Wednesday, May 22, 2013

Bila Darjatku Diangkat 9


BAB 9

            Marcella menangis melihat wajahnya di cermin yang diberikan oleh Nazif. Dia hampir pengsan melihat wajahnya sendiri. Jika dia sebagai si pemilik wajah pun tidak dapat menerima rupa fizikalnya, bagaimanakah penerimaan Aira nanti? Pasti Aira tidak mahu mendekatinya.
            “Sudahlah tu sayang. Pada abang, Cella tetap isteri abang yang paling cantik.” Tubuh Marcella didakap erat.
            “Macammana kalau Aira tengok Cella. Mesti dia takut. Rambut Cella tak ada.” Rintih Marcella sayu.
            “Sepatutnya sayang gembiralah sebab petang ni dah boleh keluar. Dah boleh jumpa Aira. Cella jangan risau ye. Kami semua sayangkan Cella.”
            “Tapi Cella....”
            “Sayang tunggu sini. Abang keluar sekejap saja.” Tanpa sempat Mercella bertanya lanjut, Nazif terus meninggalkannya. Marcella mengeluh. Ditatapnya semula wajahnya. Sambil itu ingatannya kembali kepada peristiwa tujuh tahun lepas. Dia telah menjumpai satu benjolan di payudara kanannya. Benjolan itu amat kecil sekali tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan sakit. Tidak dikhabarkan tentang benjolan itu kepada Nazif. Dia hanya mengkhabarkan kepada rakan sekerjanya sahaja iaitu Khalida. Walau didesak untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh Khalida, Marcella tidak berjumpa dengan doktor. Dia takut untuk membuat pemeriksaan kerana takut untuk menerima sebarang berita yang tidak menyenangkan.
            Akhirnya kegusarannya hilang setelah dia melahirkan Aira. Kesibukan membesarkan Aira membuatkan Marcella leka dan melupakan benjolan yang ada. Keletihan yang melanda Marcella tidak diendahkan kerana dia fikir dia letih bekerja dan dalam masa yang sama membesarkan anak yang masih kecil. Demam yang semakin kerap menyerang juga tidak diendahkan kerana doktor juga tidak mengesyaki apa-apa. Hanya memberinya ubat demam dan cuti sakit supaya berehat. Kemuncak kepada kemerosotan kesihatannya ialah apabila dia jatuh pengsan di pejabat. Rakan sekerja menghantarnya ke hospital dan setelah melakukan beberapa sesi ujian, akhirnya Marcella disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga.
            Dunianya gelap gelita saat menerima berita itu. Penyesalan  mula datang apabila doktor mengatakan jika dia mendapatkan rawatan awal, pasti kansernya boleh dikawal. Tetapi nasi sudah menjadi bubur, tiada apa yang boleh ditangiskan lagi. Atas semangat yang diberikan oleh seluruh ahli keluarga, Marcella bersetuju untuk melakukan pembedahan dan seterusnya menjalani rawatan kimoterapi. Dan sekarang, dia di sini sedang memerhatikan wajahnya kesan daripada rawatan yang diambil. Air matanya meleleh laju.
            “Kenapa aku yang kau pilih Ya Allah. Kenapa kau tak duga saja aku dengan masalah kewangan, masalah percintaan, masalah susah mendapatkan anak ataupun masalah rumahtangga. Kenapa perlu aku diduga dengan cara ini?” Tangis Marcella kuat.
            “Sebab Cella kuat dan mampu menanganinya. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada sayang. Kalau Cella diduga dengan cara yang lain, mungkin waktu ini Cella merintih pula minta diambil nyawa.”
            “Abang!” Terkejut Marcella melihat Nazif. Suaminya kembali dengan perubahan yang amat mengejutkan. Tiada sehelai rambut pun yang menutupi kepala Nazif.
            “Sekarang kita sama-sama seri. Aira pasti takkan terkejut tengok Cella.” Kata Nazif. Dulu dia ada membaca di dalam majalah tentang pengorbanan seorang suami pesakit kanser yang sanggup membotakkan kepalanya demi untuk memberi keselesaan kepada isteri yang menghidap kanser dan itu yang dilakukan oleh Nazif. Dia melakukan pengorbanan yang sama.
            “Terima kasih abang.” Peluk Marcella. Air mata merembes keluar dengan laju. Dia menyesali keterlanjuran diri. Betapa bertuahnya dia mendapat suami sebaik Nazif. Berjuang bersama-sama dengannya demi kerana cinta.
            “Kita berjanji untuk bersatu dan abang akan tunaikan janji abang. Walau dalam apa keadaan pun, susah, senang, suka dan duka kita akan sentiasa bersatu.”
            “Cella aje yang tak bersyukur dengan apa yang Cella ada.”
            “Abang tahu Cella tak maksudkan apa yang Cella cakap. Percayalah sayang, jika kita redha dengan apa yang berlaku, Allah akan memberi nikmat berkali ganda. Sudahlah. Sekejap lagi bila nurse dah hantarkan ubat, Cella dah boleh balik tau.” Marcella angguk. Tidak sabar dia menunggu saat itu. Saat yang diidamkan sekian lama.


            “YEAY... YEAY... Mama dah balik.” Terpa Aira. Dipeluknya tubuh Marcella yang semakin kurus melidi.
            “Apa khabar anak mama?” Sehabis baik Marcella menunjukkan wajah yang sihat kepada Aira. Dia tidak mahu Aira nampak dia sakit.
            “Sihat. Kenapa papa botak?” Soal Aira pelik. Setahunya tadi papanya masih mempunyai rambut sebelum meninggalkannya untuk ke hospital.
“Fesyen baru. Kan ramai artis botak.”
“Papa nak jadi artis pulak.” Terkikih Aira gelak. Marcella juga senyum simpul. “Mama, papa beri tak lukisan Aira?”
            “Beri. Cantik sangat. Nurse pun puji lukisan anak mama ni.”
            “Ada lagi tau yang Aira lukis. Sekejap ya ma.” Aira berlari masuk ke bilik. Marcella memandang wajah Nazif. Dia hampir menangis melihat kegembiraan Aira.
            “Duduk sana sayang.” Pimpin Nazif. Setelah Marcella duduk di sofa, Nazif ke bilik air. Puan Fatimah menggosok lembut tangan Marcella. Pucat benar dia melihat wajah menantunya yang amat baik itu.
            “Mak gembira sangat tengok Cella dah sihat.”
            “Alhamdulillah mak cuma rasa tak selesa tu ada. Susah Cella nak explain.”
            “Mak faham. Cella sabar. Allah sentiasa menolong orang yang sabar. Hari ni Cella nak makan apa? Biar mak masak. Mak ada masak sup sayur dan sup ikan merah. Tak pasti pula kalau Cella boleh makan ataupun tidak.”
            “Diet Cella Nazif yang lebih tahu. Cella tak tahulah mak nak makan apa. Tekak ni tak ada seleralah.” Tangan Marcella perlahan membuka tudung yang menutupi kepalanya. Walaupun agak terkejut melihat Marcella, Puan Fatimah tidak memberikan sebarang reaksi kerana dia telah terlebih dahulu mendengarnya melalui Nazif dan Nana akan keguguran rambut yang Marcella alami.
            Aira berlari datang sambil membawakan beberapa helai kertas yang telah dilukisnya. Hatinya teruja untuk menunjukkan kepada Marcella hasil tangannya. Sebaik Aira memandang wajah Marcella, serta-merta langkahnya terhenti. Kertas di tangannya terjatuh ke lantai. Wajahnya pucat lesi.
            “Kenapa ni Aira?” Soal Nazif yang baru keluar dari bilik air. Tubuh Aira yang menggigil dipegangnya.
            “Ma... ma... ma...” Terketar-ketar Aira cuba bersuara. Dia amat terkejut melihat Marcella tanpa tudung. Rambut Marcella yang dulunya sangat cantik sudah tiada lagi.
            “Aira sayang. Mari nak.” Rayu Marcella. Air matanya sudah bergenang di kelopak mata. Dia sudah menjangkakan reaksi Aira. Aira masih kaku. Bergerak tidak, bersuara pun tidak. Nazif meraih tangan Aira. Dipimpin anaknya sehingga dekat dengan Marcella. Nazif duduk di sebelah Marcella dan Aira menghadap mereka.
            “Pegang mama sayang.” Arah Nazif.
            “Tak nak. Mama buruk macam hantu.” Jerit Aira lalu dia melarikan diri ke bawah meja makan dan menyorok di situ. Air matanya merembes keluar. Sebulan lebih dia menunggu kepulangan mamanya dan tidak disangka mamanya pulang dalam keadaan begitu.
            “Aira.” Rintih Marcella. Puan Fatimah turut menangis kerana dia juga dapat merasai penderitaan Marcella. Betapa hancurnya hati jika anak yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari takut melihat ibu kandung sendiri.
            “Papa tipu, papa kata mama dah sihat.” Jerit Aira sekuat hati.
            Nazif ke meja makan. Dia duduk bersila di atas lantai. “Sayang anak papa, janganlah macam ni. Papa pun tak ada rambut kan.”
            “Papa lelaki.”
            “Mana ada macam tu. Lelaki atau perempuan dua-dua boleh botak.”
            “Tak nak. Aira takut.” Tangis Aira.
            “Sebab tulah papa botak. Papa nak sama macam mama. Kan kita satu keluarga. Senang sama-sama, susah sama-sama. Aira fahamkan maksud papa?”  Pujuk Nazif lagi.
            “Aira tak nak botak, nanti kawan-kawan ejek.”
            “Aira tak perlu botak. Cukuplah kalau Aira tak takut tengok mama, tak ejek mama.”
            “Aira tak ejek mama cuma... cuma...” Nazif senyum. Bijak anaknya menjawab soalan. Dia tahu Aira anak yang baik.
            “Aira tak kasihan ke pada mama. Kat hospital mama sentiasa cakap rindu pada Aira. Mama makan ubat sebab nak cepat-cepat pulang jumpa dengan Aira. Ni mama dah balik tapi Aira pula tak suka tengok mama.”
            Nazif memegang tangan Aira. Ditariknya anak kecil itu supaya keluar dari bawah meja. Dipeluknya dan ditepuknya belakang Aira lembut.
            “Mari dapat mama sayang.” Marcella mendepangkan tangannya. Dia mahu memeluk Aira.
“Jom kita pergi dapat mama ya sayang.” Pujuk Nazif. Aira geleng. “Sekejap saja ya. Aira cuba. Papa ada teman Aira.” Diangkatnya tubuh Aira lalu dibawanya kepada Marcella.
“Anak mama. Mama minta maaf sebab buat Aira takut.”
Hati Nazif tersentuh. Airmatanya keluar saat mendengar permohonan maaf Marcella. “Pegang mama sayang.” Pujuknya. Dengan takut-takut Aira mendekati Marcella. Dipeluknya tubuh Marcella perlahan dan Marcella mendakap erat tubuh Aira. Tiba-tiba Aira menangis teresak-esak.
            “Kenapa ni sayang?” Soal Marcella panik. Takut juga dia jika dia telah membuatkan anaknya takut sehingga menangis begitu.
            “Bau mama sama.”
 “Aira anak mama.”
“Pelukan mama sama. Aira ingatkan tak sama.” Sambung Aira lagi.
Marcella menangis. Puan Fatimah juga begitu.Ayat yang keluar dari mulut Aira itu membayangkan yang Aira baru tersedar bahawa Marcella masih ibunya yang dulu, yang berbeza cuma fizikalnya sahaja.

*** Semoga bab 9 ini mampu membuatkan anda terhibur. Siapa Nazif? Cella? Apakah kaitannya mereka-mereka ini dengan Anugerah dan Clarissa? Nantikan bab seterusnya ya. 


Friday, May 10, 2013

BILA DARJATKU DIANGKAT BAB 8


BAB 8
 
            Seperti biasa, malam itu Clarissa bersiap untuk mencucuk bintang lagi bersama-sama dengan Kat. Emma tidak dapat turut serta kerana pulang ke kampungnya di Johor Bahru. Setelah bersolek nipis, dia keluar lalu duduk di ruang tamu. Saat Ameena melihat dirinya, satu jelingan dihadiahkan oleh sahabatnya itu.
            “Berdosa tau jeling orang tak tentu pasal.” Selamba sahaja Clarissa menegur.
            “Berdosa juga pakai baju tak cukup kain macam tu.” Balas Ameena juga selamba. Dia tidak berkenan melihat Clarissa hanya memakai baju tanpa lengan dan skirt pendek sahaja.
            “Fesyen. Bukannya tak cukup kain.”
“Apa nak jadilah dengan kau ni Rissa. Nama dah cantik. Imani. Sepatutnya berimanlah. Ini tidak, baju dedah sana dedah sini.” Kepala digelengkan. Ameena sudah kehilangan kata-kata untuk menasihati sahabatnya itu.
“Baju aje seksi tapi aku solat tau.”
“Itu yang aku tak faham, sepatutnya solat mencegah kau daripada melakukan perkara yang dilarang. Ini tidak.”
“Tak baik kau meragui amal ibadat aku Meena.” Mata Clarissa dijegilkan sedikit tanda dia mengambil hati dengan kata-kata Ameena.
“Kau tak kasihan pada mama ke? Kalau mama tahu hancur hatinya. Kalau balik ke kampung tu aku tengok pijak semut pun tak mati.”
“Kau tak payahlah nak buat aku serba salah. Nama mama tak usahlah disebut. Aku janji, bila aku dah jumpa Mr Right aku nanti, aku akan tinggalkan semua ni.” Wajah Ameena bercahaya. Otaknya terus mendapat idea.
“Betul apa yang kau cakap ni?” Dia meminta kepastian.
“Betullah.”
“Sumpah?”
“Eh! Nak bersumpah-sumpah pulak.”
“Sumpah?”
“Sumpah.” Terpaksa juga Clarissa bersumpah. Jika tidak sampai ke besok pun Ameena tidak akan melepaskannya keluar rumah.
“Kalau kau langgar sumpah?”
“Kau ni kenapa Meena. Dah sumpah tu sudahlah.” Naik rimas pula Clarissa melihat perangai Ameena itu.
“Cepatlah. Kalau kau langgar sumpah?”
“Kalau aku langgar sumpah hidup aku asyik kena bala saja 24 jam. Dah... puas hati?” Ameena angguk. Senyumnya meleret. Satu rancangan baik sudah berada di dalam otaknya.





         “ABANG ANUGERAH tu dah kahwin ke auntie?” Soal Ameena pagi itu sewaktu dia menghantar kuih apam eno ke rumah Puan Suci Harum. Walaupun dia tahu tidak manis untuk dia bertanyakan soalan tanpa berselindung begitu tetapi dia terpaksa demi menjayakan rancangannya.
Puan  Suci Harum senyum simpul. Dituangnya air kopi ke dalam cawan. Diambilnya bihun goreng yang dimasaknya tadi lalu diletakkan ke dalam pinggan dan disuakan kepada Ameena. “Jemput makan Meena.”
“Terima kasih auntie.” Ameena senang hati dengan pelawaan itu. Pak cik Hafsham keluar ke pasar bersama-sama dengan Anugerah dan Sutra Ashikin. Hafshah pula outstation ke Seremban. Hanya dia dan Puan Suci Harum sahaja di rumah itu. Jadi, tidaklah segan sangat dia.
“Kenapa kamu tanya?”
“Tak adalah auntie. Meena tengok Sutra Ashikin tu panggil Abang Anugerah daddy. Tu yang Meena tanya. Auntie jangan kata Meena busybody pulak.”
“Tak adalah auntie nak cakap macam tu. Auntie kenal Meena. Sebenarnya Sutra Ashikin tu anak Anugerah. Dia kahwin di Australia tanpa pengetahuan auntie. Isterinya dah meninggal dunia waktu Sutra Ashikin berumur dua tahun. Sebab tu Anugerah tak balik sini kerana takut rahsia dia kahwin senyap-senyap terbongkar. Mungkin sekarang dah sampai masanya Anugerah balik. Jadi dia dah tak kisah pun kalau rahsia dia terbongkar.” Terkejut Ameena mendengar cerita Puan Suci Harum. Wanita tua itu tampak tenang saja.
“Minta maaflah auntie. Meena tak maksud nak...”
“Bertahun auntie berdoa agar Anugerah terbuka hati untuk balik ke Malaysia. Alhamdulillah, doa auntie dimakbulkan. Sudahlah Tabah tinggalkan kami, bila Anugerah pun begitu auntie rasa sangat kecewa. Auntie sendiri tak sangka yang Anugerah tak balik ke sini sebab takut auntie tak boleh terima anaknya sedangkan tidak. Takkan auntie tak terima darah daging auntie sendiri. Lagi pun diaorang berkahwin secara sah, bukannya ada anak luar nikah.” Kali ini ada air-air jernih yang mengalir di pipi Puan Suci Harum. Ameena rasa bersalah.
“Auntie, Meena minta maaf.” Hanya itu yang mampu diucapkan olehnya.
“Tak apa Meena, menyimpan rahsia ni pun satu tekanan buat auntie. Dapat melepaskannya pada orang lain, auntie rasa lega. Erk... boleh auntie tahu kenapa Meena tanya soalan tadi? Auntie dah kenal Meena lama. Mesti ada sesuatu kan... ”Pandai sungguh Puan Suci Harum meneka walaupun sebelum ini sudah diberitahu oleh Ameena sebab musababnya.
“Sebenarnya.. er.. sebenarnya.....”
“Lain macam saja bunyinya ni. Cepat cakap. Sekejap lagi diaorang balik. Tak lena tidur auntie kalau tak tahu apa sebabnya.”
“Sebenarnya Meena nak kenen-kenenkan Abang Anugerah tu dengan Rissa.” Terkeluar juga akhirnya apa yang tersekat di kerongkong Ameena. Puan Suci Harum terkejut.
“Rissa tak ada boyfriend?”
“Setahu Meena yang speacial tak ada. Meena tahu Rissa nampak liar, moden tapi dia sangat baik hati. Solat dan puasanya juga dijaga. Meena tak mahu dia tersasar jauh jadi Meena nak cari lelaki yang baik untuk membimbing Rissa.” Terus sahaja Ameena memberikan alasan yang dirasakannya agak bernas.
“Auntie tak pernah pun pandang Rissa tu jahat. Biasalah, budak baru nak kenal dunia.”
“Jadi auntie setuju tak?” Cepat sahaja Ameena mencelah.
“Kalau nak cuba bolehlah. Setakat ni yang auntie tahu Anugerah tu tak ada sesiapa. Auntie ada juga tanya-tanyakan Sutra Ashikin tapi Sutra Ashikin kata daddynya tak ada girlfriend.”
“Betul ke ni auntie?” Ameena sudah senyum 360 darjah. Kalau maknya sudah setuju senanglah dia untuk menjalankan rancangannya.
“Cubalah. Mana tahu menjadi.” Puan Suci Harum ketawa. Begitu juga Ameena. Tidak sia-sia Ameena bertanya. Lampu hijau sudah diberi. Nampak gayanya ada misi yang perlu diselesaikan. Jaga kau Clarissa Imani.


“SEDAPNYA bihun goreng ni. Sebijik macam bihun goreng mama aku kat kampung.” Mulut Clarissa laju mengunyah bihun depan mata. Ameena senyum melihat telatah Clarissa yang padanya sangat lucu.
“Bukan aku yang masak. Kalau aku masak pun tak adanya nak rasa macam tu.” Balas Ameena.
“Patutlah sedap, auntie masak ek. Tadi aku nak cakap tapi takut kau kecik hati. Aku memang tak percaya kau masak bihun sedap macam ni.”
“Bukan auntie yang masaklah.”
“Kalau bukan auntie mesti uncle Hafsham. Hari tu kita pernah makan kari daging dia kan.. sedap banget.”
“Bukan...”
“Habis tu siapa?” Kening Clarissa terangkat. Pipinya kembung dek penuh dengan bihun yang belum dikunyah.
“Abang Anugerah.” Mata Clarissa buntang. Nasib baik bihun di dalam mulut tidak tersekat di kerongkongnya.  Kalau tidak alamat ke unit kecemasanlah jawabnya.
“Serius!”
“Seriuslah. Takkan aku nak tipu pulak. Abang Anugerah tu dahlah sopan santun, handsome, kerja bagus, solat tak tinggal, pandai pulak masak. Hmm.... memang suami untuk akhirat betul.” Puji Ameena melambung. Macamlah dia tahu semuanya tentang Anugerah. Baru bertegur sapa dua, tiga kali dah puji tak ingat.
“Yelah tu. Yang jadi tanggang tak ingat mak bapak tu kenapa? Lima tahun tak balik babe. Lima tahun.”
“Sebab dia takut auntie marahkan dia. Dia kahwin di Australia tanpa pengetahuan auntie. Sewaktu umur Sutra Ashikin dua tahun, wife dia meninggal. Dia dah cukup menerima balasannya, Rissa. Dont judge him okey.”
Sekali lagi Clarissa terkejut. Tidak disangkanya Anugerah berkahwin tanpa pengetahuan dan restu Puan  Suci Harum. Hatinya semakin tertarik untuk mengenali lelaki itu. Sejak pertemuan mereka di Kolej Universiti Utama sebelum ini, dia terasa seperti menyukai Anugerah tetapi disimpannya saja perasaannya itu.
“Kasihannya. Agaknya dia tak balik bukan saja sebab takut ibu dia tapi sebab kecewalah, mahunya tak gila bila orang yang dicintai meninggalkan kita untuk selama-lamanya.” Clarissa menopang dagu. Ameena melihat sahaja tingkah laku sahabatnya itu. Ini sudah bagus. Clarissa sudah bersimpati. Selalunya simpati pasti akan turun ke hati.
“Eh, kejap lagi aku nak keluar dengan Aron. Kau nak ikut tak?” Ameena mengubah topik perbualan. Tak boleh lama-lama bercerita pasal Anugerah, takut nanti Clarissa syak pula.
“Tak naklah, kau bersayang-sayang, aku duk dengar saja. Gelilah.” Badan digoyangkan tanda geli.
“Biasalah,orang tengah bahagia. Kau tu carilah sorang.” Ameena bangun dengan muka yang angkuh. Harap-harap Clarissa cemburulah. Bila cemburu pasti sahabatnya itu akan bersungguh-sungguh mencari calon suami.
Sepeninggalan Ameena, Clarissa termenung panjang. Ingatannya mula melayang kepada peristiwa semalam.
“Rissa... kenalkan, ni cousin aku baru balik dari U.K.” Kat memperkenalkan Clarissa kepada seorang lelaki yang memakai jaket hitam.
“Zamani.” Tangan dihulurkan sebagai tanda perkenalan. Clarissa malu-malu kucing.
“Rissa.” Jawabnya perlahan. Bunyi muzik yang bingit itu tidak memungkinkan Zamani mendengar suara Clarissa. Didekatkan telinganya ke bibir Clarissa untuk mendengar apa yang diperkatakan.
“Come again.”
“Rissa.” Jawab Clarissa tersipu-sipu. Hampir sahaja bibirnya mengenai pipi Zamani.
“Oh....” Zamani angguk. Mereka duduk di sofa berdekatan. Mata Zamani tidak berkelip memandang ke arah Clarissa. Cantik wanita dihadapannya ini. Dari kesamaran cahaya dia tahu wanita dihadapannya ini putih gebu orangnya. Geram dia melihat peha Clarissa yang terdedah itu. Mahu saja diterkamnya. Jika Clarissa bukan kawan kepada sepupunya, sudah pasti malam ini dia akan membawa wanita itu pulang ke rumah. Tak apa Zamani, yang ini kena slow-slow... biar dia yang menyerah.
“Lama duduk U.K?” Soal Clarissa sewaktu Kat pergi menari.
“Lepas berlajar I terus kerja sana.”
“Habis tu sekarang ni balik bercutilah?”
“Nope. I balik untuk cari calon isteri.” Mata dikenyitkan. Zamani lihat Clarissa tersipu-sipu malu.
“Kat U.K tak ada minah salih cun-cun ke?”
“Cun ramai tapi semuanya dah barai.” Selamba saja Zamani menjawab. Clarissa menutup mulutnya. Gila mamat U.K ni, cakap straight to the point saja. “Why?”
“Tak ada apalah.”
“I nak cari gadis melayu yang jinak-jinak merpati. Dilihat cantik dan seksi tapi bila didekat lari dan terbang tinggi.” Dalam sungguh maksud dan kata-kata Zamani itu. Aku seksi ke? Dia cuba menurunkan skirtnya yang memang tidak boleh lagi dilabuhkan itu.
“Babe.. kenapa duduk sini ajer. Kalau nak duduk diam baik pergi masjid.” Datang Kat mencelah. Kat duduk bersebelahan dengan Zamani sambil tubuhnya masih lagi tidak berhenti bergoyang.
“I nak kenal kawan you ni tak boleh ke? Tak kasi chance langsung.”
“Bukan tak boleh tapi macam peliklah. You duduk diam macam ni? Minum pun tak? You dah taubat ke macam cousin kita lagi sorang tu,si Kamal.”
“Mulut you ni memang siallah.” Zamani menunjal pipi Kat. Clarissa ketawa geli hati melihat telatah dua saudara itu.
“Woi... berangan.” Bahu Clarissa ditepuk oleh Ameena. Clarissa tersentak. Dijelingnya Ameena yang sudah cantik bersolek.
“Mana ada berangan. Aku nak rehat kejap pun tak kasi chance.” Marah Clarissa. Bibirnya dijuihkan.
“Ke kau tengah fikirkan pasal Anugerah?” Ameena ketawa nakal.
“Cittt... mana ada aku ingat dia. Meena....”
“Hmmmm.”
“Aku teringatkan sorang mamat ni yang aku baru kenal kat kelab. Zamani, tinggal kat  U.K, sepupu Kat.”Ameena tersentak. Ish... macam mana boleh timbul hero baru ni. Masa nilah pulak nak datang masuk dalam scene yang baru aje diarah.
“Mamat mana pulak?”
“Aku baru saja kenal dia. Not bad. Dia balik sini sebab nak cari calon isteri tau. Umurnya dah 38 tahun.”
“Kau suka ke mamat tu. Sapa tadi? Zamani?”
“Okeylah. Nak kata suka sangat tu belum lagilah tapi aku seronok berbual dengan dia.” Ameena memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia menyumpah-nyumpah di dalam hati. Asal nak buat drama saja mesti datang hero jahat.
“Lelaki yang jumpa kat kelab juga yang kau suka? Carilah lelaki yang selalu pergi masjid, surau, tak pun yang selalu pergi supermarket pun okeylah.”
“Pergi kelab tak semestinya jahat kan? Macam aku. Aku tak minum, tak ambil dadah, tak jual body, tak.....”
“Rissa, aku tak kata semua manusia yang pergi ke kelab tu jahat tetapi kita ni tak kuat. Alim ulamak pun boleh buat silap, lagilah orang macam kita ni. Mungkin sekarang kau tak terpedaya dengan hasutan syaitan tapi mana tahu akan datang. Kalau kita bercampur dengan golongan begitu, takut lambat laun kita akan terikut-ikut.” Panjang lebar Ameena bersyarah. “Aku terus terang dengan kau Rissa, aku dengan Aron pun kadang-kadang hampir tergelincir sedangkan kami tak de pun berdua-duaan di tempat sunyi, bayangkan kalau aku dan Aron berada di tempat macam kau selalu pergi tu, agaknya sekarang ni dah memboyot perut aku. Kau faham kan maksud aku?”
“Faham.Kau jangan risaulah. Aku tahu jaga diri. Kalau aku rasa aku tak kuat nanti, aku akan tinggalkan semua ni.” Yakini Clarissa tetapi jauh di sudut hatinya dia akui apa yang diperkatakan oleh Ameena. Kadang-kadang dia hampir lena di dalam pelukan lelaki yang memuji kecantikannya tetapi nasib baiklah dia masih lagi dapat menepis setiap dugaan yang datang.




*** Cepat pula kan bab 8 muncul, harap tak menghampakan yek... di dalam KU perkataan ' chance' editor saya gantikan dengan 'can'... tapi dalam BDD ni versi Liz Haliza yang belum diedit, saya masih kekalkan perkataan chance. 

LH

Wednesday, May 8, 2013

BILA DARJATKU DIANGKAT BAB 6 DAN 7


BAB 6


“Hai.” Sapa Anugerah. Clarissa berhenti berlari. Dia melemparkan senyumannya kepada lelaki itu.
“Hai Abang Anu.”
“Tak kerja?”
“Kerja. Hari ni Rissa balik macam biasa. Tak ambil OT.”
“Mana kawan yang sorang lagi tu?”
“Ameena?”
“Yelah kut. Abang bukannya tahu nama dia.”
“Dia balik lewat.Banyak kerja di office.” Clarissa berjalan perlahan. Banyak tanya pula mamat sekor ni. Tak jawab karang dikatakan sombong pula. Dilayan alamat tak boleh nak berjogginglah jawabnya.
“Dah lama Rissa duduk di rumah tu? Dulu abang tak pernah nampak pun?”
“Macammana nak nampak kalau tak pernah nak jenguk mak bapak.” Cabul saja bibir Clarissa meluncurkan ayat itu. Dia terpana. Alamak, kenapalah mulutnya celupar sangat.
Anugerah senyum kelat. Gadis di depannya ini boleh tahan juga celuparnya tetapi dia tidak ambil hati kerana dia akui memang dia bukan anak yang baik. Jika tidak masakan dia sampai hati membiarkan ayah dan ibunya merinduinya selama bertahun-tahun. “Saya tak balik kerana bersebab.”
Pergh... nasib baik dia tak marah. Clarissa menarik nafas kelegaan. “Mesti sebab cintakan?”
“Ermmm.. susah nak explain.”
“Yelah tu. Kalau bukan cinta takkan merajuk sampai begitu sekali. Abang Anu tak payahlah nak susah-susah hati. Kat Malaysia ni ramai perempuan yang baik. Yang boleh mencintai Abang Anu seikhlas hati. Buat apa nak merajuk sampai lari ke overseas. Kat sana tak ada pasar malam, pasar tani, pasar ramadhan dan macam-macam pasar lagilah. Rugi tau.”
Anugerah senyum. Entah apa-apalah yang dibebelkan oleh minah sorang ni. Tak pasal-pasal menyebut pasal pasar yang ada di Malaysia. Boleh tahan juga becoknya. Kalau jadi isteri ni confirm tak senang duduk asyik kena bebel. “Rissa pernah pergi Australia?”Anugerah mengubah perbualan.
“Tak pernah. Mahal sangatlah nak pergi sana. Lebih baik pergi Indon.”
“Rugi tak pergi sana. Ramai tau orang Malaysia yang menetap di Australia.”
“Nantilah. Tunggu Rissa kumpul duit dulu.” Clarissa senyum. Siapa yang tak mahu pergi melancong tetapi kewangan menjadi kekangan utama. Lagi pun baru dua tahun dia bekerja. Walaupun bekerja di syarikat pelancongan utama di Malaysia tetapi dia hanya berpeluang pergi ke negara-negara Asia Tenggara sahaja kerana tukaran wang mereka tidaklah mahal sangat.
“Orang kata jauh perjalanan luas pandangan.”
            “Betul tu tapi kering poket merana badan.” Anugerah ketawa mendengar jawapan Clarissa. Ada sahaja jawapan minah comel ni.
 “Er kalau Rissa tanya, Abang Anu jangan marah yek?” Soal Clarissa ragu-ragu.
“Lain macam saja bunyinya. Tanyalah.” Jawab Anugerah sambil tersenyum.
“Budak comel aritu anak Abang Anu ke?”
“Haah.” Ringkas sahaja jawapan Anugerah.
“Mommynya mana?” Anugerah terkedu. Dia hilang kata-kata. Otaknya ligat berfikir untuk memberikan jawapan yang sesuai.
“Kalau Abang Anu tak nak beritahu tak apa. Rissa tak kisah.”
“Bukan, susah nak cakap.”
“Abang Anu terlanjur ke?” Terkejut beruk Anugerah mendengar pertanyaan Clarissa. Memang tahap mak nenek mulut budak ni.
“Mintak simpangkan. Tak adalah sampai terlanjur.”
“Ramai orang yang Rissa kenal terlanjur sehingga mengandung tetapi yang Rissa rasa amat marah ialah mereka menggugurkan kandungan mereka. Dahlah dosa berzina, lepas tu buat pulak dosa membunuh. Rissa respect pada orang yang tidak membunuh anak yang terjadi akibat terlanjur. Mereka ini wajar dipuji kerana tidak melakukan pembunuhan. Bukanlah Rissa nak menggalakkan penzinaan dengan kata-kata Rissa ni. Abang Anu fahamkan apa yang Rissa nak sampaikan?”
Dengan wajah yang kelat Anugerah mengangguk. “Abang faham cuma abang nak betulkan persepsi masyarakat di sini, asal seseorang itu mempunyai anak dan tidak tahu siapa pasangannya terus saja dilabel mempunyai anak luar nikah. Tak baik begitu. Setiap orang ada kisah yang tersendiri.”
Kali ini giliran Clarissa pula terpana. “Kalau kata-kata Rissa tadi buat Abang Anu kecil hati Rissa nak minta maaf.”
“Its okey.”
“Tak okey. Muka Abang Anu tu nampak sangat berubah.”
“Tak berubahlah cuma terkejut sikit dengar pertanyaan Rissa. Kalah mulut aruah atuk dan nenek abang tau.”
“ Maaflah, Rissa memang macam ni. Cakap terus-terang sebab Rissa tak suka bercakap di belakang orang tu.”
“Kalau abang minta sesuatu Rissa boleh tolong tunaikan tak?” Clarissa pelik. Aik, baru dua, tiga kali jumpa dah nak minta tolong dah. Kalau dia minta benda yang tak patut ditunaikan macammana? Bukan boleh caya kalau dah duduk overseas lama-lama ni.
“Tak bolehlah terus setuju, kena tahu dululah Abang Anu nak apa.”
“Abang cuma nak minta sangat supaya Rissa jangan panggil abang dengan nama Abang ‘Anu’. Tak syok nak dengarlah.”
“Dah nama Anugerah, panjang nak sebut jadi Rissa pendekkan jadi Anu.”
“Tapi abang dengar macam lucahlah pulak. Macam anu...”
“Anu apa?” Soal Clarissa tidak dapat menangkap maksud kata-kata Anugerah.
“Alah... anu tu. Yang gitu-gitu.”
“Gitu-gitu apa?”
“Yang gitu-gitu. Erk yang dalam seluar tu.”
“Cehh...” Tempelak Clarissa dan tidak semena-mena selepas itu dia ketawa terbahak-bahak. Setelah tawanya reda dia menyoal. “ Habis tu nak panggil apa?”
“ Panggil abang ajelah kalau panjang sangat nak sebut Anugerah.”
“Okey.”
Mereka berbual-bual sehinggalah sampai di rumah. Ternyata baik Anugerah mahupun Clarissa, perbualan antara mereka ini telah menimbulkan perasaan aneh yang sukar untuk ditafsirkan.


BAB 7

Malam itu Clarissa dan Ameena bersembang-sembang sambil duduk di taman mini di hadapan rumah mereka. Taman mini itu telah dibuat oleh pemilik asal rumah sewa mereka. Walau pun kecil tetapi mereka seronok bersembang di situ sambil memerhatikan orang yang lalu lalang. Deruan enjin motosikal membuatkan mereka terdiam sebentar. Mata kedua-duanya terpaku kepada Anugerah yang baru saja pulang dari surau.
“Tengoklah abang Anugerah tu. Setiap hari pergi surau. Sejuk mata aku memandang.” Puji Ameena sambil matanya masih lagi memerhatikan kelibat Anugerah yang sedang menutup pagar rumah.
“Susah nak jumpa lelaki zaman sekarang lagi-lagi yang dah bertahun duduk overseas pergi ke surau.” Clarissa pula memuji.
“Apa lagi Rissa, kau tacklelah. Kau kan nak cari suami untuk akhirat. Manalah tahu Anugerah ada ciri-ciri yang kau nak tu.”
“Poyolah kau. Suami orang tu. Anak pun dah besar.”
“Tapi mana isterinya?” Wajah Ameena sudah berkerut.
“Aku ada tanya hari tu tapi dia tak jawab.”
“Dahsyatnya kau.” Mata Ameena membulat. Terkagum sekejap dia mendengar pengakuan yang dibuat oleh Clarissa.
“Yelah, aku peliklah dah sebulan lebih dia duduk sini tapi bayang isterinya pun tak nampak.”
“Entah-entah single father kut?” Ameena serkap jarang.
“Kalau single father kenapa dia tak jawab. Ini mesti ada sesuatu. Kau siasatlah Meena. Kau kan menantu tak jadi auntie.”
Eiii... kau jangan cakap lagi macam tu. Aku dengan Hafshah tu tak ada apa-apa hubunganlah lagi pun dia budak lagilah. Kau aje yang memandai.”
“Alah beza tiga tahun saja. Sekarang trendlah perempuan lebih tua kahwin dengan lelaki lebih muda.”Clarissa gelak kecil.
“Habis tu abang Aron aku tu nak letak mana?”
“Letak tepilah.” Jawab Clarissa selamba.
“Kau ni memang sewellah. Jom masuk. Aku dah ngantuk.”
Clarissa gelak lagi. Dia suka melihat muncung Ameena yang panjang sedepa setiap kali dia mengusik. Sahabatnya itu memang sangat comel.


            “CLARISSA...” Melly mendekati Clarissa yang sedang asyik menaip sesuatu di komputer.
“Ya Puan Melly.” Jawab Rissa seraya bangun.
“Boleh awak gantikan saya ke Kolej Universiti Utama? Sepatutnya saya perlu ke sana berjumpa dengan marketing manager untuk bagi cenderamata ni sebagai tanda terima kasih saya atas kerjasama yang terjalin dengan kolej tu selama ini. Dah dua minggu saya tangguh. Nampak gayanya hari ni pun saya tak dapat juga pergi. Awak gantikan saya.” Hati Clarissa bangga. Wah, dia dipilih untuk mewakili bossnya. Dengan cepat Clarissa angguk. Peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan.
“Boleh Puan Melly. Siapa yang saya perlu jumpa?”
“Puan Azura. Marketing manager kat sana.” Satu envelope bersaiz A4 diserahkan kepada Clarissa. Entah apa isinya Clarissa tidak tahu kerana envelope putih itu sudah pun digam.
“Okey boss.”
“Saya keluar dulu. Ada meeting di Putrajaya.” Clarissa angguk lagi. Melly berlalu meninggalkan pekerjanya itu. Dia perlu segera mendapatkan Bob yang sudah lama menunggu.
Setelah memberitahu kepada Kat yang dia perlu keluar atas arahan Puan Melly, Clarissa pun memandu ke Kolej Universiti Utama yang terletak di Damansara. Dia tahu kolej itu adalah salah satu kolej swasta yang terkenal di Malaysia. Pelajarnya datang dari pelbagai negara seluruh dunia.
Setelah memakirkan kereta, Clarissa mengatur langkah ke lobi kolej. Dia mendapatkan penyambut tetamu yang ada di situ.
“Boleh saya tolong cik?” Sopan sahaja penyambut tetamu berwajah comel menyambut kedatangan Clarissa.
“I want to see Puan Azura. Saya Rissa dari Asian Travel Agencies. Dia ada?”
“Maafkan saya miss. Puan Azura sudah tidak bekerja di sini lagi.” Clarissa terkejut. Aik, baru tadi bossnya memberitahu tentang pengurus pemasaran bernama Azura.
“Saya nak jumpa marketing manager di sini.”
“Sebentar ya miss.” Penyambut tetamu bernama Rika itu mendail telefon dan bercakap-cakap seketika. Setelah telefon diletakkan, Rika memberi arahan supaya Clarissa naik ke tingkat dua. Arahan dipatuhi. Pintu tertulis ‘Marketing Manager’ terpampang di depan mata. Clarissa mengetuk daun pintu.
“Come in.” Jawab suara di dalam. Dengan sopan Clarissa memulas tombol pintu.
“Abang Anugerah?” Matanya terpaku melihat Anugerah. Biar benar ni.
“Rissa. What are you doing here?” Anugerah juga terkejut besar.
“Actually Rissa nak jumpa Puan Azura marketing manager kat sini tapi.....” Clarissa terdiam.
“Oh....Rissa ke yang datang dari Asian Travel Agencies tu. Actually abang gantikan tempat Puan Azura yang baru dua hari notisnya tamat.”
“Oh....” Clarissa angguk. Dah kerja rupanya mamat ni.
“Rissa datang nak beri ni. Sepatutnya Puan Melly iaitu boss Rissa yang patut jumpa abang. Dia pasti terkejut jika tahu Puan Azura dah resign.” Anugerah senyum lebar. Dia sendiri pun terkejut yang dia bekerja di situ. Dua minggu lepas kawannya Zainal yang menjadi pensyarah di situ memberitahunya yang Kolej Universiti Utama memerlukan seorang pengurus pemasaran, terus saja dia memohon dan tidak sangka mungkin sudah tertulis rezekinya dia mendapat jawatan tersebut. Ibunyalah yang paling gembira sekali menerima berita gembira ini.
“Terima kasih. Rissa tunggu sekejap ya.” Anugerah bangun dan keluar dari bilik. Sepeninggalan Anugerah, Rissa mencuci matanya memerhatikan suasana sekeliling. Bilik itu tampak kemas dan teratur. Ada bingkai gambar kecil terletak di sudut meja. Gambar Sutra Ashikin sedang tersenyum membuatkan Clarissa juga senyum. Hatinya lapang melihat senyuman comel itu.
“Hazel nut cofee.” Dua mug berisi hazel nut kopi diletakkan di atas meja. Aromanya yang harum membuatkan Clarissa tidak sabar-sabar mahu menjamahnya.
“Thanks. Uish... tea lady pun abang ek?” Usik Clarissa.
“Apa nak buat. Company kecik aje. Tak ada tea lady.”
“Mengada. Company kecik konon.” Cebik Clarissa.
“Rissa dah lama ke kerja dengan Asian Travel?”
Kopi dihirup perlahan. Nikmatnya terasa. “Sejak Rissa grad. Dah dua tahun.”
“Susah fresh graduate nak stay kat satu-satu company lebih dari dua tahun. Selalunya mesti lompat kerja untuk cari gaji yang lebih besar.” Puji Anugerah.
“I’ll take it as a compliments. Actually Rissa seronok kerja situ. Environment okey, kawan-kawan best. Boss best. Gaji pun okey. Tak terfikir nak tukar kerja.”
“Untunglah terus dapat company yang sesuai dengan jiwa. Kalau kerja dah stabil lepas ni tunggu naik pelamin ajelah ya?” Clarissa terkedu. Nampaknya Anugerah cuba mencungkil kisah cintanya.
“Naik pelamin?”
“Kenapa?”
“Boyfriend pun tak ada macammana nak naik pelamin.” Gelak Clarissa kedengaran manja.
“Carilah satu. Kalau tak jumpa abang ada. Untung apa.” Sekali lagi Clarissa terkedu. Wajah Anugerah di hadapannya ditenung tajam.
“Untung? Perasan. Macammana abang tahu siapa yang dapat abang untung?”
“Sebab buy one free one.” Clarissa gelak besar. Diikuti oleh Anugerah. Rupanya mamat di hadapannya ini kelakar orangnya. Dia senang berbual-bual dengan lelaki ini. Hampir dua jam baru Clarissa meminta diri. Hatinya riang. Sampai ke malam senyumannya melebar. Clarissa Imani... kenapa dengan kau ni?


*** Untuk yang request BDD, ni dia bab 6 dan 7. Moga terhibur ya :D