Tuesday, February 19, 2013

Bila Darjatku Diangkat Bab 3


BAB 3

Di Kampung Air Mengalir, Melaka

            Nazif meraup wajahnya. Kata-kata Doktor Iqbal masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Puas cuba dipadamkan tetapi tidak berjaya. Matanya tertancap ke tubuh Marcella isterinya yang sedang lena di atas katil. Wajah itu direnungnya sayu. Diperhatikan pula rambut Marcella yang dulunya subur dan panjang mengurai tetapi sekarang sudah hampir botak. Dengan hanya melihat, dapat Nazif rasai penderitaan wanita yang dicintainya itu.
            “Abang...” Lemah suara Marcella memanggil nama suaminya. Nazif tersentak. Air mata yang sudah bergenang di kelopak mata diseka supaya Marcella tidak melihat dia bersedih. Dia tidak mahu wanita itu makin terseksa.
            “Ya sayang.” Jemari Marcella diusap lembut.
            “Abang menangis?”
            “Eh! Tak. Mana ada.” Dalih Nazif sambil berusaha untuk senyum.
            “Ya, abang menangis.”
            “Abang cuma rindukan Cella.”
            “Cella rindukan anak kita, Aira.”
            “Nanti kita balik rumah ya sayang. Aira memang tengah tunggu Cella. Dia pun rindukan Cella.” Dahi Marcella diusap lembut. Sudah hampir sebulan Marcella menghuni bilik ini. Sebelum ini kesihatan Marcella tidaklah seteruk ini tetapi sebaik kimoterapi dijalankan, Marcella jadi semakin lemah. Menurut Doktor Iqbal, ini adalah kesan rawatan kimoterapi. Marcella telah dikesan menghidap barah payudara peringkat ke tiga. Marcella tiba-tiba pengsan sewaktu di tempat kerja. Sebelum itu, Marcella hanya demam selama tiga minggu. Setelah pelbagai ujian dijalankan, doktor mengesan penyakit Marcella. Walupun pahit untuk mereka telan tetapi itulah kenyataannya. Hendak atau tidak, suka atau benci kehidupan perlu diteruskan.
            “Apa kata doktor?”   
            Nazif tidak terus menjawab. Diciumnya pipi Marcella. “Doktor kata lepas kimoterapi ni InsyaAllah, Cella akan sembuh.”
            “Betul ke bang?” Sebuah senyuman terukir di bibir Marcella. Wajah Marcella penuh pengharapan. Tidak tergamak Nazif melihat wajah itu tetapi demi memberi harapan kepada Marcella, dia perlu kuat.
            “Betul. Isteri abang ni kan kuat. Abang yakin yang Cella akan sembuh. Cuma satu pesan abang, Cella janganlah stress. Sakit macam Cella ni tak boleh stress. Abang sentiasa ada di belakang Cella untuk menyokong Cella.”Janji Nazif.
            “Terima kasih bang. Tak sabar rasanya nak balik ke rumah, nak masakkan untuk Aira, nak masakkan untuk abang.”
            “Abang pun tak sabar nak makan asam pedas ikan pari masakan Cella.”
            “Nanti Cella masakkan abang ya. Cella panaslah bang. Panas sangat.” Rengek Marcella sambil dengan lemah tangannya mengipas-ngipas tubuhnya.
            “Sabar ya sayang, kesan kimoterapi. Sayang tidur dulu. Rehat.” Marcella terus memejamkan matanya. Harapannya agar dia boleh lena dan mengurangkan sedikit ketidakselesaan yang sedang dialaminya kala ini.
            Nazif bangun lalu keluar dari bilik. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.
            “Maafkan saya Encik Nazif. Kita baru mengesan yang kanser telah merebak ke paru-paru Puan Marcella.” Itulah kata-kata Doktor Iqbal yang kuat kedengaran mengganggunya.
            “Tapi doktor kata selepas pembedahan dia akan pulih?”
            “Encik Nazif, saya katakan yang peluangnya untuk pulih ada. Penyakit Puan Marcella dikesan agak lewat, kita akan berusaha yang termampu. Yang lain kita serahkan kepada Allah s.w.t. Berdoalah kerana ianya senjata paling baik.” Tubuh Nazif lemah. Harapannya seakan musnah. Tidak sanggup dia kehilangan isteri sebaik Marcella.
            “Abang Nazif.” Nyaring suara Nana mengejutkan Nazif. Nazif tersentak.
            “Lah Nana, lama sampai?” Nana adalah adik Nazif. Mereka tinggal serumah. Nanalah yang bergilir menjaga Marcella di hospital jika Nazif ada urusan lain.
            “Tak adalah lama. Abang buat apa kat luar ni? Kak Cella okey?”
            “Kak Cella tidur. Aira macammana?”
            “Mengamuk nak ikut Nana tadi. Menjerit-jerit nak jumpa mama dia.”
            “Kalau macam tu abang balik dulu. Kalau Kak Cella tanya, cakap yang abang balik kejap ya.” Nana angguk. Dia memerhatikan abangnya pergi sehingga hilang dari pandangan matanya. Hatinya sayu. Besar sungguh dugaan yang perlu ditanggung oleh abangnya itu. Dia masuk ke bilik yang menempatkan Marcella. Sekarang gilirannya pula menjaga Marcella untuk membolehkan Nazif balik dan berehat sebentar di rumah.

           
SAMPAI SAHAJA DI MUKA PINTU, Aira terus menerpa menyambut kepulangan Nazif.
            “Papa, mana mama?” Itulah soalan wajib yang akan disoal oleh Aira setiap kali Nazif pulang ke rumah.
            “Mama sakit sayang. Ada di hospital. Doktor nak rawat mama dulu. Nanti mama balik ya sayang.” Pujuk Nazif. Dia tahu Aira amat merindui Marcella. Sudah sebulan Aira tidak berjumpa dengan Marcella kerana Nazif tidak sanggup melihat penerimaan Aira apabila melihat fizikal ibunya yang berubah. Takut Aira akan memberontak. Ini akan menambahkan tekanan kepada Marcella.
            “Aira rindu mama.” Muncung Aira sudah panjang.
            “Papa tahu tapi mama sakit. Aira sayangkan mama kan. Biar doktor rawat mama betul-betul, lepas tu baru mama boleh balik.” Nazif duduk di sofa untuk melepaskan lelah. Aira terus duduk di atas ribaannya.
            “Aira nak buatkan mama kad. Nanti papa beri pada mama ya.”
            “Okey.” Angguk Nazif. Aira berlari masuk ke biliknya. Kasihan Nazif melihat Aira. Kerinduan jelas terpancar di mata anak tunggalnya itu. Enam tahun. Enam tahun adalah umur yang terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku tetapi Aira anak yang baik. Dia seperti tahu apa yang berlaku kepada mamanya dan tidak banyak kerenah. Kadangkala walaupun Aira merengek tetapi apabila dipujuk, mudah saja Aira diam dan mendengar kata.
            “Macammana Cella?” Soal Puan Fatimah iaitu ibu kepada Nazif.
            “Macam tulah mak. Lemah. Pucat. Muntah-muntah.” Jawab Nazif lemah.
            “Kesan kimolah tu. Sabarlah Jib. Mak doakan Cella cepat sembuh. Jangan putus harapan. Banyak kes pesakit kanser yang bebas dari kanser selepas mengikuti setiap rawatan yang doktor sarankan. Yang penting banyakkan berdoa. Ajal maut di tangan Allah.” Puan Fatimah tahu Nazif menderita. Dia tidak mahu Nazif putus asa. Kekuatan Nazif adalah kekuatan Marcella juga.
            “Insyaallah mak. Jib nak mandi dulu mak. Sekejap lagi nak ke hospital semula.”
            “Ha, yelah. Pergilah mandi dan berehat. Mak masak dulu. Boleh bawa bekal ke hospital nanti.” Mereka sama-sama meninggalkan ruang tamu. Nazif masuk ke biliknya manakala Puan Fatimah ke dapur.
            “Cantiknya lukisan Aira.” Puji Nazif sebaik masuk ke bilik. Aira sedang tekun melukis di atas kertas buku tulis yang telak dikoyakkan. Gambar seorang kanak-kanak yang dipegang oleh seorang lelaki dan seorang perempuan, benar-benar menyentuh perasaan Nazif. Dia tahu itu adalah mereka. Dia, Marcella dan Aira.
            “Nanti papa beri pada mama tau.”
            “Hmmm... Aira buat cantik-cantik ya sayang. Mesti mama suka.”
            “Nanti Aira nak letak bedak. Biar wangi.”
            “Pandai anak papa.” Hampir mengalir air mata Nazif mendengar kata-kata Aira. Betapa anak kecil itu mengharapkan lukisan itu sebagai pengganti dirinya buat menceriakan hati seorang ibu.
            “Mestilah pandai. Mama yang ajar Aira lukis.” Sahut Aira bangga. Dia tersenyum menampakkan gigi depannya yang sudah ronggak.
            “Papa mandi dulu ya sayang.”
            “Okey.” Jawab Aira ringkas. Tumpuannya masih lagi tertumpu kepada lukisan di hadapannya. Diwarnakan lukisannya sebaik mungkin agar tampak cantik dan menarik.


2 comments:

  1. Liz haliza, nice job.
    pengalaman jaga mak mentua yang menjalani kimoterapi. 2 minggu pertama memang longlai. 2 minggu berikutnya dia segar. 6 kali kimoterapi, ada circle dalam 22 hari satu kimoterapi.

    Kalau stage ketiga, macam agak kritikal juga.

    ReplyDelete
  2. Ya kimo mmg menyakitkan, my cazen skang buat kimo tp sayangnya kanser dia dah stage 4, dia dah stop buat n hanya berdoa saja sbb x mahu seksa kn kimo lg, kakak dia lps operate n kimo alhamdulillah sihat smula tp x dikongsi plak dah bebas kanser atau tidak. Sekadar berkongsi kisah dan penderitaan mereka yg kn penyakit ni.

    ReplyDelete