Wednesday, June 5, 2013

Bila Darjatku Diangkat 10


BAB 10

            Rumah Puan Suci Harum kedengaran riuh rendah. Kehadiran Curnia, Fina dan anak-anak mereka menggamatkan suasana. Bukan Curnia tidak mahu selalu pulang menjenguk keluarganya tetapi sejak dia sekeluarga berpindah ke Johor Bahru, masanya amat terbatas. Ditambah lagi dengan kesibukan Curnia yang telah pun mempunyai firma arkiteknya sendiri, maka amat jarang untuk mereka sekeluarga berkumpul.
“ Ibu macammana?” Soal Curnia kepada Anugerah sewaktu mereka duduk di beranda rumah berdua sahaja. Sejak Anugerah pulang ke Malaysia, ini baru kali ke dua mereka dapat berdua-duaan begini. 
“Macammana apa?” Soal Anugerah semula tidak faham dengan apa yang diperkatakan oleh abangnya.
            “Penerimaan ibu?”
            “Ohh... Alhamdulillah, ibu dapat terima Sutra dengan baik. Ayah pun sama.”Nafas panjang dihela. Nasib baik tanya soalan itu, kacang sahaja mahu menjawabnya. Janganlah ditanya yang lain, alamat tergagap-gagaplah nanti.
            “Ibu memang baik. Kalaulah atuk dengan nenek ada lagi.” Ingatan Curnia melayang mengingati datuk dan nenek mereka yang sudah meninggal dunia enam tahun yang lepas.
            “Mesti atuk dengan neneklah yang paling happy. Atuk tu walaupun lupa tapi kerenah dia seronok untuk dilayan.”Bibir Anugerah terus menguntumkan senyuman. Wajah atuk dan nenek yang sering mencuit hatinya tiba-tiba muncul.
            “Kalaulah juga Tabah masih ada....” Suara Curnia kedengaran sayu. Rindunya pada Tabah tidak boleh diungkapkan lebih-lebih lagi setelah melihat wajah Anugerah.
            Senyum Anugerah yang baru melebar tiba-tiba mati.“Tabah sentiasa ada dengan kita.” Ungkap Anugerah perlahan. Ya, sebahagian dari diri Tabah sentiasa ada di dalam rumah mereka.
            “Kalau Tabah masih ada entah-entah dia pun dah ada anak seorang.” Airmata sudah bergenang di kelopak mata Curnia.
            “Ada.” Spontan Anugerah menjawab.
            “Apa dia Anugerah?” Mata Curnia sudah mencilar. Lain macam sahaja bunyinya kata-kata Anugerah ini. Macam ada maksud yang tersirat.
            “Erk tak ada apalah.” Jawab Anugerah tergagap-gagap. Baru dia sedar yang dia hampir membocorkan rahsianya.  Nasib baiklah Curnia tidak banyak soal. Puas hati agaknya dengan jawapan yang diberi. Hampir sepuluh minit keadaan sunyi sepi. Masing-masing tenggelam dalam kesedihan.
            “ Ibu mesti tak sangka kan dia ada sorang cucu lagi. Lima tahun Anugerah tak balik, mula-mula tu selalu berhubungan tapi tiba-tiba tiga tahun Anugerah senyap tanpa khabar berita dan hanya sekali sekala berutus surat. Ibu sentiasa tanya abang long ada tak dia kecilkan hati Anugerah. Abang long selalu tak tahu nak jawab apa. Tup tup Anugerah balik bawa anak dara seorang.” Curnia senyum tawar. Sebenarnya hatinya tidak enak dengan penjelasan adiknya. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Anugerah.
            “Anugerah minta maaf bang long. Tak pernah terniat di hati Anugerah nak kecilkan hati sesiapa.”
“ Bukan bang long maksudkan begitu cuma ibulah tertanya-tanya apa yang menyebabkan Anugerah sepi tiba-tiba.”
“Anugerah pun tak sangka bang long. Jodoh datang sepantas kilat. Sutra hadir tanpa dirancang.”Ya, itulah kebenarannya. Sutra Ashikin hadir membuatkan dirinya dalam dilema.
            “Kalau Anugerah nak berkongsi cerita, bang long sedia mendengar.” Bahu Anugerah ditepuk lembut. Anugerah masih lagi diam merenung lantai.
“Bila dah bersedia InsyaAllah Anugerah akan ceritakan apa yang berlaku. Terima kasih bang long.”Bukan mahu berahsia tetapi janji yang dipatri tidak memungkinkan kebenaran itu dikongsi.
“Anugerah, kita tinggal dua beradik. Anugerah sajalah adik kandung bang long yang masih ada. Kalau Anugerah menghilangkan diri, bang long tiada lagi saudara kandung. Jangan buat macam ni lagi dik.”
“Tak, Anugerah takkan buat macam ni lagi bang long.” Sahut Anugerah sebak.
“Bang long masuk dalam dulu. Ingat, kalau ada masalah hadapilah, bukannya lari daripada masalah itu.” Curnia bangun lalu meninggalkan Anugerah yang masih lagi sebak. Dia mahu Anugerah menimbang kata-katanya sebentar tadi seorang diri. Anugerah pula kagum dengan naluri abangnya. Dia tahu Curnia mengesyaki kejujurannya tetapi dia tak berdaya. Janji padanya bukan untuk dimungkiri tetapi dijagai sebaik mungkin supaya tetap utuh dan kukuh. Ingatannya melayang kepada peristiwa beberapa hari selepas pemergian Tabah.
Pagi itu dia mendapat sepucuk surat. Dibukanya surat itu dengan rakus.

Kehadapan Anugerah yang aku sayangi,
Di saat kau membaca surat ini jasadku telah pun tiada di muka bumi ini, yang ada hanyalah nama dan memori yang kutinggalkan dalam ingatan kalian. Tidak, ianya bukan gurauan. Pertama sekali aku nak ucapkan terima kasih pada kau kerana sudi menjadi penggantiku membesarkan Sutra Ashikin, aku sangat terharu dengan kesanggupanmu.
Aku tahu, adalah tidak masuk akal untuk aku memberi tanggungjawab berat ini kepada kau yang masih lagi belum berkahwin sedangkan bang long dan ibu masih lagi ada untuk menggalas tugas ini. Sebenarnya aku tidak mahu Sutra Ashikin terluka. Wajahmu, senyumanmu, suaramu dan kegemaranmu adalah sama denganku jadi Sutra Ashikin tidak akan merasai perubahan yang sangat ketara. Sebab itu kau menjadi pilihanku.
Beberapa minggu sebelum aku membawa Sutra Ashikin berjumpa denganmu, aku mendapat khabar duka daripada doktor yang merawatku. Aku disahkan menghidap barah hati. Sepatutnya aku perlu menjalani rawatan segera tapi memikirkan yang aku sudah tiada masa lagi, aku ingkar arahan doktor dan meninggalkan hospital untuk membawa Sutra Ashikin berjumpa denganmu.
Alhamdulillah, kedegilanku untuk pergi ke Australia membuahkan hasil. Aku pulang ke Malaysia dengan lapang dada. Aku pulang ke pangkuan ibu dan keluarga kita, mereka menerimaku dengan baik. Aku rasa sangat bahagia. Kerinduanku terhadap Sutra Ashikin terubat dengan adanya ibu disisiku. Sekarang, di saat aku menulis surat ini, aku sedang bertarung nyawa di hospital. Mereka sedang berusaha menjejaki kau Anugerah tetapi tidak aku khabarkan di mana kau berada. Surat ini akan aku serahkan kepada jururawat yang bertugas dan akan aku pesan setelah aku tiada nanti, layangkanlah surat ini kepadamu di sana.
Akhir sekali, terima kasih atas pengorbanan kau ke atasku. Aku berdoa supaya Allah membalas segala budi baikmu. Setiap kali kau memeluk dan mencium Sutra Ashikin, umpama aku yang memeluk dan menciumnya. Suatu hari nanti, jika dia sudah besar, terpulanglah padamu untuk mengkhabarkan ataupun tidak siapa bapanya yang sebenar.

Salam sayang,
Edrus Talha Tabah.
           
            Air mata Anugerah jatuh satu persatu. Tidak dia sangka, kepulangannya ke Malaysia membuatkan ingatannya kepada Tabah semakin kuat.
            “Haa... sini rupanya. Jom masuk. Kak long dah buat kopi kaw tau.” Sergah Fina tiba-tiba. Dia duduk di sebelah Anugerah. Sebelum menyergah, sudah lama dia memerhatikan Anugerah yang sedang bermuram durja. Pasti ada sesuatu yang amat berat yang sedang difikirkan oleh adik iparnya itu.
            “Kak long ingat lagi Anugerah suka sangat dengan kopi kak long?”
            “Mana boleh lupa. Kak long tak pernah lupa pasal sesiapa pun.”
            “Kalau Tabah ada dia pun suka dengan kopi kak long.” Fina kaget. Tidak disangkanya yang Anugerah akan mengungkapkan ayat itu. Jadi inilah sebabnya Anugerah berduka. Walaupun sudah lama Tabah meninggalkan mereka namun sebagai saudara kembar yang berkongsi segala-galanya sejak di dalam kandungan lagi maka ingatan Anugerah pasti lebih kuat jika dibandingkan dengan mereka yang lain.
            “Anugerah ingat pada Tabah?”
            “Sentiasa. Dia sentiasa ada depan mata Anugerah.”
            “Kak long pun sama lagi-lagi bila tengok Anugerah.”
            “Kenapa dia tak beritahu kita yang dia sakit. Kenapa dia rahsiakan dari kita?”
            “Tabah setabah namanya. Dia tak mahu lihat kita bersedih kerana dia. Dia pergi penuh ketenangan. Kak long masih ingat lagi wajah terakhir aruah, dia seolah-olah tersenyum.” Air mata yang mengalir di pipi diseka agar Anugerah tidak melihat dia menangis.
            “Betul Kak long?” Anugerah terpaku. Adakah ketenangan yang dinikmati oleh Tabah itu kerana kesanggupannya menjaga Sutra Ashikin? Oh jika itu dia rasa bersyukur kerana tidak menghampakan Tabah.
            “Eh  Jomlah masuk! Selain kopi kaw, Kak Fina ada buat cucur ikan bilis sekali.” Saja Fina mengubah topik perbualan mereka. Dia tidak mahu terus-terusan bersedih. Kepulangan mereka sekeluarga adalah untuk bergembira. Bukan senang mahu berkumpul begini jadi biarlah masa yang ada digunakan sebaik-baiknya.
“Betul ke?”Mata Anugerah bercahaya. Cucu ikan bilis air tangan kakak iparnya memang telah lama diidam-idamkan sejak sekian lama.
“Betul. Jom.”
“Jom.” Dengan pantas Anugerah melompat bangun. Dia membontoti langkah Fina. “Ini yang buat Anugerah sayang sangat kat Kak Fina ni.” Fina senyum senang hati mendengar pengakuan Anugerah itu.

           
            QASEH,INDAH,SAYANG DAN SUTRA hilang entah kemana. Sibuk agaknya di dalam bilik bermain dengan permainan baru yang dibeli oleh Curnia. Anugerah mengambil tempat di sebelah Puan Suci Harum. Tangannya cepat sahaja mengambil cucur ikan bilis di atas meja.
            “ Slow-slow makan tu.” Nasihat Puan Suci Harum sambil ketawa kecil melihat gelagat Anugerah.
            “Lama tak makan cucur ikan bilis yang kak long buat bu. Kat sana ada gak buat sendiri tapi tak sama.”Manakan sama jika air tangan sendiri yang membancuhnya. Tangan lelaki bujanglah katakan. Keras dan kaku maka cucur ikan bilis pun jadi keras kedengkung.
            “Lepas ni kena cari isteri yang pandai masak cucurlah. Tak gitu bu?” Usik Fina.
            “Tu ha, anak dara sebelah tu ada. Kalau nak ibu boleh kenen-kenenkan.” Kata Puan Suci Harum diikuti oleh sorakan dari Curnia, Fina dan Hafshah.
            “Tak lama lagi makan nasi minyaklah kita bu. Nak hantar pengantin pun tak jauh. Sebelah aje.” Usik Curnia pula.
            “Dia orang Kuala Selangorlah. Kena pergi sana kalau nak meminang.” Jawab Anugerah selamba.
            “Wah, tengok bu siap dah tahu asal mana. Cinta dah berkembang dah bu.”Tambah Curnia.
            “ Mana ada berkembang, kembang kuncup adalah.” Sahut Anugerah diikuti oleh sorakan daripada yang lain.
            “ Yang mana satu bang? Yang muka mat salleh ke yang muka anak mami? Kalau yang muka anak mami tu dah bertunang.” Hafshah menyampuk.
            “Tengok bu, anak-anak bujang ibu semua tahu. Asal mana, dah bertunang ke belum. Dahsyatlah korang berdua ni.” Curnia tidak habis-habis mengusik.
            “Macam mana tak tahu, si Hafshah ni dulu dok mengayat yang anak mami tu tapi melepas. Sekali tunang orang da.” Tiba-tiba Encik Hafsham mencelah. Dalam sibuk-sibuk menelek suratkhabar pun masih sempat lagi tumpang sekaki mengusik.
            “Berdua saja ke ayah? Kalau bertiga boleh Cur masuk jarum.”
            “Amboi, dah tua bangka ada hati nak masuk jarum.” Jerit Fina sambil jemarinya pantas mencubit lengan Curnia. Mereka sama-sama ketawa. Anugerahlah yang paling seronok dikelilingi oleh ahli keluarganya. Sudah lama dia rindukan saat-saat kecoh begini. Dia bersyukur di dalam hati yang tindakannya meninggalkan bumi kangaroo adalah tepat dan dia berjanji tidak akan meninggalkan bumi Malaysia lagi.


**** Harap tidak menghampakan BDD bab 10 ni yek...
         
        With love, 
        LH


No comments:

Post a Comment