betul
di hadapan Mailis Corner. Aku terkejut.
“Dah sampai sini? Kejapnya,”kataku baru menyedari di mana
kami berada. Nampak sangatlah yang aku memang hilang fokus.
“Sebab sejak tadi fikiran kau tu asyik menerawang entah
ke mana. Sebab tu tak perasan. Jom keluar.”Arah Mazuin lalu mematikan enjin
kereta.
“Aku tak nak minumlah. Tekak aku tak haus pun,”tolakku
yang memang tiada selera untuk makan atau minum. Selain daripada itu aku
sebenarnya terasa dengan kata-kata Mazuin tadi. Dia langsung tidak cuba untuk mempercayai
kata-kataku.
“Lah... masa kat office tadi bukan kau ke yang beria-ia
sangat nak makan kueyteow basah Mailis?
“Ye ke?”
“Yelah,”suara Mazuin sudah pun tinggi. Aku semakin kecil
hati.
“Tak ada seleralah Win. Jom balik.”
Mazuin berjeda sebentar dan kemudian menoleh memandang ke
arahku.“Takkan sebab mamat tulang tu selera kau mati? Wake up Lis. Aku pun ada sekali sama-sama membantu lelaki itu tapi
tak adalah hari-hari aku asyik teringat atau bercakap tentang dia. Sampai bila
kau nak memikirkan tentang orang yang kau tak tahu pun asal usulnya tu?”
Aku terdiam. Mazuin sama macam mama. Cepat sangat
melenting jika aku memperkatakan tentang mamat tulang itu.“Mana ada aku asyik
teringatkan dia.”
“Kalau kau tak ingat tentang dia habis tu kenapa semua
orang yang kau jumpa kau syak dia. Kau dah jatuh cinta dengan dia ke Lis?”Dahi
Mazuin mula berkerut seribu.
Aku kecewa. Asal menyebut saja tentang ini mulalah
dikatakan sudah jatuh cinta. Sempit sangat pemikiran Mazuin.
“Haish minta dijauhkanlah Win. Tak sanggup aku bercinta
dengan mamat tulang tu. Aku cuma teringatkan dia disebabkan aku tersentuh
melihat nasibnya. Masa dia ucapkan terima kasih pada aku dulu wajah dia
sangat-sangat ikhlas. Seperti ada kekesalan di tubir matanya,”terangku panjang
lebar.
“Okey. Aku
terima. Buktikan yang kau tak angaukan dia. Jom kita bersuka ria.”
“Aku memang tak ada moodlah
Win. Kita baliklah.”Tolakku membantah permintaan Mazuin.
“See, kau
terganggukan dan mahukan kepastian adakah lelaki di tempat cuci kereta tadi
adalah mamat tulang yang kita tolong tu sehingga membantutkan selera kau.”Tegas
Mazuin mahu juga aku mengakui kata-katanya.
“Mana ada. Dah memang aku tak ada selera. Nak buat macam
mana?”Dengusku geram dengan syak wasangka Mazuin. Dah diterangkan panjang lebar
pun masih lagi tak mahu percaya.
“Lain kali cakap awal-awal kalau tak ada selera. Buang
masa aku saja ke sini.”
“Sorrylah Win.”Aku
mengalah.
Mazuin tidak menjawab permohonan maafku. Tangannya laju menghidupkan
enjin kereta, memasukkan gear ke D
dan mula memandu laju. Aku tahu dia marah tetapi aku biarkan saja dia melayani
perasaannya. Sejam dua nanti sejuklah hatinya dan waktu itu barulah aku
memujuk.
No comments:
Post a Comment