Tuesday, January 22, 2013

Suka suki....

Satu lagi hari yang sibuk..... masih lg x pandai nak bahagikan masa sejak skool 2013 start. Sangat kagum dengan penulis2 yang aktif di blog tetapi dalam ms yg sama menjadi ibu dan bekerja. Anda memang supermom.

Kat bawah ni LH nak share suka suki naskhah LH yg terbaru.


CFB....
Hai, nama aku Atifa Binti Ahmad. Orang panggil aku Tipah bam bam sebab dari kecil badan aku tembam. Aku anak tunggal dalam keluarga. Papaku telah meninggal dunia sewaktu aku berusia setahun. Mamalah yang bertungkus lumus membesarkan aku selama ini. Hanya mamalah sahaja yang aku ada dan oleh sebab itulah walaupun usiaku sudah mencecah dua puluh lima tahun tapi sampai sekarang aku masih lagi duduk di bawah ketiak mama di sebuah rumah flat di pinggir Kuala Lumpur.
Aku bekerja menolong mama di gerainya berdekatan dengan rumah flat kami. Bukannya aku tidak ada kelulusan tinggi tapi sampai sekarang belum ada rezeki untuk aku menjawat jawatan yang bersesuaian dengan kelulusanku. Setiap hari rutin hidupku adalah bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk menolong mama memasak sarapan pagi yang akan kami bawa ke gerai. Gerai kami hanya beroperasi dari pukul 6.00 pagi sehingga pukul 11.00 pagi.
Selepas habis waktu bekerja, aktiviti aku seterusnya ialah memerap di dalam bilik ataupun melepak bersama-sama sahabat karibku merangkap jiranku si mulut becok Hasya. Aku mengenali Hasya dari usiaku enam tahun lagi. Kami bersekolah tadika bersama sehinggalah ke tingkatan lima. Selepas itu Hasya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Teknologi Mara Arau, Perlis manakala aku pula di Universiti Teknologi Mara Shah Alam. Nasib Hasya lebih baik kerana sebaik sahaja tamat berlajar, Hasya dilamar bekerja di sebuah syarikat korporat terkemuka di Malaysia. Kata Hasya, inilah tuahnya mempunyai potongan badan 36, 24, 36 dibandingkan dengan aku 38 ,30 ,41.
Suatu hari sedang aku asyik masyuk berangan di dalam bilik, aku dikejutkan oleh seseorang yang sudah tiga hari tidak aku temui.
“Eh mak kau meletop….” Jerit Atifa setelah pinggangnya di cucuk oleh jari runcing Hasya.
“Tipah, kau ni tak ada kerja lain ke? Berangan… berangan… berangan. Kali ini apa pulak yang kau angankan.” Hasya tersengih-sengih memandang wajah Atifa sambil duduk di atas katil.
“Kus semangat. Dah berapa kali aku pesan, jangan sergah aku macam tu, lemah semangat aku tau.” Atifa memarahi Hasya. Campur ni dah lebih seratus kali Hasya menyergah Atifa tiba-tiba begini.
“Alah Tipah, kau tu bila-bila pun terperanjat. Kalau 24 jam asyik nak berangan saja macammana tak terkejut bila orang panggil. Nah, ini untuk kau.” Hasya menghulurkan sehelai kain batik kepada Atifa.
“Kain batik? Kau pergi kursus kat Terengganu kain batik aje kau belikan untuk aku. Belilah kain sutera ke, kain songket ke tak pun keropok lekor. Aku suka tau keropok lekor Terengganu. Sedap.” Kata Atifa sambil bibirnya muncung sedepa. Kain batik yang berada di tangan Hasya diambilnya. Manalah dia tahu memakai kain batik, kalau pakai alamatnya melorotlah.
“Orang dah bagi tu cuba bawa bersyukur. Nak demandlah pulak.Macammana badan tu tak debab kalau mulut tak berhenti sebut pasal makan.” Mulalah Hasya membebel. Wajah Hasya sedikit berubah. Mungkin Hasya kecil hati apabila hadiahnya tidak dihargai.
“Kau ni kalau jumpa aku tak membebel boleh tak. Ngalahkan mama aku pula.” Rungut Atifa lagi.
“Hei Tipah bam bam, memang patut pun kau kena bebel. Dahlah tak hargai barang yang aku beri, lepas tu berangan tak habis-habis.” Hasya menambahkan frekuensi bebelannya. Rindu sangat agaknya tiga hari tak membebelkan Atifa.
“Kau tahu Sya, malam tadi aku mimpi aku selamatkan sorang jejaka yang handsome, aku bawa dia balik ke rumah, aku rawat dia lepas tu kami jatuh cinta. Rupanya dia anak orang kaya. Akhirnya dia….”
“Dia jatuh cinta dengan kau dan korang pun berkahwin kan. Hiduplah kau aman bahagia bersama-sama suami kaya kau tu.” Belum sempat Atifa menghabiskan ceritanya, Hasya terlebih dahulu  memotong.
“Macammana kau tahu? Hebatlah kau ni. Kau memang BFF aku.” Atifa memeluk bahu Hasya. Tak sia-sia berkawan dengan orang macam Hasya. Sentiasa memahami perasaan BFF nya.
“Banyak cantik muka kau. Kalau dah hari-hari cerita benda yang sama, maunya aku tak tahu. Cukup-cukuplah berangan Tipah, daripada berangan lebih baik kau pergi cari kerja kosong kat internet tu, ada faedahnya.” Hasya menasihati sahabatnya itu. Atifa diam seketika. Bukan dia tidak mahu mencari kerja tetapi kegagalan demi kegagalan yang melanda dirinya membuatkan Atifa berputus asa.
“Siapalah nak ambil orang gemuk macam aku ni bekerja. Orang nak cari perempuan ramping macam kau. Result kau tu bukannya bagus sangat, bagus lagi result aku tapi kau yang dulu dapat kerja. Betapa tak adilnya dunia ni.” Bentak Atifa marah. Mahu dia tak marah kerana setiap kali menghadiri sesi temuduga, riak-riak wajah penemuduga pasti amat menyakitkan hatinya, mereka juga lebih bersikap acuh tak acuh.
“Kalau dah tahu macam tu kuruskanlah badan tu sikit. Ini tidak, asyik nak melantak aje, perut kau tu kalau boleh bercakap dah lama dia merayu suruh kau puasa.” Sekali lagi cakap Hasya itu Atifa akui ada kebenarannya tetapi Atifa tak sampai hati jika membiarkan perutnya kelaparan kerana pasti angin gastrik akan datang menyerang. Cewah…alasan.
“Aku dah cuba Hasya, kau pun tahu kan tapi semua usaha aku tak berjaya.” Atifa membela diri. Memang sebelum ini sudah berkali-kali dia berdiet tetapi tetap tidak membuahkan hasil.
“Memanglah kau berdiet, tak makan nasi konon tapi makan kfc, macdonalds, pizza baik tak payah diet.”
“Sudahlah.Malas aku nak bercerita pasal diet. Kau masuk sini tadi mama aku ke yang bukakan pintu? Kau nampak mama aku dah masak ke belum? Aku laparlah.” Atifa menukar topik perbualan.
“Kau ni makan, makan, makan. Kau pergilah tengok sendiri.”
“Aku minta tolong sikit pun nak berkira. Bukannya payah tolonglah jengukkan kejap kat dapur tu. Yang kau ni tak kerja kenapa?” Soal Atifa pelik. Hari inikan hari Jumaat. Kenapalah si mulut kepoh ini tidak pergi ke pejabat.
“Aku cutilah. Aku kan pergi kursus tiga hari, semalam aku sampai rumah pukul 1.00 pagi, boss aku bagi cuti suruh rehat. Petang ni kita keluar nak?” Bulat mata Atifa apabila mendengar pelawaan Hasya. Wah, kalau Hasya yang mengajak keluar maknanya dia akan dapat makan free. He.. he… he.. bolehlah minta Hasya belikan chicken chop, dah lama dah tekak ni teringin. Nak beli sendiri tak mampu, al maklumlah upah yang mamanya beri tu bukannya banyak sangat.
“Boleh.. boleh.. kau belanja aku makan chicken chop eh….”
“Yelah… yelah…. tadi kata dunia ni tak adil sebab orang kurus saja cepat dapat kerja, tapi sebenarnya kau tu yang tak adil dengan diri sendiri. Tak habis-habis nak melantak. Macammana tak gemuk.” Hasya membebel sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.Atifa buat-buat tidak dengar. Lantak kaulah Hasya, yang penting petang ni tekaknya dapat merasai chicken chop yang sudah lama diidam-idamkan. Atifa ketawa puas hati.
“Woiii, sempat lagi kau nak berangan.” Hasya menampar bahu Atifa sehingga Atifa terkejut beruk.  “Aku nak balik mandi, pukul dua kang kau tunggu aku depan rumah.” Arah Hasya.
“Dah pukul 12.00 kau tak tak mandi lagi? Eiii. Muka aje harap cantik tapi busuk.” Atifa menjelirkan lidahnya mengejek tetapi Hasya tidak menghiraukan ejekan itu. Cepat sahaja dia melangkahkan kakinya keluar.
Dengan malas Atifa menapak ke dapur . Perutnya sudah minta diisi. Puan Safira iaitu mama Atifa merenung wajah anak tunggalnya tajam. Atifa menjenguk ke dalam periuk yang sedang tertenggek di atas dapur gas.
“Apa yang terjenguk-jenguk tu Tipah.” Soal Puan Safira sambil tangannya masih lagi lincah memotong sayur kacang.
“Tak masak lagi ke mama. Pah lapar ni.” Atifa mengosok-gosokkan perutnya tanda lapar.
“Amboi… amboi… amboi…. tahu nak makan saja, bukannya reti nak tolong kat dapur. Cubalah rajin sikit tolong mama, sekurang-kurangnya pecah jugalah lemak-lemak kat badan kamu tu Tipah oiii.” Kali ini Puan Safira pula mengambil alih tugas Hasya untuk membebel.
“Alah mama ni, asyik nak membebel saja. Kalau makan lambat nanti Tipah gastrik tau. Mama tak kesian ke bila anak kesayangan mama ni sakit.”
“Gastrik pebendanya. Tak sempat angin nak masuk dalam perut kau tu Tipah kalau dah 24 jam mulut kau tu tak berhenti mengunyah. Hari ni makan lambat sikit. Daging tu lambat lagi nak empuk.” Atifa mencebik. Ishh, kenapalah mama ni nak masak daging yang lambat nak empuk tu. Cubalah masak ayam ke, ikan ke, telur ke kan senang.
“Macam tu orang makan kat luar ajelah.”
“Banyaknya duit nak makan kat luar?” Sindir Puan Safira.
“Mama tak payahlah nak sindir Tipah. Siapalah kita ni kan. Buat menghabiskan beras aje.” Atifa pura-pura merajuk.
“Tahu pun terasa. Usaha cari kerja sungguh-sungguh tak mahu, kerja takkan datang kalau tak dicari, ini hari-hari asyik nak berangan. Nak keluar dengan siapa?” Soal Puan Safira serius.
“Hasya.” Jawab Atifa ringkas. Puan Safira bangun lalu pergi mengambil sesuatu di bawah alas peti sejuk. Sekeping duit kertas lima puluh ringgit diambil lalu diberikan kepada anak kesayangannya itu.
“Nah,buat belanja masa keluar nanti.”
“Terima kasih mama. Ini yang buat Tipah tak sanggup nak kerja tempat lain, Tipah tak sanggup nak berpisah dengan mama.” Atifa memeluk tubuh mamanya. Bertuah betul dia kerana mendapat mama sebaik ini,walaupun mamanya kuat berleter tetapi mamanya sentiasa menjaga kebajikannya. Mama memang mama yang terbaik sekali.
“Yelah tu.” Puan Safira tersenyum lalu menyambung semula kerjanya.
Atifa melangkahkan kakinya ke bilik dengan perasaan yang berbunga riang. Murah betul rezekinya hari ini. Sudahlah Hasya berjanji untuk membelanjanya makan chicken chop, mamanya pula memberi duit RM50.00. Bertuahnya badan.


No comments:

Post a Comment