Monday, February 18, 2013

Bila Darjatku Diangkat - Bab 2


BAB 2

Edris Shah Anugerah  tersenyum puas hati melihat beg pakaiannya yang sudah siap dikemas. Tinggal beberapa hari lagi dia akan meninggalkan bumi kangaroo ini. Bumi yang meninggalkan banyak kenangan buatnya dan bumi yang menyimpan rahsia besarnya. Rindunya terhadap ibu, ayah, Curnia serta adiknya Hafshah sudah tidak tertahan lagi. Bagaimanakah wajah mereka sekarang. Lima tahun dia tidak pulang ke Malaysia. Walaupun pelbagai teknologi terkini sudah ada untuk mereka berkomunikasi tetapi kerana rahsia yang disimpannya, dia lebih suka menghubungi keluarganya dengan hanya menulis surat sahaja.
“Daddy...” Sergah Sutra Ashikin sambil menepuk bahu Anugerah. Telefon bimbit yang sememangnya digenggam oleh Anugerah sejak tadi terlepas ke lantai.
“Sayang...” Marah Anugerah.
“O..... O..... ” Ucap Sutra Ashikin sambil tangan comelnya menutup sebahagian besar mulutnya.
“Lain kali janganlah terperanjatkan daddy macam tu.” Hidung Sutra Ashikin ditarik lembut. Selepas itu Anugerah membongkok mengambil telefon bimbitnya pula.
“Belanganlah tu.” Dengan bijak Sutra Ashikin menegur daddynya.
“Mana ada belangan.... beranganlah.” Sutra Ashikin mengekek gelak. Kelakar benar pada pendengarannya apabila Anugerah membetulkan sebutannya.
“Daddy..... nenek baik tak?” Tiba-tiba soalan itu terpacul keluar dari mulut Sutra Ashikin. Anugerah terdiam. Otaknya terus melayang mengingati Puan Suci Harum. Wajah lembut Puan Suci Harum membuatkan hati Anugerah tiba-tiba sebak. Baru dia menyedari betapa dia merindui wajah itu.
“Baik sangat. Lemah-lembut dan yang paling penting pandai memasak.”
“Really.”
“Ye lah. Nenek tak pernah marah daddy.”
“Is that true? Kenapa daddy selalu malah Sutra?” Soal Sutra Ashikin pelat.
“Hey... mana ada daddy marah sayang.”
“Hali tu daddy malah bila Sutra tak brush teeth before sleep?” Anugerah gelak besar. Ada-ada saja buah hatinya yang seorang ini.
“Kenalah marah, kalau tak marah nanti Sutra tak takut dan tak mahu brush teeth. Kalau tak brush teeth before sleep, gigi Sutra rosak. Bila dah rosak gigi akan tercabut dan anak daddy tak cantiklah nanti.” Panjang dan lebar Anugerah menerangkan mengapa dia memarahi anaknya sebelum ini. Sutra Ashikin angguk tanda faham.
“Atuk baik?” Soalan itu pula diajukan kepada Anugerah.
“Atuk pun macam nenek. Baik sangat.” Puji Anugerah. Memang diakui yang ayah tirinya, Encik Hafsham amat diplomasi dan seorang ayah yang amat memahami. Dua tahun selepas perkahwinan abang sulungnya Curnia, ibunya bertemu jodoh dengan Encik Hafsham duda anak seorang. Anak Encik Hafsham iaitu Hafshah telah dianggapnya seperti adik kandungnya sendiri. “Sutra Ashikin pergi depan, daddy nak kemas sikit lagi.” Arah Anugerah. Sebenarnya dia mahu hanyut dalam kenangan antaran dirinya dan kedua ibu bapanya. Sungguh indah kenangan itu dan dia mahu menikmatinya seorang diri.
“Okey.” Tanpa banyak soal,terus sahaja Sutra Ashikin mengikut arahan. Liuk lintuk Sutra Ashikin yang berjalan sambil memakai skirt pendek itu membuatkan Anugerah senyum simpul. Comel benar Sutra Ashikin di matanya.


“DAH KEMAS SEMUANYA?” Soal Kak Sarimah sambil meletakkan pinggan berisi spageti goreng di atas meja makan.
“Ada sikit saja lagi tak settle.” Jawab Anugerah sambil menarik kerusi lalu duduk. Kak Sarimah juga melakukan perkara yang sama. Dia duduk di hadapan Anugerah.
“Anugerah tak balik sini semula ke?”
“Entahlah Kak Mah. Saya pun tak ada apa-apa plan lagi. Tengok dululah macammana penerimaan ibu. Kak Mah fahamkan?” Anugerah melepaskan satu keluhan.
“InsyaAllah, ibu Anugerah akan dapat menerima Sutra dengan baik. Kak Mah yakin.”
“Saya takut ibu terkejut dengan kehadiran Sutra.”
“Orang tua. Macammana pun mereka terkejut tetapi Sutra tetap cucu mereka. Air dicincang takkan putus. Lagi-lagilah keletah Sutra yang comel sangat tu.”
“Harap-harap macam tulah Kak Mah.”
“Kak Mah yang sedih sebab tak dapat nak jaga Sutra lagi.” Air mata sudah bergenang di mata Kak Sarimah. Sayu benar hatinya mengenangkan perkara itu. Dialah yang menjaga Sutra Ashikin jika Anugerah keluar bekerja. Sutra Ashikin sudah dianggapnya seperti darah dagingnya sendiri.
“Janganlah macam tu Kak Mah. Malaysia tukan tanah air kita. Bila Kak Mah balik ke Pahang, singgahlah di Kuala Lumpur dahulu.”
“Insyaallah.” Kak Sarimah angguk. Sudah hampir lima belas tahun Kak Sarimah sekeluarga menetap di Australia. Dia mengikut suaminya yang bekerja di sana. Pada mulanya mereka sekeluarga hanya mahu menetap seketika sahaja di situ tetapi kerana ramai rakyat Malaysia yang menetap di Australia, mereka terasa seperti menetap di tanah air sendiri. Tidak disedari lima belas tahun berlalu dengan cepat.
“Terima kasih ya Kak Mah, selama ni Kak Mah banyak tolong saya. Kalau Kak Mah tak ada tolong tengok-tengokkan Sutra, tak tahulah macammana keadaan saya jaga Sutra seorang diri. Tak mampu saya nak balas jasa baik Kak Mah.” Kak Sarimah sebak. Penghargaan yang diberikan oleh Anugerah umpama pujian buatnya.
“Ya Allah Anugerah, jangan cakap macam tu. Kak Mah dah anggap Anugerah macam adik Kak Mah sendiri, Sutra tu pun Kak Mah dah anggap macam anak sendiri.” Sudah bertahun mereka hidup berjiran. Susah senang mereka lalui bersama. Maklumlah, keluarga semuanya jauh di Malaysia, hanya kepada jiran terdekatlah mereka mengadu nasib.
“Cakap kat Abang Khalid, cepat-cepat balik Malaysia. Boleh kita berjiran di sana pula.”
“Kak Mah pasti akan balik ke Malaysia satu hari nanti. Lambat atau cepat aje yang tak tahu lagi. Makanlah spageti ni. Kak Mah nak balik dulu. Sekejap lagi Abang Khalid kau balik.”
Anugerah angguk. Kak Sarimah bangun tetapi berpatah semula. “Sutra mana?”
“Dalam biliklah tu. Kalau dah senyap, adalah projek yang dia buat.”
“Sutra.” Jerit Kak Sarimah memanggil Sutra Ashikin. Senyap. Tiada sahutan. “Kak Mah nak pinjam Sutra. Nak bawa balik rumah. Manalah anak dara sorang ni?”
“Kejap Kak Mah. Biar saya panggil dia.” Anugerah menuju ke bilik Sutra Ashikin. Didapatinya Sutra Ashikin sedang tidur sambil memeluk patung powerpuff girl. Anugerah keluar lalu mendapatkan Kak Sarimah semula. “Sleeplah Kak Mah.”
“Ohhh.... takpalah. Nanti Kak Mah datang lagi.” Kak Sarimah berlalu keluar. Anugerah kembali ke meja makan. Spageti goreng di atas meja dijamah sedikit. Bibirnya mengukirkan senyuman.  Sedapnya air tangan Kak Sarimah. Tangannya laju menikmati hidangan di depan mata.


“ABANG LONG.” Jerit Anugerah teruja saat melihat kelibat abang sulungnya Curnia di KLIA. Dengan cepat kaki dihayun ke arah Curnia.
“Oh my gosh....  you look...”  Kata-kata Curnia terhenti saat matanya tertancap ke wajah seorang anak comel yang sedang memegang erat tangan Anugerah.
“What? Tua sangat ke bang long? Bang long pun nampak berbeza. Dah macam gaya YB pun ada.” Usik Anugerah dan mereka pun berpelukan melepaskan kerinduan yang bersarang. Ada air jernih yang mengalir di pipi Curnia. Entahlah semakin usianya meningkat, jiwanya semakin sensitif. Memeluk Anugerah umpama dia memeluk Tabah. Itulah yang membuatkan airmata jantannya tumpah.
“Siapa princess yang comel ni?” Terus saja Curnia mencangkung dan memegang pipi Sutra Ashikin.
“Sutra Ashikin.” Jawab Sutra Ashikin petah.
“What a lovely name.” Puji Curnia. Tangan dihulurkan lalu disambut oleh Sutra Ashikin. Curnia bangun lalu merenung ke dalam mata Anugerah. Seperti faham apa yang bergolak di dalam fikiran abangnya itu, terus sahaja Anugerah bersuara.
“My daughter.” Curnia terpaku.
“Daughter?”
“Anugerah dah kahwin bang long. Sebab Sutralah Anugerah tak balik Malaysia.”
“Erk.... jom ke kereta. Lebih selesa untuk bersembang.” Ajak Curnia. Sebenarnya dia kehilangan kata-kata.
Sepuluh minit kemudian mereka sudah pun memulakan perjalanan mereka untuk ke rumah Puan Suci Harum. Suasana di dalam kereta masih lagi hening. Tiada sesiapa yang memulakan bicara. Sutra Ashikin juga hanya menumpukan sepenuh perhatiannya memerhatikan keindahan bumi Malaysia yang belum pernah diterokai oleh mata bundarnya. Asyik dia memerhati sehinggakan dia langsung tidak berbunyi. Anugerah juga begitu, asyik memerhati bumi Malaysia yang telah ditinggalkannya selama lima tahun itu. Rindu benar dia untuk menghirup udara tanah tumpah lahirnya.
Curnia pula sibuk memikir tentang Anugerah. Otaknya tak henti bertanya kenapakah?Bagaimanakah? Siapakah dan pelbagai persoalan lain yang menyerang mindanya sejak Anugerah memperkenalkan Sutra Ashikin.
“Bang long mesti pelikkan dengan apa yang berlaku.” Tiba-tiba Anugerah memecahkan kesunyian. Dipandangnya wajah Curnia yang sedang khusyuk memandu.
“Apa yang peliknya, bang long pergi Hatyai seminggu bawa isteri, Anugerah pergi Australia lima tahun bawa anak dara.” Curnia cuba berseloroh.
            Anugerah senyum hambar. “Tapi perkahwinan bang long dapat restu ibu.”          
            “Boleh bang long tahu kenapa Anugerah tak beritahu keluarga di Malaysia?”
            “Susah nak cakaplah bang long.”Keluh Anugerah.
            Melihat Anugerah sedikit muram, Curnia rasa serba salah. Sepatutnya kepulangan Anugerah perlu disambut dengan penuh rasa gembira. “Yang penting sekarang ni keluarga kita bersatu kembali.”
            “Macammana agaknya penerimaan ibu?”
            “Ibu kita ibu yang terhebat di dunia. Pasti ibu dapat menerima Sutra Ashikin yang comel tu.” Walaupun Curnia sendiri tidak pasti dengan penerimaan ibu mereka tetapi dia cuba meleraikan gelodak di hati Anugerah.
            “Harap-harap begitulah.”
            Tiada lagi sebarang perbualan selepas itu. Yang ada hanyalah pertanyaan demi pertanyaan yang disuarakan oleh Sutra Ashikin setiap kali dia melihat sesuatu yang menarik perhatiannya.

           
SEPERTI DIJANGKA suasana riuh rendah di kediaman Puan Suci Harum bertukar sepi saat Anugerah memperkenalkan Sutra Ashikin sebagai anaknya.
            “Comelnya anak mommy long ni. Come Qaseh, Sayang dan Indah. Bawa Sutra masuk dalam.” Fina berusaha menceriakan suasana. Dia tidak mahu Sutra Ashikin terasa hati melihat suasana janggal ini. Sutra Ashikin mengikut langkah sepupu-sepupunya masuk ke ruang tamu ke dua. Dia seronok mendapat ramai kawan baru.
            “Ada apa yang ibu perlu tahu?” Soal Puan Suci Harum setelah mereka sekeluarga duduk di ruang tamu.
            “Maafkan Anugerah bu. Tak terlintas di hati Anugerah untuk menderhaka pada ibu. Semuanya berlaku terlalu pantas.”
            “Kalau ibu tanya Anugerah kena jawab dengan jujur. Sutra ni anak yang sah...”
            “Sah tarafnya bu. Anak yang lahir dari perkahwinan yang ada ijab dan kabulnya.” Potong Anugerah. Tidak sanggup dia mendengar ibunya meragui status Sutra Ashikin.
            “Cukuplah. Itu saja yang ibu mahu tahu.”
            “Ibu tak kecil hati dengan Anugerah?”
            Puan Suci Harum geleng. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada anak yang amat dirinduinya itu. “Ibu dah kehilangan Tabah, ibu bersyukur kerana kehadiran Sutra menambahkan lagi ahli keluarga kita.” Ya, wajah Sutra Ashikin begitu mirip dengan aruah Tabah. Walaupun dia tahu Sutra Ashikin anak kandung Anugerah dan wajar wajah cucu barunya itu semirip Tabah tetapi entah mengapa hatinya seperti melihat Tabah di dalam diri Sutra Ashikin.
            “Terima kasih bu.” Anugerah melutut dihadapan ibunya. Tangan Puan Suci Harum diciumnya. Dia menangis teresak-esak.


*** Semoga terhibur !!!

No comments:

Post a Comment