Wednesday, January 27, 2016

Dia Bangladesh Mari? Bab 5





BAB 5

            “Hei cik kak. Bukan main kekwat kau sekarang ya. Tak nak lagi berkongsi kereta dengan aku.”
            Belum sempat aku on kumputer di atas meja Mazuin telah datang menyerang. Siap buat memek muka macam Joyah dalam drama Opah lagi. Kecil hati sangat dengan akulah tu. Tak apa. Mari aku pujuk.
            “Alolo Win. Janganlah macam ni. Pagi-pagi marah rezeki payah nak masuk. Aku baru nak puji kau cantik berseri-seri tapi tengok kau mengaruk tak jadi mulut aku nak meluahkan kata-kata.”Wah, ayat skema! Harap Mazuin termakanlah dengan kata-kata manisku ini.
            “Tak payah nak berlakonlah,”juih Mazuin tidak percaya dengan mulut manisku.
            “Win, baru dua hari aku tak berkongsi kereta dengan kau, kau dah nak melenting. Aku bukannya sengaja. Petang ni aku kena ambil Aiman di PJ lagi,”bohongku untuk kali kedua. Tak terkira banyaknya dosa aku pada Mazuin tetapi aku tiada pilihan. Kadangkala dalam menjaga hati dan perasaan orang yang kita sayang pembohongan terpaksa dilakukan.
            “Adik kau buat apa di PJ?”soal Mazuin ingin tahu. Semalam tidak pula dia banyak tanya. Hari ni mungkin saja mahu mengujiku.
            “Kursus,”cepat aku belasah.
            “Kerja bawa lori pun kena pergi kursus? Kau biar benar.”
            Aduhh... aku menyumpah di dalam hati. Ya tak ya juga. Kalau nak menipu tu biarlah logik sikit. Kerja macam Aiman tu bukannya ada kursus bagai. Lainlah kalau Aiman kerja kerajaan ke, kerja pejabat ke bolehlah aku beri alasan sebegitu.
            “Kau jangan pandang sebelah mata pada adik aku. Mentang-mentang dia cuma driver lori,”Aku buat suara sedih. Haraplah Mazuin terpedaya.
            “Bukan itu maksud aku Lis. Aku langsung tak pandang hina pada Aiman,”nada suara Mazuin telah berubah rendah. Yeay, nampaknya cara yang aku gunakan tadi menjadi. Lepas ini bolehlah selalu aku aplikasikan taktik ini kepada Mazuin.
            “Win...,”dengan lembut aku panggil nama Mazuin. Lebih baik aku ubah topik perbualan kami dari bertelagah tentang Aiman.
            “Kenapa?”dengan laju Mazuin duduk di hadapanku. Itulah Mazuin yang aku kenal. Mudah dapat membaca lenggokkan suaraku yang mahu menyampaikan sesuatu.
            “Semalam aku jumpa Ismail,”kataku mula membuka cerita.
            Wajah Mazuin berkerut. “Ismail mana?”
            “Lelaki yang kau kata aku telah hina dia tulah. Si pengelap kereta,”terangku mengingatkan Mazuin.
            Ternganga mulut Mazuin. Aku sudah agak pasti Mazuin terkejut dengan keberanianku.
            “Kau jumpa dia? Untuk apa?”
            Aku angguk bersama senyuman penuh bangga. “Aku minta maaflah dengan dia. Baikkan aku.”
            “Lepas tu.. lepas tu?”desak Mazuin mahu tahu. Langsung dia tidak menjuih melihat aku masuk bakul angkat sendiri macam selalu.
            “Minta maaf sajalah. Kau ingat aku nak buat apa lagi? Takkan aku nak peluk kaki dia macam babak dalam filem hindustan.”
            Bibir Mazuin kembang. Kelakar agaknya mendengar keceloparan mulutku. “Dia maafkan kau?”
            “Maafkanlah kut.”aku kenyitkan mata.
            “Apasal pulak kut? Macam tak yakin saja.”
            “Sebab sepatah haram pun dia tak bercakap. Bibir dia cuma senyum saja. Manisnya ya Allah macam equal,”boleh pula aku menyamakan senyuman Ismail seperti pemanis tiruan itu.
            “Hmmm,”senget kening Mazuin mendengar penghormatan yang aku berikan terhadap Ismail. Dah macam orang kemaruk cinta pun ada juga tetapi tidak. Aku memuji dengan ikhlas hati kerana senyuman itu benar-benar memukauku. Bukannya ada niat yang lain.
            “Cerita aku tak habis lagi tau,”aku tambah teruja.
            “Wah, panjang cerita kau!”
            “Masa aku nak pergi lepas minta maaf...”aku tarik nafas panjang dan senyum senget. “Jeng, jeng, jeng.”
            “Ya Allah Ya Tuhanku. Bagilah aku kesabaran yang tinggi dengan kawanku ini,”spontan Mazuin menadah tangan dan berdoa.
            “Pekerja dia datang bagi aku informasi yang sangat berguna.”
            Mata Mazuin bersinar-sinar. “Apa katanya?”
            “Dia cakap Ismail pernah merana. Tubuhnya jadi kurus macam mayat yidup. Eh hidup!”
            Aku lihat mulut Mazuin ternganga. Penerimaan sebeginilah yang aku mahu. Bukannya macam mama. Buat aku hilang keyakinan diri saja.
            “Memang tepatlah naluri kau. Alhamdulillah. Akhirnya kita jumpa juga mamat tulang yang kita cari-cari selama ini. Bolehlah aku interview dia lebih sikit. Macam mana dia boleh jadi begitu? Siapa yang menyebabkan dia terlalu kecewa? Kalau nasib baik lagi mana tahu dia anak orang kaya, bolehlah aku minta sesuatu sebagai reward.”
            Dengan pantas lengan Mazuin aku cubit. Bukan main lagi Mazuin berangan. Dulu dia yang menasihati aku supaya melupakan Ismail tetapi sekarang dia yang teruja lebih.
            “Bukan main kau ya. Dulu kau yang tak suka aku asyik bercakap tentang si tulang tu. Sekarang kau yang berangan lebih. Siap nak minta sesuatu sebagai balasan. Nampak sangat tak ikhlas.”
            Senyuman manis Mazuin tadi bertukar tawar.  Lengannya yang aku cubit digosok perlahan-lahan. “Aku saja berangan. Berangan tukan free.”
            “Tapi masalahnya sekarang mama tak percaya. Dia kata senang-senang aku kena tipu dengan Ali,”kataku susah hati.
            “Ali tu siapa pulak?”soal Mazuin kebingungan.
            “Pekerja si Ismail yang kasi aku informasi tulah. Kau takkan tak ingat? Si Bangladesh mari yang minta duit dengan kau tempohari.”
            “Ingat, ingat.”angguk Mazuin faham. “Betul juga apa yang mama kau cakap tu. Boleh percaya ke Lis?”
            Aku tarik muka empat belas. Sudah. Mazuin dah termakan kata-kata mama. Menyesal aku beritahu dia tadi. Apabila begini, aku juga jadi tidak yakin. Nampak gayanya terpaksalah aku mencari Ismail lagi. Akan aku berterus-terang dengannya apa yang aku tahu dari Ali. Biar aku lihat reaksinya dan selepas itu barulah aku boleh membuat keputusan sama ada Ali berbohong atau pun tidak.

            

           AKU tersenyum lebar. Berus-berus yang bergerak cantik aku perhatikan dengan penuh minat. Berjaya juga aku masuk sendiri ke sini. Tidak susah rupanya. Betul kata Mazuin. Ikut saja arahan yang tertulis. Nescaya semuanya akan selamat.
            Sebaik mesin selesai menjalankan tugas, aku memandu dengan penuh hati-hati ke arah pekerja-pekerja yang setia menanti. Cermin kereta aku turunkan.
            “Kalau nak vacum dalam boleh ke?”soalku tidak biasa. Buatnya tidak boleh seganlah juga.
            “Boleh tapi sana parking juga,”tunjuk lelaki yang juga warganegara Bangladesh ke arah tempat yang perlu aku tuju. Aku angguk. Cermin kereta aku naikkan dan terus memandu ke situ.
            “Berapa semua campur vacum?”soalku lagi sebaik melangkah keluar dari kereta. Seram juga aku jika harganya keterlaluan.
            “Sepuluh kakak,”jawab lelaki Bangladesh tadi tergeleng-geleng.
            Aku tarik nafas lega. Tak adalah mahal mana. Kaki aku atur menghala ke arah Ismail yang awal-awal tadi sudah aku nampak kelibatnya.
            “Hai,”kataku sebaik mendekati. Ismail terkejut. Dia membalas senyumanku dengan senyuman yang seperti biasa manis bergula.
            “Saya dah tahu awak siapa. Memang awak lelaki yang saya tolong dulu. Ali dah ceritakan segala-galanya pada saya,”kataku berterus-terang. Tak perlu ambil jalan jauh sebab aku tahu Ismail takkan bersuara.
            Wajah Ismail tampak sangat terkejut.“Saya tak pasti kenapa awak tak nak mengaku. Mungkin awak ada reason yang tersendiri. Cuma satu saya nak awak tahu, saya tak ada pun nak tuntut apa-apa pada awak sebagai balasan atas pertolongan yang saya berikan. Selama ini saya berusaha cari awak sebab saya nak sangat tahu keadaan awak yang sebenarnya. Dah tengok awak sihat itu sudah cukup buat saya puas hati. Syukur Alhamdulillah. Allah makbulkan juga doa saya.”
            Aku pandang wajah Ismail. Wajah yang terkejut tadi bertukar sayu. Matanya  berkaca. Aku semakin yakin Ismaillah orangnya.
            “Saya tahu awak tak suka bercakap tetapi sekurang-kurangnya katalah ya sebagai tanda awak mengaku. Itu dah cukup buat saya puas hati.”
            Mataku sudah merah. Aku berharap sangat agar Ismail mengalah dan mengaku tetapi ternyata Ismail punya hati yang sangat keras. Dia meninggalkan aku seorang diri di situ tanpa sebarang kata.
            Lama juga aku longlai di situ tidak mampu untuk bergerak kerana terlalu kecewa dengan sikap Ismail. Apabila sedar yang aku saja tersorong-sorong aku mengambil keputusan untuk beredar dari situ tetapi belum pun sempat aku melangkahkan kaki aku lihat Ismail datang kembali tetapi kali ini dia tidak berseorangan. Ali ada di sisi dengan wajah yang suram.
            Ismail memberikan isyarat kepada Ali. Aku kira itu isyarat supaya Ali bersuara.
            “Maaf kakak. Semalam Ali tipu.”
            Menyirap darahku mendengar pengakuan Ali. Wajah Ali aku renung tajam. Tidak tahan dengan panahan berapiku, Ali tunduk malu.
            “Kau menipu aku hal semalam ke hal yang sekarang?”sinis aku menyindir.
            “Semalam kakak.”
            “Habis tu yang kau bercerita dengan aku semalam sebab apa?”
            “Sebab Ali mahu cakap sama kakak. Mahu chatting.”
            Semakin menyirap darahku mendengar pengakuan Ali tetapi dalam waktu yang sama aku rasa was-was. Manalah tahu Ismail memaksa Ali mengaku menipu dan kerana takutkan Ismail, Ali turutkan juga kehendaknya.
            “Kau yang cakap menipu neraka juga masuk. Baik kau cakap betul-betul yang mana satu yang betul?”ugutku mengingatkan Ali tentang balasan kepada orang yang membuat dosa.
            Ali diam tidak bersuara. Aku pandang pula wajah Ismail yang seperti mahu memperkatakan sesuatu.
 “Maafkan Ali kakak. Ali tipu. Saya bukan orang yang kakak cari sebab saya Bangladesh juga mari.”
            Pitam. Aku hampir pitam.



Betul ka Ismail Bangladesh Mari?
Boleh dapatkan novel ini Februari nanti.


Much Love,
Liz Haliza.
           













No comments:

Post a Comment