Monday, June 24, 2013

Bila Darjatku Diangkat Bab 11 & 12


BAB 11

“Hai princess.” Suara Zamani kedengaran manja.
“Assalammualaikum.” Clarissa berbahasa. Kan lebih elok mengucapkan salam.
            “Waalaikumusalam. Ops... terlupa nak bagi salam.” Seperti faham akan sindiran Clarissa terus saja Zamani menyatakan kealpaan diri. Sebenarnya dia seronok mendengar suara Clarissa. Mendengar suara manja wanita itu telah membuatkan dirinya terangsang. Pergaulannya yang lepas bebas di U.K telah membuatkan dia lupa asal usulnya. Dia sentiasa mendambakan kehangatan pelukan wanita yang diminatinya. Tetapi dia sekarang berada di Malaysia. Dia tahu pantang larang di sini. Kebanyakan wanita di sini masih lagi taboo berkenaan dengan pergaulan seks bebas. Wanita Malaysia dari pemerhatiannya hanya akan menyerah dengan lelaki yang mereka cintai sahaja. Tiada istilah one night stand di sini. Jika ada pun tidak ramai yang mengamalkannya. Dia berazam untuk menambat hati Clarissa. Dia tidak mahu terburu-buru bimbang jeratnya tidak menjadi.
            “Yes Zamani. Anything yang I boleh tolong you? Tadi tanya I kedai makan paling sedap di PJ. Ni nak tanya apa pula?”Saja Clarissa menduga tapi sebenarnya di dalam hati sedang bergangnam style.
            Zamani mengekek gelak. Clarissa memang pandai mengesan niatnya. “ I nak ajak you keluar.”
            “Keluar? Pergi mana?”
            “Temankan I pergi downtown. Teringinlah nak pergi.” Kini giliran Clarissa pula gelak. Tak ada tempat lain ke nak pergi? Ayoyo, tak romantik langsung.
            “You nak beli apa?”
            “Tak ada apa cuma rindu nak rasa suasana macam tu. Bising, sesak dan bau masam.”Bagai digeletek, mengekek zamani gelak.
            “Okey. Malam ni you ambil I kat rumah. Pukul 10.00 yek.”
            Senyum Zamani meleret. Senang rupanya mengajak Clarissa keluar. “Yes sayang. Pukul 9.55 I datang. Address you?”
            “Sekejap lagi I bbm you.” Clarissa tersenyum senang hati. Suka dia dipanggil sayang. Sudah lama tiada lelaki memanggilnya begitu. Setelah menghantar blackberry massenger kepada Zamani, Clarissa menyambung semula tugasnya.
            “Mesti boyfriend yang call kan? Senyum sampai ke telinga.” Sapa Melly. Dari tadi diperhatikan sahaja gelagat Clarissa yang sedang meliuk lintuk ibarat terkena ulat bulu.
            “Puan Melly.” Terketar-ketar Clarissa bangun. Kantoi. Huh! Macammanalah boleh kantoi dengan boss ni.
            “Yang awak takut sangat ni kenapa? Saya faham. Orang muda macam awak perlukan cinta. Asalkan tak effect kerja awak, saya takkan menegur.”
            “Eh Puan Melly, mana ada boyfriend. Baru nak keluar dating.” Dating? Alahai dating pergi downtown, Cheras. Bolehlah daripada tak ada.
            “Baru nak mulalah seronok. Perasaan tu indah kan?” Teringat saat pertama kali bertentang mata dengan bekas suaminya. Saat itu hatinya berdebar-debar. Tidur malamnya tidak menentu. Makannya tidak kenyang. Betullah kata orang, hidup tak keruan jadinya.
            “Kawan ajelah Puan Melly. Tak ada apa-apa hubungan pun.” Dalih Clarissa tapi memang betul pun. Kembang setaman hati di dalam. Siap ada rama-rama dan ladybird lagi.
            “Lapar pulak perut saya petang-petang ni.” Melly menggosok-gosok perutnya. Tengahari tadi dia hanya makan bihun sup sahaja, mungkin sebab itu perutnya cepat lapar.
            “Puan nak air? Milo? nescafe? Saya pun lapar ni.” Clarissa bangun tanpa sempat Melly menjawab kata-katanya. Diatur langkah ke pantry. Cepat sahaja tangannya membancuh dua mug milo 2 in 1. Aromanya menusuk ke hidung.
            “Semakin lapar perut saya bau milo yang awak bancuh tu.” Kata Melly setelah dia sampai di pantry. Ditariknya kerusi yang terdapat di situ dan dia pun melabuhkan punggungnya.
            “Makan dengan ni.” Biskut lemak manis yang terdapat di dalam tupperware disuakan kepada Melly.
            “Biskut siapa ni?”
            “Biskut sayalah. Memang saya sentiasa simpan makanan kat pantry ni.” Clarissa gelak kecil.
            “Nampak sangat saya tak pernah masuk pantry.” Melly juga ketawa.
            “Mestilah. Puan Mellykan busy.” Tangan Clarissa mengambil sekeping lagi biskut lalu dicelupkan ke dalam air milo.
            “Busy untuk mengisi kesunyian hati.” Satu keluhan dilepaskan.
            Clarissa berhenti mengunyah. Dia tahu majikannya itu baru beberapa bulan kehilangan suaminya. Pasti kesedihan masih terasa. “ Kalau Puan Melly tak kisah, Puan Melly boleh lepak-lepak dengan saya.”
            Pelawaan itu membuatkan Melly tersentuh. “ Terima kasih tapi saya dah tualah Rissa. Nanti boring awak kalau saya melepak sama.”
            “Mana ada tua. Puan Melly ni buat saya nak tergelak saja.”
            “Saya minta diri dululah Rissa. Terima kasih sebab buatkan saya air.” Melly meminta diri lalu masuk ke biliknya dengan membawa sekali mug berisi milo yang dibuat Clarissa.


            “DAH LAMA KE you sampai?” Soal Clarissa sewaktu melihat Zamani sedang menghisap rokok sambil bersandar di keretanya. Jaket hitam dan cermin mata warna yang sama membuatkan Zamani nampak sangat kacak. Bergoyang juga iman dibuatnya.
            “Tak lama. Adalah sejam.”
            “Sejam?” Mata Clarissa terbeliak.
            “Boringlah duduk rumah. Jom minum.” Ajak Zamani sambil menunjuk ke arah restoran mamak di seberang jalan.
            “Malam nikan dah nak keluar.” Tak sabar juga mamat ni. Kan dah janji nak jumpa pukul 10 malam ni.
            “I tak sabar nak jumpa you. Jomlah sayang. Temankan I minum.”
            Akhirnya Clarissa mengalah. Dia berjalan beriringan menuju ke kedai mamak. Setelah memesan dua gelas teh tarik dan roti nan, mereka hanya mendiamkan diri. Mata Zamani tidak lepas dari memandang ke wajah Clarissa. Dia mula membayangkan sesuatu.
            “Berapa lama you kat sini?” Soalan Clarissa mengejutkan Zamani.
            “Three weeks.”
            “You tak ada girlfriend ke?”
            “Kenapa you tanya?”
            “Takutlah kalau girlfriend you marah I keluar dengan you.” Zamani senang dengan soalan itu. Gadis melayu memang cakap berlapik. Kalau nak tahu statusnya tanya sajalah. Tak payah nak berkias begini.
            “Kan I dah cakap yang I mencari calon isteri.”
            “Really. I ingat you bergurau saja.”
            “Muka I nampak bergurau ke?”
            “Ada gak.” Clarissa gelak diikuti oleh Zamani. Mereka berbual-bual kosong dan akhirnya pulang ke rumah masing-masing. Malam ini masih ada lagi untuk mereka menyambung perbualan yang terhenti.
            Pukul 7.00 malam, Clarissa sampai ke rumah. Dia terus mandi dan bersolat. Sambil menunggu masuknya waktu Isyak, Clarissa duduk di ruang tamu bersama-sama dengan Ameena.
            “Kau teka aku nak keluar dengan siapa malam ni?” Ameena mengerutkan dahinya. Nak main pop kuizlah pulak budak ni.
            “Manalah aku tahu.”
            “Zamani.”
            “Lelaki yang kau kenal kat kelab tu?”
            “Haah. Dia ajak aku keluar. Tadi pun dia tunggu aku keluar office. Kami pergi lepak-lepak kat kedai mamak.” Wajah Clarissa kelihatan ceria. Ameena terpempam. Habislah programnya. Kalau Clarissa menyukai orang lain macammanalah dia mahu mengkenen-kenenkan dengan Anugerah.
            “Kau percaya orang macam tu?”
            “Meena, janganlah berprasangka sangat. Aku bukannya dah confirm nak serius dengan dia. Baru nak kenal.”
            “Okey.” Tidak mahu bertekak dengan Clarissa, Ameena membiarkan sahaja Clarissa dengan perasaannya sendiri.
            Zamani datang menjemput seawal pukul 9.30 malam. Terkocoh-kocoh Clarissa bersiap. Mereka makan malam dahulu. Selepas itu barulah mereka menapak menyelusuri downtown Cheras yang boleh tahan besarnya itu. Sepanjang keluar bersama,tidak sekali pun Zamani cuba mengambil kesempatan. Clarissa kagum dengan lelaki itu. Bertahun tinggal di luar negara yang diketahuinya lepas bebas tanpa sebarang sekatan, tetapi lelaki ini masih lagi berpijak di bumi yang nyata. Hatinya tersentuh.


 BAB 12

            “Meena... aku rasa aku sukalah kat Zamani tu.” Dengan wajah berseri-seri Clarissa membuka rahsia hatinya. Saat ini dirasakan yang hatinya sangat bahagia.
            “Biar benar kau. Baru jumpa dah suka.” Hancurlah rancangan Ameena. Belum lagi nak bermula, harapannya sudah pun hancur berkecai. Sebelum ini tiadalah pula Zamani muncul dalam hidup Clarissa.
            “Kau yang nak sangat aku berubah kan. Kalau aku dah jumpa Mr Right aku, aku janji akan kahwin dan tinggalkan dunia malam aku.”
            “Iyolah tu.Mr Rightlah sangat.Jangan cepat rasa suka. Selalunya yang cepat sangatlah ni akan berakhir dengan kecewa.” Cebik Ameena. Saja dia mahu mematahkan semangat Clarissa.
            Telefon bimbit milik Clarissa berbunyi. Dengan pantas Clarissa menyambut panggilan.
            “Hai sayang.” Suara ceria Zamani kedengaran.
            “Hai.” Jawab Clarissa ringkas. Sebenarnya dia gembira menerima panggilan itu tetapi perlulah juga menjaga tertib sebagai wanita melayu. Tidak boleh nampak gelojoh sangat, tak manis kan.
            “Tak tidur lagi?”
            “Tak. I tengah chat dengan housemate I.”
            “If you dont mind jom keluar? Rindulah tak tengok muka you hari ni.” Pancing Zamani. Saja dia tidak mengganggu Clarissa siang tadi. Semalam, sewaktu mereka keluar bersama, Clarissa dilihat sudah semakin jinak dengannya. Dia mahu membiarkan gadis itu ternanti-nanti.
            Clarissa melirik jam di dinding. Sudah pun pukul 10.45 malam. Dia berfikir seketika. Hatinya memang resah apabila Zamani langsung tidak menghubunginya hari ini tetapi hari sudah pun lewat malam. Besok dia perlu ke pejabat. Sudahlah tadi dia lambat 15 minit kerana terbabas tidur akibat terlalu mengantuk kerana pulang lewat. Dia tidak mahu rekod kedatangannya buruk lagi untuk kedua kalinya. “Sorrylah Zamani. I takut lambat lagilah masuk office besok. Pagi tadi I dah terbabas.” Jujur Clarissa memberikan alasan.
            “I janji tak ambil masa you lama. I dah ada depan rumah you ni.” Clarissa tersentak. Dia meluru ke jendela dan dapat dia lihat Zamani sedang tersenyum sambil melambai ke arahnya.
            “You tunggu kejap.” Dengan cepat Clarissa masuk ke biliknya. Dia bersiap ala kadar. Ameena hanya memberi jelingan tajam saat Clarissa melintasinya.

           
CLARISSA IMANI menguap beberapa kali. Malam tadi hampir pukul 2.30 pagi baru Zamani menghantarnya pulang ke rumah. Kata mahu keluar sekejap tetapi apabila sudah bertemu dia rasa tidak mahu berenggang dengan lelaki itu. Sifat Zamani yang kelakar dan pandai mengambil hati membuatkan masa berlalu tanpa disedari.
Di suatu tempat yang lain, Ameena sedang termenung sendirian. Entah mengapa hatinya tidak senang melihat Clarissa rapat dengan lelaki bernama Zamani itu. Saat pertama kali dia melihat ke arah lelaki itu, dia seperti dapat merasa yang lelaki itu seperti ada udang di sebalik batu. Ligat otaknya berfikir agar dia dapat merapatkan Clarissa dengan Anugerah. Telefon bimbit di atas meja diambil lalu dia pun mendail nombor Cassandra Amani adik kepada Clarissa Imani.
“Kak Meena. Lama tak dengar khabar.” Terjerit Cassandra mendapat panggilan dari Ameena.
“Rindulah kat adik kakak ni.” Sahut Ameena.Adiknya Ameera berada nun jauh di Kuching, Sarawak. Hanya kepada Cassandralah dia mencurahkan kasih sayangnya di bumi semenanjung ini.
“Kakak macammana? Sihat ke dia?”
“Inilah yang Kak Meena nak bincangkan ni.” Cassandra terkedu. Risau dia memikirkan kakaknya yang seorang itu. Ini mesti ada hal penting kalau tak takkan Kak Ameenanya akan menelefon ajak berbincang.
“Kenapa dengan kakak? Dia sakit ke?” Pancing Cassandra. Pasti sesuatu telah berlaku kepada Clarissa. Jantungnya mula bergerak laju.
“Sakit.”
“Hah!” Terjerit Cassandra dibuatnya.
“Sakit cinta. Tengah angau dengan mamat mana ntah.” Bagai bertih jagung terus saja Ameena menceritakan tentang Clarissa, aktiviti malam sahabatnya itu, keseksian Clarissa yang merisaukannya dan rancangannya untuk menjodohkan Clarissa dengan Anugerah.
“Kakak nak Sandra buat apa?” Setelah habis Ameena bercerita terus sahaja Cassandra menyoal.
“Apa kata Sandra datang sini. Sekarang tengah cuti semester kan. Kalau Sandra ada sini senanglah Kak Meena nak aturkan strategi.”
“Tapi nanti mama kata apa pulak.”
“Alah, tentang mama tu biar Kak Meena yang settlekan. Amacam?” Persetujuan Cassandra ditagih.
“Kak Meena punya pasal Sandra setuju.” Itulah yang diharapkan oleh Ameena. Dia memang mengharapkan persetujuan Cassandra.
“Okey. Besok Sandra datang sini naik bas. Nanti Sandra stop kat mana-mana. Sandra beritahu saja Kak Meena. Biar Kak Meena datang ambil.”
“Okey Kak. Bye.”
“Bye.” Talian diputuskan. Ameena tersenyum puas hati. Dia menyambung semula tugasnya yang sudah lama tergendala.


BERPELUH-PELUH Ameena mencucuk tayar kereta Clarissa dengan besi tajam yang dibelinya di kedai hardware. Clarissa sedang mandi jadi dia mengambil peluang yang ada untuk menjalankan rancangan gilanya. Setelah puas hati dengan hasil kerjanya, Ameena masuk ke dalam rumah. Dia terkejut apabila melihat Clarissa sedang mengeringkan rambut di ruang tamu.
            “Mana kau pergi? Berpeluh-peluh macam ni.” Soal Clarissa pelik.
            “Aku pergi ambil angin kat luar. Panaslah.” Bohong Ameena. Nasib baiklah besi tajam tadi sudah pun selamat disorokkan awal-awal di rak kasut yang terletak di luar rumah.
            “Hai... dah pergi ambil angin pun berpeluh-peluh macam ni.”
            “Entahlah. Panas betullah.” Ameena mengipas-ngipas tangannya ke badan tanda kepanasan. “Eh, aku nak masuk mandilah.” Cepat saja dia berlari masuk ke bilik. Clarissa geleng kepala. Ada-ada sajalah Ameena ni. Clarissa duduk di sofa. Ingatannya kembali kepada apa yang berlaku ketika Zamani menghantarnya semalam. Lelaki itu hampir mencium pipinya tetapi cepat saja ditahan. Entah mengapa dia tidak marah tetapi rasa bangga kerana ada orang yang tergila-gilakannya.
            “Betul kata Meena. Lama-lama iman akan goyang juga. Hmmm.. kalau Zamani sukakan aku kenapa baru beberapa kali jumpa dia dah nak kiss aku?” Bisik Clarissa perlahan. “ Kata Ustazah Asma, lelaki yang baik akan menjaga maruah wanita yang disukainya.” Sambung Clarissa lagi.
            “Hei Rissa. Kau cakap dengan sapa ni?” Sergah Ameena. Clarissa melompat terkejut.
            “Kus semangat kau ni. Nasib baik jantung aku tak gugur.” Muka Clarissa masam mencuka. Diusap dadanya lembut.
            “Kalau kau dah start bercakap sorang-sorang ni aku risau.”
            “Meena, Aron dulu ada tak ambil kesempatan nak kiss kau?” Soal Clarissa sambil membetulkan silanya.
            “Kenapa kau tanya macam ni?” Ameena sudah duduk di sebelah Clarissa. Dia berminat untuk tahu.
            “Semalam, sebelum aku keluar kereta Zamani hampir-hampir nak kiss aku. Nasib baik aku sempat elak.”
            “Aku dah madah ngan kau duluk lelaki macam ya sik boleh dipercayak, baruk bejumpa dah mauk kesempatan. Ko ya satu intingal.” Bebel Ameena dalam bahasa Sarawaknya.
            “Apa kau merepek ni. Kalau marah aje mulalah bahasa Sarawak kau tu keluar. Kalau aku faham tak apalah. Ni aku tak faham.Bila aku tak dengar nasihat kau, kau marah pulak kat aku.” Clarissa membuat bebelan balas.
            “Rissa, dia dah lama tinggal overseas. Pada dia semua ni perkara biasa. Kalau dia serius dengan kau tak apa, kalau dia main-main saja macammana? Dia kerja di U.K. Cinta jarak jauh susah nak berjaya.”
            Kata-kata Ameena itu diakui ada benarnya juga. Clarissa menghadiahkan satu senyuman kepada Ameena. “Kau jangan risaulah. Aku tahu jaga diri aku.”Sebenarnya Clarissa keliru dengan hatinya sendiri. Dia mula menyukai Zamani tetapi kenapa rasa sangsinya melebihi rasa sukanya?




No comments:

Post a Comment