Monday, January 27, 2014

Misi Merebut Encik Hubby














 BAB 2
            “Betullah kata suami kakak tu. Berbaik dengan bonda. Bukan orang lain pun. Ibu kandung sendiri juga.”Bidas Ku Jumina menyokong tindakan abang iparnya yang mahukan Ku Jumiza berbaik-baik dengan bonda mereka.
            “Mungkin bonda akan lembut hati tapi bagaimana pula dengan Ku Jauhari? Min tak ingat dulu dia maki hamun kakak.”Ingat Ku Jumiza kepada Ku Jumina.
            “Ku Ri tu kaki bodek bonda. Buat bo layan sudah. Yang penting hati bonda. Kalau bonda berbaik semula dengan kakak, pasti Ku Ri akan ikut juga berbaik dengan kakak. Dia tu bukan ada pendirian. Belanja harian dia suami isteri pun masih bonda yang tanggung. Beranilah dia nak lawan cakap bonda.”Cebik Ku Jumina sambil di matanya terbayang-bayang wajah Ku Jauhari. “Itu mujur dapat isteri baik. Kalau dapat isteri sama naik dengan dia tak tahulah. Mahu bankrap syarikat bonda.”
            “Menantu pilihan bonda. Mestilah baik.”Sinis Ku Jumiza menyindir bondanya sendiri.
            “Nak sindir tu patut depan bonda. Sindir belakang-belakang tak beri kesan apa pun kak.”
            “Ku Min berani nak sindir bonda depan-depan?”Duga Ku Jumiza. Ku Jumina sengih tawar. Mana dia berani. Calon suami pun bondanya yang pilihkan. Nasib baiklah dia juga berkenan dengan pilihan hati bondanya jika tidak mungkin sekarang dia juga dibuang keluarga sama seperti Ku Jumiza.
            “Datang sajalah masa nikah Min nanti kak. Bonda pasti gembira. Min tahu bonda pun rindukan kakak. Kalau bonda berkasar, simpan saja didalam hati. Kita semua memang dah tahu mulut bonda. Kalah bisa ular tedung selar. Apa-apa pun dia tetap bonda kita, wanita yang melahirkan kita. Wajar untuk kita menghormatinya.”Nasihat Ku Jumina dengan harapan Ku Jumiza lembut hati mendengar kata-katanya.
            “Abang Dollah macammana? Buatnya bonda maki dia di depan orang ramai?”Soal Ku Jumiza minta kepastian sedangkan dia sendiri tahu Ku Jumina bukannya boleh memberi sebarang jaminan.
            “Takkan bonda nak rosakkan reputasi sendiri di depan keluarga bakal besannya. Nanti tak jadi menikahlah kami. Terlepas bonda nak bermenantukan anak menteri.”
            “Ya tak ya juga. Bijak otak kau ni Min.”
            “Bijak saja tapi tak cukup berani macam kakak. Tak berani bersuara menyuarakan rasa hati.”
            “Bukan tak cukup berani tapi Min memang berkenan dengan Sulaiman tu, kan. Orangnya handsome, kaya pula tu. Mahunya tak cair. Lagi satu adik kakak ni baik orangnya. Bukannya macam kakak yang menderhaka pada bonda sendiri.”
            “Bab menderhaka tu susah Min nak komen. Tepuk dada tanya hati. Kalau kakak rasa kakak menderhaka Min harap kakak dapat memikirkan kesan dan akibatnya buat kakak di akhirat nanti. Beralahlah kakak.”Sekali lagi Ku Jumina menasihati Ku Jumiza. Susah sebenarnya menjadi dia. Berada di tengah-tengah dua insan yang disayanginya. Harapannya cuma pada Ku Jumiza kerana Ku Jumiza kakaknya, senang untuk dinasihati dan dipujuk dibandingkan dengan bondanya yang harus dihormati. Jika tersilap kata bimbang dosa yang menanti.
            “Kakak faham.”Perlahan bicara Ku Jumiza. Dia termenung seketika.
            “Tentang Sulaiman yang kaya tu, kakak salah. Min tak memandang harta tapi.... tentang handsome tu betul. Tak sabar Min nak sebilik dengan dia.”
            “Gatal.”Ejek Ku Jumiza sambil ditolaknya sedikit tubuh Ku Jumina.
            “Mana tumpahnya kuah kalau tak ke Min kak. Kakak gatal sampai buang keluarga, tempias gatal kakak tu pasti kena juga pada Min.”
            “Jahat mulut tu ya.”Gelak Ku Jumiza diikuti oleh gelak tawa Ku Jumina. Begitulah mereka. Sejak kelahiran Khadeeja, Ku Jumina sering menghubunginya dan cuba merapatkan hubungan mereka yang pernah renggang suatu waktu dahulu. Hanya baru sekarang Ku Jumina berani datang menjenguknya di rumah. Mungkin sebelum ini Ku Jumina tersepit di antara taat pada bonda mereka dan sayang pada dirinya sebagai kakak.
“Bonda pun tak pernah jumpa Eja. Min pasti, bila bonda tengok saja wajah comel Eja tu, pasti hati bonda yang keras akan cair.”
“Itupun kalau bonda terima. Kalau bonda berkasar dengan Eja?”Itulah yang paling dibimbangkan oleh Ku Jumiza. Bimbang Khadeeja akan terasa hati dengan sikap Raja Kamariah yang sukar dijangka.
“Memang tiada perasaanlah bonda jika dia tidak cair melihat cucu sendiri.”
“Manalah tahu. Bonda tu bukan boleh dijangka. Buatnya benci pada Bang Dollah dibawa juga ke Eja macammana?”
“Belum cuba belum tahu. Tapi bak kata Min tadi, bonda mesti nak jaga reputasinya depan bakal besan. Paling kuat pun, kalau tak suka bonda akan jeling Eja. Kalau nampak bonda buat begitu, kita fahamlah.”Jelas Ku Jumina menyakinkan Ku Jumiza.
“Brilliant. Kalau bonda jeling Eja, kakak terpaksa jauhkan Eja dari bonda. Bukan niat mahu melawan tetapi Eja terlalu kecil untuk disakiti.”
“Apa-apa sajalah kakak. Min faham. Yang penting kita usaha.”
“Ya... kita usaha.”
“Usaha tangga kejayaan.”Kata Ku Jumina penuh semangat. Gelak besar lagi Ku Jumiza mendengar sorakan semangat Ku Jumina. Adiknya yang seorang ini penuh dengan sifat lucu yang bisa meleburkan segala kegusaran di jiwa.
Gelak tawa dua beradik itu diperhatikan oleh Rashid dari jauh. Matanya tak berhenti memandang ke wajah jelita Ku Jumiza yang diminatinya itu. Wajah wanita yang berjaya mengetuk hati jantannya untuk mengenali cinta buat pertama kali.

            SILING bilik direnung Rashid lama. Jika matanya mengeluarkan cahaya laser pasti sudah tembus siling tersebut sehingga menampakkan bumbung rumah. Senyuman manis Ku Jumiza yang dilihatnya siang tadi benar-benar menggoncangkan jiwa. Jiwa lelaki muda yang baru saja mula mengenal erti cinta.
            Sejak bertentang mata dengan wanita jelita itu sewaktu hari pertama dia ke rumah tersebut untuk meminta kerja, hati lelakinya sudah berkocak kuat. Dia tahu Ku Jumiza berumur tiga puluh tahun, jurang perbezaan umur mereka terlalu besar tetapi entah kenapa wanita itu jugalah yang didambakan olehnya.
            Azila si gadis manis rakan sekelasnya yang putih gebu yang begitu meminatinya langsung tidak berjaya menggoncang jiwa Rashid seperti mana Ku Jumiza berjaya melakukannya. Di mata Rashid, Ku Jumiza punya aura yang sukar dimengertikan. Punya pesona yang memukau hati.
            “Kalau Bang Dollah mati memang aku pinang kau Kak Ku.”Tanpa sedar terpancul ayat itu dari mulut Rashid.
            “Akan aku tatang kau lebih dari Bang Dollah tatang kau. Akan aku jadikan kau bidadari seperti di syurga.”Rashid memejamkan matanya cuba membayangkan momen-momen indah antaranya dan Ku Jumiza.
            “Ashid...”Kuat nama Rashid dipanggil. Rashid tidak mengendahkan panggilan tersebut. Dia masih setia membayangkan wajah Ku Jumiza.
            Dummm.... Kuat pintu bilik ditendang. Rashid tersentak. Dia bingkas bangun lalu membuka pintu.
            “Mak nak apa?”Soal Rashid kasar. Dengan jelas dia nampak wajah Puan Zaitun masam mencuka.
            “Kau tak masak nasi? Kan aku pesan supaya masak nasi.”Marah Puan Zaitun sambil menjerit kuat.
            “Lupalah.”Jawab Rashid lalu ditutupnya daun pintu.
            Dummm... kuat lagi dentuman yang hinggap di pintu bilik Rashid. “Kau ni langsung tak membantu. Aku penat-penat cari duit untuk sekolahkan kau, bukannya kau nak sedar. Masak nasi pun tak boleh.”
            “Orang lupalah mak. Baru sekali.”Jawab Rashid dari dalam bilik. Bukan dia sengaja tetapi dia memang terlupa untuk memasak nasi. Kebetulan pula petang tadi Ku Jumiza ada membekalkan dia nasi ayam yang sangat enak jadi logiklah kalau dia lupa kerana perutnya sudah kenyang.
            “Tak boleh diharap langsung. Kalau aku tak kerja kau ingat boleh kau berlajar sampai masuk tingkatan lima. Kau fikir duit siapa yang aku ambil untuk sara kau? Adik-adik kau sendiri pun aku hantar ke asrama anak yatim. Kau dapat duduk senang-lenang dalam rumah ni pun tak tahu nak beruntung.”Pedih telinga Rashid mendengar amukan Puan Zaitun.
            “Orang boleh tanggung diri sendirilah. Orang pun kerja juga. Jangan lupa bulan lepas siapa yang bayar duit api air.”Kerana panas hati mulalah Rashid mengungkit.
            “Kau mengungkit? Baru bayar api air dah besar kepala. Kau juga yang guna api dengan air ni, kan.”Makin gila bunyi suara Puan Zaitun.
            “Ah, bisinglah!”Jerit Rashid kuat. Ditumbuknya daun pintu. Tidak cukup dengan itu ditendangnya dinding kuat sebagai tanda protes. Setelah puas menderhaka kepada ibu kandung sendiri, Rashid berbaring di atas katil bujang. Dia memejamkan mata cuba membuat endah tak endah dengan leteran Puan Zaitun yang masih berpanjangan.
            “Mulai besok aku takkan bagi kau duit lagi.”
            “Memang tak pernah bagi pun.”Jawab Rashid lalu menyebamkan wajahnya di atas bantal. Dia memaksa diri supaya tidur agar leteran Puan Zaitun yang kuat itu tidak dapat didengari. Ternyata taktik Rashid menjadi. Tahu-tahu saja matahari sudah meninggi apabila Rashid terjaga. Dia mengeluh kasar. Diambilnya jam loceng yang dibeli di pasar malam.
            “Dah pukul lapan.”Keluh Rashid kerana terlajak bangun. Mustahil baginya untuk pergi ke sekolah pada waktu begini. Perlahan-lahan Rashid berdiri, berjalan membuka pintu bilik lalu memandang ke ruang tamu. Baju sejuk yang selalu dipakai oleh Puan Zaitun tiada tergantung di belakang pintu. Rashid tarik nafas lega. Tahulah dia yang ibunya itu sudah keluar bekerja. Dia laju menuju ke dapur. Rashid kehampaan apabila dia lihat meja makan kosong tidak seperti yang diharapkan olehnya. Terduduk sekejap Rashid di kerusi sambil menongkat dagu.
            “Apalah nasib aku.”Keluhnya sedih. Ibunya memang menguji kesabaran. Jika mengamuk pasti tidak akan memasak sebagai hukuman kepada dia adik beradik. Itu jugalah yang menjadi salah satu sebab mengapa adik-adiknya mahu tinggal di asrama anak-anak yatim setelah ditawar oleh cikgu sekolah tempat adik-adiknya berlajar. Dia juga ditawarkan tempat tetapi ditolaknya dengan baik. Bukan besar diri tetapi dia rasa kasihan mahu meninggalkan ibunya seorang diri di rumah itu.
            “Baik aku mandi dan pergi rumah Kak Ku. Mana tahu dapat makan free.”Akhirnya Rashid membuat keputusan. Dia masuk semula ke bilik, mengambil tuala mandi lalu ke bilik air untuk membersihkan dirinya.
            Tidak sampai sejam Rashid sudah pun tercongok di depan pagar rumah Ku Jumiza. Ditariknya pagar yang dia tahu tidak bermangga. Ditutupnya lalu dia melangkah ke belakang rumah. Waktu-waktu begini Ku Jumiza sedang sibuk di dapur. Tepat jangkaan Rashid. Ku Jumiza sedang mengeluarkan kain yang sudah siap dibasuh dari dalam mesin basuh. Terkejut Ku Jumiza melihat Rashid sebaik Rashid memberi salam.
            “MasyaAllah Rashid. Terkejut Kak Ku.”Kata Ku Jumiza sambil mengurut dadanya. Rashid sengih kelakar melihat wajah Ku Jumiza yang melucukan tetapi tetap comel.
            “Sorrylah Kak Ku.”Pendek saja ucapan Rashid. Matanya masih ralit meratah wajah cantik Ku Jumiza.
            “Tak sekolah?”
            “Terlambat bangun.”
            “Kalau tak sekolah tu duduk rumah ulangkaji. Tak perlu datang sini. Semua kerja Ashid dah settlekan semalam.”Nasihat Ku Jumiza ikhlas. Padanya Rashid sudah dianggap seperti adik sendiri jadi menjadi tugasnya untuk menasihati Rashid.
            “Sebenarnya... sebenarnya...”Malu-malu Rashid mahu bersuara. Dia menggaru-garu kepala. Tidak tahu mahu dimulai dengan perkataan apa.
            “Apa? Cuba cakap.”Lembut Ku Jumiza memujuk. Dia tahu Rashid mahukan sesuatu. Jika tidak masakan Rashid datang ke rumahnya.
            “Lapar.”Muncul juga ayat pendek tetapi cukup untuk menerangkan keadaan Rashid yang kelaparan kepada Ku Jumiza.
            Ku Jumiza senyum simpati. Direnungnya wajah Rashid. Kasihan anak ini. Mungkin terlalu kelaparan sehingga mengadu kepadanya. “Mari masuk. Kak Ku ada masak nasi lemak. Eja nak bawa bekal ke sekolah pagi tadi. Memang rezeki Rashid.”Katanya sambil diletaknya baju yang ada di tangan ke dalam bakul. Dia menuju ke singki dan membasuh tangan.
            Rashid masih lagi ragu-ragu untuk masuk. Bimbang juga dia mahu berdua-duaan dengan Ku Jumiza. Walaupun dia meminati wanita itu tetapi rasa hormatnya kepada Abdullah yang banyak berjasa kepadanya membuatkan rasa serba-salah timbul.
            “Lah, kata lapar. Yang tercegat lagi tu kenapa?”Muncul Ku Jumiza di depan pintu. Terkejut Rashid. Kali ini wajahnya pula yang lucu untuk dipandang.
            “Abang Dollah tak marah ke saya masuk rumah waktu dia dan Eja tak ada?”
            “Bukan nak buat apa pun, kan. Marilah.”Senang benar hati Ku Jumiza mendengar pertanyaan Rashid. Budak ini memang sangat bersopan-santun dan menyenangkan hati.
            Rashid masuk juga ke dapur. Dia duduk di meja makan. Diperhatikan saja Ku Jumiza menghidangkan makanan buatnya.
            “Makan Ashid. Jangan malu-malu. Sambal udang ni habiskan. Tengahari nanti Kak Ku nak masakkan lauk yang lain buat Bang Dollah.”Suruh Ku Jumiza sambil pinggan udang ditolak sehingga dekat dengan pinggan Rashid.
            “Pagi-pagi pun Kak Ku dah masak meriah macam ni. Untung Eja. Saya ni jangankan sarapan, air kosong pun mak tak jerangkan. Kalau saya tak jerang air alamat tak adalah stok air masak di rumah.”Adu Rashid sambil tangannya laju menyenduk nasi ke dalam pinggan.
            “Mak Ashid bekerja. Penat... tu yang tak masak. Rashid kena faham.”Pujuk Ku Jumiza sedangkan sebenarnya dia sangat terkejut mendengar aduan Rashid. Masakan jerang air pun tidak dilakukan. Bukannya payah. Hanya masukkan air ke dalam cerek lalu diletakkan di atas dapur gas.
            “Perangai mak memang dah macam ni sejak arwah ayah masih ada. Arwah ayah yang akan memasak walaupun balik lewat. Adik perempuan saya yang kecil tu akan tolong ayah potong bawang dan masak nasi. Mak memang tak suka buat kerja rumah sejak dulu.”
            Ku Jumiza mula berminat untuk mengorek kisah hidup Rashid. Kasihan benar dia mendengar aduan Rashid. “Mak Ashid kerja mana?”
            “Cleaner.”
            “Oh. Dah berapa lama ayah Ashid meninggal?”
            “Dah dekat dua tahun. Accident kena langgar kereta dekat simpang empat depan ni.”Kata Rashid sambil mulutnya penuh dengan nasi.
            Darah Ku Jumiza berderau. “Accident depan lampu isyarat simpang empat.”Bisiknya perlahan.
            “Orang kata salah ayah buat u turn tiba-tiba sehingga kereta yang langgar ayah tu tak sempat mengelak. Saya pun tak berapa pasti ceritanya macammana sebab masa tu saya ada perkhemahan mewakili sekolah di Kluang. Waktu saya sampai ke rumah, jenazah ayah sudah pun dikafankan. Dapat jugalah tengok wajah ayah walaupun sekejap.”
            “Orang yang langgar tu tak datang minta maaf?”
            “Mak kata dia hantar wakil sahaja. Tak boleh nak salahkan dia sebab dengarnya dia pun cedera juga. Patah tangan.”Makin berdebar dada Ku Jumiza apabila mendengar orang yang melanggar ayah Rashid cedera di tangan.
            “Ashid tak salahkan orang tu?”
            “Mula-mula tu saya marah sangat sebab saya kasihan pada adik-adik. Ayah sangat baik. Dialah tempat kami bermanja. Kalau nak makan apa-apa, order saja dengan ayah. Pasti ayah akan cuba masakkan walaupun adakalanya permintaan adik-adik itu agak pelik. Kalau nak duit ayah tak pernah lokek walaupun hanya seringgit yang mampu diberinya. Kami sangat terasa bila ayah tiada. Dengan perangai mak lagi yang kasar dan asyik marah-marah tapi bak kata ustaz kat sekolah, sudah sampai ajal ayah jadi jangan menyalahkan sesiapa. Terima saja dengan reda walaupun ianya menyakitkan.”
            Tidak sedar air panas bergenang di kelopak mata Ku Jumiza. Dia termenung jauh mengingati kekhilafan diri.
            “Kak Ku menangis? Saya okey. Kita tak perlulah cerita pasal ayah.”Tegur Rashid apabila dia menyedari yang mata Ku Jumiza merah. Cepat-cepat Ku Jumiza mengambil tisu lalu mengesat airmatanya.
            “Kak Ku memang macam ni. Mudah menangis.”Katanya malu-malu. “Rashid makanlah ya. Kak Ku nak sidai kain baju tu. Matahari dah keluar. Rugi pula kalau membazirkan cahayanya.” Rashid angguk. Ku Jumiza bangun, mengambil bakul yang sarat dengan baju lalu diangkatnya ke luar rumah. Di depan penyidai, Ku Jumiza termenung panjang. Mahu saja dia melepaskan tangisnya di situ tetapi ditahannya sekuat hati.
            “Aku yang langgar ayah dia. Aku yang buat budak ni susah dan sengsara. Aku yang pisahkan budak ni dengan adik-adik dia. Ya Allah. Apa yang sudah aku lakukan.”Rintih Ku Jumiza pilu. Airmata yang ditahan akhirnya mengalir jua di pipi. Cepat-cepat disekanya bimbang Rashid menyedari.
            Untuk menghilangkan lara di hati, Ku Jumiza menyidai kain yang penuh di bakul. Sedaya upaya dia cuba melemparkan jauh-jauh peristiwa hitam yang masih segar di dalam ingatannya. Peristiwa yang menyebabkan dia trauma dan sehingga kini dia tidak langsung menyentuh stereng kereta.
            “Kak Ku, ada kerja yang boleh saya buat?”Terlepas baju di tangan Ku Jumiza kerana terkejut mendengar soalan Rashid. “Maafkan saya Kak Ku.”Pucat lesi wajah Rashid kerana dia telah menyebabkan baju putih bersih yang dipegang Ku Jumiza jatuh ke atas rumput. Cepat-cepat Rashid mengambil bagi pihak Ku Jumiza.
            “Tak apa Ashid. Kak Ku yang careless. Boleh pulak berangan semasa sidai kain.”
            “Kotor ni. Biar saya tolong Kak Ku sental baju ni.”Rashid menawarkan dirinya untuk membersihkan baju dek dipagut rasa bersalah.
            “Mana ada kotor. Jatuh atas rumput saja.”
            “Baju putih kalau setitik saja kotor pun orang dah perasan. Ni baju Bang Dollah ya. Lagilah saya rasa tak sedap hati. Mesti mahal.”
            “Tak apa. Ashid pergi tolong Kak Ku siram pokok-pokok bunga di depan. Kain baju ni biar Kak Ku yang settlekan.”
            “Baiklah Kak Ku. Biar saya siram pokok-pokok di depan.”Seronok Rashid apabila diberi kerja. Dia memang mahu berlamaan di sini. Malas pulang ke rumah yang dirasakan seperti neraka.
            Ku Jumiza memerhatikan Rashid hilang dari pandangan matanya dengan hati yang sayu. “Maafkan Kak Ku.”Katanya pilu.


Liz Haliza.


















No comments:

Post a Comment