Wednesday, November 13, 2013

Status BDD

BDD dah diberhentikan ceritanya di blog... sikit aja yg di upload.... sebab musabab diberhentikan adalah.... mai tengok gambar ni.... 


sebab kawan writer tempek email yg dorg dapat jd nak gak tempek sama :p
Jangan tanya bila terbit... lau nak tanya gak kena direct tanya pihak karyaseni/p2u..... lau macam rasa pelik napa bagi statement macam ni.... nak bagitahu begini ceritanya.....
Kami penulis ni memang guna kaedah jeling-jeling, kenyit-kenyit mata, senyum-senyum, email-email, hai2 kat group dan wasap2 manja.... tau2 nanti kuar je novel baru.... takde jenis hari-hari nak kena bergayut lima, enam jam.... nak kena wasap sampai bateri handphone habis semata-mata nak bertanya bila manuskrip akan bertukar menjadi novel... masing-masing dah memahami masing-masing.... 

ibarat suami-isteri.... jeling2 manja lepas tu tup2 tahun depan dapat baby baru. Diharapkan ada yang sanggup menunggu yek kemunculan ANUGERAH vs CLARISSA .

Salam sayang untuk semua. 




LH


Wednesday, July 24, 2013

Keciwa.....

Kadangkala kita rasa kita kuat.... kita rasa kita tak ambil endah... tak ambil pot.... hati besi.... tapi bila perkara yg sama berlaku.... RASA SANGAT-SANGAT KECIWA. Ketidakadilan berlaku di mana-mana saja. hmmmmmm!


Monday, July 1, 2013

Bila Darjatku Diangkat Bab 13 & 14

***Cik puan writer nak bercuti panjang ni sempena urusan perpindahan rumah jadi cik writer up  kan lagi dua bab dalam blog ni. Semoga terhibur ya laling2 semua... 


"Bila darjatku diangkat aku umpama bidadari buat lelaki bernama suami"


BAB 13

            Clarissa menyepak tayar keretanya. Nasib baiklah dia perasan yang tayarnya pancit. Jika tidak pasti dia akan lebih susah lagi jika tersadai di tepi jalan. Satu keluhan dilepaskan. Habislah dia. Pasti dia akan lambat masuk ke pejabat lagi. Kalau dikira hari ini, sudah tiga kali dia lambat untuk bulan ini. Rosaklah imej bersih yang dibawanya selama ini.
            “Tayar tu tak salah pun.” Clarissa menoleh. Dia melihat Anugerah sedang tersenyum kepadanya.
            “Habislah Rissa.” Clarissa sudah mahu menangis. “Masuk ni dah tiga kali Rissa lambat.”
            “Pancit saja tu. Apa kata abang hantar Rissa pergi kerja? Sempat lagi sampai pukul 9.00 kalau gerak sekarang.”Anugerah memberikan cadangan. Lagipun tempat kerja Clarissa sejalan dengan tempat kerjanya.
            “Habis tu kereta Rissa ni macammana?”
            “Kereta Rissa tu, balik  office nanti kita settlekan. Yang penting sekarang ni ialah Rissa tak masuk lambat.”
            “Ni yang buat Rissa sayang kat abang.” Clarissa senyum. Anugerah terpaku.
            “Daddy... daddy.” Nyaring suara Sutra Ashikin menyentak lamunan Anugerah.
            “Sutra Ashikin sayang. Cantiknya hari ni. Siapa yang ikat rambut sayang ni?” Clarissa menegur lalu mencubit pipi gebu itu. Wajah Sutra Ashikin berseri-seri dengan pujian Clarissa.
            “Daddy yang itat lambut ni. Tantekkan auntie?” Rambut yang diikat ekor kuda itu digoyang-goyangkan.
            “Wah... untungnya Sutra ada daddy yang hebat.”
            “Daddy memang daddy yang hebat.” Ucap Sutra Ashikin sambil memeluk Anugerah.
            “Daddy nak pergi kerja dulu. Sayang masuk dalam ye. Love you.” Anugerah mencium pipi Sutra Ashikin.
            “Love you daddy. Bye-bye auntie.” Clarissa memandang Sutra Ashikin hilang dari pandangannya. Rasa marahnya sebentar tadi terus hilang setelah melihat wajah comel itu.
            “Shall we.” Clarissa angguk. Dia mengambil beg tangannya lalu masuk ke dalam kereta.
            Dengan bacaan Bismillah, Anugerah memulakan pemanduannya.
“Abang tak lambat ke kalau hantar Rissa dulu?”Bimbang juga di hati Clarissa jika kerja Anugerah terjejas gara-gara mahu menolongnya.
            “Nama pun marketing. Masa kami fleksibel.”
            “Best kan. Tak macam Rissa.”
            “Tapi tugasnya berat. Bukan senang nak marketkan kolej kami. Sekarang ni banyak kolej-kolej swasta yang tumbuh macam cendawan selepas hujan.”
            “Thats why they choose you. Abang mesti bijakkan?” Puji Clarissa. Anugerah senang dengan pujian itu. Sedari mula bersua muka dengan Clarissa dia amat senang dengan sikap Clarissa yang selamba dan kelakar. Tetapi tidak berani dia mendekati kerana dia ternampak seorang lelaki sering saja menjemput Clarissa di rumah. Pasti Clarissa sudah mempunyai teman lelaki. Entah mengapa perjalanan mereka hanya diisi dengan suasana sepi. Masing-masing seperti kehilangan kata-kata sehinggalah sampai di Asian Travel Agencies. Setelah mengucapkan terima kasih, Clarissa pun masuk ke pejabatnya.


MELLY TERSENTAK dengan apa yang baru dilihatnya sebentar tadi. Dia menenyeh matanya beberapa kali. Adakah dia bermimpi? Tidak, dia tidak bermimpi. Dia pasti dengan apa yang dilihatnya. Jarak mereka hanyalah beberapa meter sahaja. Yang anehnya lelaki itu seperti tidak sedar akan kehadirannya. Oh, baru dia teringat, cermin keretanya kelihatan gelap jika dilihat dari luar. Patutlah lelaki itu tidak mengendahkannya.
“Puan Melly.” Panggil Bob. Dari tadi dia lihat majikannya seperti kaku.
Melly tersentak. “Er... pukul 2.00 nanti ambil saya.” Bob angguk. Melly membuka pintu kereta. Dia menapak keluar. Tidak sabar dia mahu bertanyakan kepada Clarissa siapakah lelaki tadi. Otaknya ligat memikirkan pelbagai alasan agar Clarissa tidak syak dengan soalannya.
“Morning Puan Melly.” Sapa Clarissa, Kat dan Emma hampir serentak. Clarissa menghela nafas panjang lega kerana hari ini dia datang awal. Ini semua hasil bantuan Anugerah.
“Morning. Rissa, masuk ke bilik saya.” Tanpa berlengah terus sahaja Melly memanggil Clarissa untuk masuk ke biliknya. Clarissa terpinga-pinga. Dia memandang Emma yang menjongkitkan bahu.
“Apasal dia nak jumpa aku pepagi ni?” Soal Clarissa kepada Kat dan Emma.
“Tulah kau. Dok datang lambat saja.” Cebik Emma menambahkan debaran di hati Clarissa.
“Baru dua kali babe.”
“Pergi masuk cepat. Kang kau tahulah sebabnya.” Kata Kat pula. Clarissa mengetuk pintu bilik Melly dan terus memulas tombol pintu.
“Puan Melly nak jumpa saya ke?” Soal Clarissa sedikit gementar.
“Duduk Rissa.” Arah Melly. Clarissa menurut arahan.
Pintu bilik Melly tiba-tiba terbuka. Mak cik Noreen muncul menatang dulang berisi dua cawan milo dan dua bungkus nasi lemak.
“Terima kasih Mak cik Noreen.” Ucap Melly. Setelah Mak cik Noreen keluar barulah Melly menjemput Clarissa minum.
“Nasi lemak dengan milo ni sebab nak balas biskut dan milo yang awak bagi saya hari tu.” Clarissa menarik nafas lega. Ingatkan apa tadi. Rupanya rezeki di pagi hari. Alhamdulillah. Dengan pantas Clarissa mencapai nasi lemak di dalam dulang.
“Buat susah-susah saja Puan Melly ni.”
“Apa yang susahnya. Kebetulan saya terserempak Mak cik Noreen masa nak masuk pejabat tadi. Teruslah saya suruh dia belikan.” Jawab Melly. Memang betul pun. Sedang dia berfikir alasan yang harus diberikan untuk berbual bebas dengan Clarissa tanpa gangguan pekerja-pekerja lain, dia terserempak Mak Cik Noreen cleaner di pejabatnya lalu sambil membawa plastik berisi sebungkus nasi lemak. Terus dia menyuruh Mak cik Noreen membeli dua bungkus lagi nasi lemak buat dirinya dan Clarissa.
“Saya dah nampak boyfriend Rissa.” Tembak Melly. Harap-harap mengenalah tembakannya ini. Clarissa nampak terkejut. Tidak jadi dia menyuap nasi lemak yang hampir masuk ke mulutnya.
“Yang mana?”
“Yang hantar Rissa tadi.”
“Eh Puan Melly, dia bukan boyfriend sayalah. Dia jiran saya. Pagi tadi tayar kereta saya pancit jadi dia tolong hantarkan.” Melly angguk tanda faham. Hatinya lega mendengar pengakuan Clarissa. Kalau itu bukan kekasih Clarissa maka dia ada peluang untuk mendekati lelaki itu tetapi dia perlu menyiasat adakah lelaki itu orang yang dia cari selama ini.
“Jiran Rissa tu bujang lagi ke?”
“Duda anak satu.” Kali ini jantung Melly berdegup kencang. Dia kehilangan kata-kata. Dihirupnya milo agar Clarissa tidak dapat mengesan keresahan hatinya.
“Muda-muda lagi dah duda.”
“Kasihan. Masa umur anak dia dua tahun isteri dia meninggal. Sebab itu dia tak balik Malaysia. Bertapa di Australia tak balik-balik. Baru tiga bulan ni dia pindah tinggal di sini semula.” Melly kehampaan. Sewaktu perkataan Australia itu disebut, dia tahu yang lelaki itu bukan orang yang dicarinya selama ini. Mereka tidak banyak berbicara selepas itu. Masing-masing menikmati sarapan di depan mata. Setelah Clarissa keluar dari bilik, Melly termenung lagi.
“Takkan dia menghilangkan diri ke Australia selama ni? Setahu aku dia tak ada duit yang banyak untuk tinggal di sana? Penyiasat upahan yang aku upah menyatakan lelaki yang aku cari selama bertahun-tahun ini sudah meninggal dunia. Siap memberi salinan surat mati sebagai bukti tetapi kenapa lelaki tadi iras benar dengan dia? Ah Melly. Dalam dunia ni kan ada tujuh orang yang wajah seiras.” Bisik Melly dalam hati. Tanpa disedari air matanya mengalir membasahi pipi.
Ketukan di pintu membuatkan Melly tersentak. Dikesat pipinya yang basah.
“Masuk.” Arahnya.
Emma masuk membawa beberapa fail berwarna kelabu. “Ni yang Puan Melly minta semalam. Semuanya ada dalam fail-fail ni.”
“Terima kasih Emma. Letak saja di situ. Nanti saya akan tengok.” Emma patuh. Fail-fail tersebut diletakkan di atas meja.
“Saya keluar dulu puan.”
“Erk pukul 2.00 petang ni saya keluar. Awak minta Suffian hantarkan surat ni dan balik semula sebelum saya keluar.”
“Baik Puan.”
Suffian adalah despath yang bekerja di pejabatnya. Suffian juga adalah adik sepupunya. Dia mahu memberikan satu tugas penting kepada Suffian dan dia mahu Suffian menyelesaikan tugas itu secepat mungkin.


BAB 14

            “Manalah teksi ni.” Rungut Clarissa. Sudah lima belas minit dia menunggu teksi di situ tetapi masih lagi tiada satu pun teksi yang lalu. “Meena ni pun satu. Time orang nak minta bantuan dialah dia ada kerja kat luar.” Rungut Clarissa lagi. Sebuah kereta camry warna putih berhenti betul-betul di hadapannya. Dia senyum saat melihat si pemilik kereta. Terus saja tangannya membuka pintu.
            “Kenapa tak tunggu abang kat office. Nasib baik abang nampak Rissa kat sini tadi.” Tegur Anugerah.
            “Abang cari Rissa?”
            “Yelah. Kereta Rissa kan pancit. Abang yang hantar jadi abanglah yang ambil.” Clarissa terharu mendengar kata-kata Anugerah. Dia kagum dengan sikap tanggungjawab yang ditunjukkan oleh lelaki itu.
            “Manalah Rissa tahu abang nak datang ambil. Abang pun tak ada beritahu Rissa.”
            “Abang busy sampai lupa nak call tapi kalau dah tak ada kereta tu faham-faham sajalah. Tunggu abang.”
            “Buatnya Rissa tunggu abang tak datang?”
            “Call lah abang.”
            “Seganlah. Rissa dah banyak susahkan abang.” Ya, Clarissa segan mahu menyusahkan Anugerah lagi. Lainlah kalau macam sekarang ni, Anugerah sendiri yang datang menyerah.
            “Segan sendirilah susah. Tengok... muka berpeluh macam masuk marathon.” Usik Anugerah. Clarissa tersenyum manis.
            “Rissa bukan tak nak susahkan abang tapi Rissa nak simpan tenaga abang. Nak minta tolong abang panggil mekanik tukarkan tayar kereta Rissa.”
            “Dah tukar pun.”
            Clarissa terkejut. “Serius? ”Soalnya tidak percaya. “Bila abang buat?”
            “Lunch tadi abang balik rumah. Kunci kereta Rissa kan memang ada pada abang.”
            “Alhamdulillah. Sayang abang.” Tangan diraupkan ke wajah. Gembiranya Clarissa bukan kepalang. Baik betul Anugerah.
            “Nanti Rissa belanja abang makan ek.”
            “Okey. Sekarang boleh?”Tanpa rasa terbeban terus saja Clarissa menyetujui. Lagi pun Anugerah sudah berbudi kepadanya kan.
            “Cepatnya tapi abang punya pasal Rissa ikut saja. Jom.”
            “Betul ni? Tak menyesal? Mana-mana pun tak apa?” Wajah Anugerah kelihatan nakal. Clarissa gelabah.
            “Yang bajetnya RM100.00 aje.” Anugerah gelak besar. Sememangnya gadis ini amat menghiburkan hatinya.


            “CASSANDRA.” Terjerit Clarissa melihat Cassandra di ruang tamu. Dia seakan tidak percaya melihat adiknya datang menjenguk. Dia tahu sangat fi’il Cassandra yang tidak boleh berenggang dengan tilam busuknya. Kalau boleh Cassandra mahu membawa tilamnya ke rumah sewanya di Petaling Jaya tetapi nasib baiklah Cassandra masih ada rasa malu dengan rakan-rakan serumahnya yang lain.
            “Kakak.” Mereka berpelukan. Walaupun tinggal di kuala Lumpur tetapi mereka jarang berjumpa. Cassandra di tahun akhir pengajiannya di Universiti Malaya jadi adiknya itu sentiasa sibuk apabila diajak keluar bersama.
            “Kenapa datang tak beritahu kakak?”
            “Kereta kakak kan pancit dari pagi. Sandra suruh Kak Meena saja yang ambil.” Jawab Cassandra selamba. Ameena menjegilkan matanya sedikit. Budak Sandra ni, belum apa-apa lagi dah kantoikan orang.
            “Mana Sandra tahu kereta kakak pancit?” Pandangan dihalakan pula ke arah Ameena.
            “Kak Meena yang beritahu.” Tergagap-gagap Cassandra menjawab. Aduh! Dia menyumpah dirinya sendiri.
            “Mana kau tahu kereta aku pancit? Mana ada aku beritahu kau tadi? Aku cuma tanya kau kat mana.” Soal Clarissa bertubi-tubi. Dia mula curiga.
            “Adalah kau beritahu aku tadi. Ha... kau ni memanglah Rissa. Dok lupa aje.” Wajah Ameena serius. Dahi siap dikerutkan lagi agar nampak menyakinkan.
            “Eh mana ada...”
            “Adalah. Kau ni nak kata tua, tak tua pun. Dahlah. Jom makan. Aku ada belikan kau nasi ayam.” Cepat saja Ameena menukar topik. Kalau kantoi rosaklah program. Cassandra ni pun satu, tak sampai lima minit Clarissa muncul terus saja bikin kecoh. Kalau nak jujur pun agak-agaklah.
            “Aku dah makanlah Meena. Kau dengan Rissa sajalah yang makan.”
            “Mesti makan dengan Zamani kan?” Ameena serkap jarang.
            “Bukan Zamani tapi Anugerah.” Clarissa meninggalkan Ameena yang sudah senyum sampai ke telinga. Nampaknya dia berjaya hari ini. Banyak lagi rancangan yang sudah dilakar di kepalanya. Ameena puas hati.
            “Anugerah tu mamat yang Kak Meena nak kenen-kenenkan dengan kakak kan?” Bisik Cassandra.
            “Haah tapi sekarang ni Zamani tak settle lagi. Malam ni Sandra tengoklah mesti dia telefon ajak kakak  keluar.”
            “Habis tu Kak Meena nak buat apa?”
            “Kita kena buat Kak Rissa awak tu bencikan Zamani. Kalau tak nanti Kak Rissa akan dalam dilema nak pilih yang mana satu. Zamani tu kebal gak sebab dia sepupu kepada kawan cucuk bintang Kak Rissa. Pasti Kak Rissa tak mahu hancurkan hati kawan baik dia tu.”
            “Cucuk bintang?” Cassandra kebingungan. Sampai ke nak cucuk bintang di langit?
            “Yang gini-ginilah.” Ameena menunjukkan tarian cucuk bintang kepada Cassandra. Terkikih-kikih Cassandra gelak.
            “Macam mama menari dangdut aje Kak Meena.” Mereka sama-sama ketawa.
            “Sudahlah. Jom kita makan dulu. Perut dah kenyang nanti senanglah sikit kita nak buat projek.”
            “Baik boss.” Jawab Cassandra patuh.


ZAMANI ketap bibir. Hari ini sengaja dia langsung tidak menghubungi Clarissa. Perlakuan Clarissa malam tadi yang menolak ciumannya membuatkan dia geram. Belum ada wanita yang tidak mahu menyerah kepadanya. Paling lama pun dua hari dia sudah dapat meratah tubuh-tubuh gadis yang disukainya. Berbeza dengan Clarissa yang jinak-jinak merpati. Mengikut segala ajakannya untuk keluar tetapi bila hendak dipegang, Clarissa menjauhkan diri. Hendak cium pun belum berjaya, inikan pula yang lain.
            “Yang kau merengus ni kenapa bro?” Usik Akmal kawan baik Zamani sejak di zaman sekolah lagi.
            “Clarissa tulah. Susah aku nak dapat. Jangankan nak peluk, nak gomol, cium kat pipi pun tak dapat lagi.”Sungut Zamani sambil tangannya mengambil sebatang rokok lalu diletakkan di bibir.
            “Apa susah bro. Tak dapat cara rela kita buat cara paksa.” Ikmal pula mencelah. Ikmal adalah adik kepada Akmal.
            “Masalahnya Kat tu menyibuk. Dia sentiasa perhatikan aku. Tak boleh nak buat apa pun kat kawan baik dia tu.”Kali ini rokok di bibir dicucuh api. Asap berkepul-kepul di udara apabila Zamani selesai membuat sedutan pertama. Wajah penuh kepuasan ditonjolkan. Puas kerana berjaya merosakkan paru-parunya sendiri.
            “Macam biasa, Sabtu ni kita jumpa diaorang. I akan jaga Kat, Akmal akan bubuh ubat dalam minuman Rissa, lepas tu kau jalankan tugas kau. Amacam? Tapi...” Kening Ikmal sudah terangkat-angkat.
            “I know. Kau pun nak kekah dia juga kan? No hal bro tapi lepas turn akulah.” Zamani gelak gembira. Nasib baiklah dia mempunyai rakan-rakan yang bernafsu buas sepertinya. Senang untuk dia menjalankan rancangannya. Biar padan dengan muka Clarissa. Dia memang pantang melihat perempuan yang nak tunjuk alim. Tidak mahu disentuh konon. Pakai pakaian terdedah sana sini lagi mahu jual mahal.
            “Kat macammana?” Soal Ikmal pula. “Kalau dia tahu kau rosakkan Rissa pasti dia mengamuk sakan.”
            “Kat kau punya. Kau buatlah apa yang kau suka.” Kata Zamani. Ikmal senang hati. Memang sudah lama dia geram melihat kemontokan tubuh Kat. Lampu hijau sudah pun diberikan oleh sepupu Kat sendiri. Makan besarlah dia malam itu. Selepas Kat, dia akan mendapatkan Clarissa pula.
            “Kalau dia report polis habislah kita. Ke dalamlah jawabnya. Nak buat biar buat dengan selamat. Kena plan betul-betul.”Wajah Akmal kelihatan runsing. Bimbang juga dia jika ditangkap polis. Kasihan isterinya yang sedang sarat mengandung.
            “Adoi. Aku paling benci mamat puaka macam kau ni. Nampak aje ganas tapi pengecut. Kau ingat polis tu bodoh sangat. Dah sah-sahlah Rissa tu memang kaki kelab, kita boleh cakap kita buat ‘tu’ suka sama suka. Kalau kita cakap dia ambil dadah pun polis percayalah. Mana ada perempuan yang kaki kelab malam macam dia tu masih dara? Padan dengan muka dialah. Kalau rasa-rasa nak jadi perempuan melayu terakhir carilah port lain. Bukannya pergi kelab malam terkinja-kinja.”
            Akmal terangguk-angguk senang hati dengan hujah-hujah bernas yang diberikan oleh Zamani. Memang tak sia-sia dia menjadikan Zamani idolanya.




Monday, June 24, 2013

Bila Darjatku Diangkat Bab 11 & 12


BAB 11

“Hai princess.” Suara Zamani kedengaran manja.
“Assalammualaikum.” Clarissa berbahasa. Kan lebih elok mengucapkan salam.
            “Waalaikumusalam. Ops... terlupa nak bagi salam.” Seperti faham akan sindiran Clarissa terus saja Zamani menyatakan kealpaan diri. Sebenarnya dia seronok mendengar suara Clarissa. Mendengar suara manja wanita itu telah membuatkan dirinya terangsang. Pergaulannya yang lepas bebas di U.K telah membuatkan dia lupa asal usulnya. Dia sentiasa mendambakan kehangatan pelukan wanita yang diminatinya. Tetapi dia sekarang berada di Malaysia. Dia tahu pantang larang di sini. Kebanyakan wanita di sini masih lagi taboo berkenaan dengan pergaulan seks bebas. Wanita Malaysia dari pemerhatiannya hanya akan menyerah dengan lelaki yang mereka cintai sahaja. Tiada istilah one night stand di sini. Jika ada pun tidak ramai yang mengamalkannya. Dia berazam untuk menambat hati Clarissa. Dia tidak mahu terburu-buru bimbang jeratnya tidak menjadi.
            “Yes Zamani. Anything yang I boleh tolong you? Tadi tanya I kedai makan paling sedap di PJ. Ni nak tanya apa pula?”Saja Clarissa menduga tapi sebenarnya di dalam hati sedang bergangnam style.
            Zamani mengekek gelak. Clarissa memang pandai mengesan niatnya. “ I nak ajak you keluar.”
            “Keluar? Pergi mana?”
            “Temankan I pergi downtown. Teringinlah nak pergi.” Kini giliran Clarissa pula gelak. Tak ada tempat lain ke nak pergi? Ayoyo, tak romantik langsung.
            “You nak beli apa?”
            “Tak ada apa cuma rindu nak rasa suasana macam tu. Bising, sesak dan bau masam.”Bagai digeletek, mengekek zamani gelak.
            “Okey. Malam ni you ambil I kat rumah. Pukul 10.00 yek.”
            Senyum Zamani meleret. Senang rupanya mengajak Clarissa keluar. “Yes sayang. Pukul 9.55 I datang. Address you?”
            “Sekejap lagi I bbm you.” Clarissa tersenyum senang hati. Suka dia dipanggil sayang. Sudah lama tiada lelaki memanggilnya begitu. Setelah menghantar blackberry massenger kepada Zamani, Clarissa menyambung semula tugasnya.
            “Mesti boyfriend yang call kan? Senyum sampai ke telinga.” Sapa Melly. Dari tadi diperhatikan sahaja gelagat Clarissa yang sedang meliuk lintuk ibarat terkena ulat bulu.
            “Puan Melly.” Terketar-ketar Clarissa bangun. Kantoi. Huh! Macammanalah boleh kantoi dengan boss ni.
            “Yang awak takut sangat ni kenapa? Saya faham. Orang muda macam awak perlukan cinta. Asalkan tak effect kerja awak, saya takkan menegur.”
            “Eh Puan Melly, mana ada boyfriend. Baru nak keluar dating.” Dating? Alahai dating pergi downtown, Cheras. Bolehlah daripada tak ada.
            “Baru nak mulalah seronok. Perasaan tu indah kan?” Teringat saat pertama kali bertentang mata dengan bekas suaminya. Saat itu hatinya berdebar-debar. Tidur malamnya tidak menentu. Makannya tidak kenyang. Betullah kata orang, hidup tak keruan jadinya.
            “Kawan ajelah Puan Melly. Tak ada apa-apa hubungan pun.” Dalih Clarissa tapi memang betul pun. Kembang setaman hati di dalam. Siap ada rama-rama dan ladybird lagi.
            “Lapar pulak perut saya petang-petang ni.” Melly menggosok-gosok perutnya. Tengahari tadi dia hanya makan bihun sup sahaja, mungkin sebab itu perutnya cepat lapar.
            “Puan nak air? Milo? nescafe? Saya pun lapar ni.” Clarissa bangun tanpa sempat Melly menjawab kata-katanya. Diatur langkah ke pantry. Cepat sahaja tangannya membancuh dua mug milo 2 in 1. Aromanya menusuk ke hidung.
            “Semakin lapar perut saya bau milo yang awak bancuh tu.” Kata Melly setelah dia sampai di pantry. Ditariknya kerusi yang terdapat di situ dan dia pun melabuhkan punggungnya.
            “Makan dengan ni.” Biskut lemak manis yang terdapat di dalam tupperware disuakan kepada Melly.
            “Biskut siapa ni?”
            “Biskut sayalah. Memang saya sentiasa simpan makanan kat pantry ni.” Clarissa gelak kecil.
            “Nampak sangat saya tak pernah masuk pantry.” Melly juga ketawa.
            “Mestilah. Puan Mellykan busy.” Tangan Clarissa mengambil sekeping lagi biskut lalu dicelupkan ke dalam air milo.
            “Busy untuk mengisi kesunyian hati.” Satu keluhan dilepaskan.
            Clarissa berhenti mengunyah. Dia tahu majikannya itu baru beberapa bulan kehilangan suaminya. Pasti kesedihan masih terasa. “ Kalau Puan Melly tak kisah, Puan Melly boleh lepak-lepak dengan saya.”
            Pelawaan itu membuatkan Melly tersentuh. “ Terima kasih tapi saya dah tualah Rissa. Nanti boring awak kalau saya melepak sama.”
            “Mana ada tua. Puan Melly ni buat saya nak tergelak saja.”
            “Saya minta diri dululah Rissa. Terima kasih sebab buatkan saya air.” Melly meminta diri lalu masuk ke biliknya dengan membawa sekali mug berisi milo yang dibuat Clarissa.


            “DAH LAMA KE you sampai?” Soal Clarissa sewaktu melihat Zamani sedang menghisap rokok sambil bersandar di keretanya. Jaket hitam dan cermin mata warna yang sama membuatkan Zamani nampak sangat kacak. Bergoyang juga iman dibuatnya.
            “Tak lama. Adalah sejam.”
            “Sejam?” Mata Clarissa terbeliak.
            “Boringlah duduk rumah. Jom minum.” Ajak Zamani sambil menunjuk ke arah restoran mamak di seberang jalan.
            “Malam nikan dah nak keluar.” Tak sabar juga mamat ni. Kan dah janji nak jumpa pukul 10 malam ni.
            “I tak sabar nak jumpa you. Jomlah sayang. Temankan I minum.”
            Akhirnya Clarissa mengalah. Dia berjalan beriringan menuju ke kedai mamak. Setelah memesan dua gelas teh tarik dan roti nan, mereka hanya mendiamkan diri. Mata Zamani tidak lepas dari memandang ke wajah Clarissa. Dia mula membayangkan sesuatu.
            “Berapa lama you kat sini?” Soalan Clarissa mengejutkan Zamani.
            “Three weeks.”
            “You tak ada girlfriend ke?”
            “Kenapa you tanya?”
            “Takutlah kalau girlfriend you marah I keluar dengan you.” Zamani senang dengan soalan itu. Gadis melayu memang cakap berlapik. Kalau nak tahu statusnya tanya sajalah. Tak payah nak berkias begini.
            “Kan I dah cakap yang I mencari calon isteri.”
            “Really. I ingat you bergurau saja.”
            “Muka I nampak bergurau ke?”
            “Ada gak.” Clarissa gelak diikuti oleh Zamani. Mereka berbual-bual kosong dan akhirnya pulang ke rumah masing-masing. Malam ini masih ada lagi untuk mereka menyambung perbualan yang terhenti.
            Pukul 7.00 malam, Clarissa sampai ke rumah. Dia terus mandi dan bersolat. Sambil menunggu masuknya waktu Isyak, Clarissa duduk di ruang tamu bersama-sama dengan Ameena.
            “Kau teka aku nak keluar dengan siapa malam ni?” Ameena mengerutkan dahinya. Nak main pop kuizlah pulak budak ni.
            “Manalah aku tahu.”
            “Zamani.”
            “Lelaki yang kau kenal kat kelab tu?”
            “Haah. Dia ajak aku keluar. Tadi pun dia tunggu aku keluar office. Kami pergi lepak-lepak kat kedai mamak.” Wajah Clarissa kelihatan ceria. Ameena terpempam. Habislah programnya. Kalau Clarissa menyukai orang lain macammanalah dia mahu mengkenen-kenenkan dengan Anugerah.
            “Kau percaya orang macam tu?”
            “Meena, janganlah berprasangka sangat. Aku bukannya dah confirm nak serius dengan dia. Baru nak kenal.”
            “Okey.” Tidak mahu bertekak dengan Clarissa, Ameena membiarkan sahaja Clarissa dengan perasaannya sendiri.
            Zamani datang menjemput seawal pukul 9.30 malam. Terkocoh-kocoh Clarissa bersiap. Mereka makan malam dahulu. Selepas itu barulah mereka menapak menyelusuri downtown Cheras yang boleh tahan besarnya itu. Sepanjang keluar bersama,tidak sekali pun Zamani cuba mengambil kesempatan. Clarissa kagum dengan lelaki itu. Bertahun tinggal di luar negara yang diketahuinya lepas bebas tanpa sebarang sekatan, tetapi lelaki ini masih lagi berpijak di bumi yang nyata. Hatinya tersentuh.


 BAB 12

            “Meena... aku rasa aku sukalah kat Zamani tu.” Dengan wajah berseri-seri Clarissa membuka rahsia hatinya. Saat ini dirasakan yang hatinya sangat bahagia.
            “Biar benar kau. Baru jumpa dah suka.” Hancurlah rancangan Ameena. Belum lagi nak bermula, harapannya sudah pun hancur berkecai. Sebelum ini tiadalah pula Zamani muncul dalam hidup Clarissa.
            “Kau yang nak sangat aku berubah kan. Kalau aku dah jumpa Mr Right aku, aku janji akan kahwin dan tinggalkan dunia malam aku.”
            “Iyolah tu.Mr Rightlah sangat.Jangan cepat rasa suka. Selalunya yang cepat sangatlah ni akan berakhir dengan kecewa.” Cebik Ameena. Saja dia mahu mematahkan semangat Clarissa.
            Telefon bimbit milik Clarissa berbunyi. Dengan pantas Clarissa menyambut panggilan.
            “Hai sayang.” Suara ceria Zamani kedengaran.
            “Hai.” Jawab Clarissa ringkas. Sebenarnya dia gembira menerima panggilan itu tetapi perlulah juga menjaga tertib sebagai wanita melayu. Tidak boleh nampak gelojoh sangat, tak manis kan.
            “Tak tidur lagi?”
            “Tak. I tengah chat dengan housemate I.”
            “If you dont mind jom keluar? Rindulah tak tengok muka you hari ni.” Pancing Zamani. Saja dia tidak mengganggu Clarissa siang tadi. Semalam, sewaktu mereka keluar bersama, Clarissa dilihat sudah semakin jinak dengannya. Dia mahu membiarkan gadis itu ternanti-nanti.
            Clarissa melirik jam di dinding. Sudah pun pukul 10.45 malam. Dia berfikir seketika. Hatinya memang resah apabila Zamani langsung tidak menghubunginya hari ini tetapi hari sudah pun lewat malam. Besok dia perlu ke pejabat. Sudahlah tadi dia lambat 15 minit kerana terbabas tidur akibat terlalu mengantuk kerana pulang lewat. Dia tidak mahu rekod kedatangannya buruk lagi untuk kedua kalinya. “Sorrylah Zamani. I takut lambat lagilah masuk office besok. Pagi tadi I dah terbabas.” Jujur Clarissa memberikan alasan.
            “I janji tak ambil masa you lama. I dah ada depan rumah you ni.” Clarissa tersentak. Dia meluru ke jendela dan dapat dia lihat Zamani sedang tersenyum sambil melambai ke arahnya.
            “You tunggu kejap.” Dengan cepat Clarissa masuk ke biliknya. Dia bersiap ala kadar. Ameena hanya memberi jelingan tajam saat Clarissa melintasinya.

           
CLARISSA IMANI menguap beberapa kali. Malam tadi hampir pukul 2.30 pagi baru Zamani menghantarnya pulang ke rumah. Kata mahu keluar sekejap tetapi apabila sudah bertemu dia rasa tidak mahu berenggang dengan lelaki itu. Sifat Zamani yang kelakar dan pandai mengambil hati membuatkan masa berlalu tanpa disedari.
Di suatu tempat yang lain, Ameena sedang termenung sendirian. Entah mengapa hatinya tidak senang melihat Clarissa rapat dengan lelaki bernama Zamani itu. Saat pertama kali dia melihat ke arah lelaki itu, dia seperti dapat merasa yang lelaki itu seperti ada udang di sebalik batu. Ligat otaknya berfikir agar dia dapat merapatkan Clarissa dengan Anugerah. Telefon bimbit di atas meja diambil lalu dia pun mendail nombor Cassandra Amani adik kepada Clarissa Imani.
“Kak Meena. Lama tak dengar khabar.” Terjerit Cassandra mendapat panggilan dari Ameena.
“Rindulah kat adik kakak ni.” Sahut Ameena.Adiknya Ameera berada nun jauh di Kuching, Sarawak. Hanya kepada Cassandralah dia mencurahkan kasih sayangnya di bumi semenanjung ini.
“Kakak macammana? Sihat ke dia?”
“Inilah yang Kak Meena nak bincangkan ni.” Cassandra terkedu. Risau dia memikirkan kakaknya yang seorang itu. Ini mesti ada hal penting kalau tak takkan Kak Ameenanya akan menelefon ajak berbincang.
“Kenapa dengan kakak? Dia sakit ke?” Pancing Cassandra. Pasti sesuatu telah berlaku kepada Clarissa. Jantungnya mula bergerak laju.
“Sakit.”
“Hah!” Terjerit Cassandra dibuatnya.
“Sakit cinta. Tengah angau dengan mamat mana ntah.” Bagai bertih jagung terus saja Ameena menceritakan tentang Clarissa, aktiviti malam sahabatnya itu, keseksian Clarissa yang merisaukannya dan rancangannya untuk menjodohkan Clarissa dengan Anugerah.
“Kakak nak Sandra buat apa?” Setelah habis Ameena bercerita terus sahaja Cassandra menyoal.
“Apa kata Sandra datang sini. Sekarang tengah cuti semester kan. Kalau Sandra ada sini senanglah Kak Meena nak aturkan strategi.”
“Tapi nanti mama kata apa pulak.”
“Alah, tentang mama tu biar Kak Meena yang settlekan. Amacam?” Persetujuan Cassandra ditagih.
“Kak Meena punya pasal Sandra setuju.” Itulah yang diharapkan oleh Ameena. Dia memang mengharapkan persetujuan Cassandra.
“Okey. Besok Sandra datang sini naik bas. Nanti Sandra stop kat mana-mana. Sandra beritahu saja Kak Meena. Biar Kak Meena datang ambil.”
“Okey Kak. Bye.”
“Bye.” Talian diputuskan. Ameena tersenyum puas hati. Dia menyambung semula tugasnya yang sudah lama tergendala.


BERPELUH-PELUH Ameena mencucuk tayar kereta Clarissa dengan besi tajam yang dibelinya di kedai hardware. Clarissa sedang mandi jadi dia mengambil peluang yang ada untuk menjalankan rancangan gilanya. Setelah puas hati dengan hasil kerjanya, Ameena masuk ke dalam rumah. Dia terkejut apabila melihat Clarissa sedang mengeringkan rambut di ruang tamu.
            “Mana kau pergi? Berpeluh-peluh macam ni.” Soal Clarissa pelik.
            “Aku pergi ambil angin kat luar. Panaslah.” Bohong Ameena. Nasib baiklah besi tajam tadi sudah pun selamat disorokkan awal-awal di rak kasut yang terletak di luar rumah.
            “Hai... dah pergi ambil angin pun berpeluh-peluh macam ni.”
            “Entahlah. Panas betullah.” Ameena mengipas-ngipas tangannya ke badan tanda kepanasan. “Eh, aku nak masuk mandilah.” Cepat saja dia berlari masuk ke bilik. Clarissa geleng kepala. Ada-ada sajalah Ameena ni. Clarissa duduk di sofa. Ingatannya kembali kepada apa yang berlaku ketika Zamani menghantarnya semalam. Lelaki itu hampir mencium pipinya tetapi cepat saja ditahan. Entah mengapa dia tidak marah tetapi rasa bangga kerana ada orang yang tergila-gilakannya.
            “Betul kata Meena. Lama-lama iman akan goyang juga. Hmmm.. kalau Zamani sukakan aku kenapa baru beberapa kali jumpa dia dah nak kiss aku?” Bisik Clarissa perlahan. “ Kata Ustazah Asma, lelaki yang baik akan menjaga maruah wanita yang disukainya.” Sambung Clarissa lagi.
            “Hei Rissa. Kau cakap dengan sapa ni?” Sergah Ameena. Clarissa melompat terkejut.
            “Kus semangat kau ni. Nasib baik jantung aku tak gugur.” Muka Clarissa masam mencuka. Diusap dadanya lembut.
            “Kalau kau dah start bercakap sorang-sorang ni aku risau.”
            “Meena, Aron dulu ada tak ambil kesempatan nak kiss kau?” Soal Clarissa sambil membetulkan silanya.
            “Kenapa kau tanya macam ni?” Ameena sudah duduk di sebelah Clarissa. Dia berminat untuk tahu.
            “Semalam, sebelum aku keluar kereta Zamani hampir-hampir nak kiss aku. Nasib baik aku sempat elak.”
            “Aku dah madah ngan kau duluk lelaki macam ya sik boleh dipercayak, baruk bejumpa dah mauk kesempatan. Ko ya satu intingal.” Bebel Ameena dalam bahasa Sarawaknya.
            “Apa kau merepek ni. Kalau marah aje mulalah bahasa Sarawak kau tu keluar. Kalau aku faham tak apalah. Ni aku tak faham.Bila aku tak dengar nasihat kau, kau marah pulak kat aku.” Clarissa membuat bebelan balas.
            “Rissa, dia dah lama tinggal overseas. Pada dia semua ni perkara biasa. Kalau dia serius dengan kau tak apa, kalau dia main-main saja macammana? Dia kerja di U.K. Cinta jarak jauh susah nak berjaya.”
            Kata-kata Ameena itu diakui ada benarnya juga. Clarissa menghadiahkan satu senyuman kepada Ameena. “Kau jangan risaulah. Aku tahu jaga diri aku.”Sebenarnya Clarissa keliru dengan hatinya sendiri. Dia mula menyukai Zamani tetapi kenapa rasa sangsinya melebihi rasa sukanya?




Wednesday, June 5, 2013

Bila Darjatku Diangkat 10


BAB 10

            Rumah Puan Suci Harum kedengaran riuh rendah. Kehadiran Curnia, Fina dan anak-anak mereka menggamatkan suasana. Bukan Curnia tidak mahu selalu pulang menjenguk keluarganya tetapi sejak dia sekeluarga berpindah ke Johor Bahru, masanya amat terbatas. Ditambah lagi dengan kesibukan Curnia yang telah pun mempunyai firma arkiteknya sendiri, maka amat jarang untuk mereka sekeluarga berkumpul.
“ Ibu macammana?” Soal Curnia kepada Anugerah sewaktu mereka duduk di beranda rumah berdua sahaja. Sejak Anugerah pulang ke Malaysia, ini baru kali ke dua mereka dapat berdua-duaan begini. 
“Macammana apa?” Soal Anugerah semula tidak faham dengan apa yang diperkatakan oleh abangnya.
            “Penerimaan ibu?”
            “Ohh... Alhamdulillah, ibu dapat terima Sutra dengan baik. Ayah pun sama.”Nafas panjang dihela. Nasib baik tanya soalan itu, kacang sahaja mahu menjawabnya. Janganlah ditanya yang lain, alamat tergagap-gagaplah nanti.
            “Ibu memang baik. Kalaulah atuk dengan nenek ada lagi.” Ingatan Curnia melayang mengingati datuk dan nenek mereka yang sudah meninggal dunia enam tahun yang lepas.
            “Mesti atuk dengan neneklah yang paling happy. Atuk tu walaupun lupa tapi kerenah dia seronok untuk dilayan.”Bibir Anugerah terus menguntumkan senyuman. Wajah atuk dan nenek yang sering mencuit hatinya tiba-tiba muncul.
            “Kalaulah juga Tabah masih ada....” Suara Curnia kedengaran sayu. Rindunya pada Tabah tidak boleh diungkapkan lebih-lebih lagi setelah melihat wajah Anugerah.
            Senyum Anugerah yang baru melebar tiba-tiba mati.“Tabah sentiasa ada dengan kita.” Ungkap Anugerah perlahan. Ya, sebahagian dari diri Tabah sentiasa ada di dalam rumah mereka.
            “Kalau Tabah masih ada entah-entah dia pun dah ada anak seorang.” Airmata sudah bergenang di kelopak mata Curnia.
            “Ada.” Spontan Anugerah menjawab.
            “Apa dia Anugerah?” Mata Curnia sudah mencilar. Lain macam sahaja bunyinya kata-kata Anugerah ini. Macam ada maksud yang tersirat.
            “Erk tak ada apalah.” Jawab Anugerah tergagap-gagap. Baru dia sedar yang dia hampir membocorkan rahsianya.  Nasib baiklah Curnia tidak banyak soal. Puas hati agaknya dengan jawapan yang diberi. Hampir sepuluh minit keadaan sunyi sepi. Masing-masing tenggelam dalam kesedihan.
            “ Ibu mesti tak sangka kan dia ada sorang cucu lagi. Lima tahun Anugerah tak balik, mula-mula tu selalu berhubungan tapi tiba-tiba tiga tahun Anugerah senyap tanpa khabar berita dan hanya sekali sekala berutus surat. Ibu sentiasa tanya abang long ada tak dia kecilkan hati Anugerah. Abang long selalu tak tahu nak jawab apa. Tup tup Anugerah balik bawa anak dara seorang.” Curnia senyum tawar. Sebenarnya hatinya tidak enak dengan penjelasan adiknya. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Anugerah.
            “Anugerah minta maaf bang long. Tak pernah terniat di hati Anugerah nak kecilkan hati sesiapa.”
“ Bukan bang long maksudkan begitu cuma ibulah tertanya-tanya apa yang menyebabkan Anugerah sepi tiba-tiba.”
“Anugerah pun tak sangka bang long. Jodoh datang sepantas kilat. Sutra hadir tanpa dirancang.”Ya, itulah kebenarannya. Sutra Ashikin hadir membuatkan dirinya dalam dilema.
            “Kalau Anugerah nak berkongsi cerita, bang long sedia mendengar.” Bahu Anugerah ditepuk lembut. Anugerah masih lagi diam merenung lantai.
“Bila dah bersedia InsyaAllah Anugerah akan ceritakan apa yang berlaku. Terima kasih bang long.”Bukan mahu berahsia tetapi janji yang dipatri tidak memungkinkan kebenaran itu dikongsi.
“Anugerah, kita tinggal dua beradik. Anugerah sajalah adik kandung bang long yang masih ada. Kalau Anugerah menghilangkan diri, bang long tiada lagi saudara kandung. Jangan buat macam ni lagi dik.”
“Tak, Anugerah takkan buat macam ni lagi bang long.” Sahut Anugerah sebak.
“Bang long masuk dalam dulu. Ingat, kalau ada masalah hadapilah, bukannya lari daripada masalah itu.” Curnia bangun lalu meninggalkan Anugerah yang masih lagi sebak. Dia mahu Anugerah menimbang kata-katanya sebentar tadi seorang diri. Anugerah pula kagum dengan naluri abangnya. Dia tahu Curnia mengesyaki kejujurannya tetapi dia tak berdaya. Janji padanya bukan untuk dimungkiri tetapi dijagai sebaik mungkin supaya tetap utuh dan kukuh. Ingatannya melayang kepada peristiwa beberapa hari selepas pemergian Tabah.
Pagi itu dia mendapat sepucuk surat. Dibukanya surat itu dengan rakus.

Kehadapan Anugerah yang aku sayangi,
Di saat kau membaca surat ini jasadku telah pun tiada di muka bumi ini, yang ada hanyalah nama dan memori yang kutinggalkan dalam ingatan kalian. Tidak, ianya bukan gurauan. Pertama sekali aku nak ucapkan terima kasih pada kau kerana sudi menjadi penggantiku membesarkan Sutra Ashikin, aku sangat terharu dengan kesanggupanmu.
Aku tahu, adalah tidak masuk akal untuk aku memberi tanggungjawab berat ini kepada kau yang masih lagi belum berkahwin sedangkan bang long dan ibu masih lagi ada untuk menggalas tugas ini. Sebenarnya aku tidak mahu Sutra Ashikin terluka. Wajahmu, senyumanmu, suaramu dan kegemaranmu adalah sama denganku jadi Sutra Ashikin tidak akan merasai perubahan yang sangat ketara. Sebab itu kau menjadi pilihanku.
Beberapa minggu sebelum aku membawa Sutra Ashikin berjumpa denganmu, aku mendapat khabar duka daripada doktor yang merawatku. Aku disahkan menghidap barah hati. Sepatutnya aku perlu menjalani rawatan segera tapi memikirkan yang aku sudah tiada masa lagi, aku ingkar arahan doktor dan meninggalkan hospital untuk membawa Sutra Ashikin berjumpa denganmu.
Alhamdulillah, kedegilanku untuk pergi ke Australia membuahkan hasil. Aku pulang ke Malaysia dengan lapang dada. Aku pulang ke pangkuan ibu dan keluarga kita, mereka menerimaku dengan baik. Aku rasa sangat bahagia. Kerinduanku terhadap Sutra Ashikin terubat dengan adanya ibu disisiku. Sekarang, di saat aku menulis surat ini, aku sedang bertarung nyawa di hospital. Mereka sedang berusaha menjejaki kau Anugerah tetapi tidak aku khabarkan di mana kau berada. Surat ini akan aku serahkan kepada jururawat yang bertugas dan akan aku pesan setelah aku tiada nanti, layangkanlah surat ini kepadamu di sana.
Akhir sekali, terima kasih atas pengorbanan kau ke atasku. Aku berdoa supaya Allah membalas segala budi baikmu. Setiap kali kau memeluk dan mencium Sutra Ashikin, umpama aku yang memeluk dan menciumnya. Suatu hari nanti, jika dia sudah besar, terpulanglah padamu untuk mengkhabarkan ataupun tidak siapa bapanya yang sebenar.

Salam sayang,
Edrus Talha Tabah.
           
            Air mata Anugerah jatuh satu persatu. Tidak dia sangka, kepulangannya ke Malaysia membuatkan ingatannya kepada Tabah semakin kuat.
            “Haa... sini rupanya. Jom masuk. Kak long dah buat kopi kaw tau.” Sergah Fina tiba-tiba. Dia duduk di sebelah Anugerah. Sebelum menyergah, sudah lama dia memerhatikan Anugerah yang sedang bermuram durja. Pasti ada sesuatu yang amat berat yang sedang difikirkan oleh adik iparnya itu.
            “Kak long ingat lagi Anugerah suka sangat dengan kopi kak long?”
            “Mana boleh lupa. Kak long tak pernah lupa pasal sesiapa pun.”
            “Kalau Tabah ada dia pun suka dengan kopi kak long.” Fina kaget. Tidak disangkanya yang Anugerah akan mengungkapkan ayat itu. Jadi inilah sebabnya Anugerah berduka. Walaupun sudah lama Tabah meninggalkan mereka namun sebagai saudara kembar yang berkongsi segala-galanya sejak di dalam kandungan lagi maka ingatan Anugerah pasti lebih kuat jika dibandingkan dengan mereka yang lain.
            “Anugerah ingat pada Tabah?”
            “Sentiasa. Dia sentiasa ada depan mata Anugerah.”
            “Kak long pun sama lagi-lagi bila tengok Anugerah.”
            “Kenapa dia tak beritahu kita yang dia sakit. Kenapa dia rahsiakan dari kita?”
            “Tabah setabah namanya. Dia tak mahu lihat kita bersedih kerana dia. Dia pergi penuh ketenangan. Kak long masih ingat lagi wajah terakhir aruah, dia seolah-olah tersenyum.” Air mata yang mengalir di pipi diseka agar Anugerah tidak melihat dia menangis.
            “Betul Kak long?” Anugerah terpaku. Adakah ketenangan yang dinikmati oleh Tabah itu kerana kesanggupannya menjaga Sutra Ashikin? Oh jika itu dia rasa bersyukur kerana tidak menghampakan Tabah.
            “Eh  Jomlah masuk! Selain kopi kaw, Kak Fina ada buat cucur ikan bilis sekali.” Saja Fina mengubah topik perbualan mereka. Dia tidak mahu terus-terusan bersedih. Kepulangan mereka sekeluarga adalah untuk bergembira. Bukan senang mahu berkumpul begini jadi biarlah masa yang ada digunakan sebaik-baiknya.
“Betul ke?”Mata Anugerah bercahaya. Cucu ikan bilis air tangan kakak iparnya memang telah lama diidam-idamkan sejak sekian lama.
“Betul. Jom.”
“Jom.” Dengan pantas Anugerah melompat bangun. Dia membontoti langkah Fina. “Ini yang buat Anugerah sayang sangat kat Kak Fina ni.” Fina senyum senang hati mendengar pengakuan Anugerah itu.

           
            QASEH,INDAH,SAYANG DAN SUTRA hilang entah kemana. Sibuk agaknya di dalam bilik bermain dengan permainan baru yang dibeli oleh Curnia. Anugerah mengambil tempat di sebelah Puan Suci Harum. Tangannya cepat sahaja mengambil cucur ikan bilis di atas meja.
            “ Slow-slow makan tu.” Nasihat Puan Suci Harum sambil ketawa kecil melihat gelagat Anugerah.
            “Lama tak makan cucur ikan bilis yang kak long buat bu. Kat sana ada gak buat sendiri tapi tak sama.”Manakan sama jika air tangan sendiri yang membancuhnya. Tangan lelaki bujanglah katakan. Keras dan kaku maka cucur ikan bilis pun jadi keras kedengkung.
            “Lepas ni kena cari isteri yang pandai masak cucurlah. Tak gitu bu?” Usik Fina.
            “Tu ha, anak dara sebelah tu ada. Kalau nak ibu boleh kenen-kenenkan.” Kata Puan Suci Harum diikuti oleh sorakan dari Curnia, Fina dan Hafshah.
            “Tak lama lagi makan nasi minyaklah kita bu. Nak hantar pengantin pun tak jauh. Sebelah aje.” Usik Curnia pula.
            “Dia orang Kuala Selangorlah. Kena pergi sana kalau nak meminang.” Jawab Anugerah selamba.
            “Wah, tengok bu siap dah tahu asal mana. Cinta dah berkembang dah bu.”Tambah Curnia.
            “ Mana ada berkembang, kembang kuncup adalah.” Sahut Anugerah diikuti oleh sorakan daripada yang lain.
            “ Yang mana satu bang? Yang muka mat salleh ke yang muka anak mami? Kalau yang muka anak mami tu dah bertunang.” Hafshah menyampuk.
            “Tengok bu, anak-anak bujang ibu semua tahu. Asal mana, dah bertunang ke belum. Dahsyatlah korang berdua ni.” Curnia tidak habis-habis mengusik.
            “Macam mana tak tahu, si Hafshah ni dulu dok mengayat yang anak mami tu tapi melepas. Sekali tunang orang da.” Tiba-tiba Encik Hafsham mencelah. Dalam sibuk-sibuk menelek suratkhabar pun masih sempat lagi tumpang sekaki mengusik.
            “Berdua saja ke ayah? Kalau bertiga boleh Cur masuk jarum.”
            “Amboi, dah tua bangka ada hati nak masuk jarum.” Jerit Fina sambil jemarinya pantas mencubit lengan Curnia. Mereka sama-sama ketawa. Anugerahlah yang paling seronok dikelilingi oleh ahli keluarganya. Sudah lama dia rindukan saat-saat kecoh begini. Dia bersyukur di dalam hati yang tindakannya meninggalkan bumi kangaroo adalah tepat dan dia berjanji tidak akan meninggalkan bumi Malaysia lagi.


**** Harap tidak menghampakan BDD bab 10 ni yek...
         
        With love, 
        LH