BAB 9
Bacille calmette et guerrin atau
pun lebih dikenali sebagai BCG adalah suntikan yang diberikan kepada
kanak-kanak untuk mengelakkan jangkita miliary TB iaitu menyerang paru2 dan TB
miningitis yang menyerang selaput otak. Di malaysia, suntikan BCG wajib
diberikan kepada bayi yang baru dilahirkan.
Dengan
tekun aku membaca informasi yang aku jumpa di dalam sebuah blog di internet.
Walau kita sebagai rakyat Malaysia
sudah pun diberikan imunisasi tersebut tetapi kita masih berisiko dijangkiti
oleh penyakit TB kerana kebanjiran warga asing yang datang ke Malaysia seperti
dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan negara-negara yang banyak kes
penyakit tersebut.
Bacaku
lagi dengan penuh minat. Disebabkan oleh Ismail tak pasal-pasal aku google tentang BCG yang sudah bertahun
aku tahu tentangnya tetapi langsung tidak aku sedar kegunaannya.
“Bagus
juga aku ambil tahu tentang semua ni. Ada anak besok tak adalah aku skip
imunisasi yang penting macam gini,”kataku pada diri sendiri.
“Amboi,
amboi, amboi!!! Mengeletis ye kau ni. Encik Yahya baru offer kahwin dengan anak dia, belum lagi nak masuk meminang tapi
kau dah berangan soal anak.”
Dengan
mulut yang dijuihkan ke depan dan kedua-dua tangan diletakkan di pinggang aku
lihat bukan main berlagak lagi Mazuin mencemuhku.
“Tak
tahu hujung pangkal tak payah nak cakap yang bukan-bukan,”kataku tegas. Mata
dialihkan semula memandang ke skrin komputer.
“Apa
yang kau tengok tu?”Mazuin sudah mula mendekatiku dan melihat ke skrin. Aku
langsung tidak menyahut. Biar dia lihat sendiri apa yang aku cari. “BCG? Are you serious Nur Ailis?”kuat suara
Mazuin kedengaran di telinga yang hanya beberapa inci saja dari mulutnya.
“Seriuslah.”
Bukk...
Satu
tumbukan hinggap di papan bahu. Aku menjerit kesakitan. “Kau gila ke Win.
Marahkan aku sampai tahap memukul,”kataku tidak percaya. Mama aku pun sudah
tidak lagi mengangkat kaki dan tangan jika mahu mengajarku.
“Aku
bukan berniat nak pukul kau sekadar nak tengok daya tahan tubuh kau.”
Tanganku
masih lagi menggosok-gosok bahagian yang sakit itu. Langsung aku tidak mahu
memandang Mazuin yang sudah pun duduk di hadapan.
“Itu
baru penumbuk comel aku. Kalau Ismail yang tumbuk apa kau rasa? Tentu lagi
sakit,kan. Kau jangan nak buat kerja gilalah Lis. Menyentuh tubuh badan orang
adalah satu kesalahan. Lebih parah jika kau dituduh melakukan gangguan seksual.
Yang tu aku pun tak mampu nak tolong. Bukan setakat aku, dengan mama kau sekali
pun tak mampu nak buat apa-apa.”
Aku
tersandar ke kerusi. Dalam melampau tu ada betulnya juga perbuatan Mazuin tadi. “Tapi aku mesti juga tengok BCG dia. Kau ada
idea?”
Mata
hitam Mazuin bergerak ke atas. Dahinya berkerut-kerut manakala bibirnya
tersimpul ke hadapan. Buruk betul aku lihat wajahnya dalam keadaan itu.
“Okey, okey macam ni,”Mazuin duduk tertib
bersedia untuk melontarkan idea. “Kau pergi jumpa Ismail ajak bersembang. Kau
belasahlah nak bersembang apa pun asalkan dia selesa dengan kau. Lepas tu kau
pergi stesen minyak sebelah kedai Ismail dan kau beli dua ais krim. Satu untuk
kau dan satu untuk Ismail.”
Aku
cebik bibir. “Cadangan ni tak boleh diterima pakai. Ada unsur-unsur mengurat.
Malulah aku.”
“Mengurat?
Tang mana yang menguratnya,”wajah Mazuin jelas kelihatan tidak berpuas hati.
“Pasangan
kekasihkan selalu makan ais krim. Nanti Ismail perasan aku mahu menguratnya.”
Mazuin
ketawa. “Habis tu kalau budak-budak makan ais krim kita nak panggil apa?”
Aku
diam tidak mampu bersuara terjerat dengan persepsi sempitku sendiri. “Lepas dah
makan ais krim apa aku nak kena buat?”
“Kau
tempek ais krim tu kat baju dia. Lepas tu kau buatlah gabra. Ambil tisu dan
cuba bersihkan pakaian dia. Dalam kelam-kabut tu kau ambillah peluang untuk
selak lengan t shirt dia.”
Kembang
pipiku tersenyum mendengar idea brilliant
Mazuin. Bab mengarah memang Mazuin champion
dan bab berlakon serah saja kepadaku. “Balik ni aku terus buatlah tapi kau
hantar aku ke sana ya Win.”
“Aduhh
aku juga yang jadi mangsa. Lama tu nak tunggu.”
“Dah
aku tumpang kereta kau jadi macam mana aku nak ke sana kalau tak menyusahkan kau,”jegilku
geram. Dia juga yang suka memaksa aku menaiki keretanya kononnya bosan memandu
sendirian tetapi apabila disuruh hantar ke tempat lain yang dia tidak punya
kepentingan mulalah nak bising.
“Janji
jangan lama sangat.”
“Yelah,”cebikku.
Yang sebenarnya aku seram memikirkan rancangan yang akan aku jalankan petang
nanti. Berjayakah atau sebaliknya? Selamatkah atau ke hospitalkah aku? Tak
mampu aku mencari jawapan yang boleh menyedapkan hati. Yang aku mampu hanyalah
berdoa banyak-banyak moga segala-galanya akan berjalan dengan lancar.
“JIKA lama sangat aku di dalam kau tolong telefon polis.
Andai kata aku tidak dapat diselamatkan, kau tolong sampaikan pada mama yang
aku ada hutang Aiman lima ratus ringgit. Minta mama bayarkan bagi pihak aku. Taklah
tergantung roh aku nanti. Minta juga mama halalkan susu yang telah diberikannya
kepada aku. Cakap padanya yang dia adalah ibu terbaik di dunia. Untuk kau pula
aku nak pesan supaya rajin-rajinlah sedekahkan aku al-fatihah dan aku nak kau
tahu kaulah sahabat aku dunia dan akhirat.”
“Weh, apa yang kau merepek ni?!”dengan pantas Mazuin
memukul bahuku.Wajahnya tidak boleh ceritalah terberakup, masam bercampur
bengis.
“Aku nak pergi buat misi yang merbahaya. Entah hidup
entahkan...”
“Heh sudahlah,”tengking Mazuin marah. Mukanya makin garang
macam singa lapar. “Kalau kau tak mahu berhenti merepek aku janji aku
blah,”ugut Mazuin menakutkan aku.
“Tak, tak... aku okey.
Kau tunggu sini. Aku pergi beli ais krim lepas tu terus masuk jumpa Ismail.”
“Nak beli ais krim sekarang? Bukan borak dulu ke?”
“Lagi cepat lagi baik. Okey. Aku chow dulu.”
Aku pun keluar dari kereta lalu terus ke stesen minyak
yang hanya beberapa meter sahaja dari tempat cuci milik Ismail. Setelah membeli
dua belas ais krim cornetto aku pun
kembali semula mencari Ismail.
“Ali, itu boss mana?”laungku kepada Ali yang sedang tekun
mengelap cermin kereta Alza berwarna putih.
“Oh kakak! Boss
office dalam,”katanya lalu menunjukkan ke arah pejabat kecil Ismail.
“Ini ada aiskrim. Korang makanlah nanti ya,”kataku sambil
menunjukkan beg plastik di tangan. Ali hanya mengangguk. “Nak letak mana
aiskrim ni?”soalku kebingungan.
“Rahman...,”jerit Ali sambil menunjuk ke arahku. Rahman
pantas berlari lalu merapati aku.
“Ya kakak,”katanya dalam keadaan termengah-mengah.
“Ini ada ais krim. Cepat makan ya. Nanti cair.”
“Okey kakak. Dhan’yabada.”
Aku ternganga. Dia ni pekak ke apa? “Yabada bedu apanya. Aku kata ambil aiskrim ni. Cair karang lengah
nak tunggu kau bersorak.”
Rahman ketawa sambil kepalanya tergeleng-geleng. Eh
bangla ni! Nak beramah mesra pula dengan aku di saat aku mahu menjalankan misi
penting.
“Dhan’yabada. Maksudnya terima
kasih,”terangnya bersungguh-sungguh.
Aku
tarik muka masam. Masa inilah dia nak mengajar aku bahasa Bangladeshnya. Tapi okey juga. Kurang-kurang nanti aku
tahulah bagaimana mahu mengucapkan terima kasih jika melancong ke Bangladesh.
Setelah
memberikan satu anggukan kepada Rahman, aku pun berlalu bersama-sama dengan dua
aiskrim cornetto yang sudah aku
keluarkan terlebih dahulu dari dalam plastik.
Sebaik sampai di pintu, aku memberikan salam dan
mengetuknya terlebih dahulu. Adab dan sopan perlu juga dijagakan. Itu pesan
mama. Cuping telinga aku tegakkan mengharapkan ada jawapan dari dalam tetapi
tiada sebarang bunyi yang kedengaran.
“Pekak ke apa dia ni,”kataku celopar dan sebaik ayat itu
aku habiskan pintu pun terbuka.
“Apa kau cakap?”
“Aiskrim,”dengan cekap aiskrim cornetto di tangan aku angkat. Minta-mintalah Ismail tidak
bertanyakan soalan tadi sekali lagi.
“Untuk aku?”soal Ismail terkejut. Dia menjauhkan dirinya
sedikit daripada pintu.
“Iye. Diaorang pun saya ada belikan sorang satu.”kataku
sambil menunjukkan ke arah pekerja-pekerja Ismail.
“Masuklah,”pelawa Ismail lalu bergerak ke mejanya. Aku
senyum dalam debar. Kaki aku gerakkan juga mengikut langkahnya.
“Ada apa hal?”
“Saja datang sini. Awak tak suka?”aku menduga.
“Tak adalah tak suka cuma aku pelik sikit. Kau tak kisah
bersembang dengan bangla macam aku?”
Aku buat muka pelik. “Nak kisahkan apa?”
Ismail bersandar ke kerusi. “Takut orang macam aku mengurat
korang?”
Aku ketawa berdekah-dekah. “Ambil aiskrim ni. Dah cair
pun,”unjukku yang baru teringat tentang aiskrim di tangan.
Ismail mengikut arahan. Diambilnya aiskrim yang aku unjuk
dan dibukanya dengan rakus. “Yang kau ketawa kenapa?”soalnya pelik.
“Statement tu
kelakar,”pendek jawapanku. Aku turut membuka aiskrim milikku.
“Bangsa kau pandang serong pada kami. Semalam baru saja
Kareem dimarahi oleh seorang wanita kerana senyum kepada anak gadisnya. Kasihan
Kareem. Senyuman itukan satu sedekah tetapi menjadi satu kesalahan di sini.”
Aku terkejut mendengar cerita Ismail. Takkan sampai
begitu sekali penerimaan sesetengah orang terhadap warga asing sehingga senyum
pun tidak boleh.
“Tak semua begitu. Berbaik dengan sesama manusia bukanlah
satu kesalahan besar pun,”kataku sambil otakku ligat memikirkan bagaimanakah
caranya untuk aku merapati Ismail. Aiskrim Ismail sudah pun tinggal separuh
manakala aiskrimku sudah suku aku jilat jadi aku harus cepat bertindak.
Tingkap di belakang Ismail aku pandang dan satu idea
muncul. Perlahan-lahan aku menghala ke situ dan melihat keluar.
“Apa yang kau tengok tu?”Ismail datang berdiri di
sebelahku.
“Saja tengok luar.”kataku berdebar-debar. “Kut-kut nampak
muka pekerja awak dari sini. Saya tak sampai hati tengok muka mereka lagi-lagi
dalam keadaan mereka letih bekerja.”
“Mereka datangnya dari keluarga yang miskin. Datang ke
sini mahu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarga.”hatiku langsung
tidak tersentuh mendengar kata-kata Ismail itu kerana aku sedang melakukan
kiraan satu, dua dan.....
“Allah,”jerit Ismail sebaik aiskrim yang aku pegang
tertonyoh ke lengan kanannya.
“Ya Allah awak. Saya minta maaf. Minta maaf.”kataku
pura-pura panik. Aku berlari mengambil tisu di atas meja dan menolong Ismail
mengelap bajunya yang kotor. Sewaktu mengelap itu sempat aku selak lengan t shirt yang dipakainya.
“Tak apa Ailis. Aku boleh bersihkan sendiri,”kata Ismail
yang nampak tidak selesa dengan perlakuanku. Bukannya aku sentuh tubuhnya, aku
hanya mengelap lengan bajunya sahaja. Sewaktu menyelak lengan bajunya pun aku
pastikan yang tanganku tidak terkena kulitnya tetapi Ismail tetap tidak selesa
dengan situasi ini. Sikap sopan lelaki itu buat hatiku dipagut rasa bersalah.
“Awak marahkan saya ke?”kataku menyesal.
“Tak. Kau bukannya sengaja. Aku nak ke toilet. Aiskrim yang ada di atas lantai
ni biar pekerja aku yang bersihkan. Kau duduk sini tunggu aku.”
“Wak.. saya balik dululah. Maafkan saya ya,”kataku membuat
keputusan. Ada dua sebab mengapa aku mahu cepat-cepat beredar dari situ. Sebab
yang pertama ialah aku malu dengan Ismail manakala sebab yang kedua pula ialah
aku sudah dapat apa yang aku mahu.
“Kan aku dah cakap tadi tak apa.”
“Okey. Saya
tahu tapi saya memang nak balik. Jangan serik berbual dengan saya ya.”
Ismail senyum. “Ha yelah. Aku ke toilet dulu. Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Ismail menapak keluar dari pejabat diikuti oleh aku. Dia
ke bilik air manakala aku mendapatkan Mazuin yang setia menanti.
“Macam mana babe?
Berjaya tak?”Mazuin kelihatan teruja.Dalam senyum yang tawar aku menganggukkan
kepala.“So?”
“Aku rasa bersalah pula tonyoh aiskrim ke baju dia.
Bukannya dia nak marah aku, siap tak bagi aku bersihkan aiskrim yang jatuh di
atas lantai lagi,”keluhku kesal dengan sikapku yang keterlaluan. Terlalu
mengikutkan kata hati sehingga sanggup memperlakukan Ismail sedemikian rupa.
“Lain macam saja aku dengar. Misi berjaya ke tidak
ni?”Mazuin mula rasa sangsi dengan hasil yang aku perolehi.
“Kau gerak dulu,”arahku saja mendera hati Mazuin. Dengan
pantas Mazuin menurut perintah.
“Dia memang bangla ya Lis?”akhirnya Mazuin dapat meneka
kenapa aku berat hati mahu membuka mulut.
Aku angguk. “Tak ada kesanlah Win. Nampaknya dia tak
tipu. Ismail tu memang baik orangnya bukan pembohong macam aku.”
“Lengan mana yang kau tengok?”tanpa diduga Mazuin
melemparkan soalan itu.
“Kanan.”
“Patutlah tak ada kesan sebab biasanya BCG diberikan di
tangan kiri. Ada dalam rencana di internet yang kau baca pagi tadi.”
Aku terkejut. Langsung tidak aku sedar tentang itu.
“Betul ke ni Win? Awat hang tak habaq kat
cheq?”
“Nampaknya misi tak berjayalah. Aduhh... kena ada misi
kedualah pulak lepas ni,”kata Mazuin tanpa mahu menjawab soalanku.
“Tak mungkin akan ada misi yang kedua. Aku tak sangguplah
Win nak berlakon lagi. Ismail tu baik.”Aku membuat keputusan. Entah kenapa aku
sudah tidak seghairah seperti sebelum ini.
“Takkan kau nak beritahu yang kau dah jatuh cinta dengan
dia.”
“Merepek sajalah kau ni,”marahku tidak bersetuju dengan
Mazuin.
“Terlanjur hati dah berkocak tu baiklah kau teruskan misi
yang kedua. Kalau betul dia mamat tulang yang kita cari tak sia-sia kau jatuh
hati. Bolehlah diteruskan ke fasa yang seterusnya. Mama kau pun tentu takkan
membantah.”
Aku hanya diam membisu. Tak pula aku melenting mendengar
usikan Mazuin seperti selalu. Apa dah jadi dengan hatiku ini? Benarkah aku
sudah jatuh cinta dengan Ismail? Oh aku keliru!
BAB 10
“Terlanjur hati dah
berkocak tu baiklah kau teruskan misi yang kedua. Kalau betul dia mamat tulang
yang kita cari tak sia-sia kau jatuh hati. Bolehlah diteruskan ke fasa yang seterusnya.
Mama kau pun tentu takkan membantah.”
Berulangkali
ayat yang telah diungkapkan oleh Mazuin itu terngiang-ngiang di gegendang telinga.
Puas aku cuba menghindarinya tetapi tidak berjaya. Telingaku umpama sudah
dipasang cip yang telah di programkan dengan rakaman suara Mazuin itu.
Jam di dinding aku lirik. Sudah hampir pukul 12 tengah
malam. Pukul berapalah baru aku akan dapat melelapkan mata jika begini
keadaannya. Pelbagai posisi telah aku gayakan. Terlentang, meniarap,
menonggeng, mengiring dan berselubung namun semuanya tidak membuahkan hasil.
“Aku jadi begini disebabkan oleh Mazuin jadi aku akan call dia,”kataku membuat keputusan. Nombor
Mazuin aku dail. Langsung aku tidak rasa bersalah jika tindakanku ini akan
membuatkan tidur Mazuin terganggu.
“Hai dear,”suara
Mazuin aku dengar begitu ceria. Gembira sungguh dia menerima panggilan telefon
dariku. Tak tidur lagi rupanya minah ni. Aku merengus geram kerana niatku mahu
mengganggu tidurnya tidak berjaya.
“Kau tak tidur lagi ke Win?”
“Baru lepas tengok movie
di astro first. Biasalah, duduk
bujang. Nak layan apa lagi. Movielah babe.”
Aku diam meradang. Aku harapkan dia marah tetapi aku yang
terkena.
“Lis, kau ada masalah ke?”kali ini aku dengar suara
Mazuin agak serius. Kebisuan aku buat Mazuin bersangka begitu.
“Aku tak rasa aku jatuh cinta dengan Ismail macam yang
kau cakapkan tadi,”terus penafian itu aku lakukan.
“Masa bila pulak aku cakap kau jatuh cinta. Aku cuma kata
hati kau tu dah berkocak.”
“Samalah tu Win.”
“Tak sama. Berkocak maknanya baru nak diketuk. Belum
jatuh cinta lagi.”
Pandai
sungguh Mazuin mereka fakta tentang cinta. Dia yang baru sekali merasai nikmat
mempunyai perasaan itu sudah pandai mahu mengajar aku yang punya pengalaman
lebih banyak daripadanya.
“Apa
yang buat kau rasa hati aku sudah berkocak?”
“Kalau
kau tanya soalan ini siang tadi memang susah aku nak jawab tapi disebabkan kau
tanya soalan ini pada aku sekarang dengan yakinnya aku nak cakap yang kau
takkan call aku jika kau tak
memikirkan tentang perkara ini. Betul tak? Itu maknanya kau pun keliru dengan
hati kau sendiri. Separuh daripada hati kau menyatakan ya, kau sudah mula suka
pada Ismail dan separuh lagi menyatakan sebaliknya.”
Aku
terdiam tidak mampu bersuara. Mazuin seperti sudah memasukkan aku ke dalam
mesin MRI, membuat imbasan ke atas otak dan tubuhku seterusnya membaca segala
keputusan yang keluar. Semuanya benar dan tepat. Ya, aku memang sedang keliru
dengan hatiku sendiri.
“Kau
teruskan sajalah misi kedua untuk melihat BCG Ismail. Kali ni mesti lagi
senang. Alang-alang dah suka, kau godalah dia sampai dia menyerah. Kau buka
satu-satu pakaiannya. Mula-mula sekali baju, selepas tu tali pinggang...”
“Apa
yang kau merepek ni Win. Kau ingat aku ni pelacur?”marahku rasa terhina dengan
cadangan Mazuin.
Bukannya
Mazuin hendak takut mendengar marahku. Lagi dia ketawa kuat adalah. “Kau tu
yang bisu tak mahu bercakap. Lain kali bagilah respon. Tak adalah aku rasa macam
aku bercakap dengan dinding. Aku saja mengusiklah.”
“Ya
pun janganlah bagi cadangan macam tu. Seram sejuk tau aku rasa. Mujur tak
pengsan.”
Tawa
Mazuin kedengaran lagi. “Sebenarnya aku pun dah tak ada idea nak kasi kat kau.
Ada peluang kau sia-siakan. Takkan nak diulang taktik yang sama. Kau ingat
Ismail tu tak ada otak?”
“Itu
yang menjadi masalah sekarang ni Win. Aku pun sama tak ada idea macam kau. Tak tahu nak berlakon
apa lagi.”Kataku buntu.
“Kau
kena fikirkan juga caranya kerana jika kita tahu dia bukan warganegara
Bangladesh makanya aku yakin dialah mamat tulang yang kau cari.”
Betul kata Mazuin. Misi melihat BCG Ismail tetap akan
diteruskan walaupun sukar. Banyak persoalan yang akan terjawab jika aku berjaya
melakukannya tetapi aku tidak boleh gopoh. Aku perlu memikirkan strategi yang
terbaik untuk menjalankan misi ini supaya Ismail tidak mengesyaki apa-apa
tetapi bagaimana?
HARI ini aku mendapat jiran baru. Pulang saja dari
bekerja aku lihat jiran baruku sedang sibuk mengangkat beberapa barangan yang
dipunggah dari dalam kereta viosnya. Melihat air mukanya yang keletihan, aku
terpanggil untuk membantu.
“Assalammualaikum,”sapaku ramah. Wanita bertudung labuh
itu terkejut. Kotak yang dipegangnya diletakkan semula di dalam kereta.
“Waalaikumusalam,”jawabnya sedikit tercungap.
“Saya Ailis. Jiran sebelah. Akak sorang saja ke?”
Tangan aku hulurkan mahu bersalaman dengan wanita yang
aku kira berumur dalam lingkungan tiga puluhan itu.
“Ada adik kat dalam tapi dia tak sihat,”jawab wanita itu
ramah dan menyambut huluran salamku.
“Biar saya tolong akak ya.”Terus aku menawarkan diri
untuk membantu. Wanita itu tidak terus bersetuju. Dia kelihatan serba-salah.
“Tak payahlah. Tinggal bakul ni dan barang yang di dalam
kereta saja. Barang-barang lain semuanya sudah dipunggah dari lori.”Wanita itu
menolak dengan sopan permintaanku.
“Banyak juga lagi barang yang ada dalam kereta. Penat
akak nanti.”Beberapa kotak yang berada di dalam kereta aku pandang. Jenuh juga
wanita itu mahu mengangkatnya nanti dalam keadaan wajahnya yang sudah pun
nampak lesu.
“Kak
Cah tak menyusahkan Ailis ke?”soalnya risau.
Oh, Kak Cah nama panggilannya! Aku tersenyum senang. “Nak
susahkan apanya Kak Cah. Saya yang offer
diri.”
Tanpa disuruh, aku mula mengangkat bakul berisi periuk
belanga yang aku lihat elok tertenggek di atas rumput. Melihatkan aku sudah pun
mula berkerja, Kak Cah tidak banyak cakap. Dia mengangkat semula kotak yang
diletakkannya tadi. Selepas itu Kak Cah mendahului aku masuk ke rumah.
“Bakul tu Ailis letak saja di dapur.”Arah Kak Cah melihat
aku termangu- mangu tidak tahu mana mahu meletakkan bakul yang sedang aku
pegang. Aku mengangguk faham. Bakul yang boleh tahan beratnya itu aku letakkan
di dapur. Selepas itu aku keluar semula mengambil kotak yang berada di dalam
kereta Kak Cah.
“Lajunya Ailis,”kata Kak Cah sewaktu kami berselisih di
pintu utama.
“Nak letak di mana ni Kak Cah?”
“Letak saja di ruang tamu.”Jawab Kak Cah lantas
meninggalkan aku. Kotak yang tidak berlabel itu aku letakkan di tepi meja kopi
di ruang tamu. Baru saja aku mahu berpatah balik ke kereta, Kak Cah datang
menahan.
“Ini kotak last.
Dah tak ada lagi barang yang perlu Ailis angkat,”kata Kak Cah tercungap-cungap.
“Patutnya Kak Cah biarkan saja saya yang angkat.
Tengoklah Kak Cah tercungap-cungap,”tegurku kasihan melihat Kak Cah kepenatan.
Setakat satu lagi kotak yang perlu diangkat tu apalah sangat. Kudratku masih
lagi kuat untuk membantu.
“Adat orang berpindah Ailis. Tak penat bukan pindah rumah
namanya,”gelak Kak Cah lantas duduk di atas lantai. Kotak yang dipegangnya itu
ditolak ke sisi. Aku turut sama jejak Kak Cah. Tanpa kekok aku labuhkan
punggungku ke atas lantai yang sudah pun berdebu.
“Dah habis semua ke barang Kak Cah?”soalku sekali lagi
mahukan kepastian. Aku lihat tidak banyak sangat barang yang Kak Cah bawa ke
rumah yang baru disewanya ini. Di ruang tamu itu perabut yang ada cuma satu
sofa dua tempat duduk dan meja kopi.
“Dah habis semuanya. Rumah bujang. Bukannya perlu banyak
perabut. Pinggan mangkuk pun setakat dibawa untuk kegunaan kami berdua sahaja.”
“Ni pun kira okeylah Kak Cah,”kataku memandang ke dapur.
Aku lihat kemudahan asas seperti mesin basuh, peti sejuk dan beberapa barangan
elektrik lain sudah pun elok tersusun di situ. “Yang penting ada mesin basuh
dengan peti sejuk.”
“Memang itu yang Kak Cah utamakan dulu. Tak adalah teruk
nak menyental kain.”
“Dapur
masak tak ada lagi ke Kak Cah?”soalku ingin tahu kerana kelengkapan itu tidak
kelihatan di pandanganku.
“Tak
sempat lagi nak beli. Kak Cah ni lebih utamakan adik. Keperluan dia yang Kak
Cah titik beratkan dahulu. Katilnya perlu ditempah khas, tiub makanan perlu
dipastikan sentiasa ada dan macam-macam lagilah keperluan hariannya sehingga
Kak Cah terlepas pandang dapur yang sangat penting tu.”kata Kak Cah tergeleng-geleng
menyesali kealpaan diri.
Aku kebingungan. Sakit yang bagaimanakah yang
dihidapi oleh adik Kak Cah sehingga kelengkapannya seperti kemudahan asas yang
digunakan di hospital? Faham dengan perubahan air mukaku Kak Cah melambai. “Mari
masuk sini,”katanya lalu bangun dan membuka pintu bilik utama.
Aku
turutkan saja kehendak Kak Cah. Kaki aku atur masuk ke dalam bilik tersebut dan
sebaik masuk aku tergamam dengan apa yang aku lihat. Seorang wanita berambut pendek
seperti lelaki sedang berbaring elok di atas katil hospital. Dilehernya terdapat
tampalan putih dan wayar yang tergantung.
“Adik
Kak Cah?”
“Ya. Ailis boleh panggil dia Kak Nin.”Angguk Kak Cah
mengiyakan kata-kataku tadi.
Perlahan-lahan aku mendekati Kak Nin yang langsung tidak
bergerak. Tangan kirinya aku pegang. Sejuk.
“Nin, kita ada tamu. Jiran sebelah. Namanya Ailis. Cantik
orangnya Nin. Dahlah cantik baik pula tu. Dia tolong Kak Cah angkat barang. Dia
ada dalam bilik ni nak berkenalan dengan Nin.”Aku dengar Kak Cah memberitahu
Kak Nin akan kehadiranku. Entah mengapa sebaik mendengar kata-kata Kak Cah itu airmataku
terus mengalir laju membasahi pipi. Cepat-cepat aku berlari keluar malu dengan tindakanku
itu.
“Ailis sedih,kan?”Bahuku terasa dipegang. Aku menoleh
memandang Kak Cah yang rupanya membuntutiku.
“Maafkan saya Kak Cah,”pintaku rasa bersalah. Tidak patut
aku menunjukkan kesedihan di hadapan Kak Cah yang baru sahaja aku kenal.
“Siapa pun yang melihat Nin untuk pertama kali pasti akan
tersentuh.”
Airmata yang mengalir aku kesat. “Saya sedih lepas tengok
cara Kak Cah bercakap dengan Kak Nin,”terangku jujur. Kak Cah menganggap Kak
Nin normal seperti aku, seperti dia dan seperti orang lain. Itu sebenarnya yang
meruntun tangkai hatiku.
“Doktor kata Nin dengar orang disekelilingnya bercakap cuma
dia tidak mampu untuk memberikan sebarang respon. Kak Cah tak mahu dia rasa
terpinggir jika Kak Cah melayaninya seperti orang sakit. Kak Cah buat macam
biasa, macam dulu-dulu sebelum dia jatuh sakit,”terang Kak Cah agar aku faham.
“Dah lama Kak Nin sakit?”
“Lama jugalah. Dia kemalangan kereta. Kalau Ailis nak
tahu tempurung kepala Nin sudah dibuang sedikit.”
Aku benar-benar terkejut dan ternganga kerana ngeri
mendengar penderitaan yang harus ditanggung oleh Kak Nin.“Ya Allah, seksanya Kak
Nin.”
“Selepas enam bulan kemalangan, Nin sedar dari koma. Kak
Cah bawa Nin pulang ke kampung. Nin di refer
di hospital sana tetapi tiga bulan lepas, Nin koma semula. Doktor kata harapan
Nin untuk sedar adalah tipis tetapi Kak Cah tak berputus asa. Nin pernah koma
selama enam bulan jadi Kak Cah yakin yang Nin akan sedar juga. Kak Cah pindahkan
Nin ke sini. Doktor di sini pun tidak memberikan sebarang harapan kepada Nin.
Kak Cah dah tiada upaya. Akhirnya Kak Cah berbincang dengan doktor untuk
mengizinkan Kak Cah membawa Nin pulang ke rumah. Sekurang-kurangnya Nin dapat
rasa suasana rumah yang lebih selesa. Mulanya Kak Cah nak bawa Nin pulang ke
kampung semula tetapi atas perbincangan semua ahli keluarga adalah lebih baik
Kak Cah menetap saja di Kuala Lumpur.”
Aku mengangguk-anggukkan kepala faham dengan penerangan panjang
lebar Kak Cah.
“Kebetulan pula Kak Cah memang ada butik di sini.
Walaupun ada sepupu yang menjaganya tetapi bila ada masalah tak adalah jauh
sangat Kak Cah nak berulang-alik ke butik. Waktu di kampung dulu memang susah
Kak Cah. Apabila perlu menjenguk butik, Kak Cah kena cari orang yang boleh jaga
Nin. Hati Kak Cah di Kuala Lumpur pun tak tenang. Dah duduk di sini tak apa.
Kak Cah suruh sahaja pekerja datang cari Kak Cah di rumah jika ada hal yang
perlukan kelulusan Kak Cah.”
Kasihan aku mendengar beban yang harus ditanggung oleh
Kak Cah. Mahu bertanya lebih lanjut kenapa ayah dan ibunya atau ahli keluarga
yang lain tidak turut membantu menjaga Kak Nin aku segan. Yelah, kami baru saja
berkenalan masakan mahu bertanyakan soalan sensitif itu.
“Memandangkan Kak Cah dah pun jadi jiran kami, saya harap
Kak Cah janganlah segan-segan untuk bercerita dengan kami jika ada masalah. Apa
yang kami boleh bantu, kami akan bantu,”dengan ikhlas hati aku menawarkan diri.
Lagi pun siapa lagi yang boleh Kak Cah harapkan melainkan kami jirannya.
“Malulah Kak Cah. Ailis tolong Kak Cah angkat semua
kotak-kotak tu pun Kak Cah tak tahu nak berterima kasih macam mana.”
Aku senyum faham dengan situasi Kak Cah. “Sikit aje Kak
Cah. Tak keluar peluh pun saya angkat kotak-kotak tu.”
“Untung Kak Cah dapat jiran sebaik Ailis.”Kak Cah
memberikan pujian. Aku tersenyum senang.
Jam di pergelangan tangan aku lirik. Jarum sudah pun
menunjukkan ke pukul enam empat puluh lima petang. Waktu maghrib hampir tiba.
Aku rasa lebih baik aku pulang dahulu membersihkan diri. Selepas maghrib nanti
aku akan ke situ semula membawakan makanan buat Kak Cah yang tidak punya
kelengkapan memasak.
“Saya minta diri dulu ya Kak Cah. Nak balik mandi dan
solat. Lepas tu saya datang balik hantar makanan untuk Kak Cah jadi Kak Cah tak
perlulah susah-susah keluar cari makanan ya,”pesanku meminta diri.
“Ya
Allah Ailis. Tak perlulah susah-susah sampai macam tu sekali.”Sewaktu
menuturkan kata-kata itu aku lihat wajah Kak Cah seperti mahu menangis. Dia
tersentuh barangkali dengan sikap ambil beratku tadi.
“Tak
ada apa yang susahnya Kak Cah. Kak Cah anggap itu sebagai salam perkenalan
kita.”
Kak
Cah angguk faham bersama dengan sebuah senyuman yang panjang. Dia tidak bersuara tetapi mengiringi
langkahku sehingga ke pintu pagar.
“Assalammualaikum Kak Cah,”ucapku sebaik keluar dari
pagar.
“Waalaikumusalam. Terima kasih sekali lagi ye Ailis.”
“Sama-sama Kak Cah.”
Jawabku senang. Aku atur langkah masuk ke rumah bersama
dengan seribu satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Rasa sedih, terharu,
insaf dan syukur dikisar menjadi satu. Melihat dugaan orang lain dengan mata kepala
sendiri membuatkan aku sedar kehidupan yang aku miliki kini adalah terlalu baik.
Melihat betapa redanya Kak Cah menerima dugaan yang Allah berikan buat aku
malu. Selama ini aku sering merungut
apabila ditimpa dugaan-dugaan yang kecil. Sepatutnya aku perlu lebih mensyukuri
nikmat hidup yang aku miliki. Mengenangkan itu tanpa sedar sekali lagi
airmataku mengalir membasahi pipi. Aku insaf.
** Alhamdulillah... cukup 10 bab untuk tatapan semua. Moga anda terhibur membacanya.... Untuk bacaan versi yang telah dibuat penambah baikan dari segi ejaan oleh editor, bolehlah singgah di www.penulisan2u.my ataupun di wattpad karyaseni.
Much Luv,
Liz Haliza.