Wednesday, May 22, 2013

Bila Darjatku Diangkat 9


BAB 9

            Marcella menangis melihat wajahnya di cermin yang diberikan oleh Nazif. Dia hampir pengsan melihat wajahnya sendiri. Jika dia sebagai si pemilik wajah pun tidak dapat menerima rupa fizikalnya, bagaimanakah penerimaan Aira nanti? Pasti Aira tidak mahu mendekatinya.
            “Sudahlah tu sayang. Pada abang, Cella tetap isteri abang yang paling cantik.” Tubuh Marcella didakap erat.
            “Macammana kalau Aira tengok Cella. Mesti dia takut. Rambut Cella tak ada.” Rintih Marcella sayu.
            “Sepatutnya sayang gembiralah sebab petang ni dah boleh keluar. Dah boleh jumpa Aira. Cella jangan risau ye. Kami semua sayangkan Cella.”
            “Tapi Cella....”
            “Sayang tunggu sini. Abang keluar sekejap saja.” Tanpa sempat Mercella bertanya lanjut, Nazif terus meninggalkannya. Marcella mengeluh. Ditatapnya semula wajahnya. Sambil itu ingatannya kembali kepada peristiwa tujuh tahun lepas. Dia telah menjumpai satu benjolan di payudara kanannya. Benjolan itu amat kecil sekali tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan sakit. Tidak dikhabarkan tentang benjolan itu kepada Nazif. Dia hanya mengkhabarkan kepada rakan sekerjanya sahaja iaitu Khalida. Walau didesak untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh Khalida, Marcella tidak berjumpa dengan doktor. Dia takut untuk membuat pemeriksaan kerana takut untuk menerima sebarang berita yang tidak menyenangkan.
            Akhirnya kegusarannya hilang setelah dia melahirkan Aira. Kesibukan membesarkan Aira membuatkan Marcella leka dan melupakan benjolan yang ada. Keletihan yang melanda Marcella tidak diendahkan kerana dia fikir dia letih bekerja dan dalam masa yang sama membesarkan anak yang masih kecil. Demam yang semakin kerap menyerang juga tidak diendahkan kerana doktor juga tidak mengesyaki apa-apa. Hanya memberinya ubat demam dan cuti sakit supaya berehat. Kemuncak kepada kemerosotan kesihatannya ialah apabila dia jatuh pengsan di pejabat. Rakan sekerja menghantarnya ke hospital dan setelah melakukan beberapa sesi ujian, akhirnya Marcella disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga.
            Dunianya gelap gelita saat menerima berita itu. Penyesalan  mula datang apabila doktor mengatakan jika dia mendapatkan rawatan awal, pasti kansernya boleh dikawal. Tetapi nasi sudah menjadi bubur, tiada apa yang boleh ditangiskan lagi. Atas semangat yang diberikan oleh seluruh ahli keluarga, Marcella bersetuju untuk melakukan pembedahan dan seterusnya menjalani rawatan kimoterapi. Dan sekarang, dia di sini sedang memerhatikan wajahnya kesan daripada rawatan yang diambil. Air matanya meleleh laju.
            “Kenapa aku yang kau pilih Ya Allah. Kenapa kau tak duga saja aku dengan masalah kewangan, masalah percintaan, masalah susah mendapatkan anak ataupun masalah rumahtangga. Kenapa perlu aku diduga dengan cara ini?” Tangis Marcella kuat.
            “Sebab Cella kuat dan mampu menanganinya. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada sayang. Kalau Cella diduga dengan cara yang lain, mungkin waktu ini Cella merintih pula minta diambil nyawa.”
            “Abang!” Terkejut Marcella melihat Nazif. Suaminya kembali dengan perubahan yang amat mengejutkan. Tiada sehelai rambut pun yang menutupi kepala Nazif.
            “Sekarang kita sama-sama seri. Aira pasti takkan terkejut tengok Cella.” Kata Nazif. Dulu dia ada membaca di dalam majalah tentang pengorbanan seorang suami pesakit kanser yang sanggup membotakkan kepalanya demi untuk memberi keselesaan kepada isteri yang menghidap kanser dan itu yang dilakukan oleh Nazif. Dia melakukan pengorbanan yang sama.
            “Terima kasih abang.” Peluk Marcella. Air mata merembes keluar dengan laju. Dia menyesali keterlanjuran diri. Betapa bertuahnya dia mendapat suami sebaik Nazif. Berjuang bersama-sama dengannya demi kerana cinta.
            “Kita berjanji untuk bersatu dan abang akan tunaikan janji abang. Walau dalam apa keadaan pun, susah, senang, suka dan duka kita akan sentiasa bersatu.”
            “Cella aje yang tak bersyukur dengan apa yang Cella ada.”
            “Abang tahu Cella tak maksudkan apa yang Cella cakap. Percayalah sayang, jika kita redha dengan apa yang berlaku, Allah akan memberi nikmat berkali ganda. Sudahlah. Sekejap lagi bila nurse dah hantarkan ubat, Cella dah boleh balik tau.” Marcella angguk. Tidak sabar dia menunggu saat itu. Saat yang diidamkan sekian lama.


            “YEAY... YEAY... Mama dah balik.” Terpa Aira. Dipeluknya tubuh Marcella yang semakin kurus melidi.
            “Apa khabar anak mama?” Sehabis baik Marcella menunjukkan wajah yang sihat kepada Aira. Dia tidak mahu Aira nampak dia sakit.
            “Sihat. Kenapa papa botak?” Soal Aira pelik. Setahunya tadi papanya masih mempunyai rambut sebelum meninggalkannya untuk ke hospital.
“Fesyen baru. Kan ramai artis botak.”
“Papa nak jadi artis pulak.” Terkikih Aira gelak. Marcella juga senyum simpul. “Mama, papa beri tak lukisan Aira?”
            “Beri. Cantik sangat. Nurse pun puji lukisan anak mama ni.”
            “Ada lagi tau yang Aira lukis. Sekejap ya ma.” Aira berlari masuk ke bilik. Marcella memandang wajah Nazif. Dia hampir menangis melihat kegembiraan Aira.
            “Duduk sana sayang.” Pimpin Nazif. Setelah Marcella duduk di sofa, Nazif ke bilik air. Puan Fatimah menggosok lembut tangan Marcella. Pucat benar dia melihat wajah menantunya yang amat baik itu.
            “Mak gembira sangat tengok Cella dah sihat.”
            “Alhamdulillah mak cuma rasa tak selesa tu ada. Susah Cella nak explain.”
            “Mak faham. Cella sabar. Allah sentiasa menolong orang yang sabar. Hari ni Cella nak makan apa? Biar mak masak. Mak ada masak sup sayur dan sup ikan merah. Tak pasti pula kalau Cella boleh makan ataupun tidak.”
            “Diet Cella Nazif yang lebih tahu. Cella tak tahulah mak nak makan apa. Tekak ni tak ada seleralah.” Tangan Marcella perlahan membuka tudung yang menutupi kepalanya. Walaupun agak terkejut melihat Marcella, Puan Fatimah tidak memberikan sebarang reaksi kerana dia telah terlebih dahulu mendengarnya melalui Nazif dan Nana akan keguguran rambut yang Marcella alami.
            Aira berlari datang sambil membawakan beberapa helai kertas yang telah dilukisnya. Hatinya teruja untuk menunjukkan kepada Marcella hasil tangannya. Sebaik Aira memandang wajah Marcella, serta-merta langkahnya terhenti. Kertas di tangannya terjatuh ke lantai. Wajahnya pucat lesi.
            “Kenapa ni Aira?” Soal Nazif yang baru keluar dari bilik air. Tubuh Aira yang menggigil dipegangnya.
            “Ma... ma... ma...” Terketar-ketar Aira cuba bersuara. Dia amat terkejut melihat Marcella tanpa tudung. Rambut Marcella yang dulunya sangat cantik sudah tiada lagi.
            “Aira sayang. Mari nak.” Rayu Marcella. Air matanya sudah bergenang di kelopak mata. Dia sudah menjangkakan reaksi Aira. Aira masih kaku. Bergerak tidak, bersuara pun tidak. Nazif meraih tangan Aira. Dipimpin anaknya sehingga dekat dengan Marcella. Nazif duduk di sebelah Marcella dan Aira menghadap mereka.
            “Pegang mama sayang.” Arah Nazif.
            “Tak nak. Mama buruk macam hantu.” Jerit Aira lalu dia melarikan diri ke bawah meja makan dan menyorok di situ. Air matanya merembes keluar. Sebulan lebih dia menunggu kepulangan mamanya dan tidak disangka mamanya pulang dalam keadaan begitu.
            “Aira.” Rintih Marcella. Puan Fatimah turut menangis kerana dia juga dapat merasai penderitaan Marcella. Betapa hancurnya hati jika anak yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari takut melihat ibu kandung sendiri.
            “Papa tipu, papa kata mama dah sihat.” Jerit Aira sekuat hati.
            Nazif ke meja makan. Dia duduk bersila di atas lantai. “Sayang anak papa, janganlah macam ni. Papa pun tak ada rambut kan.”
            “Papa lelaki.”
            “Mana ada macam tu. Lelaki atau perempuan dua-dua boleh botak.”
            “Tak nak. Aira takut.” Tangis Aira.
            “Sebab tulah papa botak. Papa nak sama macam mama. Kan kita satu keluarga. Senang sama-sama, susah sama-sama. Aira fahamkan maksud papa?”  Pujuk Nazif lagi.
            “Aira tak nak botak, nanti kawan-kawan ejek.”
            “Aira tak perlu botak. Cukuplah kalau Aira tak takut tengok mama, tak ejek mama.”
            “Aira tak ejek mama cuma... cuma...” Nazif senyum. Bijak anaknya menjawab soalan. Dia tahu Aira anak yang baik.
            “Aira tak kasihan ke pada mama. Kat hospital mama sentiasa cakap rindu pada Aira. Mama makan ubat sebab nak cepat-cepat pulang jumpa dengan Aira. Ni mama dah balik tapi Aira pula tak suka tengok mama.”
            Nazif memegang tangan Aira. Ditariknya anak kecil itu supaya keluar dari bawah meja. Dipeluknya dan ditepuknya belakang Aira lembut.
            “Mari dapat mama sayang.” Marcella mendepangkan tangannya. Dia mahu memeluk Aira.
“Jom kita pergi dapat mama ya sayang.” Pujuk Nazif. Aira geleng. “Sekejap saja ya. Aira cuba. Papa ada teman Aira.” Diangkatnya tubuh Aira lalu dibawanya kepada Marcella.
“Anak mama. Mama minta maaf sebab buat Aira takut.”
Hati Nazif tersentuh. Airmatanya keluar saat mendengar permohonan maaf Marcella. “Pegang mama sayang.” Pujuknya. Dengan takut-takut Aira mendekati Marcella. Dipeluknya tubuh Marcella perlahan dan Marcella mendakap erat tubuh Aira. Tiba-tiba Aira menangis teresak-esak.
            “Kenapa ni sayang?” Soal Marcella panik. Takut juga dia jika dia telah membuatkan anaknya takut sehingga menangis begitu.
            “Bau mama sama.”
 “Aira anak mama.”
“Pelukan mama sama. Aira ingatkan tak sama.” Sambung Aira lagi.
Marcella menangis. Puan Fatimah juga begitu.Ayat yang keluar dari mulut Aira itu membayangkan yang Aira baru tersedar bahawa Marcella masih ibunya yang dulu, yang berbeza cuma fizikalnya sahaja.

*** Semoga bab 9 ini mampu membuatkan anda terhibur. Siapa Nazif? Cella? Apakah kaitannya mereka-mereka ini dengan Anugerah dan Clarissa? Nantikan bab seterusnya ya. 


No comments:

Post a Comment