BAB 6
Keluar sahaja dari kereta aku dengar suara orang bergelak
ketawa. Dengan pantas mata aku liarkan mencari motosikal Aiman tetapi tidak
berjumpa.
“Motor tak ada maksudnya Aiman belum balik lagi. Siapa
pulak yang tengah berbual dengan mama aku tu?”kataku pada diri sendiri. “Suara
lelaki. Tak boleh jadi ni,”kerana ingin tahu yang menggunung tinggi laju saja
aku menerjah masuk.
“Hai kakak,”sapa Aiman sebaik tubuhku berada di dalam
rumah. Aku tergamam. Nasib baik Aiman yang aku lihat. Jika orang lain tadi
memang sudah lama aku tamatkan riwayatnya. Eh, boleh pula aku berprasangka
dengan mama sendiri! Jika mama tahu ni memang azab aku kena lesing. Mengenangkan
itu tanpa sedar bibirku menguntumkan senyuman.
“Kakak ni dah kenapa?”kuat suara mama menyergahku. Pelik
agaknya mama melihat aku tersenyum sorang-sorang.
“Kakak okey,”jawabku
seraya mendapatkan Aiman. Tengkuk Aiman aku peluk dari belakang.“Motor
mana?”soalku ingin tahu.
“Ada kat office.
Tadi kawan tumpangkan balik,”terang Aiman berpusing-pusing cuba melepaskan
pelukanku.
“Motor rosak ke?”
“Tak. Penat nak drive,”jawab
Aiman menolak tanganku. Tidak aku lepaskan tengkuk Aiman. Saja aku mahu mendera
dirinya setelah lama tidak berjumpa.
“Rindulah kat adik. Hantar batu nun jauh sampai ke
Perlis. Macamlah kat Perlis atau sekitarnya tak ada supplier batu bata,”kompelinku melepaskan tengkuk Aiman dan duduk
di sebelahnya.
Aiman tarik nafas lega. Seronok sangat agaknya terlepas
seksa. Dia menjauhkan sedikit tubuhnya dariku.“Hantar ke kampung boss. Ada projek besar agaknya. Man ni
kuli saja. Orang bagi arahan Man ikut.”
“Tulah, elok-elok jadi engineer...”
“Tapi
bestkan dik dapat makan angin. Jauh perjalanan luas pandangan. Tak macam kakak
yang dua puluh empat jam terperuk dalam office,”pantas
aku memotong kata-kata mama. Aku tahu mama tak habis lagi kecewa kerana Aiman
menukar kerjaya tetapi dalam masa yang sama aku tidak mahu Aiman berkecil hati.
Dia baru saja pulang ke rumah dan tidak patut hatinya disakiti.
“Seronok memang seronok tapi penatlah kakak,”Aiman
seperti mengadu.
“Itulah mama dah...”
“Kakak ada masalah ke?”Kali ini Aiman pula yang cekap
memotong kata-kata mama. Pandai Aiman. Aku juga yang menjadi mangsa.
“Mana ada?”gelengku tidak mahu mengaku.
“Kakak, Man kenal sangat kakak. Cuba cerita.”
Mata aku kecilkan tanda kagum dengan kepekaan Aiman.
Nampaknya Aiman bukan sengaja mengubah topik perbualan kami tetapi dia memang
nampak perubahan air mukaku. Cekap. Memang cekap.
“Adik ingat tak lelaki yang kakak tolong dulu?”dengan
rela aku memulakan cerita. Hubungan kami dua beradik memang tidak pernah ada
rahsia.
“Mana boleh lupa. Mulut kakak tak berhenti bercakap
tentang dia.”
Aku sengih malu. Aiman pun bercakap macam Mazuin. Nampak
sangat memang mamat tulang tu sentiasa menjadi topik perbualanku.
“Kakak ada nampak seorang lelaki yang seriras dengannya.
Kakak terus-terang dan lelaki itu tak cakap apa. Nak dijadikan cerita, pekerja
dia yang berbangsa Bangladesh buka cerita dengan kakak mengatakan lelaki itu
mungkin orang yang kakak cari. Kakak dengan yakinnya jumpa dia semula. Adik nak
tahu apa yang terjadi?”
“Apa dia kakak?”hampir serentak Aiman dan mama menyoal.
Wajah mereka kelihatan begitu teruja mahu tahu cerita seterusnya.
“Dia tu juga Bangladesh mari. Sama macam pekerjanya tu.”
Aku lihat Aiman dan mama berpandangan dan selepas itu mereka
gelak besar. Berdensing telingaku tidak dapat menahan frekuensi gelakkan mereka
yang agak luar biasa.
“Hisham tu Bangladesh juga rupanya,”kata mama dalam
gelak.
Aku tarik muka.“Hisham? Ismaillah ma,”tak ada kerja lain
aku. Asyik membetulkan nama orang saja jika berbual dengan mama.
“Lah... Ismail ke namanya,”tawa mama dan Aiman semakin
menjadi-jadi. Mulanya aku masam mencuka tetapi lama kelamaan aku juga turut
serta tergelak macam mereka.
“Kakak manis, saya bukan cinta hati yang kakak mahukan.
Saya Bangladeh juga mari,”kata Aiman mengajuk gaya lelaki Bangladesh bercakap.
“Ayoyo, saya
banyak kiciwa,”sambutku dalam loghat
yang sama.
“Mengucap, mengucap,”tegur mama mengingatkan kami yang
ketawa tak ingat dunia. Wajah mama sudah nampak tenang semula.
“Lawaklah cerita kakak ni. Boleh buat drama tv,”Aiman masih lagi ketawa tetapi
ketawanya sudah tidak sekuat tadi.
“Dah nasib kakak dik oii. Itulah. Mama nasihat tak mahu
dengar. Ya tak ma?”
“Tahu pun. Orang tua macam mama ni lebih dulu makan garam.”
“Lepas ni jangan nak buat kerja gila macam ni
lagi,”nasihat Aiman kepadaku.
“Yelah dik. Tak berani kakak. Serik,”anggukku menerima
nasihat Aiman itu dengan lapang dada.
Aku bangun. “Kakak nak mandi dululah ma, dik. Nak buang
DNA Bangladesh yang melekap kat badan kakak ni. Takut termimpi.”
“Haa... eloklah tu. Buanglah cepat DNA mereka. Mama bukan
apa, seram. Masa kakak mimpikan mamat tulang tu dulu, kakak belasah mama. Kalau
termimpikan bangla, takut pula nanti kakak buat aksi macam Rajnikanth. Tak
terlawan mama. Dah pergi cepat. Lepas ni mama pula nak mandi,”kata mama
tergeleng-geleng dalam sengih.
Aku bernyanyi-nyanyi ke bilik sambil sengih mendengar
usikan mama. Senang hatiku tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hilang
segala kehampaan yang melingkari di jiwa akibat tidak bertemu dengan apa yang
aku hajati. Sudahlah. Akan aku lupakan saja mamat tulang itu. Bukan aku tidak
berusaha untuk mencarinya tetapi nampak gayanya bukan rezeki kami untuk bertemu
kembali.
“KAN aku dah kata. Kau tak nak dengar. Sekali tengok saja
aku tahu dia orang luar,”dengan penuh bangga Mazuin memuji dirinya sendiri.
Puas hati sangatlah tu yang tekaannya selama ini tepat. Bibir tu bukan main
lagi panjang mengekspresskan rasa hati. Mujur tak berpusing tiga ratus enam
puluh darjah, jika tak mahu aku cabut lari.
“Tak payahlah bangga sangat Win. Bukan dapat pingat emas
pun,”kataku seraya ketawa setelah aku lihat bibir Mazuin yang panjang tadi
sudah pendek semula tetapi digantikan dengan wajah yang bangga.
“Kau nak ke berkawan dengan bangla? Eiii kalau aku tak
sanggup. Buatnya dia jatuh cinta tak ke naya. Berkahwin dengan rakyat tempatan
yang sama adat dan budaya pun tak aman inikan pula warga asing.”
“Ke situ pula kau. Aku bukannya nak rapat dengan dia. Dah
tahu tu sudahlah. Takkan nak sombong pula,”tak salah rasanya aku bertegur sapa
dengan Ismail jika bertemunya di tempat cuci kereta. Untung-untung dapat harga
istimewa. Kan dah senang.
“Mula-mula bertegur sapa, lepas tu main-main mata pula.
Hati dan perasaan ni bukannya boleh dijangka. Yang tak nak itulah yang kita dapat.”
Mazuin memang saja nak memainkan perasaanku. Nak bagi aku
rasa takut. “Kau ingat senang hati dan perasaan nak berubah? Mama aku tu
bukannya akan berkompromi dengan aku jika dia tahu aku jatuh cinta dengan orang
asing jadi kau tak payah nak mereka-reka cerita. Yang gini-gini takkan
berlaku.”
“Apa yang gini-gini tu Ailis?”
Suara garau yang amat aku kenali bergema di corong
telinga. Cepat-cepat aku bangun berdiri sebagai tanda hormat kepada majikanku.
Mazuin juga begitu. Jika tadi dia sedap lentok di atas meja tetapi berdezup dia
bangun kerana malu.
“Assalammualaikum boss.
Awal sampai?”sapaku sopan. Seperti biasa aku lihat lelaki yang telah dua tahun
menjadi majikanku itu melemparkan senyuman.
“Waalaikumusalam. Rancak berbual. Tak nak share dengan
saya ke yang gini-gini,”kedua-dua tangan Encik Yahya gerakkan mengikut gaya
pelawak Apek. Kelakar pula aku lihat sehingga aku dan Mazuin tersengih-sengih.
“Dia ni berkenankan bangla boss,”dengan celopar Mazuin menjawab. Hendak saja aku lekuk kepala
Mazuin kerana mereka-reka cerita.
“Dah tak ada lelaki melayu yang awak suka ke Ailis? Saya
ni bukannya saja nak masuk campur urusan peribadi awak tetapi besar risikonya
bercinta dengan warga asing.”
Percuma saja aku kena bebel pagi-pagi begini. Aku pandang
wajah Encik Yahya. Aku lihat wajah itu sarat dengan seribu kebimbangan. Wajah
penuh kebapaan yang begitu mengambil berat akan masa depan anak gadisnya.
“Mana ada boss.
Si Mazuin ni buat cerita.”
“Apa pulak mereka cerita? Boss, Ailis ni baru berkenalan dengan seorang mamat cuci kereta.
Ingatkan melayu tapi rupa-rupanya bangla.”
Tak sensitif langsung Mazuin. Ditokok tambahnya lagi
adalah. “Kau ni memanglah,”kataku geram.
“Lelaki asing ni biasanya akan pulang semula ke kampung
halaman mereka apabila sampai masanya nanti. Biasalah tu, siapa pun yang
merantau pasti berkeinginan untuk pulang semula ke tempat asal. Bak kata
pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri tapi baik
lagi di negeri sendiri. Tak ke merana awak nanti?”
Agak panjang nasihat Encik Yahya kali ini. Aku
mengangguk-anggukkan kepala tanda faham sekaligus mengambil hati akan
keprihatinannya terhadapku walaupun yang sebenarnya hatiku membara marahkan
Mazuin yang menyebabkan aku disekolahkan pagi-pagi begini.
“Saya faham boss.
Boss janganlah risau.”
“Apa-apa perbuatan kita, utamakan perasaan kedua ibu bapa
kita dahulu. Orang-orang muda ni kalau dah bercinta, mereka rasa mereka saja
yang betul. Saya tak mahu awak tergolong dalam golongan itu.”
Makin laju kepalaku terangguk-angguk menghadam dan cuba
menerima dengan hati yang terbuka nasihat dari majikanku.
“Faham tak Ailis? Jangan duk terangguk-angguk saja.”
“Faham boss,”dah
macam askar aku menjawab. Kuat dan meyakinkan.
“Saya masuk dulu. Buatkan saya kopi tanpa gula satu.”
Aku
tarik nafas lega. Berakhir juga sesi persekolahanku pagi ini. Ingatkan tadi Encik
Yahya tidak mahu berhenti memberikan nasihat percuma.
“Baik
boss.”
Baru
saja Encik Yahya selangkah menapak untuk masuk ke biliknya, aku lihat dia
berpaling semula memandang ke arahku. “Daripada awak berkahwin dengan bangla tu
lebih baiklah awak jadi menantu saya. Dekat nak balik berhari raya. Tak adalah
berebut negara mana nak balik dulu nanti.”
Aku terlopong. Gila tak terkejut mendengar tawaran yang
tidak dijangka itu. Kerana terlalu terkejut, aku tidak mampu bersuara dan hanya
melihat Encik Yahya tersenyum sebelum masuk ke biliknya.
“Tak
payah nak terkejut sangat. Aku tahu kau seronok lebih kan... kan...
kan..”Mazuin terus mengambil peluang yang ada untuk mengusikku. Perempuan ni
memang pantang dapat peluang, cekap saja dia mengenakan aku.
“Cehh...
tak ada maknanya aku nak seronok,”kataku mencebik. “Jadi menantu boss memanglah
best tapi buatnya muka anak dia macam pecah rumah. Tak naklah aku.”gelengku
laju. Aku tahu pernyataan yang aku berikan ini kedengaran agak kejam. Kacak,
cantik ataupun lawa adalah mengikut perspektif mata sendiri. Tidak semestinya
apa yang aku lihat cantik maka akan cantik juga di mata orang lain dan
begitulah sebaliknya. Aku hanya memberi kenyataan berpandukan kepada pandangan
mataku bukannya mahu menyinggung hati mana-mana pihak.
“Biar
muka pecah rumah asalkan warganegara Malaysia. Tak payah nak menyusahkan
kerajaan Malaysia sebab anak dilarikan ke luar negara nanti.”
Aku
tergelak kecil. Macam-macam Mazuin ni. Ada saja jawapannya. Nak marah pun tak
jadi. “Eh Win!”panggilku memberi isyarat supaya Mazuin duduk. Aku sudah pun
duduk elok.
“Aku
nak pergi tempat akulah. Lama sangat kat sini bahaya untuk kenaikan gaji aku
nanti,”tolak Mazuin dengan alasan yang sengal.
“Balik
kerja nanti kita singgah makan kat Binjai nak?”ajakku yang sudah pun
membayangkan nasi briyani kambing Binjai yang enak itu.
“Tak
ada tempat lain ke? Asyik-asyik Binjai. Sebab tu kau bingai.”
“Woi
mulut tu. Bukan kau ke yang selalu ajak aku ke sana?”
“Aku
bergurau. Saja nak kenakan kau. Kita berkongsi kereta sajalah ke sana. Lepas
makan kita sama-sama pulang ke office
ambil kereta kau. Bukan jauh pun.”
Mengada
betul Mazuin. Tak habis-habis mahu mengusikku. Di dalam kepalanya itu agaknya
tak ada benda lain yang difikirkan. Menyakat Nur Ailis, mengenakan Nur Ailis
dan mengusik Nur Ailis saja agaknya tetapi dalam-dalam menyakat dan mengusik tu
segala kemahuanku dituruti. Itu yang buat aku lemah dan sayangkannya. “Tak
susahkan kau ke pergi balik pergi balik hantar aku?”
“No
problem. Aku pun dah teringat-ingat kueyteow udang galahnya tu. Pergh,
kecur air liur babe.”
Aku
ketawa. Ini yang seronoknya berkawan dengan Mazuin. Bab makan memang kami
sehati sejiwa. Jika sudah sehati dan sejiwa sifat tolak ansur itu senantiasa
ada. Bersyukur aku ditemukan dengan sahabat sebaik Mazuin. Moga persahabatan
ini akan berkekalan sehingga ke hujung nyawa.
BAB 7
“Kau nampak tak apa yang aku nampak?”soal Mazuin dengan
bibir yang tidak bergerak. Matanya menjeling ke arah dua orang lelaki yang baru
masuk tadi.
Aku sorot jelingan mata Mazuin dan mulutku ternganga.
“Ismail,”kataku juga berbisik.
“Dahsyat oo. Abang bangla kau makan di Binjai.”
Aku diam untuk beberapa ketika. “Jenis bangla yang
ada-ada kut kalau tak takkan datang Malaysia jadi boss,”aku memberikan pendapat.
Tak elok pula terlalu memandang rendah kepada rakyat dari negara itu.
Kebanyakkan daripada mereka adalah seagama denganku.
“Yelah tu.”
“Kau tu yang suka mengagung-agungkan orang barat. Yang
seagama tak mahu diangkat ke tempat yang lebih tinggi. Islamkan
bersaudara,”boleh pula mulutku bercakap seperti penceramah agama. Ada rasa
bangga yang terbit di jiwa.
“Kau ni dulu pernah masuk rancangan ustazah pilihan ke?
Episod ke berapa kau tersingkir?”
Cepat jariku mencubit lengan Mazuin. Dia nikan celopar
betul. Tak betul ke apa yang aku sebutkan tadi? “Mengada.”
“Baik ustazah. Saya setuju dengan kata-kata ustazah
tadi.”
Tidak aku hiraukan usikan Mazuin itu. Mata aku jelingkan
sekali lagi memandang ke arah Ismail dan kawan lelakinya tetapi mereka sudah
pun tiada di tempat yang aku lihat tadi. “Mana diaorang pergi?”aku tercari-cari.
Mazuin turut serta liar memandang sekeliling.
“Diaorang pindah duduk di meja luar sana,”muncung Mazuin
panjang menghala keluar. “Senang nak merokoklah tu,”tokok Mazuin lagi.
Belum sempat aku bersuara, seorang pelayan restoran
berbaju hijau datang membawa nasi briyani yang aku pesan. Haruman yang datang
dari nasi briyani itu buat aku terlupa seketika tentang Ismail.
“Kena ambil gambar dulu sebelum ngap,”kataku mencari-cari
telefon pintarku di dalam beg tangan. Bukannya berniat mahu menunjuk-nunjuk di instagram mahu pun di facebook. Sekadar menghargai makanan
yang dihias cantik dan nampak menyelerakan itu.
“Eh,
handphone aku mana Win?”Jeritku
gelabah. Habis beg tangan aku selongkar sehingga tunggang langgang isi di
dalamnya.
“Handphone kau
jadi kaulah yang jaga. Buat apa tanya aku,”dengan sombong Mazuin menjawab.
Mentang-mentang kueyteownya baru sampai. Tak sabar nak makanlah tu sehingga
langsung tidak mengambil berat tentang telefon bimbitku yang tidak ada.
“Dalam kereta kut Win. Bak kunci kereta kau,”aku menadah
tangan. Mazuin laju memberi apa yang aku minta.
Tanpa berlengah-lengah lagi aku keluar menghala ke kereta
yang Mazuin perkirkan di bahu jalan. Biasalah Mazuin, bukannya dia mahu memakir
di tempat yang betul. Selagi boleh diparkir sedekat yang mungkin dengan tempat
yang hendak dituju selagi itulah dia akan buat begitu. Sewaktu melintasi Ismail
dan rakan lelakinya, aku tunduk dan mengereng sedikit ke kiri supaya Ismail
tidak menyedari kehadiranku di situ tetapi telingaku dapat mencuri dengar
perbualan Ismail dan sahabatnya yang membuatkan aku berpatah semula mendapatkan
Mazuin.
“Dia melayu babe.
Melayu,”kataku separuh menjerit. Tanganku menggigil. Jantungku melompat-lompat laju.
“Siapa?”soal Mazuin dengan mata yang dibeliakkan bingung
dengan siapa yang aku maksudkan.
“Ismail itulah. Aku terdengar dia berborak dengan kawan
dia tadi. Langsung tak ada loghat bangla. Siap bercakap dialek Kelantan lagi.”
Mendengarkan itu barulah Mazuin meletakkan sudu dan
garfunya berminat melayaniku. “Kau dengar perbualan orang lain kut?”
“Tidak. Mereka saja melayu yang ada di situ. Couple yang satu lagi tu cina.”
Mazuin memerhati ke luar. “Haah, betullah. Tapi untuk
menguatkan lagi dakwaan kau biar aku pulak yang dengar. Handphone tadi kau dah ambil ke belum?”
Aku geleng. “Belum. Nah kunci. Terlanjur nak busybody tu kau ambillah handphone aku.”
Mazuin bingkas bangun. Dia berjalan keluar. Aku hanya
menjadi pemerhati dengan sabar. Lima minit kemudian Mazuin sudah pun duduk di
hadapanku semula.
“Ni handphone
kau,”hulurnya. Telefon bercasing
warna merah itu aku sambut.
“Betul tak apa yang aku cakap?”
Mazuin angguk. “Speaking
Kelantan weh. Pekat lagi. Aku tak rasa bangla tahu. Kalau boleh pun takkan
sepekat itu”
Gotcha. Mata aku bersinar-sinar. Senyumanku lebar. “Kan
dah kena tangkap. Kantoi. Itulah menipu lagi. Sekejap saja kebenaran sudah
terbukti,”kataku berlagak.
“Frankly speaking
aku mula mempercayai naluri hati kau tu. Kalau dia bukan mamat tulang yang kita
cari kenapa dia menipu? Siap menyamar jadi bangla lagi.”
Lagakku semakin menjadi-jadi setelah mendengar pengakuan
Mazuin. Tubuh aku tegakkan sebagai tanda bongkak.
“See. Ini Nur
Ailis,lah.”
“Habis tu apa plan
kau?”
“Kita makan cepat lepas tu masa nak ke kereta kita tegur
dia dan blah,”cadangku tidak sabar
mahu mengenakan Ismail.
Mazuin senyum bersetuju. Kami cepat-cepat makan tanpa
sempat menikmati kesedapan makanan yang kami pesan. Hati lebih teruja mahu
melihat reaksi Ismail sewaktu aku menegurnya nanti.
Setelah membayar harga makanan kami, aku menghampiri
Ismail dalam debar. Lelaki itu terkejut sebaik terpandangkan wajahku.
“Assalammualaikum,”sapaku berbudi bahasa.
“Waalaikumusalam,”jawab Ismail dalam nada suara yang
bergetar.
“Bukok keda ko dok ni?”
“Buko. Eh, buka!”
“Sapo jago keda?”
“Pekerja.”
“Mari sini sokmo ko?”Ismail angguk. “Makaney sini
sedak-sedak blako.Melayu, cino, india, bangla pakak suko makey sini. Dok gitu?
Ismail aku lihat hanya tersenyum tawar.
“Kito gerak dulu deh. Suko jupo demo. Tata titi tutu.”
Cepat-cepat aku dan Mazuin meninggalkan Ismail yang jelas
terpinga-pinga. Sampai saja di dalam kereta terhambur tawa yang sudah lama kami
simpan. Aku rasa puas hati. Padan dengan muka Ismail. Nak menipu lagi.
Bangladeh mari konon... Choilah. Made in
Malaysia, Made in Kelantan lagi
mahu berlakon.
KEESOKKAN
harinya aku mengambil keputusan untuk mengambil cuti setengah hari. Kepada mama
aku khabarkan yang aku tidak sihat manakala dengan Mazuin aku katakan yang aku
ada urusan penting. Bukannya aku tidak mahu berterus-terang dengan Mazuin rancanganku
tetapi aku tahu jika aku berbuat demikian, dia mahu turut serta berjumpa dengan
Ismail. Padaku, Ismail pasti ada sebab yang tersendiri sehingga tergamak
menipu. Biar aku tanyakan sebab itu dari hati ke hati. Jika ramai yang campur
tangan dibimbangi lelaki itu tidak akan membuka mulutnya.
“Belum buka lagi?”soalku kepada seorang lelaki bangla
yang sedang elok bersila di atas lantai di tepi pejabat sebaik sampai.
“Bulum. Sepuluh
juga kakak,”jawab pekerja tersebut sambil bangun sebagai tanda hormat kepadaku.
Mereka ini sebenarnya punya adab yang tinggi. Sedar diri merantau jauh di
negeri orang. Tak semuanya jahat seperti yang digambarkan olehku selama ini.
“Siapa nama kau?”
“Rahman,”jawab Rahman ringkas.
“Bagus nama tu,”pujiku ikhlas. Rahman tertunduk malu.“Kau
baik dengan Ali?”aku semakin galak bertanya.
“Itu Ali sini kirja
ka?”tanya Rahman terkejut. Hilang malunya tadi.
“Habis tu Ali mana lagi?”
“Oh itu Ali sepupu juga. Mak Ali saya punya kakak,”terang
Rahman akan pertalian darahnya dengan Ali. Aku terdiam sebentar cuba
menafsirkan kata-kata Rahman tadi. Kalau mak Ali adalah kakak kepada Rahman
maknanya Ali adalah anak saudara Rahman bukannya sepupu.
“Anak saudaralah. Kau ni. Tu pun tak tahu,”marahku
membetulkan fakta. Rahman ternganga. Kemudiannya dia bercakap-cakap perlahan
sambil mengira-ngira jarinya. “Kau tak payahlah nak fikir banyak. Kalau aku dah
kata Ali tu anak saudara, kau percaya sajalah.”
Rahman mengegeleng-gelengkan kepalanya. Aku tahu itu
tandanya dia faham. Bangsa mereka ni samalah macam hindustan. Faham geleng, tak
faham pun geleng.“Kakak mahu cuci kereta?”
“Tak. Aku nak cari Ali. Nak tanya dia sesuatu.”jujur aku
menyatakan tujuanku ke situ walaupun itu bukanlah tujuan utama.
“Kakak tanya saja sama saya. Rahsia Ali rahsia Rahman
juga.”
Aku gelak kecil. Bukan main lagi Rahman bermadah
pujangga. Rahsiamu rahsiaku jua konon. Dasar busybody mengaku sajalah. Sah Rahman sedarah dengan Ali. Suka
sangat mengambil tahu hal orang.
“Itu Ali sudah tipu sama aku. Dia cakap dulu boss kau Ismail pernah sakit tapi Ismail
tak mengaku.”
“Buat apa kat sini?”
Satu suara yang sangat aku kenali menyampuk. Suara itu
tidak lagi menggunakan loghat Bangladesh. Aku menoleh memandang ke si empunya
suara yang sedang tersenyum manis.
“Saya nak jumpa awak,”akuiku tanpa mahu berselindung.
“Rahman, pergi buat kerja. Kau ikut aku. Kita bersembang
di office,”pelawa Ismail membuatkan
aku tersenyum sinis. Tahu pun rasa bersalah. Ingatkan masih lagi mahu bersikap
sombong dan berlakon.
Ismail sudah pun mendahului. Aku mengikut langkahnya dari
belakang dengan hati yang lapang. Sebaik masuk, aku lihat Ismail terus
menghidupkan penghawa dingin. Selepas itu dia mengeluarkan komputer riba dari
beg galas yang dibawa.
“Marilah. Yang kau takut-takut sangat nak dekat dengan
aku ni kenapa? Aku bukannya makan orang.”
Berdensing aku dengar suara Ismail masuk ke dalam
gegendang telinga. Macam menyindir saja nadanya itu.
“Saya bukannya takut tetapi pelik,”cebikku lalu berdiri
betul-betul di hadapan meja Ismail.
“Apa yang pelik sangat ya cik....”
“Ailis,”sahutku cepat.
“Ailis. Cantik nama tu secantik orangnya,”puji Ismail
dengan senyuman yang panjang. Dia ni kecil-kecil dulu terkena sawan senyum
gamaknya. Asyik nak tersenyum sahaja. Walaupun senyum itu satu sedekah tetapi
kalau dah dua puluh empat jam renyih seriau juga aku dibuatnya.
“Terima kasih,”anggukku dengan hati yang pelik. Lain
macam baiknya pula Ismail. Bersopan santun sangat. Ini mesti sebab dah kantoi
semalam. Nak beli hati akulah tu. Jangan harap.
“Duduklah. Macam mana nak berborak jika sorang duduk
sorang berdiri.”
Aku semakin bingung tetapi tetap juga mengikut arahan.
“Awak ni pelik ya. Hari tu bisu, kemudian menipu saya kononnya datang dari
Bangladesh, kali ni apa pula trick
awak?”
“Aku dah agak yang kau akan datang ke sini untuk
bertanyakan tentang itu.”
Aku cebik. Tahu pun. Dia ingat aku akan membiarkan saja
perbuatannya itu. Apa salahnya mengaku. Jika dia tidak sudi berkawan denganku
selepas ini aku bukannya marah.
“Apa salahnya awak mengaku saja yang awak adalah lelaki
yang saya cari. Tak perlulah sampai menipu semata-mata tak mahu berkawan dengan
saya,”terus aku meluahkan apa yang terbuku di hati. “Saya bukannya nak bercinta
dengan awak pun. Saya juga bukannya nak menuntut apa-apa ganjaran atas budi
yang telah saya berikan. Saya cuma mahu tahu yang awak selamat. Itu saja,”entah
mengapa kali ini ada airmata yang bergenangan di kelopak mata. Sedih aku
mengenangkan sikap lelaki yang pernah aku tolong dulu.
Ismail memusingkan kerusi yang didudukinya lalu
membelakangikan aku. Lama dia berkeadaan begitu sebelum berpusing memandangku
semula. “Aku panggil kau masuk ke sini sebab aku nak berbincang elok-elok
dengan kau. Janganlah terlalu emosi.”
“Nak berbincang apa lagi? mengaku saja cukup,”kataku
malas memanjangkan cerita.
“Ailis, aku memang orang Bangladesh. Aku sampai Malaysia
masa umur aku dua puluh dua tahun. Masa tu aku ikut pakcik aku kerja kelapa
sawit di satu felda di Kahang. Kau pernah dengar tempat tu?”
Aku geleng. Manalah aku tahu sangat nama semua tempat di
Malaysia. Dia ingat mata pelajaran geografi sahaja yang perlu aku telaah. Tak
payah nak belajar mata pelajaran lain?
“Kahang tu terletak di Kluang, Johor. Itu pun kau tak
tahu,”kata Ismail menyakitkan hatiku. “Lepas setahun setengah aku bosan menghadap
pokok kelapa sawit sahaja jadi aku pulang semula ke Bangladesh. Tak sampai
setahun aku datang semula tapi kali ini aku bekerja di Kota Bahru sebagai
pencuci kereta. Sejak itu aku serius untuk mengabdikan diri aku di bumi
Malaysia. Aku bercinta dengan orang Kelantan yang mana telah mengajar aku untuk
fasih bertutur loghat negeri itu.”
Aku ternganga, terbeliak, terlopong, terkesima, terkejut
dan seribu satu ter lagi yang menggambarkan perasaanku tika ini.
“Aku dah jangka kau takkan percaya. Ini bukan kali
pertama pun kau tak percaya apa yang aku cakap.”
Aku masih lagi mendiamkan diri. Kali ini kebisuan Ismail
sudah berjangkit kepadaku.
“Kau tunggu sini sekejap.”
Aku lihat Ismail bergegas keluar dan masuk semula lima
minit kemudian bersama-sama dengan pekerja-pekerjanya. Perasaan takut mula
menguasai diri apabila melihat terlalu ramai warga asing berkumpul di dalam
pejabat kecil itu. Jika mereka melakukan sesuatu kepada aku bagaimana?
“Ali, Rahman, Faisal, Rafique, Ahmed, Musolah, Kareem,
Ben, Ral dan Qhuol. Cerita sama kakak manis,”suruh Ismail lalu duduk di
hadapanku.
“Boss Kareem
punya sepupu. Itu Bangladeh sana mari,”lelaki yang aku tidak pasti siapa
namanya memulakan bicara.
“Dia banyak baik. Bagi puluang sama kita,”sambung lelaki yang lain pula.
“Butul apa yang
Faisal cakap. Saya Kareem. Bangladesh duduk susah. Boss panggil Malaysia. Kirja
sini. Gaji enam ratus juga. Tiga ratus hantar isteri. Dua ratus makan sama itu handphone. Satu ratus lagi...”
“Sudah. Aku tak mahu tahu pasal bajet bulanan
kau,”potongku yang sudah mula rasa rimas.
“Kakak,
ini boss serupa superhero. Tolong sama saya,
sama kawan-kawan saya.”Karem langsung tidak menghiraukanku. Dia masih lagi
menyambung kata-katanya yang terhenti tadi.
“Suruh diaorang keluarlah Ismail. Saya
percayalah cakap awak.”kataku mengalah. Tidak sanggup lagi aku mahu mendengar
sebarang kata yang bakal keluar dari mulut pekerja-pekerja Ismail. Nampak
gayanya terpaksalah aku menerima hakikat yang sebenar. Ismail sememangnya bukan
lelaki yang aku cari. Dia benar-benar Bangladesh mari.
** Bagi dua bab sekali sebab lusa nak pergi bercuti. Nanti susah nak pegang lappy.
Enjoy reading semua.
Much Luv
Liz Haliza.