Friday, May 10, 2013

BILA DARJATKU DIANGKAT BAB 8


BAB 8
 
            Seperti biasa, malam itu Clarissa bersiap untuk mencucuk bintang lagi bersama-sama dengan Kat. Emma tidak dapat turut serta kerana pulang ke kampungnya di Johor Bahru. Setelah bersolek nipis, dia keluar lalu duduk di ruang tamu. Saat Ameena melihat dirinya, satu jelingan dihadiahkan oleh sahabatnya itu.
            “Berdosa tau jeling orang tak tentu pasal.” Selamba sahaja Clarissa menegur.
            “Berdosa juga pakai baju tak cukup kain macam tu.” Balas Ameena juga selamba. Dia tidak berkenan melihat Clarissa hanya memakai baju tanpa lengan dan skirt pendek sahaja.
            “Fesyen. Bukannya tak cukup kain.”
“Apa nak jadilah dengan kau ni Rissa. Nama dah cantik. Imani. Sepatutnya berimanlah. Ini tidak, baju dedah sana dedah sini.” Kepala digelengkan. Ameena sudah kehilangan kata-kata untuk menasihati sahabatnya itu.
“Baju aje seksi tapi aku solat tau.”
“Itu yang aku tak faham, sepatutnya solat mencegah kau daripada melakukan perkara yang dilarang. Ini tidak.”
“Tak baik kau meragui amal ibadat aku Meena.” Mata Clarissa dijegilkan sedikit tanda dia mengambil hati dengan kata-kata Ameena.
“Kau tak kasihan pada mama ke? Kalau mama tahu hancur hatinya. Kalau balik ke kampung tu aku tengok pijak semut pun tak mati.”
“Kau tak payahlah nak buat aku serba salah. Nama mama tak usahlah disebut. Aku janji, bila aku dah jumpa Mr Right aku nanti, aku akan tinggalkan semua ni.” Wajah Ameena bercahaya. Otaknya terus mendapat idea.
“Betul apa yang kau cakap ni?” Dia meminta kepastian.
“Betullah.”
“Sumpah?”
“Eh! Nak bersumpah-sumpah pulak.”
“Sumpah?”
“Sumpah.” Terpaksa juga Clarissa bersumpah. Jika tidak sampai ke besok pun Ameena tidak akan melepaskannya keluar rumah.
“Kalau kau langgar sumpah?”
“Kau ni kenapa Meena. Dah sumpah tu sudahlah.” Naik rimas pula Clarissa melihat perangai Ameena itu.
“Cepatlah. Kalau kau langgar sumpah?”
“Kalau aku langgar sumpah hidup aku asyik kena bala saja 24 jam. Dah... puas hati?” Ameena angguk. Senyumnya meleret. Satu rancangan baik sudah berada di dalam otaknya.





         “ABANG ANUGERAH tu dah kahwin ke auntie?” Soal Ameena pagi itu sewaktu dia menghantar kuih apam eno ke rumah Puan Suci Harum. Walaupun dia tahu tidak manis untuk dia bertanyakan soalan tanpa berselindung begitu tetapi dia terpaksa demi menjayakan rancangannya.
Puan  Suci Harum senyum simpul. Dituangnya air kopi ke dalam cawan. Diambilnya bihun goreng yang dimasaknya tadi lalu diletakkan ke dalam pinggan dan disuakan kepada Ameena. “Jemput makan Meena.”
“Terima kasih auntie.” Ameena senang hati dengan pelawaan itu. Pak cik Hafsham keluar ke pasar bersama-sama dengan Anugerah dan Sutra Ashikin. Hafshah pula outstation ke Seremban. Hanya dia dan Puan Suci Harum sahaja di rumah itu. Jadi, tidaklah segan sangat dia.
“Kenapa kamu tanya?”
“Tak adalah auntie. Meena tengok Sutra Ashikin tu panggil Abang Anugerah daddy. Tu yang Meena tanya. Auntie jangan kata Meena busybody pulak.”
“Tak adalah auntie nak cakap macam tu. Auntie kenal Meena. Sebenarnya Sutra Ashikin tu anak Anugerah. Dia kahwin di Australia tanpa pengetahuan auntie. Isterinya dah meninggal dunia waktu Sutra Ashikin berumur dua tahun. Sebab tu Anugerah tak balik sini kerana takut rahsia dia kahwin senyap-senyap terbongkar. Mungkin sekarang dah sampai masanya Anugerah balik. Jadi dia dah tak kisah pun kalau rahsia dia terbongkar.” Terkejut Ameena mendengar cerita Puan Suci Harum. Wanita tua itu tampak tenang saja.
“Minta maaflah auntie. Meena tak maksud nak...”
“Bertahun auntie berdoa agar Anugerah terbuka hati untuk balik ke Malaysia. Alhamdulillah, doa auntie dimakbulkan. Sudahlah Tabah tinggalkan kami, bila Anugerah pun begitu auntie rasa sangat kecewa. Auntie sendiri tak sangka yang Anugerah tak balik ke sini sebab takut auntie tak boleh terima anaknya sedangkan tidak. Takkan auntie tak terima darah daging auntie sendiri. Lagi pun diaorang berkahwin secara sah, bukannya ada anak luar nikah.” Kali ini ada air-air jernih yang mengalir di pipi Puan Suci Harum. Ameena rasa bersalah.
“Auntie, Meena minta maaf.” Hanya itu yang mampu diucapkan olehnya.
“Tak apa Meena, menyimpan rahsia ni pun satu tekanan buat auntie. Dapat melepaskannya pada orang lain, auntie rasa lega. Erk... boleh auntie tahu kenapa Meena tanya soalan tadi? Auntie dah kenal Meena lama. Mesti ada sesuatu kan... ”Pandai sungguh Puan Suci Harum meneka walaupun sebelum ini sudah diberitahu oleh Ameena sebab musababnya.
“Sebenarnya.. er.. sebenarnya.....”
“Lain macam saja bunyinya ni. Cepat cakap. Sekejap lagi diaorang balik. Tak lena tidur auntie kalau tak tahu apa sebabnya.”
“Sebenarnya Meena nak kenen-kenenkan Abang Anugerah tu dengan Rissa.” Terkeluar juga akhirnya apa yang tersekat di kerongkong Ameena. Puan Suci Harum terkejut.
“Rissa tak ada boyfriend?”
“Setahu Meena yang speacial tak ada. Meena tahu Rissa nampak liar, moden tapi dia sangat baik hati. Solat dan puasanya juga dijaga. Meena tak mahu dia tersasar jauh jadi Meena nak cari lelaki yang baik untuk membimbing Rissa.” Terus sahaja Ameena memberikan alasan yang dirasakannya agak bernas.
“Auntie tak pernah pun pandang Rissa tu jahat. Biasalah, budak baru nak kenal dunia.”
“Jadi auntie setuju tak?” Cepat sahaja Ameena mencelah.
“Kalau nak cuba bolehlah. Setakat ni yang auntie tahu Anugerah tu tak ada sesiapa. Auntie ada juga tanya-tanyakan Sutra Ashikin tapi Sutra Ashikin kata daddynya tak ada girlfriend.”
“Betul ke ni auntie?” Ameena sudah senyum 360 darjah. Kalau maknya sudah setuju senanglah dia untuk menjalankan rancangannya.
“Cubalah. Mana tahu menjadi.” Puan Suci Harum ketawa. Begitu juga Ameena. Tidak sia-sia Ameena bertanya. Lampu hijau sudah diberi. Nampak gayanya ada misi yang perlu diselesaikan. Jaga kau Clarissa Imani.


“SEDAPNYA bihun goreng ni. Sebijik macam bihun goreng mama aku kat kampung.” Mulut Clarissa laju mengunyah bihun depan mata. Ameena senyum melihat telatah Clarissa yang padanya sangat lucu.
“Bukan aku yang masak. Kalau aku masak pun tak adanya nak rasa macam tu.” Balas Ameena.
“Patutlah sedap, auntie masak ek. Tadi aku nak cakap tapi takut kau kecik hati. Aku memang tak percaya kau masak bihun sedap macam ni.”
“Bukan auntie yang masaklah.”
“Kalau bukan auntie mesti uncle Hafsham. Hari tu kita pernah makan kari daging dia kan.. sedap banget.”
“Bukan...”
“Habis tu siapa?” Kening Clarissa terangkat. Pipinya kembung dek penuh dengan bihun yang belum dikunyah.
“Abang Anugerah.” Mata Clarissa buntang. Nasib baik bihun di dalam mulut tidak tersekat di kerongkongnya.  Kalau tidak alamat ke unit kecemasanlah jawabnya.
“Serius!”
“Seriuslah. Takkan aku nak tipu pulak. Abang Anugerah tu dahlah sopan santun, handsome, kerja bagus, solat tak tinggal, pandai pulak masak. Hmm.... memang suami untuk akhirat betul.” Puji Ameena melambung. Macamlah dia tahu semuanya tentang Anugerah. Baru bertegur sapa dua, tiga kali dah puji tak ingat.
“Yelah tu. Yang jadi tanggang tak ingat mak bapak tu kenapa? Lima tahun tak balik babe. Lima tahun.”
“Sebab dia takut auntie marahkan dia. Dia kahwin di Australia tanpa pengetahuan auntie. Sewaktu umur Sutra Ashikin dua tahun, wife dia meninggal. Dia dah cukup menerima balasannya, Rissa. Dont judge him okey.”
Sekali lagi Clarissa terkejut. Tidak disangkanya Anugerah berkahwin tanpa pengetahuan dan restu Puan  Suci Harum. Hatinya semakin tertarik untuk mengenali lelaki itu. Sejak pertemuan mereka di Kolej Universiti Utama sebelum ini, dia terasa seperti menyukai Anugerah tetapi disimpannya saja perasaannya itu.
“Kasihannya. Agaknya dia tak balik bukan saja sebab takut ibu dia tapi sebab kecewalah, mahunya tak gila bila orang yang dicintai meninggalkan kita untuk selama-lamanya.” Clarissa menopang dagu. Ameena melihat sahaja tingkah laku sahabatnya itu. Ini sudah bagus. Clarissa sudah bersimpati. Selalunya simpati pasti akan turun ke hati.
“Eh, kejap lagi aku nak keluar dengan Aron. Kau nak ikut tak?” Ameena mengubah topik perbualan. Tak boleh lama-lama bercerita pasal Anugerah, takut nanti Clarissa syak pula.
“Tak naklah, kau bersayang-sayang, aku duk dengar saja. Gelilah.” Badan digoyangkan tanda geli.
“Biasalah,orang tengah bahagia. Kau tu carilah sorang.” Ameena bangun dengan muka yang angkuh. Harap-harap Clarissa cemburulah. Bila cemburu pasti sahabatnya itu akan bersungguh-sungguh mencari calon suami.
Sepeninggalan Ameena, Clarissa termenung panjang. Ingatannya mula melayang kepada peristiwa semalam.
“Rissa... kenalkan, ni cousin aku baru balik dari U.K.” Kat memperkenalkan Clarissa kepada seorang lelaki yang memakai jaket hitam.
“Zamani.” Tangan dihulurkan sebagai tanda perkenalan. Clarissa malu-malu kucing.
“Rissa.” Jawabnya perlahan. Bunyi muzik yang bingit itu tidak memungkinkan Zamani mendengar suara Clarissa. Didekatkan telinganya ke bibir Clarissa untuk mendengar apa yang diperkatakan.
“Come again.”
“Rissa.” Jawab Clarissa tersipu-sipu. Hampir sahaja bibirnya mengenai pipi Zamani.
“Oh....” Zamani angguk. Mereka duduk di sofa berdekatan. Mata Zamani tidak berkelip memandang ke arah Clarissa. Cantik wanita dihadapannya ini. Dari kesamaran cahaya dia tahu wanita dihadapannya ini putih gebu orangnya. Geram dia melihat peha Clarissa yang terdedah itu. Mahu saja diterkamnya. Jika Clarissa bukan kawan kepada sepupunya, sudah pasti malam ini dia akan membawa wanita itu pulang ke rumah. Tak apa Zamani, yang ini kena slow-slow... biar dia yang menyerah.
“Lama duduk U.K?” Soal Clarissa sewaktu Kat pergi menari.
“Lepas berlajar I terus kerja sana.”
“Habis tu sekarang ni balik bercutilah?”
“Nope. I balik untuk cari calon isteri.” Mata dikenyitkan. Zamani lihat Clarissa tersipu-sipu malu.
“Kat U.K tak ada minah salih cun-cun ke?”
“Cun ramai tapi semuanya dah barai.” Selamba saja Zamani menjawab. Clarissa menutup mulutnya. Gila mamat U.K ni, cakap straight to the point saja. “Why?”
“Tak ada apalah.”
“I nak cari gadis melayu yang jinak-jinak merpati. Dilihat cantik dan seksi tapi bila didekat lari dan terbang tinggi.” Dalam sungguh maksud dan kata-kata Zamani itu. Aku seksi ke? Dia cuba menurunkan skirtnya yang memang tidak boleh lagi dilabuhkan itu.
“Babe.. kenapa duduk sini ajer. Kalau nak duduk diam baik pergi masjid.” Datang Kat mencelah. Kat duduk bersebelahan dengan Zamani sambil tubuhnya masih lagi tidak berhenti bergoyang.
“I nak kenal kawan you ni tak boleh ke? Tak kasi chance langsung.”
“Bukan tak boleh tapi macam peliklah. You duduk diam macam ni? Minum pun tak? You dah taubat ke macam cousin kita lagi sorang tu,si Kamal.”
“Mulut you ni memang siallah.” Zamani menunjal pipi Kat. Clarissa ketawa geli hati melihat telatah dua saudara itu.
“Woi... berangan.” Bahu Clarissa ditepuk oleh Ameena. Clarissa tersentak. Dijelingnya Ameena yang sudah cantik bersolek.
“Mana ada berangan. Aku nak rehat kejap pun tak kasi chance.” Marah Clarissa. Bibirnya dijuihkan.
“Ke kau tengah fikirkan pasal Anugerah?” Ameena ketawa nakal.
“Cittt... mana ada aku ingat dia. Meena....”
“Hmmmm.”
“Aku teringatkan sorang mamat ni yang aku baru kenal kat kelab. Zamani, tinggal kat  U.K, sepupu Kat.”Ameena tersentak. Ish... macam mana boleh timbul hero baru ni. Masa nilah pulak nak datang masuk dalam scene yang baru aje diarah.
“Mamat mana pulak?”
“Aku baru saja kenal dia. Not bad. Dia balik sini sebab nak cari calon isteri tau. Umurnya dah 38 tahun.”
“Kau suka ke mamat tu. Sapa tadi? Zamani?”
“Okeylah. Nak kata suka sangat tu belum lagilah tapi aku seronok berbual dengan dia.” Ameena memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia menyumpah-nyumpah di dalam hati. Asal nak buat drama saja mesti datang hero jahat.
“Lelaki yang jumpa kat kelab juga yang kau suka? Carilah lelaki yang selalu pergi masjid, surau, tak pun yang selalu pergi supermarket pun okeylah.”
“Pergi kelab tak semestinya jahat kan? Macam aku. Aku tak minum, tak ambil dadah, tak jual body, tak.....”
“Rissa, aku tak kata semua manusia yang pergi ke kelab tu jahat tetapi kita ni tak kuat. Alim ulamak pun boleh buat silap, lagilah orang macam kita ni. Mungkin sekarang kau tak terpedaya dengan hasutan syaitan tapi mana tahu akan datang. Kalau kita bercampur dengan golongan begitu, takut lambat laun kita akan terikut-ikut.” Panjang lebar Ameena bersyarah. “Aku terus terang dengan kau Rissa, aku dengan Aron pun kadang-kadang hampir tergelincir sedangkan kami tak de pun berdua-duaan di tempat sunyi, bayangkan kalau aku dan Aron berada di tempat macam kau selalu pergi tu, agaknya sekarang ni dah memboyot perut aku. Kau faham kan maksud aku?”
“Faham.Kau jangan risaulah. Aku tahu jaga diri. Kalau aku rasa aku tak kuat nanti, aku akan tinggalkan semua ni.” Yakini Clarissa tetapi jauh di sudut hatinya dia akui apa yang diperkatakan oleh Ameena. Kadang-kadang dia hampir lena di dalam pelukan lelaki yang memuji kecantikannya tetapi nasib baiklah dia masih lagi dapat menepis setiap dugaan yang datang.




*** Cepat pula kan bab 8 muncul, harap tak menghampakan yek... di dalam KU perkataan ' chance' editor saya gantikan dengan 'can'... tapi dalam BDD ni versi Liz Haliza yang belum diedit, saya masih kekalkan perkataan chance. 

LH

No comments:

Post a Comment