Monday, April 21, 2014

CINTA... JANGAN LARI DARIKU Bab 15-20


Alhamdulillah... masih lagi boleh godek-godek blog ni... Maaflah sebab blog ni antara blog paling terbiar. Saya dah cuba sebaik mungkin tapi disebabkan komitmen pada perkara lain tu sebabnya blog ni tidak sentiasa di update.

Di sini, saya nak beri anda baca CJLD bab 15-20 versi yang saya hantar untuk penilaian awal kepada penerbit.










BAB 15

Clarissa tertanya-tanya sendiri kenapa Zamani tidak menghubunginya malam itu. Marahkah dia dengan aku sebab semalam? Asyik berfikir tanpa sedar matanya terlelap. Sedar-sedar sahaja jam sudah menunjukkan ke pukul 6.30 pagi. Terkocoh-kocoh dia ke bilik air untuk mandi. Telefon bimbitnya tidak berbunyi seperti selalu. Pasti dia terlupa untuk mengunci alarm telefon bimbitnya malam tadi.
Clarissa pelik apabila melihat Ameena hanya berpakaian t shirt dan treksuit sahaja setelah dia keluar ke ruang tamu. Tidak kerjakah minah ni?
“Kau tak pergi office ke?”
“Tak. Aku ada hal dengan Aron.” Jawab Ameena.
“Kau tak cerita dengan aku apa-apa pun semalam.” Selalunya Ameena pasti akan memberitahunya jika mahu bercuti.
“Aku emergency leave. Lagi pun aku nak bawa Sandra jalan-jalan.” Terang Ameena. Bila Ameena menyebut mahu membawa Cassandra berjalan-jalan, Clarissa kecil hati. Kenapa Cassandra tidak memberitahunya jika hendak merayap ke mana-mana? Boleh saja dia mengambil cuti.
“Korang nak pergi mana? Kalau kau ada hal dengan Aron tu tak apalah. Aku boleh ambil cuti bawa Sandra jalan-jalan.”
“Eh! Aku cuma tumpangkan Sandra saja. Dia ada janji dengan classmate dia.”Alamak, apasallah mulut ni boleh terlepas pula tadi cakap nak bawa Sandra jalan-jalan! Kan Clarissa dah offer diri dia. Hancuss.
“Okeylah kalau macam tu. Sandra mana?”
“Toilet kut.”
“Aku chow dulu.” Ameena tarik nafas lega. Nasib baik otaknya bijak memikirkan alasan dan nasib baiklah Clarissa tidak banyak soal. Kalau tidak alamat hancurlah programnya hari ini.
“Kakak dah pergi?” Soal Cassandra sebaik dia keluar dari bilik air. Ameena angguk.
“Dah tapi tadi nasib baik tak kantoi. Kakak kau tu siap nak ambil cuti. Eh! Pukul berapa nak jumpa kawan kau tu?” Hari ini mereka ada temujanji dengan kawan Cassandra yang akan diupah oleh Ameena untuk menjadi sebahagian daripada pelakon tambahan dalam drama arahannya.
“Pukul 10.00 pagi.”
“Betul kawan kau tu tough? Kalau kena bantai dengan Anugerah nanti tak adalah mati budak tu.”Ameena meminta kepastian.
“Yang ini dua-dua ada blackbelt dan kuat lari. Kalau setakat nak cabut lari bila kena pukul tu no hallah.”
“Good. Kau memang adik yang baik.” Puji Ameena berpuas hati dengan penerangan Cassandra.
“Iyolah tu. Ni dah kira subahat tau. Kalau kakak tahu habislah Sandra.”
“Taklah. Dia akan berterima kasih adalah nanti.”
Jaga kau Zamani... kau tahulah nasib kau nanti. Clarissa Imani, selepas ini mana kau mahu lari? Hehehe... Ameena senyum puas hati.
Perjumpaan antara Ameena dengan Ariel dan Esa berjalan lancar. Dengan hanya upah RM50.00 seorang, dia berjaya mendapatkan persetujuan kedua-duanya. Besok, dua hati bakal disatukan. Itu janji Ameena.


MELLY TIDAK sabar-sabar menanti kedatangan Suffian. Tugas yang diberikan dua hari lepas pasti sudah dilaksanakan. Hatinya berdebar-debar. Suffian tiba dengan senyuman di bibir. Waktu itu Melly sedang menikmati minum petang di taman.
“Apa yang kau dapat?” Soal Melly tidak sabar.
“Kalau ya pun bagilah Pian minum dulu kak. Haus ni.” Melly merengus. Banyaklah pula songeh adik sepupunya ini.
“Mak Zah.” Laung Melly. Terkocoh-kocoh Mak Zah datang. “Buatkan air untuk Pian. Yang sejuk ya.” Mak Zah angguk.
“Macam tulah.” Suffian gembira. Kakak sepupunya ini tidak pernah lupa diri walaupun sudah kaya raya.
“Macam ni, Pian dah pergi ke alamat Rissa yang Kak Melly kasi tu. Kereta camry warna putih tu memang milik jiran Rissa. Pian ada ambil gambar. Ni gambarnya.” Beberapa keping gambar dikeluarkan dari sampul surat berwarna coklat cair. Melly mengambilnya dengan pantas. Dia terkejut.
“Budak ni memang tinggal rumah tu ke?” Soalnya dalam suara yang menggigil. Gambar seorang budak perempuan memakai gaun warna biru direnung.
“Yup. Memang tinggal situ. Pian dengar dia panggil perempuan tua dalam rumah tu nenek dan lelaki yang pakai kereta camry tu daddy.” Melly sudah kehilangan kata-kata. Dia menangis dan tiba-tiba rebah. Suffian melompat menyambut tubuh Melly. Nasib baiklah dia sempat menahan kepala Melly dari terhentak ke atas tanah. Dilaungnya Mak Zah minta membantunya mengangkat Melly ke dalam rumah. Suasana kecoh seketika. Akhirnya Melly sedar semula beberapa minit kemudian setelah wajahnya direnjiskan dengan air.
“Puan Melly. Kenapa ni.” Mak Zah memicit-micit lengan Melly lembut.
“Pian... Kak Melly dah jumpa Sutra. Budak ni Sutra Ashikin anak Kak Melly dengan Abang Tabah.” Tangisan Melly kuat. Hatinya gembira bukan kepalang. Sudah lama dia mencari Tabah dan Sutra Ashikin tetapi tidak berjumpa. Memang pada mulanya dia mahu merampas Sutra Ashikin daripada Tabah tetapi setelah dia mengetahu berita kematian Tabah, barulah dia sedar yang dia amat mencintai lelaki itu. Dia bukan cintakan Tengku Anaz tetapi dia tergila-gilakan kemewahan yang dilimpahkan oleh Tengku Anaz. Sampai sekarang dia menyesal di atas keterlanjurannya menyakiti hati Tabah. Jadi dia mahu memastikan yang lelaki itu adakah Tabah yang dicarinya agar senang dia menebus kesilapan yang telah dilakukan olehnya dulu.
“Alhamdulillah Kak Melly.” Suffian melonjak kegembiraan. Dia tahu kakak sepupunya itu kesunyian. Dengan adanya Sutra Ashikin pasti hidup Melly tidak akan sunyi lagi. “Bila kita nak ambil Sutra?”
“Nanti. Kita tak boleh terburu-buru. Kak Melly tak mahu ulang kesilapan dulu. Kak Melly bukan sahaja mahukan Sutra Ashikin tetapi Abang Tabah juga.” Ya, dia nekad. Kali ini dia tidak akan mengulangi kesilapannya yang dulu. Dia tidak mahu Tabah menjauhkan diri daripadanya. Dia akan mencuri hati Tabah. Seperti dia mencuri hati lelaki itu tujuh tahun yang lalu.
“Kak Melly pasti dengan keputusan Kak Melly?”
“Pasti Pian. Seratus peratus pasti.” Gambar Sutra Ashikin diteleknya semula. Wajah kanak-kanak itu tidak jauh berbeza seperti tiga tahun yang lepas. Wajah Sutra Ashikin yang comel itu masih melekat di dalam ingatannya. Wajah yang sangat dirinduinya bertahun-tahun dulu. Diteleknya pula gambar Tabah. Lelaki itu nampak berbeza. Semakin kacak dan kemas. Amelia tersenyum puas.


“KAKAK NAK pergi mana ni?” Soal Cassandra pelik melihat Clarissa bersiap cantik.
“Nak keluar sekejap. Sandra nak ikut ke?” Ameena menjegilkan matanya ke arah Clarissa. Ada ke patut nak pelawa adik sendiri ke kelab malam. Apa punya kakaklah. “Tak payah ikutlah Sandra. Kakak takut lewat baliklah.” Clarissa menarik semula kata-katanya setelah melihat jegilan Ameena.
“Okey kak. Bye.” Sahut Cassandra. Sepeninggalan Clarissa, cepat-cepat Ameena dan Cassandra menukar pakaian mereka. Melalui sms di dalam telefon bimbit Clarissa yang dilihat oleh mereka, Clarissa berjanji untuk berjumpa dengan Kat di sebuah kelab malam di Bukit Bintang.
“Ini ke tempatnya Kak Meena?” Cassandra melihat sekeliling.
“Inilah kut. Kalau tak silap tadi nilah namanya. Kak Meena dah google tadi. Kawan kau tu mana?”
“Kejap lagi dia sampailah. Kak Meena kan suruh budak dua orang tu datang pukul 10.30 malam. Ni baru pukul 10.15. Samseng kenalah sampai lambat sikit. Tak bolehlah on time.”
“Ishhh... budak ni. Aku luku kang.” Geram Ameena mendengar jawapan Cassandra.
“Kak Meena rasa rancangan kita ni menjadi tak?”Kerisauan mula bertandang di hati Cassandra. Buatnya kantoi nanti dengan dia-dia sekali kena maki dengan Clarissa.
“Mesti jadi punyalah. Ariel dan Esa kacau Kak Rissa lepas tu Anugerah sampai jadi penyelamat. Cinta pun berputik. Walah.” Ameena gelak umpama ketua gengster. Nyaring dan panjang saja hilai tawanya.
Cermin kereta diketuk  orang.Terlompat Cassandra dan Ameena. Ariel dan Esa senyum mengejek. Cermin kereta diturunkan.
“Tak boleh bagi salam dulu ke? Buat terperanjat Kak Meena aje tau.” Marah Ameena. Orang tengah sedap-sedap gelak besar saja nak mengacau.
“Samseng tak bagi salam kak.” Jawab Ariel. Mereka masuk ke dalam kereta.
“Apa kau ingat samseng tu teruk sangat ke?”
“Kitaorang gurau sajalah kak. Bila nak mula kerja ni? Kami dah tak sabar nak pukul orang.” Esa pula bersuara.
“Kejap-kejap lagilah. Bagilah dulu minah tu menari, enjoy-enjoy.”
“Ikut Kak Meenalah. Kan Kak Meena ni pengarahnya?”
“Tahu tak apa. Korang duduk diam-diam.”
Hampir pukul 12.00 tengah malam barulah Ameena menelefon Anugerah. Dia perlu menelefon Anugerah dahulu supaya Anugerah bergerak ke situ jadi tidaklah terlalu lama adegan usik mengusik yang perlu dijayakan oleh Ariel dan Esa.
“Hello” Suara Anugerah kedengaran lemah. Pasti dia sedang nyenyak tidur. Getus hati Ameena.
“Hello Abang Anugerah. Meena ni.”
“Menachi? Menachi mana?” Jawab Anugerah masih lagi dalam nada yang lemah.
“Citt... mana pulak Menachi. Ni Meenalah bang.”
“Saya tak de kawan nama Menachi.”
“Ya Allah, Meenalah ni. Meena.”
“Saya cakap baik-baik sama awak, saya tarak kenal sama orang nama Meenachi. Tolonglah, awak letak ini telefon saya mahu tidur.”
“Ni Ameenalah abang Anugerah. Jiran sebelah.” Jerit Ameena geram. Penat dia memperkenalkan diri tapi Anugerah tidak juga mahu faham.
“Eh Meena! Kenapa telefon malam-malam ni.” Suara Anugerah kedengaran cemas. Barulah dia tersedar yang panggilan itu datang dari jirannya.
“Tolong kami. Ada orang buru kami.” Ameena pura-pura menangis.
“Meena kat mana ni?”
“No 12, Jalan Bukit Bintang. Cepat bang.”
Talian terputus. Pasti Anugerah yang memutuskannya. Ameena senyum puas. Puas di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Anugerah tadi. Setelah lebih kurang lima belas minit berlalu, Ameena mendail pula nombor Clarissa.
“Hello.” Clarissa menjawab panggilan.
“Rissa, balik cepat. Sandra ni muntah-muntahlah. Aku nak buat apa?” Suara dicemaskan agar nampak real.
“Apa? Muntah? Aku balik sekarang.” Clarissa memutuskan talian. Risau benar dia mendengar tentang keadaan Cassandra. Dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Lagipun kepalanya memang terasa pening. Dia mengambil beg tangannya dan melangkah keluar. Baru beberapa tapak Clarissa melangkah, pandangannya menjadi gelap dan akhirnya dia rebah.
“Canteek. Ikan dah tumbang. Kucing.. apa lagi. Jalankanlah kerja. Miaow.” Jerit Akmal seronok. Zamani mencempung tubuh Clarissa diikuti oleh Akmal di belakang.
“Eh... eh kalau tak silap itu Zamani. Siapa yang dicempungnya tu?” Jerit Ameena apabila matanya tertancap kepada seorang lelaki yang sedang mencempung seseorang. Diamatinya dengan teliti wanita yang dicempung oleh Zamani itu. “Ya Allah.” Jeritan Ameena semakin kuat.
“Kenapa Kak Meena?” Cassandra sudah gelabah.
“Tu Rissa.”
Cassandra merenung ke arah yang ditunjukkan oleh Ameena. “Yelah, itu kakak. Apa kita nak buat ni Kak Meena?”
“Aduh, rosak program aku. Dia nak buat apa dengan Rissa tu? Macammana ni?”Kepala yang bertutup litup digaru. Ameena betul-betul hilang punca. Dia hampir menangis.
“Biar kami halang malaun tu.” Ariel dan Esa pantas membuka pintu kereta lalu keluar mendapatkan  Zamani.
“Kau nak buat apa dengan perempuan tu?” Jerit Ariel. “Letak perempuan tu kat situ.”
“Hey budak. Ada hati nak lawan aku. Kau jangan menyibuk. Kau pergi balik bersunat dulu, lepas tu baru kau datang jumpa aku.” Akmal mengekek gelak. Geli benar hatinya mendengar kata-kata Zamani. Kaki Zamani terus melangkah ke keretanya yang terletak hanya beberapa meter saja lagi.
Esa cuba menghalang Zamani tetapi Akmal pantas memukul Esa. Zamani meletakkan tubuh Clarissa di atas kaki lima. Dia cepat menerkam Ariel. Hatinya geram dicabar oleh budak hingusan itu.
“Sandra call polis, Kak Meena nak pergi dapat Rissa.”Arah Ameena apabila dia lihat adegan tumbuk-menumbuk telah pun berlaku.
“Baik.”
Ameena keluar dan mendapatkan Clarissa. Di ribanya tubuh Clarissa lalu ditepuk-tepuknya pipi Clarissa agar bffnya itu sedar. Cassandra mendapatkan mereka beberapa minit kemudian.
“Dah call polis?”
“Dah. Macammana dengan kakak ni?”
“Ambil air dalam kereta.” Arah Ameena. Sekali lagi Cassandra patuh menurut perintah.
Teruk juga Ariel dan Esa dibelasah oleh Zamani dan Akmal tetapi nasib baiklah Anugerah tiba tepat pada masanya. Terkejut dia melihat Clarissa tidak sedarkan diri.
“Kenapa ni Meena?”
“Abang Anugerah, tolong budak dua orang tu. Teruk diaorang kena belasah.” Jerit Ameena menangis. Dia bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku kepada Ariel dan Esa. Dia yang bertanggungjawab ke atas keterlibatan dua remaja itu. Pihak polis yang dihubungi oleh Cassandra sebentar tadi masih belum sampai. Tanpa banyak soal Anugerah melompat membelasah Zamani. Ariel dan Esa pula berpadu tenaga membelasah Akmal. Teruk Zamani dikerjakan oleh Anugerah. Mana taknya, Anugerah memang berlajar seni mempertahankan diri. Maklumlah, duduk di negara orang perlulah tahu semua itu. Polis datang sepuluh minit kemudian meleraikan pergaduhan. Kalau polis lambat lagi sampai, pasti sudah mati Zamani dikerjakan oleh Anugerah.
Anugerah, Ariel, Esa dan Clarissa dihantar ke hospital untuk dirawat. Polis juga telah mengambil keterangan mereka semua atas apa yang berlaku. Hampir pukul 7.00 pagi baru mereka semua pulang ke rumah masing-masing.







BAB 16

Clarissa duduk di sofa. Diambilnya air teh di atas meja lalu dihirupnya sedikit. Tidak... kesedapan air teh yang diminumnya langsung tidak dapat menghentikan kegusaran hatinya. Sejak sejam yang lalu, Ameena tidak henti-henti berleter kepadanya. Naik menanah telinga Clarissa mendengar leteran Ameena yang seperti tiada penghujung. Dia akui memang salahnya sampai perkara ini berlaku tetapi tidak perlulah Ameena marahkannya sampai begini sekali. Nasib baiklah mamanya tidak mengetahui tentang peristiwa ini, jika mama tahu alamat kena bungkus kain bajulah dia pulang ke Kuala Selangor.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap?” Sergah Ameena sambil bercekak pinggang. Pergh... ni dah macam ibu tiri dalam cerita bawang putih bawang merah.
“Dengar.” Jawab Clarissa perlahan.
“Habis tu nak pergi cucuk bintang lagi ke?”
“Nak....”
“Apa?”
“Tak....” Tangan ditekupkan ke mulut. Haish... apasallah mulut ni boleh cakap nak. Maunya muka Ameena tak menyinga.
“Nasib baik ada Abang Anugerah, kalau tak entah apalah nasib kau Rissa. Tak dapat aku nak bayangkan.” Ameena duduk di sofa melepaskan lelahnya kerana berleterkan Clarissa. Apabila nama Anugerah disebut, ingatan Clarissa melayang mengingati wajah lelaki itu. Dia terhutang bukan saja budi tetapi juga maruahnya. Tidak tahu bagaimana harus membalas jasa Anugerah.
“Macammana Abang Anugerah boleh ada kat sana?” Soal Clarissa.
“Aku yang call minta tolong.” Lancar Ameena menjawab.
“Yang kau pulak macammana boleh ada kat situ? Setahu aku kau bukannya jenis yang keluar lewat malam.” Wajah Ameena berubah rona. Alamak... macam nak terkantoi! Apa alasan nak bagi ni. Kang kalau Clarissa tahu mesti dia akan memberi leteran balas.
“Sandra yang nak sangat tengok suasana K.L lewat malam. Dengan kawan-kawan tak berani nak lepak lewat malam sebab tak ada kereta. Maklumlah student.” Sampuk Cassandra. Fuhh... Ameena menarik nafas dalam-dalam. Nasib baiklah otak Clarissa ni bergeliga juga dalam bab-bab menipu.
“Kebetulan tapi nasib baiklah korang semua ada kalau tak.....” Satu keluhan dilepaskan. Clarissa termenung memikirkan apa yang berlaku. Tergamak Zamani meletakkan dadah ke dalam minumannya untuk membuatkan dia khayal serta tidak sedarkan diri. Dia ingatkan Zamani baik orangnya tetapi memang betul kata Ameena, nak cari lelaki yang baik janganlah cari di kelab malam.
“Meena, aku masuk dululah, kepala pening. Sandra, kakak nak tidur dulu ya.” Clarissa bangun lalu masuk ke biliknya. Kepalanya yang sakit sejak tadi membuatkan matanya mahu pejam. Elok sampai di bilik, telefon bimbitnya berbunyi. Sempat lagi Clarissa mendengus sebelum menjawab panggilan.
“Assalammualaikum.” Sapa si pemanggil. Clarissa menjawab dalam hati. “Tak jawab dosa tau.”Sambung si pemanggil lagi.
“Menuduh orang pun berdosa. Dah jawab dalam hati.” Kata Clarissa acuh tak acuh. “Siapa ni?”
“Abanglah.”
“Abang mana?”
“Anugerah.” Clarissa terkedu. Tidak disangkanya panggilan itu datangnya daripada  Anugerah. Diteleknya telefon bimbitnya, ya nama Anugerah tertera di skrin.
“Sorry bang. Rissa tak perasan tadi.” Bimbang juga hatinya jika Anugerah menuduhnya sombong dan tidak mengenang budi.
“Tak apa. Abang faham. Orang lalok macam nilah.”
“Sampai hati kata Rissa lalok.” Wajah Clarissa masam mencuka. Kata-kata Anugerah tadi begitu sinis pada pendengarannya.
“Rissa dulu tuduh abang ada anak tak sah taraf. Sampai hati juga kan.”Anugerah memulangkan paku buah keras.
“Yang tu Rissa minta maaflah.”Aiyak, dia dendam lagilah. Apa nak buat. Minta maaf sajalah.
“Abang bergurau. Rissa dah okey?”Cepat-cepat Anugerah mengubah perbualan bimbang Clarissa kecil hati. Suara mendatar Clarissa sudah menyatakan perasaannya saat itu.
“Pening sikit.”
“Kesan ubatlah tu. Kalau perlukan apa-apa cari abang ya. Jangan malu-malu.”
“Dah banyak Rissa susahkan abang. Seganlah.”
“Mana ada susahnya. Ingat ya, lepas ni kalau ada apa-apa cari saja abang.”
“I will.”
“Assalammualaikum.”
“Waalaikummusalam.” Telefon bimbit diletakkan di atas katil. Clarissa termenung seketika. Direbahkan tubuhnya. Matanya dipejamkan tetapi bayangan wajah Anugerah menjelma. Oh... adakah aku sudah jatuh cinta?!


SUDAH SEMINGGU sejak peristiwa itu berlalu. Clarissa juga sudah mula bekerja. Semangatnya sudah pulih sepenuhnya. Nama Zamani sudah dikikisnya jauh-jauh dari hidupnya. Biarlah pihak polis sahaja yang menjalankan tugas mereka dan undang-undang yang menjatuhkan hukuman. Dia tidak mahu mengambil tahu tentang lelaki itu.
“Hai Rissa.” Sapa Kat sebaik sahaja Clarissa masuk ke pejabat. Clarissa melemparkan senyuman tidak ikhlas. Rasa marahnya kepada Kat masih lagi tidak habis.
“Hai Rissa.” Emma pula menyapa. Clarissa angguk lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Komputer di hidupkan. Clarissa mengambil telefon bimbit lalu melihat nama yang tersimpan di dalam phonebooknya. Dia mencari seseorang yang boleh diajak berbual asalkan dia tidak perlu berbual dengan Emma dan Kat. Matanya tertancap kepada nama Anugerah. Dengan segera tangannya menekan butang hijau.
“Good morning abang.” Sapa Clarissa lembut.
“Morning.”Jawab Anugerah ceria. Memang Anugerah mengharapkan panggilan Clarissa. Dia amat rindukan gadis yang berjaya mencuri hatinya itu tetapi dia malu mahu menghubungi gadis itu selalu.
“Dah breakfast?”
“Belum. Baru sampai office.”
“Okeylah. Saja Rissa call. Bye.”
“Bye.” Jawab Anugerah puas. Walaupun perbualan mereka cuma seketika tetapi itu sudah cukup memuaskan hatinya.
“Rissa, aku tahu kau marah pada aku tapi janganlah sebab Zamani aku yang jadi mangsa. Kau pun tahu kan aku juga diberi dadah tapi syukurlah kekecohan kat luar tu menyelamatkan aku.” Pujuk Kat sebaik Clarissa meletakkan telefon bimbitnya. Clarissa tidak menjawab. Direnungnya komputer di hadapan. Dia tahu Kat tidak bersalah tetapi hatinya sakit mengenangkan apa yang berlaku.
“Dahlah Rissa, Kat tak salah. Janganlah sebab Zamani keparat tu kita semua bergaduh.” Pujuk Emma pula.
“Aku tak marahlah pada Kat cuma aku perlukan masa.” Clarissa bangun lalu berlalu ke bilik air. Biarlah dia menyejukkan hatinya dahulu, barulah dia memikirkan hubungan persahabatan antaranya dan Kat. Nasihat Cassandra masih terngiang di telinganya. Cassandra menasihatinya supaya bijak memilih kawan. Nasihat adiknya itu ada kebenarannya. Selepas peristiwa hitam itu, Clarissa telah berjanji untuk berubah. Dia berjanji untuk meninggalkan dunia malamnya.
Tiada sesiapa berani mengganggu Clarissa sepanjang di pejabat. Clarissa hanya menumpukan perhatiannya kepada kerja yang bertimbun. Tepat pukul 12.45 tengahari telefon bimbit Clarissa berbunyi. Apabila melihat nama Anugerah tertera, secepat kilat Clarissa menjawab panggilan.
“Hello.”
“Hello Rissa. Dah lunch?” Terus sahaja Anugerah menyoal.
“Belum. Abang?”
“Belum. Abang depan office Rissa ni. Jom lunch.” Pelawa Anugerah. Clarissa terkejut. Boleh tahan Anugerah ni sekarang dah pandai serbu-serbu.
“Okey. Pukul 1.00 Rissa keluar.”
“Okey.”
Anugerah puas hati. Tak sia-sia dia mencuba nasib. Tadi dia ada urusan berdekatan pejabat Clarissa jadi dia mengambil peluang yang ada untuk mengajak Clarissa keluar makan tengahari bersama. Jam di tangan terasa lambat berjalan. Tidak sabar dia mahu menatap wajah comel itu. Entah mengapa hatinya terpikat kepada gadis seperti Clarissa sedangkan jika ditanya oleh kawan-kawannya sebelum ini, gadis yang pergi ke kelab-kelab malam tidak akan termasuk di dalam senarainya. Dia nampak ada sisi baik pada gadis itu dan dia tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang gadis bernama Clarissa Imani.
Tepat pukul 1.00, Anugerah nampak Clarissa keluar dari Asian Travel Agencies yang terletak di seberang jalan dari tempat dia memakir kereta. Dibukanya tingkap penumpang lalu dia melambai ke arah Clarissa. Seorang wanita berbaju kurung warna kuning yang tiba entah dari mana menahan Clarissa. Lama juga Anugerah lihat Clarissa berbual dengan wanita itu. Hatinya dibaluti resah. Dia mengambil keputusan untuk mendapatkan mereka.
“Hai.” Sapa Anugerah. Wanita berbaju kurung warna kuning itu tersentak. Wajahnya tiba-tiba pucat.
“Hai bang.” Sahut Clarissa mesra. “Kenalkan ini boss Rissa, Puan Melly.” Anugerah menganggukkan kepalanya kepada Melly tetapi wanita itu masih lagi kaku.
“Anything wrong? Rissa ada date lain ke?” Soal Anugerah ingin tahu. Bimbang juga dia jika boss Clarissa mengajak pujaan hatinya itu lunch di mana-mana.
“Tak adalah bang. Boss Rissa ni bagi pesanan sikit. Kan Puan Melly?” Melly tersentak. Dia kehilangan kata-kata tetapi kepalanya terangguk-angguk.
“I minta diri dulu.” Dengan tubuh yang menggigil, Melly masuk ke pejabat. Hatinya sebak. Air matanya tunggu masa untuk tumpah.
“Kenapa dengan boss Rissa tu?” Soal Anugerah pelik.
“Entah.” Clarissa menjongketkan bahunya. Dia juga pelik melihat sikap majikannya itu. Tadi elok saja meninggalkan pesan menyuruh dia membuat sedikit kerja tetapi tiba-tiba sahaja majikannya seperti kehilangan kata-kata.
“Jomlah. Kang lambat pula Rissa masuk office.” Ajak Anugerah. Sepuluh minit telah berlalu dan dia tidak mahu mensia-siakan masa yang masih ada.
“Okey. Kita makan area sini sajalah abang.”
“Okey. Jom.” Kaki diayun laju ke kedai makanan Thai yang berdekatan dan Clarissa membontoti di belakang.
“Nak order apa?” Soal Anugerah sebaik menu terpampang di depan mata.
“Nak order nasi putih dua, tomyam campur, ayam pandan, kerabu mangga, kerabu ayam, ikan siakap stim. Abang nak tambah apa-apa?”
“Mak aii... banyaknya order. Sempat ke nak makan semua ni. Lunch hour awak tu sekejap aje tau. Abang tak apa. Masuk lambat pun tak ada sapa nak bising.”
“Rissa nak belanja abang makan sebab selamatkan Rissa hari tu. Masuk lambat pun tak apa. Tak masuk terus lagi bagus.”
“Amboi... cakap besar. Kang boss awak marah kang jangan salahkan abang.”
“Tak. Lagi pun tadi Puan Melly ada cakap yang dia nak ke Shah Alam. Tu yang Rissa berani tu.” Clarissa ketawa kecil diikuti oleh Anugerah.
“Hmm patutlah cakap berlagak semacam. Kalau macam tu tambah air longan sejug. Itu saja. Terima kasih.” Pelayan yang mengambil pesanan mengangguk dan meninggalkan Clarissa dan Anugerah berdua. Anugerah mengambil kesempatan yang ada untuk merenung wajah Clarissa yang sedang asyik memerhatikan keindahan restoran tersebut. Wajah itu betul-betul menarik minatnya sejak mula. Walaupun dikelilingi oleh minah-minah salleh yang cun-cun di Australia tetapi gadis melayu jugalah yang dapat menawan hatinya.
“Tak baik tau tenung-tenung macam tu.” Sergah Clarissa menyebabkan Anugerah tersentak.
“Nak tengok keindahan ciptaan tuhan, apalah salahnya.” Clarissa tersipu-sipu malu. Merah padam wajahnya. Anugerah memang sukar dijangka. Nampak alim tetapi boleh tahan bahasa yang digunakan.
“Sutra Ashikin macammana? Lama Rissa tak nampak.”
“Makin petah bercakap. Berkepit saja dengan ibu. Dia ada juga bebel tanya mana auntie cun lama tak nampak.”
“Auntie cun?”Clarissa kerut dahi. Takkan aku kut. Bangganya rasa bila dikatakan cun.
“Rissalah. Dia panggil Rissa auntie cun, Meena pula dia panggil auntie comel. Hafshahlah yang ajar perkataan cun tu. Kalau tak manalah Sutra nak tahu.” Wajah Anugerah ceria setiap kali bercerita tentang anak kesayangannya itu.
“Really... bangganya Rissa. Bijak betul Sutra tu ya.”
“Sebijak daddynya.”
Clarissa cebik. “Bukan macam daddynya, mesti ikut mommynya. Kalau Rissa tanya boleh? Mommy Sutra orang mana?”
Wajah Anugerah berubah. Tidak disangka soalan itu akan keluar lagi dari mulut mungil Clarissa. Perlukah dia berterus terang siapakah Sutra Ashikin yang sebenarnya? Nasib baiklah kedatangan pelayan membawa makanan yang dipesan oleh mereka menyelamatkan keadaan. Jika tidak pasti nak tak nak dia terpaksa berbohong. Sudah terlalu banyak pembohongan yang dilakukannya sejak kembali ke Malaysia. Hatinya sudah tidak dapat lagi membendung segala pembohongan ini.






 BAB 17
           
            Melly gelisah. Sudah puas dia bertukar posisi. Sekejap mengiring ke kanan, sekejap ke kiri. Sekejap terlentang sekejap dia duduk namun bayangan wajah lelaki yang pernah menjadi suaminya pada suatu ketika dulu tidak pernah lenyap dari kotak fikirannya. Wajah itu semakin kacak. Melly sedih kerana Tabah sanggup berpura-pura tidak mengenalinya.
            “Tolong Melia. Tolong bawa Melia ke mana-mana. Nanti Melia cerita apa yang berlaku.” Wajah Tabah dipandangnya minta simpati. Mujurlah Tabah tidak banyak soal. Dihidupnya enjin kereta dan kereta pun meluncur laju ke rumah sewa milik Tabah. Setelah sampai ke destinasi yang dituju, Tabah membancuh coklat panas buat Melia.
            “Kau lari dari siapa?” Soalnya ingin tahu kerana ketika Melia masuk ke dalam kereta miliknya sebentar tadi, wanita itu seperti lari dari seseorang.
            “Rob. Dia suruh Melia layan kawan dia. Melia tak mahu. Melia takut.”
            “Yang kau ikut Rob kenapa?”Sinis Tabah menyoal. Dah tahu tidak mahu membuat maksiat kenapalah diikut Rob ketua samseng yang terkenal di tempat mereka.
            “Dia cakap dia nak bawa Melia keluar dari dunia Melia. Dia kata dia nak nikah dengan Melia.”
            “Semudah itu kau percaya pada Rob?” Tabah senyum menyindir.
            “Sebab dia saja lelaki yang tak sentuh Melia. Dia layan Melia sebagai seorang perempuan yang bermaruah selama ini tapi rupanya....” Melia sudah mula menangis teresak-esak. Bergoyang-goyang bahunya. Tabah serba salah. Selama ini dia tidak pernah mempunyai teman wanita dan dia tidak tahu bagaimanakah caranya mahu memujuk seorang wanita.
            “Kau tak sepatutnya terjebak dengan diaorang. Kau tahu kan diaorang semua macammana? Kau tak boleh aspect diaorang akan layan kau sebagai seorang wanita yang bermaruah.”
            “Tolonglah aku Tabah. Bawa aku jauh dari Rob.” Rayu Melia. Dia tahu Rob takkan berdiam diri dan pasti mencarinya.
            “Kau nak minta aku tolong? Semudah itu kau percaya pada aku. Kalau aku pun macam Rob bagaimana?”
            “Aku tahu kau bukan macam Rob. Selama aku kenal kau, kau tak pernah sentuh arak, dadah dan kau tak pernah tumpang sekali tidur dengan mana-mana perempuan yang geng-geng Rob bawa balik. Aku tahu kau baik.”
Tabah termenung seketika. Tidak disangkanya perlakuannya selama ini diperhatikan oleh Melia. Rob adalah kawan sekolah Tabah. Sewaktu mereka di tingkatan lima, Rob pernah menolong Tabah daripada dibelasah oleh samseng jalanan. Waktu itu Tabah sedang dalam perjalanan ke sekolah. Walaupun samseng-samseng jalanan tersebut berjaya dikalahkan tetapi teruk juga Rob dibelasah sehingga menyebabkan Rob terlantar beberapa hari di hospital. Tabah begitu terhutang budi dengan Rob. Sejak itu mereka berkawan baik. Walaupun Tabah tidak gemar ataupun suka dengan dunia bebas Rob tetapi atas dasar persahabatan yang telah terjalin antara mereka, dia hanya membiarkan sahaja Rob hanyut dengan dunianya.
            “Tengoklah apa yang aku boleh buat nanti. Buat masa ni kau menyorok dulu di rumah aku. Kalau ada sesiapa datang waktu aku kerja, kau jangan buka pintu. Aku masuk tidur dulu. Besok aku nak kerja.”
            Bermula dari hari itu, Melia menumpang tinggal di rumah Tabah. Atas dasar terhutang budi kerana diberi tempat tinggal bahkan makan dan minum, Melia menjadi pembantu rumah tidak rasmi Tabah. Makan pakai Tabah disiapkan dengan baik sehingga menyebabkan Tabah jatuh cinta dengan Melia. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bernikah secara rahsia dan berpindah ke Pulau Pinang. Kehidupan mereka bahagia sehinggalah kelahiran Sutra Ashikin. Setelah habis pantang, Melia meminta izin untuk bekerja di spa milik kenalan mereka dan dari situ Melia mengenali Tengku Anaz yang kebetulan mendapatkan rawatan di spa tersebut sewaktu bercuti di Pulau Pinang.
            Kemewahan yang diberikan oleh Tengku Anaz menyebabkan Melia mabuk dan dengan rela Melia meninggalkan Tabah dan anaknya demi untuk menjadi isteri Tengku Anaz. Masih Melia ingat Tabah merayu agar dia kembali ke pangkuan mereka dua beranak tetapi kerana kesenangan yang melimpah ruah, Melia sanggup membiarkan Tabah menderita.
            Melly mengeluh.Ya... dia adalah Melia ataupun Amelia. Dia adalah wanita yang tidak mengenang budi yang sanggup meninggalkan lelaki yang banyak berbudi dengannya. Lelaki yang sanggup menikahinya walaupun lelaki itu tahu dia sudah ditepuk tupai berkali-kali. Lelaki yang sanggup mengangkat darjatnya dari seorang bohsia kepada seorang wanita bergelar ibu. Lelaki yang sanggup membelakangkan keluarganya kerana mahu menyelamatkan maruahnya. Melly menangis teresak-esak. Zalimnya dia. Berdosanya dia selama ini. Baru dia sedar kesenangan, wang ringgit, harta benda tidak menjanjikan ketenangan jiwa. Walaupun sewaktu Tengku Anaz masih ada, jiwanya kosong kerana kesibukan lelaki itu dan sejak Tengku Anaz meninggal dunia, jiwanya bertambah kosong dan sunyi.
            “Abang, masih berdendamkah abang pada Melia? Kenapa abang seperti tidak mengenali Melia? Kenapa abang menganggap Melia seperti orang asing?” Tangis Melly lagi.


            HARI ITU Clarissa, Anugerah dan Sutra Ashikin keluar bersama. Mereka membawa Sutra Ashikin ke Kidszania yang terletak di Damansara. Menurut Anugerah, sudah lama dia berhajat membawa Sutra Ashikin ke situ tetapi baru kali ini berkesempatan.
            “Slot pagi ada tiket lagi?” Soal Anugerah kepada budak yang menjaga kaunter tiket. Bimbang juga dia jika tiket habis dijual kerana hujung minggu begini pasti ramai pengunjung yang datang ke sini.
            “Ada encik. Nak berapa tiket?”
            “Three.” Petah Sutra Ashikin menjawab sambil tiga jarinya ditunjukkan. Budak penjaga kaunter tiket itu tersenyum lebar.
            “Okey. Sekejap ya dik.”Jawab penjaga kaunter tiket itu. Dia menekan-nekan keyboard komputer. Selepas itu dia memandang Sutra Ashikin semula. “Bak tangan.”Katanya sambil menunjukkan gelang berbentuk jam tangan kepada Sutra Ashikin. Tertinjit-tinjit Sutra Ashikin cuba meletakkan tangannya di atas kaunter tiket. Melihat kepayahan Sutra Ashikin dengan pantas Anugerah mengangkatnya.
            “Ni gelang ajaib untuk adik. Ni cek lima puluh kidzos. Nanti tukar kat bank di atas ya.”Sutra Ashikin angguk. Asyik dia melihat cek yang diberikan kepadanya.
 “Okey. Giliran mommynya dan daddynya pula.”Tersipu-sipu Clarissa malu mendengar kata-kata budak penjaga tiket tersebut. Setelah selesai dipakaikan gelang di tangan, Clarissa dan Anugerah mengucapkan terima kasih kepada penjaga kaunter tiket tersebut.
            “Cepat mommy.” Tangan Clarissa dicuit oleh Anugerah setelah Anugerah lihat Clarissa tidak mahu berganjak dari situ. Tersentak dengan tindakan Anugerah itu, muka Clarissa merah padam. Sutra Ashikin pula sudah terkikih-kikih gelak.
Mereka menghabiskan masa dengan begitu gembira sekali. Kagum Clarissa dengan apa yang terdapat di dalam Kidszania. Dia yang lebih teruja dibandingkan dengan Sutra Ashikin. Setelah kira-kira empat jam menghabiskan masa di sana, mereka pulang dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
            “Kalaulah zaman kita sekolah dulu ada semua nikan best. Boleh pergi rombongan.” Kata Clarissa sambil memangku Sutra Ashikin yang sudah lena di pangkuannya.
            Anugerah ketawa kecil. “Zaman kita dulu pergi zoo, tugu negara, muzium negara. Itu pun dah bangga gila. Tak berhenti bercerita bila sampai rumah.”
            “Haah. Siap kencing celah pokok sebab tak tahan nak pergi toilet.” Sampuk Clarissa sambil gelak besar mengingatkan zaman kanak-kanaknya.
            “Ye ke? Abang tak.”
            “Eleh... orang lelaki lagi senang nak kencing merata-rata. Tak konon.”
            “Ni mesti Rissa selalu skodeng orang lelaki kencing ni.”
            “Eiii... mana ada. Tolong sikit.” Cebik Clarissa. Mereka sama-sama gelak. Anugerah menjeling ke arah Clarissa. Hatinya gembira melihat Clarissa tidak kekok melayani kerenah Sutra Ashikin. Jarang wanita yang ranggi dan moden seperti Clarissa pandai menjaga anak kecil yang banyak kerenah. Hati yang sudah terpaut semakin terpaut.
            “Kalau abang tanya Rissa jangan marah ye.”
            “Nak marah buat apa?” Soal Clarissa pelik.
            “Rissa dah ada boyfriend? Teman lelaki? Kekasih?”
            Oh ini yang mahu ditanyakan oleh Anugerah. “Yang speacial tak ada. Tengah mencarilah ni.”
            “Dah jumpa belum?”
            “Hmmm... entahlah. Rasa macam dah jumpa tapi segan nak cakap.” Clarissa berbasi-basi. Mahu saja dia menjerit memberitahu Anugerah yang dia sukakan lelaki itu tetapi dia malu.
            “Kalau tak cakap nanti kena kebas macammana?”
            “Abang dah ada yang punya?”
            “Ada.” Yakin Anugerah menjawab. Clarissa terpempam. Mahu saja dia menangis meraung tetapi ditahannya sedaya upaya. Anugerah adalah superheronya jadi dia tidak mahu superheronya menjadi milik orang lain.
            “Orang mana?”
            “Ibu, ayah dan Sutra Ashikin yang punya.” Fuhh... Clarissa tarik nafas lega. Nasib baik kalau tak mahu balik ni tiga hari tiga malam frust menonggeng. “Kenapa Rissa tanya?”
            “Kenapa abang tanya Rissa tadi?”
            “Pandai menjawab ek. Kalau Rissa dah ada boyfriend abang takutlah nak ajak Rissa keluar, tu yang abang tanya.”
            “Rissa pun takut nak keluar dengan abang kalau abang dah ada special. Kang tak pasal-pasal ada orang tarik rambut Rissa.”           
            “Iyolah tu.” Sahut Anugerah tergelak.
            “Boleh Rissa tahu pasal isteri abang?” Tawa Anugerah terhenti serta merta. Kenapalah soalan ini jugalah yang harus disoal oleh Clarissa.
            “Suatu hari nanti bila sampai masanya abang akan beritahu Rissa tentang dia.” Clarissa diam. Dia kecewa mendengar jawapan Anugerah.Bilakah masa itu? Hanya Anugerah yang tahu.







BAB 18

            “Amboi... cerianya. Bawa anak tiri pergi mana?” Sebaik masuk ke dalam rumah terus soalan itu ditanyakan oleh Ameena. Clarissa menghempaskan tubuhnya ke sofa.
            “Bawa ke Kidszania. Penat beb.”
            “Seronok?” Soal Ameena lantas melabuhkan punggungnya disebelah Clarissa.
            “Meena...” Clarissa membetulkan kedudukannya. Dia menghadap Ameena. “Aku rasa aku dah jumpa Mr Right aku.”
            Wajah Ameena bercahaya. Akhirnya dia berjaya menyatukan dua hati. “Siapa?”
            “Anugerahlah. Aku suka dekat dia dan aku sayang pada Sutra Ashikin.”
            “Anugerah?”
            “Aku rasa dia pun suka pada aku tapi... ”Clarissa terdiam. Dia tunduk merenung lantai.
            “Tapi apa pulak?”
            “Kalau aku suka dia, dia suka aku, mama aku suka tak kat dia? Duda anak satu tu. Buy one free one.” Satu keluhan dilepaskan. Dia tahu sangat mamanya yang terlalu cerewet dan mementingkan kesempurnaan. Pasti mamanya meragui kewibawaannya untuk menjadi ibu tiri kepada seorang kanak-kanak berumur lima tahun.
            “Rissa, paling penting sekarang kau cubalah berkawan dengan Anugerah. Sesuaikan diri dulu. Bila ada kesesuaian barulah cerita pada mama. Kau sendiri pun belum pasti kan tentang hubungan korang.”
            “Kan... apalah aku ni dah terfikir sebegini jauh.”
            “Kau ingat tak?”
            “Ingat apa?” Clarissa kebingungan. Tiba-tiba sahaja Ameena bertanyakan soalan itu kepadanya.
            “Kalau kau jumpa Mr Right, kau akan stop pergi ke kelab malam.” Wajah Ameena kelihatan nakal. Clarissa gigit bibir. Cuba mengingati janjinya.
            “Ada ke aku janji macam tu?”
            “Ada. Kau janji lagi kalau kau ingkar, kau akan ditimpa bala.” Clarissa senyum kelat. Biar betul sampai begitu sekali dia berjanji dengan Ameena.
            “Aku main-main ajelah. Aku tak ingat pun janji aku. Alah... kalau pergi kelab sekadar nak lepak-lepak jumpa kawan tak apa. Lagi pun sekarang ni dah lama aku tak pergi sana, kalau sebulan sekali pergi tu apalah salahnya kan.”
            “Janji tetap janji. Tak boleh tarik sesuka hati.” Telunjuk Ameena digerakkan ke kiri dan ke kanan.
            “Suka hati akulah nak berjanji ke tak cik Ameena oii. Dahlah. Aku nak mandi. Chow.”Clarissa bangun lalu meninggalkan Ameena yang sedang masam mencuka. Padan dengan muka kaulah Ameena, sapa suruh busybody sangat.


HUBUNGAN antara Clarissa dan Kat semakin pulih. Mereka sudah mula bergurau senda seperti dulu. Clarissa tahu Kat tidak boleh dipersalahkan. Bukannya Kat yang bersekongkol dengan Zamani untuk menyakitinya tetapi lelaki keparat itu yang bertindak keterlaluan.
“Kak Rissa, Puan Melly nak jumpa.” Suffian meyampaikan pesanan sebaik keluar dari bilik Melly. Clarissa angguk lalu bangun. Diketuknya pintu dan dia masuk ke dalam.
“Ya Puan Melly. Ada apa-apa yang boleh saya tolong.” Melly senyum sambil mengarahkan supaya Clarissa duduk.
“Saja nak sembang dengan awak. Bosanlah hari ni.”
“Oh... saya ingatkan apa tadi. Puan tak ke mana ke hari ni?”
“Tak. Awak tak keluar dengan boyfriend?” Pancing Melly. Sebenarnya memang itulah yang ingin dicungkilnya dari Clarissa. Dia mahu tahu adakah Clarissa dan Tabah adalah pasangan kekasih. Dulu Clarissa sudah menafikan tetapi manalah tahu jika cinta sudah berputik jika tidak masakan mereka keluar makan bersama tempohari.
“Boyfriend?”
“Yang awak kenalkan pada saya hari tu? Dia boyfriend awak kan?”
            Clarissa senyum meleret. Dia sendiri tidak pasti sebagai apakah harus diperkenalkan Anugerah. “Entahlah Puan Melly. Nak kata boyfriend tak declare lagi. Nak kata tak, rasa macam ya. Saya pun baru saja kenal dengan dia. Sebelum ni dia tinggal di Australia, bila dah balik ke Malaysia kebetulan dia jiran saya tetapi kami masih tak bertegur mesra. Satu hari tu masa Puan Melly suruh saya pergi Ke Kolej Universiti Utama, saya jumpa dia di sana.Sejak itu kami rapat.”
            “Dia kerja kat sana? Macammana saya boleh tak tahu?”
            “Baru saja Puan Melly.” Melly angguk. Ringan saja mulutnya mahu bertanyakan lebih lanjut tentang Tabah terutama sekali tentang anaknya Sutra Ashikin tetapi dia mengawal dirinya bimbang Clarissa akan curiga.
            “Saya doakan awak dan Tabah akan menjadi pasangan kekasih.”
Dahi Clarissa berkerut. “Nama dia Anugerah. Bukannya Tabah.”
“Ops... saya tersilap dengar kut.” Melly menutup mulutnya sedikit dengan telapak tangannya. Sampai begitu sekali Tabah mahu lari dari dirinya sehinggakan identitinya juga ditukar. Bijak Tabah mengaturkan rancangannya. Tabah sanggup mengisytiharkan dirinya sudah meninggal dunia, hilang beberapa tahun dan kembali semula dengan identiti yang baru.
“Puan Melly...” Panggil Clarissa. Melly masih lagi tidak menyahut panggilan. “Puan Melly.” Kali ini suara Clarissa sedikit kuat sehingga Melly tersentak.
“Ya Rissa.Oh... maafkan saya. Awak boleh pergi.” Terus sahaja Melly menyuruh Clarissa keluar. Walaupun terperanjat tetapi Clarissa bangun dan meninggalkan Melly keseorangan. Pelik dia dengan sikap bossnya itu, tadi beria-ia mahu berbual tetapi tiba-tiba sahaja termenung panjang.
“Patutlah tak nak kawan dengan kitaorang, rupanya dah jadi best friend boss. Selalu sangat boss panggil kau masuk. Dia nak apa?”Terus saja Emma mendekati Clarissa sebaik Clarissa sampai ke tempatnya.
“Banyaklah kau. Mana ada aku jadi best friend boss. Saja sembang-sembang kosong lepas tu aku tengok dia termenung dan terus dia suruh aku keluar.”
“Boss periodlah tu. Hormon tak betul.” Sampuk Kat sambil ketawa.
“Tak pun dah lama tak dapat. Husband dah takde.” Tambah Emma pula.
“Dahlah tu. Kasihanlah boss kita. Husband dia meninggal tau. Janganlah cakap begitu.” Marah Clarissa.
            Kat dan Emma meninggalkan Clarissa untuk menyambung tugas mereka. Belum sempat Clarissa meneliti fail di atas meja, telefon bimbitnya berbunyi.
            “Hello bang.” Teruja Clarissa menjawab panggilan Anugerah.
            “Hello sayang.” Balas Anugerah ceria. Clarissa tergamam dipanggil sayang. Kalau di rumah, mahu saja dia melompat sampai ke siling kerana terlalu gembira. “Hey... kenapa diam ni.” Sambung Anugerah setelah melihat Clarissa diam seribu bahasa.
            “Abang kat mana ni?” Soal Clarissa mengubah topik. Malu nanti kalau Anugerah tahu dia hilang kata-kata.
            “Kat office. Tengahari nanti kita lunch sama?” Sekali lagi Clarissa seperti mahu melompat kegembiraan.
            “Okey. Pukul satu ek.”
            “Okey sayang. Bye.”
            “Bye.” Jawab Clarissa manja. Dia seperti terawang-awang di udara. Bahagianya rasa apabila sudah jatuh cinta.
            “Woi...” Sergah Suffian menyebabkan Clarissa melompat.
            “Pian.” Jerit Clarissa marah. Suffian mengekek gelak. Kelakar benar dia melihat Clarissa melompat tadi. Macam kartun pun ada.
            “Giler punya angau. Orang tercongok depan dia pun tak sedar.”
            “Ye ke. Berapa lama kau dah ada depan aku?”
            “Lama dah kak. Aku nak keluar ni. Mana surat tu?” Suffian menadahkan tangannya.
            “Surat apa?” Soal Clarissa tidak faham.
            “Surat yang Kak Rissa suruh hantar ke PJ tulah. Aku nak keluar ni. Dah siap belum?” Parah dah minah ni. Pagi tadi beria sangat suruh berjumpa dengannya sebelum keluar ke mana-mana. Ni apa kes?
            “Alamak, sekejap Pian. Bagi aku sepuluh minit.” Cepat-cepat Clarissa mengambil surat yang sudah siap di cetak lalu dimasukkan ke dalam sampul surat. Terkial-kial dia menulis alamat. Suffian menggelengkan kepalanya. Sah... angau.
           






BAB 19

            “Mari dapat daddy. Kak Rissa nak balik tu.” Anugerah cuba memujuk Sutra Ashikin tetapi Sutra Ashikin semakin mengeratkan pelukannya terhadap Clarissa. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.
            “Biar Rissa bawa Sutra baliklah sayang. Hari ni Rissa ambil cuti.” Kata Clarissa setelah melihat Sutra Ashikin seperti tidak mahu berenggang dengannya.
            “Kalau ibu ada tak jadi macam ni. Demam rindu kat ibulah ni.” Rungut Anugerah. Puan Suci Harum dan Encik Hafsham telah pergi menunaikan umrah dua hari lepas. Sejak itu Sutra Ashikin demam panas dan Anugerah terpaksa bercuti untuk menjaga anak kesayangannya.“Takkan Rissa sampai nak ambil cuti.” Anugerah serba salah. Dia tidak mahu menyusahkan Clarissa.
            “Sayang... anak I juga kan. Sutra Ashikin ikut Kak Rissa balik rumah ya.”
            “Tak nak, nak daddy. Nak Kak Rissa.” Tangis Sutra Ashikin. Bulat mata Clarissa mendengar rengekkan anak kecil itu. Nak mampus. Kang tak pasal kena umpatan jiran-jiran. Lagi haru kalau kena cekup. Mana nak letak muka?
            “Tak boleh sayang. Kak Rissa tak boleh duduk dekat rumah kita.” Pujuk Anugerah sambil mengusap rambut Sutra Ashikin. Sutra Ashikin tidak menghiraukan pujukan Anugerah. Dia sudah mula menangis.
            “Okey... okey... Jom masuk. Dah tak mahu menangis.” Akhirnya Clarissa akur. Dikeleknya tubuh Sutra Ashikin masuk ke rumah. Tangisan Sutra Ashikin serta merta berhenti. Anugerah mengekori di belakang. Hatinya berbunga riang. Bagus betul Sutra Ashikin ni. Kalau boleh merengeklah selalu. Dapat daddy telek muka Kak Rissa puas-puas.
            “Sayang baring sini, cuba sleep. Kak Rissa nak ke dapur masak bubur.” Sutra Ashikin angguk lalu memejamkan matanya. Clarissa ke dapur untuk memasak bubur nasi buat Sutra Ashikin.
            “Masak lebih sikit untuk abang.” Kata Anugerah yang muncul tiba-tiba. Clarissa mengurut dadanya. Terperanjat dia disapa tiba-tiba begitu.
            “Abang makan bubur ke?”
            “Kalau Rissa masak semua abang makan.” Renungan mata Anugerah membuatkan Clarissa tunduk. Ish... kenapalah nak renung-renung macam tu. Orang dah lah tak kuat iman ni.
            “Rissa nak masak apa tu?”
            “Buburlah.” Jeling Clarissa. Kan dah cakap tadi. Saja aje nak tanya.
            “Kalau nak masak bubur kenapa....”
            “Pergilah depan jaga Sutra Ashikin. Rissa nak masak ni.” Marah Clarissa memotong percakapan Anugerah apabila dia melihat Anugerah masih terus-terusan merenung wajahnya.
            “Dia dah tidur.”
            “Alah... keluarlah. Rissa tak boleh masaklah kalau abang pandang macam tu.” Anugerah tidak menghiraukan kata-kata Clarissa. Dia bangun lalu mendekati wanita itu. Clarissa semakin panik apabila Anugerah sudah hanya beberapa jengkal dengannya. Anugerah tunduk sedikit mendekatkan bibirnya ke telinga Clarissa.
            “Kalau nak masak bubur kenapa letak tepung dalam periuk.” Bisik Anugerah sambil gelak kecil.
            “Alamak.” Jerit Clarissa apabila menyedari kesilapannya. Dia menepuk dahi. Malunya......


“TEDAPLAH BUBUR yang Kak Rissa masak. Besok masak lagi boyeh tak?” Puji Sutra Ashikin. Suhu badan Sutra Ashikin sudah kembali normal. Wajah kanak-kanak itu juga sudah sedikit merah tidak pucat seperti sebelumnya.
            “Kalau Sutra Ashikin rajin makan ubat, hari-hari kak Rissa masakkan untuk Sutra.” Senang hati Clarissa menerima pujian daripada kanak-kanak sekecil Sutra Ashikin. Pujian itu pastinya ikhlas dan jujur.
            “Malam ni Kak Rissa temankan Sutra Ashikin tidur ya?” Mata Clarissa buntang. Ish budak ni... bagi betis nak peha. Nak suruh tidur sini pulak. Mahu Ameena mengamuk karang.
            “Tak bolehlah sayang. Kak Rissa tak boleh tidur rumah kita.” Pujuk Anugerah.
            Dahi Sutra Ashikin berkerut. “Nape tak oyeh?”
            “Sebab tak elok perempuan dengan lelaki yang belum berkahwin duduk serumah.” Terang Anugerah. Begitulah Anugerah. Dia akan menerangkan perkara sebenar kepada anaknya.
            “Kalau macam tu tawenlah. Kak Rissa tawen dengan daddy. Boyeh tak?” Clarissa dan Anugerah sudah berpandangan. Pipi Clarissa merah padam.
            “Macam ni, kalau bucuk daddy ni rajin makan ubat, nanti daddy kahwin dengan Kak Rissa.”
            “Plomise?” Mata Sutra Ashikin bersinar-sinar. Clarissa pula sudah tidak tentu arah.
            “Plomise.” Jawab Anugerah sambil sempat lagi matanya menjeling ke arah Clarissa. Nak tergelak dia melihat gelagat Clarissa yang malu-malu kucing tapi ditahannya. “You stay here, I want to discuss something with auntie.”
            “About what?”
            “About our wedding.” Sutra Ashikin angguk lalu memberi isyarat ibu jari tanda bagus kepada Anugerah.
            “Abang ni pandai-pandai aje janji kat budak kecil macam tu.” Clarissa meluahkan isi hatinya sebaik mereka duduk di luar rumah. Sebenarnya saja dia menduga hati Anugerah. Kalau betul yahoo.... merasalah aku naik pelamin.
            “Rissa tak mahu kahwin dengan abang?” Clarissa terdiam. Apa nak jawab ni. Nak tapi malu.
            “Abang nak kahwin dengan Rissa?” Soalan tadi disoal semula kepada Anugerah.
            “Kalau orang di sana sudi, orang di sini apatah lagi.”
            “Rissa nak baliklah bang. Kejap lagi Meena balik. Nanti apa pula katanya.” Clarissa terus berlalu meninggalkan Anugerah yang senyum sumbing. Anugerah tahu Clarissa juga suka padanya. Perempuan... kalau dah tersipu-sipu malu tu apa lagi... mahulah.


            PANGGILAN DARIPADA Kat yang diterimanya sebentar tadi benar-benar membuatkan Clarissa serba salah tetapi demi menjaga persahabatan mereka, Clarissa bersetuju untuk pergi. Setelah bersiap-siap seadanya, dia keluar ke ruang tamu. Ameena pelik melihat Clarissa yang sudah cantik bersolek.
            “Nak pergi mana ni?” Terus sahaja soalan itu disoalnya. Gaya macam watak mak tiri pun ada. Siap bercekak pinggang lagi.
            “Nak pergi celebrate birthday Kat.” Jawab Clarissa.
            “Kat mana?”
            “K.L.” Pendek sahaja jawapan Clarissa.
            “K.L kat mana?” Clarissa mengeluh. Mamanya pun tidak bertanya sampai macam ni sekali.
            “Aku pergi dululah Meena.” Cepat sahaja Clarissa keluar. Tidak mahu dia bersoal jawab dengan Ameena.
            Niat Clarissa yang hanya mahu meraikan Kat sekejap sahaja melarat sehingga berjam-jam. Hampir pukul 2.00 pagi baru dia keluar dari kelab. Sewaktu dia melangkahkan kakinya ke kereta, secara tiba-tiba Clarissa terjelopok jatuh. Dia mengaduh kesakitan. Baru sahaja dia hendak bangun, tiba-tiba tubuhnya ditolak kasar dan beg tangannya diragut. Clarissa menjerit meminta tolong malangnya tiada sesiapa yang mendengar jeritannya. Nasib baiklah kunci kereta dan telefon bimbitnya disimpan di dalam poket. Dengan terhencot-hencot, Clarissa masuk ke dalam kereta dan menangis. Apalah malang nasibnya hari ini. Baru beberapa jam tadi dia mengeluarkan wang sebanyak RM500.00 untuk membayar sewa rumahnya. Habis semua duit itu menjadi hak lelaki yang meragutnya sebentar tadi.
            Clarissa memandu pulang ke rumahnya dengan linangan air mata. Sedih hatinya kerana diragut ditambah pula dengan kakinya yang berdenyut-denyut sakit. Sedang dia membelok untuk masuk ke taman perumahannya, tiba-tiba keretanya dilanggar daripada belakang. Dengan cepat Clarissa memberhentikan kereta. Terhencot-hencot dia keluar.
            “MasyaAllah.” Jerit Clarissa sebaik melihat seorang lelaki sedang tergolek di atas jalanraya. Dia mengenali lelaki itu. “Awak okey ke?” Soal Clarissa cemas.
            “Tangan saya.” Aryan mengaduh kesakitan. Clarissa menolong anak kepada jirannya itu bangun.
            “Saya hantar awak pergi klinik.”
            “Tak apalah Kak Rissa. Sikit aje ni.” Tolak Aryan. Dia tak mahu menyusahkan Clarissa. Memang salahnya kerana tidak berhati-hati.
            “Berdarah tu. Jomlah. Kalau apa-apa nanti susah hati saya.”          
            “Tak apa. Kalau sakit sangat nanti besok saja saya pergi.” Aryan membetulkan motornya yang rebah. “Kemek kereta Kak Rissa. Ni nombor saya. Bila Kak Rissa dah repair nanti Kak Rissa hantarkan bil pada saya.”
            “Erk...” Clarissa serba salah. Kasihan dia melihat keadaan Aryan yang kesakitan. Tidak sampai hati pula dia mahu meminta ganti rugi.
            “Tak apa. Memang salah saya pun. Apa-apa nanti Kak Rissa cari saya ya. Kalau saya kerja, Kak Rissa tinggalkan pesan pada mak saya.” Aryan menghidupkan enjin motosikalnya.
            “Boleh ke motor tu gerak?” Clarissa masih lagi ragu-ragu.
            “Boleh ni. Saya bawa slow-slow. Minta maaf ya Kak Rissa.” Dengan perlahan, Aryan memandu motosikalnya. Clarissa mengeluh. Apalah malang nasibnya hari ini. Sudahlah terjelepok, diragut, dah nak sampai rumah pun boleh kemalangan kereta. Dipandangnya keretanya yang kemek. Dia mengeluh lagi.
            Sampai di rumah, Clarissa memicit kakinya yang kesakitan. Air matanya tak henti-henti mengalir. Saja dia tidak mahu mengejutkan Ameena, bimbang akan dileteri kerana terlalu cuai.       
            “Kenapa ni Rissa.” Terjerit Ameena melihat Clarissa yang sedang teresak-esak menangis. Niatnya mahu ke bilik air dibatalkan. Diusapnya kaki Clarissa yang kelihatan bengkak itu. “Cuba cerita pada aku apa yang berlaku.”
            “Aku terjatuh tadi.” Jawab Clarissa sambil menahan sakit akibat diurut oleh Ameena.
            “Takkan sebab jatuh kau menangis sampai macam ni. Kau kan jenis tahan sakit. Ni mesti ada yang tak kena.” Ameena tidak puas hati. Kenal benar dia dengan Clarissa. Kawannya itu jenis yang tahan sakit. Bukannya lembik macam dia.
            “Lepas aku jatuh, masa aku nak bangun ada orang ragut handbag aku. Puas aku minta tolong tapi tak ada sapa pun nak tolong. Nasib baik kunci kereta dengan handphone aku simpan dalam poket seluar.”
            “Ya Allah. Apa malang nasib kau ni Rissa.” Ameena geleng kepala. Kasihan dia mendengar cerita Clarissa. Tiba-tiba tangannya terhenti daripada mengurut. “Baik kau cakap terus terang dengan aku, mana kau pergi?”
            “Pergi mana? Pergi celebrate birthday Kat lah.” Muncung Clarissa panjang sedepa.
            “Yelah tapi kat mana?” Desak Ameena.
            “Kat kelab.” Sahut Clarissa perlahan. Dengan spontan Ameena menepuk kaki Clarissa.
            “Kan dah kena.” Jerit Ameena kuat. Clarissa mengerang kesakitan. Kalau tak kerana kakinya yang terlalu sakit, memang dah kena sekeh Ameena ni dikerjakan olehnya.
            “Kau ni kenapa? Sakitlah.” Tangan Ameena ditepis kasar oleh Clarissa.
            “Kau kan dah janji tak mahu pergi ke kelab malam lagi bila kau dah jumpa Mr Right kau, kalau kau pergi juga kau akan dirimpa bala. Inilah bala yang kau dapat sebab mungkir janji.” Clarissa terpempam. Boleh percaya ke? Ish karutlah. Ini mesti kebetulan sahaja.
            “Kebetulan saja kut. Aku bukannya pergi suka-suka, aku cuma meraikan Kat saja. Dah dia buat majlis kat situ. Bukan aku sengaja nak pergi.”
            “Janji tetap janji.”
            “Mengarutlah kau ni Meena. Sudahlah. Aku nak tidur. Besok banyak lagi kerja aku nak buat. Dahlah kereta tu kemek. Pening kepala aku. Kau jangan nak tambah pening aku.”
            “Kemek? Kenapa dengan kereta kau?”
            “Aku kena langgar kat simpang depan tu. Panjanglah cerita. Besok ajelah aku story.”
            “Sah... sah...” Jerit Ameena lagi. Clarissa terkejut.
“Aku belum nak menikah lagi. Tak payahlah kau nak praktis. Lagi pun tak ada orang perempuan yang jadi saksi nikah.” Terhencot-hencot Clarissa meninggalkan Ameena yang masih lagi berfikir-fikir sendiri. Lantak kaulah Meena. Biarlah kau dengan teori kau tu.







BAB 20

Ameena sanggup mengambil cuti kecemasan untuk menolong Clarissa. Tidak sampai hati pula dia membiarkan Clarissa susah begitu. Hampir petang barulah segala urusan selesai.
“Kenapa kau tak inform boyfriend kau?” Saja Ameena menyoal.
“Tak naklah. Nanti dia tanya aku pergi mana. Habislah aku.”
“Tahu pun takut. Lain kali nak buat lagi tak?”
Clarissa berfikir-fikir sendiri. Sejak semalam hatinya tertanya-tanya. Adakah teori Ameena itu betul? Adakah segala malang yang menimpa dirinya disebabkan oleh sikapnya yang mungkir janji? “Kau rasa sebab aku mungkir janji ke aku jadi macam ni?”
“Kau tak hairan ke bertimpa-timpa kau dapat masalah.Ni bukan sudah jatuh ditimpa tangga tau, ni namanya sudah jatuh ditimpa banglo tau tak.”
“Habis tu Meena apa aku nak buat?”
“Kau jangan lagi jejakkan kaki kau kat tempat cucuk bintang tu. Itu ajelah caranya. Cuba pergi masjid ke, surau ke. Banyak faedahnya.” Ameena berdoa di dalam hati moga hasutannya berhasil. Clarissa tidak menjawab sebaliknya merenung nun jauh jalan dihadapannya. Akalnya masih tidak boleh menerima segala teori yang dibuat oleh Ameena.
Sampai di rumah, kereta milik Anugerah sudah dilihat di parkir kereta rumahnya. Bimbang sungguh Clarissa jika Anugerah ternampak dirinya. Pasti banyak soalan yang perlu dijawab olehnya nanti. Belum sempat Clarissa masuk ke rumah, kedengaran suara comel menyapa.
“Mommy.” Clarissa menoleh. Sutra Ashikin sedang tersenyum lebar memandang wajahnya. Ameena terlopong.
“Mommy? Dia panggil kau mommy? Ada sesuatu yang aku tak tahu ke?” Soal Ameena penuh tanda tanya.
“Mommy pergi ane?”
“Erk.....”
“Mommy working.” Jawab Ameena. Clarissa mencubit lengan Ameena. Memandai aje bahasakan dirinya mommy. Buat malu sajalah Ameena ni.
“What happened to your leg?” Soal Sutra Ashikin lagi sambil matanya tepat memandang ke kaki Clarissa yang berbungkus.
“Kak Rissa masuk dulu ye Sutra. Nanti kita chit chat ye.” Wajah Sutra Ashikin serta merta berubah. Alamak... budak ni kecil hati ke? Habis tu takkan nak bahasakan mommy pula. Kalau Anugerah dengar nanti mana nak letak muka ni.
“Kak Meena dengan mommy nak masuk dalam dulu ya sayang. Mommy Sutra Ashikin ni tengah sakit sangat.” Mujurlah Ameena bijak memujuk. Wajah Sutra Ashikin kembali ceria.
“Bye-bye mommy, Kak Meena.”
“Bye-bye princess.” Hampir serentak Ameena dan Clarissa membalas. Ameena memimpin Clarissa sehingga ke sofa. Mereka duduk melepaskan lelah kerana penat seharian ke hulu ke hilir menyudahkan segala urusan Clarissa.
“Ada apa-apa yang aku tak tahu ke sampai budak tu panggil kau mommy. Advance. Terkedu aku dibuatnya tadi.” Korek Ameena.
“Merepek ajelah kau ni. Kalau kau nak tahu nilah first time dia panggil aku mommy. Aku pun terkedu gak.” Terang Clarissa. Kalaulah Puan Suci Harum dengar, malu dia.
“Wah, anak dah bagi greenlight, apa lagi. On ajelah.”
“Ish... banyak lagi yang aku tak tahu pasal Anugerah tu. Aku nak gak tahu siapa mommy Sutra Ashikin, meninggal sebab apa? Nak tahu kisah-kisah silam Anugerah. Ni apa pun aku tak tahu.” Luah Clarissa. Dia memang ingin sangat mengetahui tentang kisah hidup Anugerah. Sudah berkali-kali dia bertanyakan tentang ibu Sutra Ashikin tetapi Anugerah lebih senang mengunci mulut.
“Slow-slowlah. Kayuh pelan-pelan. Baru aje rapat kan.” Gelak Ameena.
“Iyolah tu cik Meena. Pimpin aku masuk bilik. Aku nak mandilah.”
“Satu tapak aku pimpin kau sepoloh ringgit upahnya tau. Boleh empat kali bayar.” Clarissa menepuk bahu Ameena. Bersyukur dia mendapat sahabat sebaik Ameena. Kelakar pula tu. Mereka sama-sama gelak.


ANUGERAH tergamam menerima tetamu yang tidak diundang. Dijemputnya Melly duduk. Dia bangun menuju ke pantry membancuh dua cawan nescafe dan dihidangnya kepada Melly. Kalau tak silapnya ini adalah majikan Clarissa. Kenapa wanita itu di sini?
“Jemput minum.” Pelawanya kepada Melly. Melly hanya melihat cawan berisi nescafe panas. Hatinya terguris. Bukankah Tabah tahu yang dia tidak boleh minum nescafe. Kalau diminum juga alamat seharianlah kepalanya akan sakit. Kenapa Tabah tidak sensitif tentang dirinya. Jika hendak berlakon tidak mengenalinya pun janganlah melakukan perkara yang boleh menyakitinya.
“Terima kasih.” Balas Melly. “Mesti Encik Anugerah terkejut melihat saya datang. Actually hari tu saya ada suruh Rissa datang jumpa Encik Anugerah, saya minta maaflah sebab hantar wakil sahaja. Kali ni kebetulan saya lalu area sini jadi saya pun singgahlah. Lagi pun kolej ni banyak berurusan dengan kami. Terima kasih.” Dengan penuh hati-hati Melly menyusun ayat. Dia mahu Tabah melihat kunjungannya lebih kepada kunjungan profesional, bukannya personal.
“Syarikat Puan Melly pun beri service yang bagus pada kami.” Melly angguk.
“Sejak bila Encik Anugerah kerja di sini?”
“Baru beberapa bulan.”
“Dengarnya Encik Anugerah ni tinggal di Australia sebelum ni?” Anugerah mengecilkan matanya sedikit mendengar soalan Melly. Ini pasti Clarissa yang bercerita. Boleh tahan juga kepohnya buah hatinya itu.
“Saja nak merasa cari rezeki tempat orang. Tapi lagi seronok di tempat sendiri.” Mata Melly tiba-tiba terpaku kepada gambar Sutra Ashikin. Baru dia perasan gambar itu di situ. Anugerah pelik melihat Melly tiba-tiba diam dan merenung gambar Sutra Ashikin. Belum sempat dia bertanya, telefon bimbitnya berbunyi.
“Hello Princess.”
“Hello Captain America.” Jawab Sutra Ashikin comel. “Daddy, Can you on your speaker. Nenek want to talk to you.” Terus sahaja Anugerah mengikut arahan anaknya itu. Pantas tangannya menghidupkan speaker telefon bimbitnya.
“Kenapa ibu?” Soal Anugerah cemas. Jarang ibunya mahu bercakap dengannya di telefon.
“Sutra Ashikin ni nak makan ice cream. Tak bolehkan Anugerah? Doktor kata seminggu sekali sajakan boleh makan ice cream? Semalam kan Sutra Ashikin baru makan.” Anugerah tersenyum. Dia tahu ibunya saja bercakap begitu supaya dia tidak mengizinkan Sutra Ashikin untuk makan ais krim.
“Sorrylah sayang. Next week baru boleh makan ice cream.”
“No. Daddy... please.” Rengek Sutra Ashikin manja. Melly yang mendengar terus sebak. Mahu saja dia menangis meraung mendengar suara Sutra Ashikin yang comel itu. Dia amat merindui anaknya.
“No. Next week baru boleh makan. Nanti daddy bawa Sutra Ashikin makan Tutti Frutti.”
“Yeay...” Sorak Sutra Ashikin gembira. “Love you daddy.”
“Love you sayang.” Anugerah memutuskan taliannya dengan senyum yang meleret. Setiap kali dia berbual dengan Sutra Ashikin pasti emosinya gembira.
“Anak?” Soal Melly. Anugerah tersentak. Hampir dia terlupa yang dia mempunyai tetamu.
“Yup. The one and only.”
“I pun ada seorang anak. Lima tahun umur dia. Perempuan.”
“Samalah dengan anak I. Baru lima tahun. Anak you dah sekolah?” Soal Anugerah teruja. Dia seronok apabila isu anak ditimbulkan. Seronok berkongsi cerita.
“Hmm... dia tak ada dengan I. Tinggal dengan ex husband I. Tak apalah Encik Anugerah. I minta diri dulu. Thank you for your time.” Melly bangun meninggalkan Anugerah yang pelik dengan sikapnya.
“Pelik perempuan ni. Datang tanpa diundang, pergi tanpa disuruh.” Bebel Anugerah sendirian. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.


SAKAN MELLY menangis di dalam kereta. Naik risau Bob dibuatnya. Apabila disoal, Melly hanya menggelengkan kepalanya sahaja tanpa mahu menjawab soalan. Perempuan ni kena kahwin cepat-cepatlah. Hormon dah tak betul ni. Kalau dibiarkan mahu gila nanti. Kalau perempuan cantik macam ni gila, rugi tu. Kalau aku masuk meminang dia terima tak? Bebel Bob dalam hati. Tidak berani dia meluahkannya. Silap-silap haribulan mahu dia kena pecat. Macammana nak pinang Adelia kalau dah kena pecat.
Suara comel Sutra Ashikin terngiang-ngiang di telinga Melly. Tidak tertahan rasanya dia menanggung rindu. Otaknya tepu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan olehnya. Hendak berterus terang dengan Tabah, dia belum menemui kekuatan itu. Lagi pun Tabah amat asing buatnya. Langsung tidak seperti Tabah yang dulu.
“Puan Melly, kita dah sampai.” Melly tersentak. Dia melihat Villa Amelia tersergam indah di hadapannya.
“Terima kasih Bob.” Melly berlalu keluar lalu menuju ke bilik tidur utama. Tidak ditegurnya Mak Zah yang menyambut kepulangannya di depan pintu.
“Kenapa dengan mem besar tu?” Soal Mak Zah kepada Bob.
“Entahlah. Saya pun dah naik migrain dibuatnya. Dari tadi menangis saja.” Adu Bob.
“Mak Zah pun peliklah dengan sikap Puan Melly dua tiga bulan ni.”
“Rindu kat Tengku kut.”
“Mungkinlah. Muda-muda dah jadi janda.”
“Mak Zah masak apa hari ni. Saya laparlah.” Bob mengosok-gosok perutnya. Dia memang manja dengan Mak Zah. Mak Zah tersenyum. Dia tahu benar dengan perangai Bob yang mesti menjamah masakannya sebelum pulang ke rumah.
“Hari ni masak lomak cili api. Jom ke dapur.”
“Favourite saya tu. Inilah yang buat saya sayang Mak Zah.”


Moga terhibur ^ ^

No comments:

Post a Comment