Monday, February 25, 2013

Bila Darjatku Diangkat Bab 4





Sudah hampir sejam Melly termenung di balkoni rumahnya. Pandangannya tersasar nun jauh di tengah tasik yang berhadapan dengan villa miliknya. Sejak  suaminya Tengku Anaz meninggal dunia beberapa bulan yang lalu, jiwanya jadi kosong. Walaupun hidupnya dilimpahi dengan kemewahan, tetapi dia tidak gembira. Kalaulah dia mempunyai zuriat dengan aruah suaminya tentu jiwanya tidak kosong begini. Zuriat? Air matanya merembes keluar saat perkataan zuriat itu terdetik di fikirannya.
“Puan Melly.” Lembut suara Mak Zah memanggil. Melly tersentak. Dikesatnya air mata yang deras mengalir.
“Saya Mak Zah.”
“Bob dah sampai.”
“Dah sampai?” Soal Melly terpinga-pinga.
“Bukankah Puan Melly kata kena pergi ke Melaka petang ni. Besok kan ada meeting di sana.” Suara Mak Zah masih lagi lembut. Kasihan dia melihat majikannya ini. Sejak kematian Tengku Anaz, wanita di hadapannya ini seperti hilang arah.
“Oh ya Mak Zah. Saya lupalah. Suruh Bob tunggu. Setengah jam lagi saya turun.” Dengan cepat Melly bersiap seadanya. Nasib baiklah pemergiannya ke Melaka hanyalah dua hari satu malam sahaja jadi tidak banyak pakaian yang harus dikemas. Setengah jam kemudian, beg pakaiannya sudah pun siap dimasukkan ke dalam kereta. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Mak Zah, kereta BMW milik Melly pun bergerak meninggalkan Villa Amelia.
“Sorrylah Bob. Saya terlupa tadi.”
Bob memandang majikannya melalui cermin pandang belakang kereta. Wanita muda itu tampak sangat ayu di matanya. Muda-muda lagi wanita itu sudah pun bergelar janda. Jika wanita itu bukan majikannya, memang sudah lama dia minta ibunya masuk meminang. Tidak betah membiarkan wanita secantik itu hidup sendirian.
“Tak apalah Puan Melly. Kita ke Melaka saja. Bukannya jauh sangat.”
“Kalau awak nak balik ke kampung awak, saya izinkan.” Melly tahu yang Bob berasal dari Melaka dan kerana itu dia mengizinkan jika pemandunya itu mahu pulang menjenguk ibu dan bapanya.
“Baik Puan Melly. Terima kasih banyak-banyak.” Hati Bob berbunga riang. Dapatlah dia menunjuk kereta BMW kepada orang kampungnya nanti. Jika sebelum ini dia pulang ke kampung dengan hanya menaiki kereta Proton Iswara milik bapanya yang sudah uzur itu, kali ini dapatlah dia berlagak dengan kereta mewah ini. Sudah bermacam dialog direkanya di dalam kepala. Pasti Adelia anak Tok Hashim akan terpegun melihat dia nanti. Tinggilah sahamnya selepas ini. Bolehlah dia masuk meminang Adelia. Pasti Tok Hashim yang diketahuinya memilih bulu itu tidak akan menolak.


“RISSA, HARI NI aku balik lewat. Tak payah beli apa-apa untuk aku.” Sempat lagi Ameena berpesan kepada Clarissa sebelum dia terkocoh-kocoh masuk ke dalam kereta. Inilah akibatnya jika bergayut sakan dengan tunangnya malam tadi. Pagi ini dia terlewat bangun kerana mengantuk. Aron berkrusus selama seminggu di Port Dickson, jadi sudah seminggu jugalah mereka tidak bertemu. Bagi mengubat kerinduan yang bersarang di hati, hanya telefonlah yang menjadi pengganti.
Clarissa geleng kepala melihat gelagat Ameena. Belum sempat mulutnya menjawab, Ameena sudah pun hilang dari pandangan mata. Clarissa menutup pintu pagar lalu mendapatkan keretanya yang diparkir di luar. Dia masuk ke perut kereta dan kunci kereta dipulas untuk menghidupkan enjin. Senyap. Enjin langsung tidak mahu hidup. Dicubanya lagi tetapi masih sama. Clarissa merengus kasar. Masa ini jugalah enjin keretanya mahu buat hal. Dia keluar dari kereta lalu membuka bonet di hadapannya. Berpinar matanya memerhatikan enjin kereta yang langsung tidak difahaminya itu. Dia merengus lagi.
“Assalammualaikum. Tak baik merengus pagi-pagi ni.” Sapa seseorang mengejutkan Clarissa. Hampir melompat Clarissa apabila menoleh ke arah pemilik suara yang menegurnya itu. Mahu saja dia menangis meraung kerana ketakutan. Badannya mengigil-gigil. Didongaknya ke langit, langit sudah pun cerah. Kenapa dia diduga siang-siang begini? Adakah hantu wujud waktu ini? Sudah advance hantu sekarang. Siap pakai baju putih jenama adidas lagi. Dah tak mainlah ikat kepala dan kaki.

“Are you okey miss?” Soal lelaki di hadapannya. Clarissa tidak menjawab. Mukanya sudah pucat lesi. Jika ditoreh pasti tiada darah yang mengalir keluar.
“Daddy.” Seorang kanak-kanak perempuan berlari-lari dari perkarangan rumah Puan Suci Harum lalu mendapatkan lelaki tadi. Mata Clarissa semakin bulat. Alamak, hantu ni siap ada anaklah. Kata orang hantu kanak-kanak lagi nakal.
“Miss... miss... are you okey?” Kali ini suara lelaki di hadapannya semakin kuat.
“Rissa, kenapa ni nak?” Puan Suci Harum datang mendapatkan Clarissa. Dipegangnya jemari Clarissa yang sejuk seperti ais batu itu. Dipeluknya tubuh Clarissa yang sedang menggigil-gigil ketakutan. “Mengucap nak. Baca Al fatihah banyak-banyak.” Puan Suci Harum membaca ayatul kursi lalu dihembusnya ke wajah Clarissa.
“Auntie... bukankah abang Tabah dah... dah meninggal.” Terketar-ketar Clarissa berkata-kata. Serentak dengan itu lelaki di hadapannya ketawa terbahak-bahak. Sampai terbongkok-bongkok dia menekan-nekan perutnya. Puan Suci Harum juga begitu tetapi lebih sopan jika dibandingkan dengan lelaki tadi.
“Lah... sebab itu ke Rissa jadi pucat macam ni. Auntie ingat sebab nampak apa tadi. Ni bukan abang Tabahlah. Ini kembar dia, Anugerah. Dialah anak auntie yang duduk di Australia tu. Dah dua hari dia sampai sini.” Clarissa menarik nafas kelegaan. Jantungnya kembali normal. Nasib baik Puan Suci Harum datang mendapatkannya jika tidak sudah keras dia di situ tadi. Tiba-tiba wajahnya bertukar merah. Malunya dia bukan kepalang.
“Hantu tak beri salam tau.” Senyuman Anugerah meleret. Sejak dua hari lepas dia kebosanan duduk di sini tetapi hari ini pagi-pagi lagi jiwanya sudah digeletek oleh Clarissa. Wajah Clarissa yang terkejut tadi masih terbayang-bayang di ruang matanya.
“Er... er... manalah tahu hantu baik ke.”
“Eh... hantu pun ada baik jahat ke?”
“Sudahlah kamu ni Anugerah. Cukup-cukuplah mengusik si Rissa ni. Kenapa dengan kereta kamu ni Rissa?” Puan Suci Harum menampar lembut lengan Anugerah.
Clarissa puas hati kerana Puan Suci Harum menyebelahinya. Dijelirkan lidahnya ke arah Anugerah apabila Puan Suci Harum sedang ralit memerhatikan enjin kereta. Anugerah gelak kecil.
“Entahlah auntie. Tiba-tiba pulak kereta ni buat hal.”
“Bak kunci kereta. Mari saya tengok-tengokkan.” Anugerah menawarkan diri untuk membantu.
“Kunci kat dalam tu.” Muncung Clarissa dihalakan ke kereta. Anugerah masuk ke dalam kereta lalu mencuba untuk menghidupkan enjin. Beberapa minit kemudia dia keluar semula.
“Dah berapa lama beli kereta ni?”
“Dah nak masuk dua tahun.”
“Pernah tukar bateri?” Clarissa geleng kepala. “Sebelum ni ada alarm kereta buat hal tak?” Clarissa angguk pula. Beberapa hari lepas baru saja dia mengalami masalah itu tetapi tidak dirujuknya ke bengkel kerana masalah tersebut hanyalah seketika saja. “Hmmm.... mungkin bateri kong kut tapi lebih baik kita panggil Ah Hong, mekanik kat kedai depan tu.” Clarissa angguk bersetuju. Ni dah main angguk-angguk, geleng-geleng ni. Dah macam lagulah pula.
Akhirnya kereta milik Clarissa dapat dihidupkan. Betullah bateri yang menjadi masalah utama. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Anugerah yang banyak menolong, Clarissa pun memandu ke pejabatnya. Nasib baiklah hari ini majikannya Puan Melly outstation ke Melaka, jika tidak alamat kena bebellah dia.
Sepanjang perjalanan ke pejabat, ingatan Clarissa hanya tertumpu kepada Anugerah. Peristiwa dia terperanjat tadi membuatkan dia malu. Apabila diamatinya wajah Anugerah di bengkel milik Ah Hong sewaktu mereka di sana, barulah dia perasan ada sedikit kelainan di wajah lelaki itu dibandingkan dengan wajah Tabah.  Macammanalah dia boleh terperanjat macam begitu sekali tadi? Dia senyum kembali. Rissa.... Rissa.... memang poyolah kau ni.

*** BDD Bab 4 sebelum saya bercuti panjang daripada melayari internet, off sekejap beberapa minggu. Empat watak utama BDD telah pun ditonjolkan. Anugerah, Clarissa, Nazif dan Melly. Selamat membaca. Moga terhibur!


Tuesday, February 19, 2013

Bila Darjatku Diangkat Bab 3


BAB 3

Di Kampung Air Mengalir, Melaka

            Nazif meraup wajahnya. Kata-kata Doktor Iqbal masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Puas cuba dipadamkan tetapi tidak berjaya. Matanya tertancap ke tubuh Marcella isterinya yang sedang lena di atas katil. Wajah itu direnungnya sayu. Diperhatikan pula rambut Marcella yang dulunya subur dan panjang mengurai tetapi sekarang sudah hampir botak. Dengan hanya melihat, dapat Nazif rasai penderitaan wanita yang dicintainya itu.
            “Abang...” Lemah suara Marcella memanggil nama suaminya. Nazif tersentak. Air mata yang sudah bergenang di kelopak mata diseka supaya Marcella tidak melihat dia bersedih. Dia tidak mahu wanita itu makin terseksa.
            “Ya sayang.” Jemari Marcella diusap lembut.
            “Abang menangis?”
            “Eh! Tak. Mana ada.” Dalih Nazif sambil berusaha untuk senyum.
            “Ya, abang menangis.”
            “Abang cuma rindukan Cella.”
            “Cella rindukan anak kita, Aira.”
            “Nanti kita balik rumah ya sayang. Aira memang tengah tunggu Cella. Dia pun rindukan Cella.” Dahi Marcella diusap lembut. Sudah hampir sebulan Marcella menghuni bilik ini. Sebelum ini kesihatan Marcella tidaklah seteruk ini tetapi sebaik kimoterapi dijalankan, Marcella jadi semakin lemah. Menurut Doktor Iqbal, ini adalah kesan rawatan kimoterapi. Marcella telah dikesan menghidap barah payudara peringkat ke tiga. Marcella tiba-tiba pengsan sewaktu di tempat kerja. Sebelum itu, Marcella hanya demam selama tiga minggu. Setelah pelbagai ujian dijalankan, doktor mengesan penyakit Marcella. Walupun pahit untuk mereka telan tetapi itulah kenyataannya. Hendak atau tidak, suka atau benci kehidupan perlu diteruskan.
            “Apa kata doktor?”   
            Nazif tidak terus menjawab. Diciumnya pipi Marcella. “Doktor kata lepas kimoterapi ni InsyaAllah, Cella akan sembuh.”
            “Betul ke bang?” Sebuah senyuman terukir di bibir Marcella. Wajah Marcella penuh pengharapan. Tidak tergamak Nazif melihat wajah itu tetapi demi memberi harapan kepada Marcella, dia perlu kuat.
            “Betul. Isteri abang ni kan kuat. Abang yakin yang Cella akan sembuh. Cuma satu pesan abang, Cella janganlah stress. Sakit macam Cella ni tak boleh stress. Abang sentiasa ada di belakang Cella untuk menyokong Cella.”Janji Nazif.
            “Terima kasih bang. Tak sabar rasanya nak balik ke rumah, nak masakkan untuk Aira, nak masakkan untuk abang.”
            “Abang pun tak sabar nak makan asam pedas ikan pari masakan Cella.”
            “Nanti Cella masakkan abang ya. Cella panaslah bang. Panas sangat.” Rengek Marcella sambil dengan lemah tangannya mengipas-ngipas tubuhnya.
            “Sabar ya sayang, kesan kimoterapi. Sayang tidur dulu. Rehat.” Marcella terus memejamkan matanya. Harapannya agar dia boleh lena dan mengurangkan sedikit ketidakselesaan yang sedang dialaminya kala ini.
            Nazif bangun lalu keluar dari bilik. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.
            “Maafkan saya Encik Nazif. Kita baru mengesan yang kanser telah merebak ke paru-paru Puan Marcella.” Itulah kata-kata Doktor Iqbal yang kuat kedengaran mengganggunya.
            “Tapi doktor kata selepas pembedahan dia akan pulih?”
            “Encik Nazif, saya katakan yang peluangnya untuk pulih ada. Penyakit Puan Marcella dikesan agak lewat, kita akan berusaha yang termampu. Yang lain kita serahkan kepada Allah s.w.t. Berdoalah kerana ianya senjata paling baik.” Tubuh Nazif lemah. Harapannya seakan musnah. Tidak sanggup dia kehilangan isteri sebaik Marcella.
            “Abang Nazif.” Nyaring suara Nana mengejutkan Nazif. Nazif tersentak.
            “Lah Nana, lama sampai?” Nana adalah adik Nazif. Mereka tinggal serumah. Nanalah yang bergilir menjaga Marcella di hospital jika Nazif ada urusan lain.
            “Tak adalah lama. Abang buat apa kat luar ni? Kak Cella okey?”
            “Kak Cella tidur. Aira macammana?”
            “Mengamuk nak ikut Nana tadi. Menjerit-jerit nak jumpa mama dia.”
            “Kalau macam tu abang balik dulu. Kalau Kak Cella tanya, cakap yang abang balik kejap ya.” Nana angguk. Dia memerhatikan abangnya pergi sehingga hilang dari pandangan matanya. Hatinya sayu. Besar sungguh dugaan yang perlu ditanggung oleh abangnya itu. Dia masuk ke bilik yang menempatkan Marcella. Sekarang gilirannya pula menjaga Marcella untuk membolehkan Nazif balik dan berehat sebentar di rumah.

           
SAMPAI SAHAJA DI MUKA PINTU, Aira terus menerpa menyambut kepulangan Nazif.
            “Papa, mana mama?” Itulah soalan wajib yang akan disoal oleh Aira setiap kali Nazif pulang ke rumah.
            “Mama sakit sayang. Ada di hospital. Doktor nak rawat mama dulu. Nanti mama balik ya sayang.” Pujuk Nazif. Dia tahu Aira amat merindui Marcella. Sudah sebulan Aira tidak berjumpa dengan Marcella kerana Nazif tidak sanggup melihat penerimaan Aira apabila melihat fizikal ibunya yang berubah. Takut Aira akan memberontak. Ini akan menambahkan tekanan kepada Marcella.
            “Aira rindu mama.” Muncung Aira sudah panjang.
            “Papa tahu tapi mama sakit. Aira sayangkan mama kan. Biar doktor rawat mama betul-betul, lepas tu baru mama boleh balik.” Nazif duduk di sofa untuk melepaskan lelah. Aira terus duduk di atas ribaannya.
            “Aira nak buatkan mama kad. Nanti papa beri pada mama ya.”
            “Okey.” Angguk Nazif. Aira berlari masuk ke biliknya. Kasihan Nazif melihat Aira. Kerinduan jelas terpancar di mata anak tunggalnya itu. Enam tahun. Enam tahun adalah umur yang terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku tetapi Aira anak yang baik. Dia seperti tahu apa yang berlaku kepada mamanya dan tidak banyak kerenah. Kadangkala walaupun Aira merengek tetapi apabila dipujuk, mudah saja Aira diam dan mendengar kata.
            “Macammana Cella?” Soal Puan Fatimah iaitu ibu kepada Nazif.
            “Macam tulah mak. Lemah. Pucat. Muntah-muntah.” Jawab Nazif lemah.
            “Kesan kimolah tu. Sabarlah Jib. Mak doakan Cella cepat sembuh. Jangan putus harapan. Banyak kes pesakit kanser yang bebas dari kanser selepas mengikuti setiap rawatan yang doktor sarankan. Yang penting banyakkan berdoa. Ajal maut di tangan Allah.” Puan Fatimah tahu Nazif menderita. Dia tidak mahu Nazif putus asa. Kekuatan Nazif adalah kekuatan Marcella juga.
            “Insyaallah mak. Jib nak mandi dulu mak. Sekejap lagi nak ke hospital semula.”
            “Ha, yelah. Pergilah mandi dan berehat. Mak masak dulu. Boleh bawa bekal ke hospital nanti.” Mereka sama-sama meninggalkan ruang tamu. Nazif masuk ke biliknya manakala Puan Fatimah ke dapur.
            “Cantiknya lukisan Aira.” Puji Nazif sebaik masuk ke bilik. Aira sedang tekun melukis di atas kertas buku tulis yang telak dikoyakkan. Gambar seorang kanak-kanak yang dipegang oleh seorang lelaki dan seorang perempuan, benar-benar menyentuh perasaan Nazif. Dia tahu itu adalah mereka. Dia, Marcella dan Aira.
            “Nanti papa beri pada mama tau.”
            “Hmmm... Aira buat cantik-cantik ya sayang. Mesti mama suka.”
            “Nanti Aira nak letak bedak. Biar wangi.”
            “Pandai anak papa.” Hampir mengalir air mata Nazif mendengar kata-kata Aira. Betapa anak kecil itu mengharapkan lukisan itu sebagai pengganti dirinya buat menceriakan hati seorang ibu.
            “Mestilah pandai. Mama yang ajar Aira lukis.” Sahut Aira bangga. Dia tersenyum menampakkan gigi depannya yang sudah ronggak.
            “Papa mandi dulu ya sayang.”
            “Okey.” Jawab Aira ringkas. Tumpuannya masih lagi tertumpu kepada lukisan di hadapannya. Diwarnakan lukisannya sebaik mungkin agar tampak cantik dan menarik.


Monday, February 18, 2013

Bila Darjatku Diangkat - Bab 2


BAB 2

Edris Shah Anugerah  tersenyum puas hati melihat beg pakaiannya yang sudah siap dikemas. Tinggal beberapa hari lagi dia akan meninggalkan bumi kangaroo ini. Bumi yang meninggalkan banyak kenangan buatnya dan bumi yang menyimpan rahsia besarnya. Rindunya terhadap ibu, ayah, Curnia serta adiknya Hafshah sudah tidak tertahan lagi. Bagaimanakah wajah mereka sekarang. Lima tahun dia tidak pulang ke Malaysia. Walaupun pelbagai teknologi terkini sudah ada untuk mereka berkomunikasi tetapi kerana rahsia yang disimpannya, dia lebih suka menghubungi keluarganya dengan hanya menulis surat sahaja.
“Daddy...” Sergah Sutra Ashikin sambil menepuk bahu Anugerah. Telefon bimbit yang sememangnya digenggam oleh Anugerah sejak tadi terlepas ke lantai.
“Sayang...” Marah Anugerah.
“O..... O..... ” Ucap Sutra Ashikin sambil tangan comelnya menutup sebahagian besar mulutnya.
“Lain kali janganlah terperanjatkan daddy macam tu.” Hidung Sutra Ashikin ditarik lembut. Selepas itu Anugerah membongkok mengambil telefon bimbitnya pula.
“Belanganlah tu.” Dengan bijak Sutra Ashikin menegur daddynya.
“Mana ada belangan.... beranganlah.” Sutra Ashikin mengekek gelak. Kelakar benar pada pendengarannya apabila Anugerah membetulkan sebutannya.
“Daddy..... nenek baik tak?” Tiba-tiba soalan itu terpacul keluar dari mulut Sutra Ashikin. Anugerah terdiam. Otaknya terus melayang mengingati Puan Suci Harum. Wajah lembut Puan Suci Harum membuatkan hati Anugerah tiba-tiba sebak. Baru dia menyedari betapa dia merindui wajah itu.
“Baik sangat. Lemah-lembut dan yang paling penting pandai memasak.”
“Really.”
“Ye lah. Nenek tak pernah marah daddy.”
“Is that true? Kenapa daddy selalu malah Sutra?” Soal Sutra Ashikin pelat.
“Hey... mana ada daddy marah sayang.”
“Hali tu daddy malah bila Sutra tak brush teeth before sleep?” Anugerah gelak besar. Ada-ada saja buah hatinya yang seorang ini.
“Kenalah marah, kalau tak marah nanti Sutra tak takut dan tak mahu brush teeth. Kalau tak brush teeth before sleep, gigi Sutra rosak. Bila dah rosak gigi akan tercabut dan anak daddy tak cantiklah nanti.” Panjang dan lebar Anugerah menerangkan mengapa dia memarahi anaknya sebelum ini. Sutra Ashikin angguk tanda faham.
“Atuk baik?” Soalan itu pula diajukan kepada Anugerah.
“Atuk pun macam nenek. Baik sangat.” Puji Anugerah. Memang diakui yang ayah tirinya, Encik Hafsham amat diplomasi dan seorang ayah yang amat memahami. Dua tahun selepas perkahwinan abang sulungnya Curnia, ibunya bertemu jodoh dengan Encik Hafsham duda anak seorang. Anak Encik Hafsham iaitu Hafshah telah dianggapnya seperti adik kandungnya sendiri. “Sutra Ashikin pergi depan, daddy nak kemas sikit lagi.” Arah Anugerah. Sebenarnya dia mahu hanyut dalam kenangan antaran dirinya dan kedua ibu bapanya. Sungguh indah kenangan itu dan dia mahu menikmatinya seorang diri.
“Okey.” Tanpa banyak soal,terus sahaja Sutra Ashikin mengikut arahan. Liuk lintuk Sutra Ashikin yang berjalan sambil memakai skirt pendek itu membuatkan Anugerah senyum simpul. Comel benar Sutra Ashikin di matanya.


“DAH KEMAS SEMUANYA?” Soal Kak Sarimah sambil meletakkan pinggan berisi spageti goreng di atas meja makan.
“Ada sikit saja lagi tak settle.” Jawab Anugerah sambil menarik kerusi lalu duduk. Kak Sarimah juga melakukan perkara yang sama. Dia duduk di hadapan Anugerah.
“Anugerah tak balik sini semula ke?”
“Entahlah Kak Mah. Saya pun tak ada apa-apa plan lagi. Tengok dululah macammana penerimaan ibu. Kak Mah fahamkan?” Anugerah melepaskan satu keluhan.
“InsyaAllah, ibu Anugerah akan dapat menerima Sutra dengan baik. Kak Mah yakin.”
“Saya takut ibu terkejut dengan kehadiran Sutra.”
“Orang tua. Macammana pun mereka terkejut tetapi Sutra tetap cucu mereka. Air dicincang takkan putus. Lagi-lagilah keletah Sutra yang comel sangat tu.”
“Harap-harap macam tulah Kak Mah.”
“Kak Mah yang sedih sebab tak dapat nak jaga Sutra lagi.” Air mata sudah bergenang di mata Kak Sarimah. Sayu benar hatinya mengenangkan perkara itu. Dialah yang menjaga Sutra Ashikin jika Anugerah keluar bekerja. Sutra Ashikin sudah dianggapnya seperti darah dagingnya sendiri.
“Janganlah macam tu Kak Mah. Malaysia tukan tanah air kita. Bila Kak Mah balik ke Pahang, singgahlah di Kuala Lumpur dahulu.”
“Insyaallah.” Kak Sarimah angguk. Sudah hampir lima belas tahun Kak Sarimah sekeluarga menetap di Australia. Dia mengikut suaminya yang bekerja di sana. Pada mulanya mereka sekeluarga hanya mahu menetap seketika sahaja di situ tetapi kerana ramai rakyat Malaysia yang menetap di Australia, mereka terasa seperti menetap di tanah air sendiri. Tidak disedari lima belas tahun berlalu dengan cepat.
“Terima kasih ya Kak Mah, selama ni Kak Mah banyak tolong saya. Kalau Kak Mah tak ada tolong tengok-tengokkan Sutra, tak tahulah macammana keadaan saya jaga Sutra seorang diri. Tak mampu saya nak balas jasa baik Kak Mah.” Kak Sarimah sebak. Penghargaan yang diberikan oleh Anugerah umpama pujian buatnya.
“Ya Allah Anugerah, jangan cakap macam tu. Kak Mah dah anggap Anugerah macam adik Kak Mah sendiri, Sutra tu pun Kak Mah dah anggap macam anak sendiri.” Sudah bertahun mereka hidup berjiran. Susah senang mereka lalui bersama. Maklumlah, keluarga semuanya jauh di Malaysia, hanya kepada jiran terdekatlah mereka mengadu nasib.
“Cakap kat Abang Khalid, cepat-cepat balik Malaysia. Boleh kita berjiran di sana pula.”
“Kak Mah pasti akan balik ke Malaysia satu hari nanti. Lambat atau cepat aje yang tak tahu lagi. Makanlah spageti ni. Kak Mah nak balik dulu. Sekejap lagi Abang Khalid kau balik.”
Anugerah angguk. Kak Sarimah bangun tetapi berpatah semula. “Sutra mana?”
“Dalam biliklah tu. Kalau dah senyap, adalah projek yang dia buat.”
“Sutra.” Jerit Kak Sarimah memanggil Sutra Ashikin. Senyap. Tiada sahutan. “Kak Mah nak pinjam Sutra. Nak bawa balik rumah. Manalah anak dara sorang ni?”
“Kejap Kak Mah. Biar saya panggil dia.” Anugerah menuju ke bilik Sutra Ashikin. Didapatinya Sutra Ashikin sedang tidur sambil memeluk patung powerpuff girl. Anugerah keluar lalu mendapatkan Kak Sarimah semula. “Sleeplah Kak Mah.”
“Ohhh.... takpalah. Nanti Kak Mah datang lagi.” Kak Sarimah berlalu keluar. Anugerah kembali ke meja makan. Spageti goreng di atas meja dijamah sedikit. Bibirnya mengukirkan senyuman.  Sedapnya air tangan Kak Sarimah. Tangannya laju menikmati hidangan di depan mata.


“ABANG LONG.” Jerit Anugerah teruja saat melihat kelibat abang sulungnya Curnia di KLIA. Dengan cepat kaki dihayun ke arah Curnia.
“Oh my gosh....  you look...”  Kata-kata Curnia terhenti saat matanya tertancap ke wajah seorang anak comel yang sedang memegang erat tangan Anugerah.
“What? Tua sangat ke bang long? Bang long pun nampak berbeza. Dah macam gaya YB pun ada.” Usik Anugerah dan mereka pun berpelukan melepaskan kerinduan yang bersarang. Ada air jernih yang mengalir di pipi Curnia. Entahlah semakin usianya meningkat, jiwanya semakin sensitif. Memeluk Anugerah umpama dia memeluk Tabah. Itulah yang membuatkan airmata jantannya tumpah.
“Siapa princess yang comel ni?” Terus saja Curnia mencangkung dan memegang pipi Sutra Ashikin.
“Sutra Ashikin.” Jawab Sutra Ashikin petah.
“What a lovely name.” Puji Curnia. Tangan dihulurkan lalu disambut oleh Sutra Ashikin. Curnia bangun lalu merenung ke dalam mata Anugerah. Seperti faham apa yang bergolak di dalam fikiran abangnya itu, terus sahaja Anugerah bersuara.
“My daughter.” Curnia terpaku.
“Daughter?”
“Anugerah dah kahwin bang long. Sebab Sutralah Anugerah tak balik Malaysia.”
“Erk.... jom ke kereta. Lebih selesa untuk bersembang.” Ajak Curnia. Sebenarnya dia kehilangan kata-kata.
Sepuluh minit kemudian mereka sudah pun memulakan perjalanan mereka untuk ke rumah Puan Suci Harum. Suasana di dalam kereta masih lagi hening. Tiada sesiapa yang memulakan bicara. Sutra Ashikin juga hanya menumpukan sepenuh perhatiannya memerhatikan keindahan bumi Malaysia yang belum pernah diterokai oleh mata bundarnya. Asyik dia memerhati sehinggakan dia langsung tidak berbunyi. Anugerah juga begitu, asyik memerhati bumi Malaysia yang telah ditinggalkannya selama lima tahun itu. Rindu benar dia untuk menghirup udara tanah tumpah lahirnya.
Curnia pula sibuk memikir tentang Anugerah. Otaknya tak henti bertanya kenapakah?Bagaimanakah? Siapakah dan pelbagai persoalan lain yang menyerang mindanya sejak Anugerah memperkenalkan Sutra Ashikin.
“Bang long mesti pelikkan dengan apa yang berlaku.” Tiba-tiba Anugerah memecahkan kesunyian. Dipandangnya wajah Curnia yang sedang khusyuk memandu.
“Apa yang peliknya, bang long pergi Hatyai seminggu bawa isteri, Anugerah pergi Australia lima tahun bawa anak dara.” Curnia cuba berseloroh.
            Anugerah senyum hambar. “Tapi perkahwinan bang long dapat restu ibu.”          
            “Boleh bang long tahu kenapa Anugerah tak beritahu keluarga di Malaysia?”
            “Susah nak cakaplah bang long.”Keluh Anugerah.
            Melihat Anugerah sedikit muram, Curnia rasa serba salah. Sepatutnya kepulangan Anugerah perlu disambut dengan penuh rasa gembira. “Yang penting sekarang ni keluarga kita bersatu kembali.”
            “Macammana agaknya penerimaan ibu?”
            “Ibu kita ibu yang terhebat di dunia. Pasti ibu dapat menerima Sutra Ashikin yang comel tu.” Walaupun Curnia sendiri tidak pasti dengan penerimaan ibu mereka tetapi dia cuba meleraikan gelodak di hati Anugerah.
            “Harap-harap begitulah.”
            Tiada lagi sebarang perbualan selepas itu. Yang ada hanyalah pertanyaan demi pertanyaan yang disuarakan oleh Sutra Ashikin setiap kali dia melihat sesuatu yang menarik perhatiannya.

           
SEPERTI DIJANGKA suasana riuh rendah di kediaman Puan Suci Harum bertukar sepi saat Anugerah memperkenalkan Sutra Ashikin sebagai anaknya.
            “Comelnya anak mommy long ni. Come Qaseh, Sayang dan Indah. Bawa Sutra masuk dalam.” Fina berusaha menceriakan suasana. Dia tidak mahu Sutra Ashikin terasa hati melihat suasana janggal ini. Sutra Ashikin mengikut langkah sepupu-sepupunya masuk ke ruang tamu ke dua. Dia seronok mendapat ramai kawan baru.
            “Ada apa yang ibu perlu tahu?” Soal Puan Suci Harum setelah mereka sekeluarga duduk di ruang tamu.
            “Maafkan Anugerah bu. Tak terlintas di hati Anugerah untuk menderhaka pada ibu. Semuanya berlaku terlalu pantas.”
            “Kalau ibu tanya Anugerah kena jawab dengan jujur. Sutra ni anak yang sah...”
            “Sah tarafnya bu. Anak yang lahir dari perkahwinan yang ada ijab dan kabulnya.” Potong Anugerah. Tidak sanggup dia mendengar ibunya meragui status Sutra Ashikin.
            “Cukuplah. Itu saja yang ibu mahu tahu.”
            “Ibu tak kecil hati dengan Anugerah?”
            Puan Suci Harum geleng. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada anak yang amat dirinduinya itu. “Ibu dah kehilangan Tabah, ibu bersyukur kerana kehadiran Sutra menambahkan lagi ahli keluarga kita.” Ya, wajah Sutra Ashikin begitu mirip dengan aruah Tabah. Walaupun dia tahu Sutra Ashikin anak kandung Anugerah dan wajar wajah cucu barunya itu semirip Tabah tetapi entah mengapa hatinya seperti melihat Tabah di dalam diri Sutra Ashikin.
            “Terima kasih bu.” Anugerah melutut dihadapan ibunya. Tangan Puan Suci Harum diciumnya. Dia menangis teresak-esak.


*** Semoga terhibur !!!

Thursday, February 14, 2013

Bila Darjatku Diangkat

Assalammualaikum... pergh nasib baik blog ni belum ada sarang labah-labah, baru berhabuk sikit ajer.... kat sini LH nak post mss terbaru LH... baru godek2 skit je.... actually mss ni terhasil atas idea ShaMslvoe... dia pernah suruh LH kembangkan watak adik2 Curnia dalam novel KURNIA UNTUKKU dan inilah hasilnya.


BILA DARJATKU DIANGKAT                


Clarissa Imani bangkit dengan penuh lesu.Hampir pukul 4.00 pagi baru dia sampai ke rumah.Puas malam tadi mencucuk bintang bersama-sama dengan Emma dan Kat.Nasib baiklah hari ini adalah hari Ahad.Jika tidak alamat tuang kerjalah dia jawabnya.Dengan langkah longlai,Clarissa melangkah ke dapur.Tiada sesiapa di situ.Yang ada       hanyalah aroma nasi goreng belacan yang membuatkan perutnya berbunyi minta diisi.
Tudung saji di atas meja diangkat.Bibirnya menguntumkan senyuman.Betul apa yang dihidu oleh hidung mancungnya,nasi goreng belacan terhidang di atas meja.Dengan cepat dia mengambil pinggan yang terdapat di kabinet dapur.
“Haaa.....dah gosok gigi belum?”Nyaring suara Ameena menyapa ke telinga.Tersentak Clarissa dibuatnya.Nasib baiklah dia masih lagi muda,kalau tidak mahu cedera parah juga jantungnya kerana terperanjat.
“Aku dah gosoklah.”Cebiknya sambil tangannya pantas mencedok nasi goreng.
“Pagi-pagi lagi kau nak tipu aku.Tengok air liur basi pun masih melekat kat muka kau.”Ameena menarik kerusi di hadapan Clarissa lalu melabuhkan punggungnya di situ.Ditenungnya lagi wajah teman serumah yang sudah dikenalinya sejak di zaman universiti lagi.Clarissa masih memakai baju yang dilihatnya petang semalam.Dia menggeleng-gelengkan  kepala.
“Sedapnya nasi goreng yang ko masak ni Meena.Tu yang buat aku sayang sangat kat kau.”Puji Clarissa sambil mulutnya sibuk mengunyah nasi goreng belacan air tangan Ameena.
“Mestilah sedap kalau bercampur dengan tahi gigi kau.”
“Ishh...kau ni.Ke situ pula.”
“Tahu pun geli.Pukul berapa kau balik?”
Clarissa berhenti mengunyah.Itulah soalan cepu emas yang akan ditanyakan oleh Ameena setiap hari minggu.Housematenya yang seorang ni mengalahkan mamanya pula.Mungkin silapnya juga yang sering membawaAmeena pulang ke kampungnya di Kuala Selangor.Pasti mamanya sudah menurunkan segala ilmu membebel kepada Ameena.
            “Pukul 2.00 pagi.”Bohong Clarissa.
“Aku tidur pukul 2.30 pagi tapi tak dengar pun kau balik?”
“Errr...aku balik kul 3.00.”Cepat Clarissa mengubah kata-katanya.
“Pukul 3.00 ?Eh aku pergi toilet pukul 3.00 pagi tapi....”
“Yelah... yelah... kau menanglah.Aku balik pukul 4.00 pagi Cik Ameena oii.Puas hati?”
Ameena senyum meleret.Nampak gayanya dia menang lagi.Dia tahu sangat perangai Clarissa.Kalau bercakap tidak mahu memandang mukanya tu mesti rakannya itu sedang berbohong. “Mengaku pun.Kau ni Rissa,buat aku risau sajalah.Tak lena tidur aku dibuatnya kau.Cubalah berlajar duduk di rumah.Asal hari Sabtu saja mulalah nak pergi ke kelab cucuk bintang.”
“Bosanlah.Lagi pun Emma belanja aku.Ada apa hal.Tinggal bawa badan aje.”
“Bosan...bosan...bosan.Itulah saja perkataan yangselalu keluar dari mulut kau.”Bebel Ameena lagi.Clarissa menarik muka. Sah.. memang sah Ameena sudah tamat berguru dengan mamanya.Dulu sahabatnya ini tidaklah kuat membebel sangat tetapi sekarang makin parah.
“Mana tak bosan.Kau tu berkurung saja dalam rumah.Ajak ke mana pun tak mahu.Kalau tak berkurung pun kau keluar dengan tunang kau tu. Hmmmm... macammana aku tak bosan.”Nasi goreng di dalam pinggan sudah licin dikerjakan oleh Clarissa.Dia bangun lalu membawa pinggan ke sinki dan mencucinya.
“Tulah kau ni.Ada saja jawapannya.Tak salah kau nak keluar tapi janganlah ke kelab malam.Kita ni perempuan,tak manis terkinja-kinja.Balik pulak pukul 3.00,4.00 pagi.Apa kata jiran-jiran?”
“Aku pergi kelab cuma menari saja.Aku tak ambil minuman keras tau.Dadah jauh sekali.Kau janganlah risau Meena.”Pinggan yang sudah kering dilap dan diletakkan semula di atas kabinet.
“Sekarang tak ambil.Mana tahu nanti-nanti.....”
“Aku masuk bilik dulu.Sedap nasi goreng kau.Lima bintang aku kasi.”Clarissa sudahpun berlari masuk ke bilik sebelum sempat Ameena menyambung bebelannya.Hanya gelengan yang dapat Ameena berikan mengiringi pemergian Clarissa.Dulu Clarissa bukanlah begini orangnya.Sejak dia bekerja di Asian Travel Agencies dan berkenalan dengan Fatimah atau pun nama glamournya Emma dan juga Katijah a.k.a Kat yang merupakan rakan sekerjanya,terus Clarissa jadi liar begini.Puas dinasihati tetapi ibarat mencurahkan air ke daun keladi.Clarissa Imani masih lagi begitu.Menjadi penghuni tetap kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur.


“ASSALAMMUALAIKUM.”Sayup-sayup kedengaran suara orang memberi salam.Cepat-cepat Ameena bangun dan pergi ke depan.Kelihatan Puan Suci Harum sedang menunggu di depan pagar dengan memegang dua biji pinggan di kiri dan kanan tangannya.Wah.. rezeki di pagi Ahad.Alamat tak berasaplah dapur tengahari ni kerana mendapat buah tangan dari Puan Suci Harum.
“Waalaikumusalam auntie.”Ameena pantas membuka pagar.Dikerlingnya pinggan di hadapannya.Nasi minyak dan ayam masak merah.Pergh...kecur air liurnya.
“Ni nasi minyak dan ayam masak merah.Saja auntie masak lebih.”Puan  Suci Harum menghulurkan pinggan-pinggan di tangan. Amena mengambil dengan penuh hati-hati.Kalau terlepas pegang karang alamat kempunanlah jawabnya.Takkan nak minta yang baru. Malulahkan.
“Ada majlis apa ni auntie? Special betul masakan auntie ni.”Soal Ameena ingin tahu.Manalah tahu kut-kut hari ini adalah hari jadi Puan Suci Harum.Bolehlah dia mengucapkan selamat hari lahir kepada wanita itu.
“Auntie seronok sangat.Anak auntie yang tinggal di Gold Coast tu nak balik sini.Dah lima tahun dia tak balik. Semalam lepas dia inform auntie, pagi ni pagi-pagi lagi auntie dah ajak uncle ke pasar.”Jelas terpancar aura keseronokkan di wajah Puan Suci Harum.
“ Oh. Terima kasih ya auntie.Semoga anak auntie tu selamat pulang.”
“Haa...yelah.Auntie nak masuk dulu.Banyak lagi kerja yang nak dibuat.Bilik untuk anak auntie tak dikemas lagi.Auntie balik dulu ya.”Ameena angguk.Puan Suci Harum berlalu ke rumahnya yang terletak hanya bersebelahan dengan rumah sewa Ameena dan Clarissa.Sudah tiga tahun mereka hidup berjiran sejak Clarissa dan Ameena masih di tahun akhir universiti dahulu.Puan Suci Harum sudah dianggapnya seperti ibunya sendiri.Wanita itu berhati mulia.Sering saja dia menghantar makanan ke rumah sewa mereka.Ameena masuk ke dalam rumah.Diletaknya pinggan berisi nasi minyak dan ayam masak merah di atas meja makan.
“Pergh... hebatnya ko Meena.Aku baru masuk mandi sekejap kau dah siap masak nasi minyak dengan ayam masak merah.Boleh masuk Masterchef musim ke tiga ni.”Mata Clarissa sudah bulat.Kagum benar dia dengan Ameena.Baru beberapa minit sahaja dia mandi,rakannya itu sudah memasak juadah yang hebat.
“Banyaklah masterchef kau.Nasi dengan lauk ni auntie yang bagi.”
“Ooooo.....”Mereka mengatur langkah ke ruang tamu.Ralit mata mereka menonton rancangan Melodi yang sedang disiarkan di TV3. “Eh...apsal auntie masak sedap-sedap macam tuh?”Soal Clarissa lagi.
“Anak dia yang tinggal di Gold Coast tu nak balik sini.Dah lima tahun anak dia tak balik.Auntie happy sangatlah tu.”
“Mak aiii.....Gold Coast,Sepang tu bukannya jauh sangat.Sampai lima tahu tak balik.”Mata Clarissa buntang lagi.Kalah tanggang macam ni.Dekat macam tu pun tak reti-reti nak jenguk mak bapak sendiri.
“Kau ni mabuk ke? Tulah,asyik nak ke kelab aje.”
“Mabuk-mabuk jangan cakap ek.Tak baik menuduh aku.Sumpah,aku tak ambil benda haram tu.”
“Habis tu yang kau cakap Gold Coast Sepang tu apehal? Gold Coast Sepang tu hotel. Anak dia tinggal di Gold Coast Australialah.Kalau kat Sepang tu tak adalah aku rasa auntie nak masak nasi minyak bagai.”
Clarissa gelak besar. Lupa pula dia yang Gold Coast di Australia. Betullah agaknya kata Ameena.Aku ni memang dah mabuk.Tak cukup tidurlah gamaknya semalam.Tu yang ting tong saja kepala ni.
“Meena....”Panggil Clarissa berlagu-lagu.Ameena menjelingnya tajam.Ni mesti nak minta sesuatu kalau tak takkan berlagu-lagu macam tu.
“Nak apa?”Soal Ameena keras.
“Garangnya.”Muncung Clarissa sudah panjang sedepa. “Kita keluar nak?”
“Malaslah.Baju tak iron lagi.Tu kain yang dekat ampaian tu tunggu masa nak kena lipat bila dah kering.”Mata Ameena masih melekat di kaca televisyen.Asyik benar dia melihat gosiip-gossip tentang artis Malaysia.Clarissa mengeluh.
“Tulah kau.Asal aku ajak aje kau mesti tak mahu keluar.Sejak kau bertunang dengan si Aron tu memanjang kau berkurung dalam rumah.Keluar dengan aku tak mahu.Aron tak kasi ek kau kawan dengan aku?Baik kau jawab.”
“Ke situ pula kau ni.Masalahnya Cik Rissa sayang,aku ni tak delah banyak sen macam kau.Kau tu baju hantar dobi,siap basuh dengan iron sekali.Macam aku ni semua kena buat sendiri.”
“Alah,kau tu yang taik hidung masin.Kedekut.Kalau hantar dobi kan senang.Save tenaga,masa,air dan elektrik.”Cebik Clarissa.
“Kalau buat sendiri berapa sen sangat bil air dan bil api.Aku kenalah jimat cermat.Kalau tak macammanalah aku nak kahwin.Nak sponsor tiket kau dengan mama ke kampung aku kat Sarawak tu lagi.Nak sponsor tiket Cassandra adik kau tu juga.Banyak belanja tau.”
“Mak aii....kau nak sponsor tiket flight aku,Sandra dengan mama?”
“Mestilah.Kau sekeluarga kan dah macam keluarga aku.So kenalah aku sponsor tiket korang semua.Aku nak mama ada masa aku bernikah nanti.”Clarissa memandang wajah Ameena terharu.Baik sungguh sahabatnya ini.Sayang Ameena kepada mamanya dan adiknya Cassandra melampau-lampau.Kadang-kadang dia rasakan Ameena lebih rapat dengan mamanya dibandingkan dengan dirinya sendiri.Sejak mengenali Ameena,sahabatnya itu sering mengikutnya pulang ke kampung kerana kampung Ameena di Kuching Sarawak.Jauh untuk Ameena pulang ke kampungnya selalu.Kadang-kadang,jika Clarissa tidak pulang ke kampungnya pun Ameena akan pulang sendiri.Begitulah akrabnya Ameena dan mamanya.
“Ikut suka hati kaulah Meena.Eh,auntie sebelah tu ada anak lagi ke?Setahu aku anak dia bukan abang Curnia, Hafshah dan aruah Tabah ke?”
“Adalah kut kalau tak takkan auntie excited sangat.”
“Kau tak tanya ke anak dia yang mana?”
“Cittt...kau ni.Busy body betul.Seganlah aku nak tanya.Kalau kau nak tahu petang nanti kau pulangkan pinggan-pinggan auntie.Masa tu kau tanyalah.”
“Kau kan menantu tak jadi auntie.Takkan tak tahu.”Sepantas kilat Ameena membaling bantal kecil ke arah Clarissa.Cekap sahaja Clarissa menangkapnya.Melihat Ameena tarik muka empat belas,Clarissa mengekek gelak.Seronok dia dapat mengenakan sahabatnya itu.