Thursday, January 9, 2014

MISI MEREBUT ENCIK HUBBY


Assalammualaikum w.b.t. Ini adalah entry pertama saya untuk tahun 2014 ini. Alhamdulillah diberi kesihatan yang baik untuk terus menulis di blog ini walaupun selalu sangat blog ni bersawang. Salah satu azam tahun baru 2014 (selain azam nak kurus yang dah jadi azam sejak lima tahun lepas)... tahun ni dengan semangat waja saya berazam untuk menulis... menulis dan menulis. Nak siapkan banyak manuskrip tapi tak semuanya akan diletakkan di blog ye. Bukan apa... banyak sangat kes kopi dan pasta sekarang ni (macam fofular sangat sampai ada orang nak kopi pasta :p)... untuk orang yang buta komputer dan internet macam saya ni manalah tahu nak set blog ni kasi selamat. Jadi untuk tidak memeningkan lagi kepala, makanya kita post sikit2 aje entry kat dalam blog (mesti ada yang kata nak jaga blog pun tak reti baik tak payah berbelog). Hehehehe... nak buat camna.... dulu masa kerja duk guna accounting systems macam acctrack dan oracle jadi benda itu sajalah yang den teror. Benda lain den tak tahu. Mehlah kita baca dulu bab 1 cerita MISI MEREBUT ENCIK HUBBY. Moga terhibur. 








BAB 1

1999, Kuala Lumpur

“Sadakallahula’zim.”Alun Khadeeja lunak. Sebaik habis dia senyum manis memandang wajah abahnya Encik Abdullah. Encik Abdullah membalas senyuman Khadeeja juga manis.
            “Alhamdulillah. Kalau Eja rajin mengaji, abah pasti cepat anak abah ni khatam.”Katanya sambil diusapnya tangan Khadeeja penuh rasa kasih dan sayang.
            Khadeeja menutup naskhah al-quran berwarna biru itu lalu diciumnya. Dia bangun, menyimpan al-quran di dalam almari kaca di bilik yang mereka jadikan surau kecil itu lalu dia duduk kembali di sisi Encik Abdullah.
            “Betul ke bah Eja akan khatam cepat?”Soalnya dengan wajah ceria. “Abah dulu khatam umur berapa?”Soalnya tanpa mahu menunggu Encik Abdullah memberi jawapan bagi soalan yang pertama.
            “Yelah. Sekarang dah juzuk lima belas, Eja baru lapan tahun. Kalau rajin mengaji, tak mengelat pasti cepat Eja khatam. Abah dulu umur dua belas tahun baru khatam al-quran sebab abah suka ponteng mengaji.”Panjang lebar Encik Abdullah menjawab kedua-dua soalan Khadeeja. Tidak malu dia mengaku yang dia selalu ponteng mengaji. Biar anak tunggalnya ini tahu orang yang selalu ponteng mengaji akan lambat khatam al-quran.
            “Kalau Eja rajin ngaji mesti Eja khatam lebih awal dari abah.”Bersinar-sinar mata Khadeeja. Ianya lebih kepada perasaan mahu memecahkan rekod abahnya.
            “Abah percaya anak abah ni mesti boleh pecahkan rekod abah.”Yakini Encik Abdullah memberi semangat.
            “Kenapa kita kena mengaji abah?”Tiba-tiba Khadeeja menyoal. Encik Abdullah masih lagi dengan senyum manisnya. Dia suka melayan Khadeeja yang banyak tanya dan punya rasa ingin tahu yang kuat.
Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulallah S.A.W, wahai Rasulallah S.A.W... apakah amalan yg lebih afdhal? Sabda Rasulallah S.A.W, al-Hal wa al-Murtahil. Kata lelaki itu lagi apakah itu al-Hal wa al-Murtahil? Jawab Rasulallah... membaca dari awal al-Quran sehingga akhirnya, dan dari akhirnya hingga awalnya. Jadi, sebagai umat Rasulallah, kita pasti mahu yang terbaik di dalam hidup kita jadi tidak rugi jika kita membaca al-quran dan mengamalkannya.”Hati-hati Encik Abdullah menjawab bimbang Khadeeja tidak mengerti maksud kata-katanya. Terangguk-angguk Khadeeja dengan jawapan yang diberi. “Faham ke apa yang abah cakap?”Soal Encik Abdullah apabila dia lihat Khadeeja tidak bersuara hanya mengangguk sahaja.
“Faham. Abah ingat Eja ni budak kecil lagi? Eja dah besarlah. Eja cuma fikir kenapa Eja tak lahir masa zaman nabi. Eja boleh jumpa nabi.”Petah Khadeeja menyuarakan rasa hati. Encik Abdullah gelak kecil. Alhamdulillah ucapnya di dalam hati. Syukur mempunyai anak sebijak dan sematang Khadeeja.
“Walaupun Eja lahir di zaman serba moden tetapi Eja boleh rasa dekat dengan nabi jika Eja melakukan seruannya dan suruhan Allah. Rajin bersolat, berpuasa, mengaji dan banyak lagi amalan-amalan baik yang Rasulallah selalu buat. Kena juga rajin berselawat ke atas nabi. Besar pulangannya nanti.”
“Ustazah ada ajar Eja supaya berselawat ke atas nabi. Ustazah kata sekali kita berselawat, sepuluh kali Allah akan kasi rahmat pada kita.”
“Juga akan digugurkan sepuluh kesalahan kita.”
“Kesalahan?”Khadeeja kerut dahi.
“Dosa kita. Beruntung ....”Encik Abdullah berhenti bersuara tiba-tiba. Dia dengar dengan jelas azan Isyak dialunkan. Khadeeja faham melihat abahnya tiba-tiba diam. Dia juga melakukan perkara yang sama. Sebaik azan habis berkumandang, mereka sama-sama menadah tangan membaca doa.
“Eja ikut abah bersolat ya.”Pinta Encik Abdullah seraya bangun. Lupa dia tentang kata-katanya yang tidak habis diucapkan tadi. Khadeeja angguk lalu dia turut bangun.

“YEAY... ABAH belikan Eja baju baru.”Melompat-lompat Khadeeja seronok melihat baju warna putih berenda pink yang baru ditunjukkan oleh abahnya. Ku Jumiza dan Encik Abdullah memandang gelagat anak tunggal mereka itu dengan hati yang senang. Senang kerana dapat menghiburkan buah hati mereka.
“Pergi masuk bilik. Cuba pakai baju yang abah beli ni.”Arah Ku Jumiza. Khadeeja tidak menjawab sebaliknya berlari menuju ke biliknya dengan membawa baju baru di tangan.
“Suka sangat dapat baju. Jangan dia minta pakai sampai besok pagi sudah. Baju tu abang beli untuk kita pergi ke majlis kahwin Ku Min nanti.”Ku Jumiza tersentak. Dia tidak jadi menuang kopi panas ke dalam cawannya.
“Ku Min? Majlis Ku Min? Abang nak kita pergi ke majlis Ku Min?”
Encik Abdullah memandang wajah wanita yang dicintainya dengan tenang. Dia tahu isterinya itu dalam keadaan terkejut. “Bila lagi nak pulihkan hubungan? Mudah-mudahan lepas kita hadir majlis kahwin Ku Min tu nanti hubungan Ju dengan keluarga Ju akan jadi lebih baik.”
“Tapi bang bukan bonda yang mengajak kita. Bonda tak tahu pun Ku Min mengundang kita ke majlis tu nanti. Ju pasti.”
“Tak kisahlah siapa pun yang menjemput. Yang pasti jemputan telah pun kita terima. Abang nak kita sama-sama meraikan hari bahagia Ku Min. Abang nak Eja kenal keluarga sebelah ibunya.”Ibarat sudah muktamad keputusan Encik Abdullah. Ku Jumiza tidak menjawab. Yang sebenarnya dia sangat keliru dengan keputusan suaminya. Kenapa suaminya beria-ia mahu dia berbaik-baik dengan keluarga yang sudah ditinggalkan sepuluh tahun yang lalu. Keluarga yang menentang cinta mereka sehingga dia nekad memutuskan hubungan untuk hidup di samping lelaki yang dicintainya sepenuh hati.
“Ibu... abah... cantik tak?”Datang Khadeeja bak model pofesional menggayakan baju baru yang membaluti tubuhnya seterusnya memecahkan lamunan Ku Jumiza.
“Cantiknya anak abah.”Puji Encik Abdullah. “Ibu... anak dah penat tayang baju tu.”Lengan Ku Jumiza dicuitnya sedikit apabila dia lihat wanita itu dalam keadaan terpinga-pinga.
“Cantik.”Pendek reaksi Ku Jumiza.
            “Ibu ni, macam tak suka saja Eja pakai baju ni. Tak cantik ke?”Rengek Khadeeja apabila dia lihat ibunya seperti acuh tidak acuh sahaja.
            Ku Jumiza senyum sehabis manis. Rengekkan Khadeeja buat dia sedar yang anaknya seakan merajuk dengan sikapnya. “Masa bila pula ibu kata tak cantik. Anak ibu ni pakai apa pun mesti nampak macam puteri raja.”
            “Abah, baju ni untuk apa? Birthday Eja lambat lagi. Hari raya pun dah lepas. Jangan kata abah saja nak kasi Eja hadiah sebab abah jarang belikan Eja baju. Selalunya ibu yang belikan baju untuk Eja.”Petah lagi Khadeeja bersuara buat hati Encik Abdullah berbunga riang dengan kepetahan si anak.
            “Dua minggu lagi kita pergi majlis kahwin Auntie Min yang datang hari tu. Ingat tak? Yang cantik macam ibu tu.”
            “Auntie yang kasi Eja toys banyak tu ya?”
            “Yang itulah. Pandai  anak abah.”Tubuh kecil Khadeeja pantas ditarik lalu didudukkan di atas ribanya.
            “Itu sebenarnya siapa? Dia asyik kata saja dia tu adik ibu tapi tak macam muka ibu pun. Muka dia macam artis.”Meletus tawa Encik Abdullah dan Ku Jumiza.
            “Ooo... jadi ibu ni tak macam artislah. Tak cantik.”Tebak Ku Jumiza menguji hati Khadeeja.
            “Cantik tapi tak macam artis. Auntie Min tu rambut ada colour, bulu mata panjang, kat atas mata pun banyak colour. Pakai seksi-seksi.”Terang Khadeeja akan tafsiran artis di mindanya. Terlopong mulut Ku Jumiza mendengar keterangan Khadeeja.
            “Auntie Min datang sini nanti jangan cakap macam ni tau. Marah dia.”
            “Siapa suruh Auntie pakai seksi-seksi?”Bijak lagi mulut Khadeeja membangkang.
            Eja pergi tukar baju. Nanti kotor pula baju baru ni. Lepas tukar baju pergi mandi ya sayang.”Arah Encik Abdullah. Seperti biasa Khadeeja akan akur dengan arahan ayahnya. Cepat dia berlari masuk ke bilik. Encik Abdullah melirik memandang ke arah cik isteri berniat mahu menyambung perbualan yang terhenti tadi.
“Abang nak kita terutama sekali Ju berbaik-baik dengan bonda, dengan keluarga Ju yang lain. Cukup-cukuplah kita bersengketa.”  
“Bukan kita yang bersengketa dengan mereka tapi mereka yang memulakan sengketa dengan kita. Abang tak ingat apa yang bonda katakan pada kita?”Bentak Ku Jumiza tidak bersetuju dengan kata-kata Encik Abdullah. Masih terngiang-ngiang di cuping telinganya kata-kata hinaan serta amaran yang keluar dari mulut Raja Kamariah bondanya. Sejak bertahun-tahun Ku Jumiza cuba untuk membuang dan menafikan kata-kata hinaan yang pernah muncul dari mulut bondanya itu namun dia gagal.
Encik Abdullah berengsut sedikit mendorong tubuhnya ke hadapan agar dapat dekat dengan si isteri. Dipegangnya kedua-dua tangan wanita yang dicintainya itu.
“Ju, logik bagi seorang ibu berasa kecewa dengan apa yang berlaku. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, dibesarkan dengan penuh kasih dan sayang dan diharapkan patuh kepada arahan telah mengecewakan hatinya.”Ku Jumiza mengeluh panjang. Direnungnya wajah Encik Abdullah.
“Kesilapan Ju pada mata bonda adalah berkahwin dengan abang. Pegawai biasa yang tidak punya pangkat mahu pun berdarah raja. Salahkah itu semua bang? Wajarkah Ju dihina kerana itu?”Pengertian Encik Abdullah cuba diraih.
“Tak salah pada kita tapi salah bagi mereka. Seorang ibu pasti mahukan yang terbaik untuk anak gadisnya.”
“Abang... sejak bila abang jadi macam ni? Ju tak faham.”Tambah bingung Ku Jumiza melihat gelagat suaminya yang beria-ia benar mahu dia berbaik semula dengan Raja Kamariah. Siap membela lagi segala perbuatan Raja Kamariah.
“Sejak abang tahu apa itu kematian. Apa itu amalan dan apa itu pembalasan.”Ternganga mulut Ku Jumiza mendengar jawapan Encik Abdullah. Jantungnya bergerak laju. Tidak enak rasanya mendengar jawapan yang punya seribu satu makna itu. Jawapan yang jarang muncul di bibir lelaki bernama Abdullah Hadi.
“Ju fikirkan ya cadangan abang. Tak rugi merapatkan silaturahim.”Pesan Encik Abdullah sebelum dia bangun untuk masuk ke bilik mereka.

KU JUMIZA memandang jauh nun ke tengah laman. Sejak perbualannya dengan suaminya Encik Abdullah petang semalam, hatinya dipagut resah. Resah memikirkan permintaan sang suami agar dia berbaik-baik semula dengan bondanya. Permintaan yang pada pemikiran Ku Jumiza sangat berat untuk dipenuhi setelah apa yang berlaku. Perlahan-lahan ingatannya kembali ke waktu itu.......
“Bonda mahu Ku Za putus dengan budak tu. Dia bukan setaraf keluarga kita. Jangan malukan bonda.”Tegas Raja Kamariah menyatakan pendiriannya. Matanya tajam memandang anak yang menjadi harapan keluarganya.
“Za cintakan dia bonda. Ya, memang betul dia bukan berdarah raja tapi dia punya kelulusan tinggi jika tidak masakan bonda melantiknya sebagai pekerja.”
Menyirap darah Raja Kamariah mendengar jawapan Ku Jumiza. Tengku Jumiza Tengku Zainal Abidin tidak pernah menjawab kata-katanya sejak kecil. “Tengok, kamu sudah pandai menjawab cakap bonda. Ini semua budak Dollah itu punya ajaran bukan?”
“Bonda. Abang Dollah tak pernah ajar Za perkara yang bukan-bukan. Menderhaka pada bonda jauh sekali.”Jawab Ku Jumiza mempertahankan diri.
“Bukan main lagi kau pertahankan budak tu. Bonda tidak mahu berkata banyak, dengar sini baik-baik, samaada kau putuskan perhubungan dengan budak itu atau kau putuskan hubungan dengan bonda.”Agak kasar nada suara Raja Kamariah. Dia sudah ber ‘kau’ dengan anaknya sendiri. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan olehnya sebelum ini.
“Bonda, Za rayu pada bonda. Tolonglah restui hubungan kami. Abang Dollah sangat baik orangnya bonda.”Rayu Ku Jumiza minta simpati. Apabila dia diberi pilihan dia rasa itu tidak adil. Kesilapannya bukan besar mana sehingga harus diberi pilihan seberat itu.
“Baik ada makna. Baik mahu mengikis harta aku.”
“Bonda ingat ini cerita Antara Dua Darjat? Harta dan kekayaan menjadi perkara utama? Tolonglah bonda. Kita sudah semakin maju. Abang Dollah berpelajaran tinggi jadi dia boleh senang dengan usahanya sendiri.”
“Sudah. Jangan berkata banyak. Pilih saja antara aku atau budak itu.”Tegas Raja Kamariah memberi kata dua tanpa mahu memberi peluang kepada Ku Jumiza memperkatakan tentang kebaikan kekasih hatinya.
“Bonda... tolonglah kenal dulu dengan Abang Dollah. Kenal dia sebagai lelaki yang mencintai anak bonda bukan sebagai pekerja bawahan bonda.”Pinta Ku Jumiza penuh pengharapan. Dia sedih kerana Raja Kamariah langsung tidak mahu cuba untuk mengenali Abdullah Hadi si kekasih hatinya dengan lebih dekat lagi.
“Bonda kasi kau tiga hari. Jika kau rasa Abdullah menjadi pilihan, kau bebas buat apa yang kau suka tetapi ingat, jangan kau jejak lagi kaki kau ke rumah ini.”
“Bonda.....”Tangis Ku Jumiza pilu. Dia tidak percaya dengan tindakan membabi buta bondanya.
“Kak Ku... oi Kak Ku....”Panggil Rashid berkali-kali. Ku Jumiza tersentak. Dia cepat-cepat mengesat airmata yang mengalir di pipinya. Tidak sanggup dia memandang ke wajah Rashid.
“Kak Ku...”Kali ini suara Rashid agak lembut. Dia tahu pasti ada perkara berat yang difikirkan Ku Jumiza sehingga wanita baik itu menangis seorang diri.
“Ya Rashid...”Sebaik mungkin sebuah senyuman cuba dihadiahkan kepada Rashid bimbang Rashid menyangka yang bukan-bukan nanti. Mana tahu jika Rashid syak dia bergaduh dengan suaminya sedangkan suaminya adalah lelaki paling baik yang pernah dia jumpa.
“Kak Ku menangis?”Rashid tahu itu antara soalan terbodoh tetapi dia kehilangan kata-kata. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan komunikasi dengan wanita jelita itu.
“Biasalah Rashid. Teringat keluarga. Rindu pada mereka.”Jawab Ku Jumiza. Dia tahu Rashid ambil berat perihal dirinya. Rashid adalah remaja berumur tujuh belas tahun yang terpaksa bekerja sambil berlajar untuk menampung kehidupan. Ibu Rashid seorang pencuci dan Rashid punya adik beradik yang ramai. Dua kali seminggu, Rashid akan datang ke rumah Ku Jumiza untuk membersihkan kawasan sekeliling, mencuci kereta mahu pun melakukan apa saja tugas-tugas yang diarahkan oleh Ku Jumiza dan Encik Abdullah.
“Kalau rindu baliklah jenguk mereka. Macam saya, ayah dah tiada. Kalau rindu terpaksa dipendamkan sahaja.”
Kata-kata Rashid itu meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa Ku Jumiza. Betul kata Rashid. Jika rindu, pulang sahaja mendapatkan mereka. Jika mereka sudah tiada nanti seperti ayah Rashid pasti tiada apa yang boleh dilakukan lagi.
“Terima kasih Rashid atas cadangan. Kak Ku masuk dulu ya.”Ku Jumiza bangun dan berjalan menyusuri pokok-pokok bunga mawar yang ditanam di dalam pasu dan disusun berderet sehingga ke pintu utama. Rashid mengeluh. Hajat di hati mahu berbual lama dengan Ku Jumiza tidak kesampaian.
“Abang Ashid...”Jerit Khadeeja dari pintu utama. Rashid segera memandang Khadeeja.
“Ya...”Laung Rashid kuat.
“Sinilah. Eja nak tunjuk sesuatu.”Rashid senyum senang. Cepat-cepat dia mendapatkan Khadeeja di muka pintu. Sebaik sampai di hadapan Eja sempat lagi matanya liar memandang ke ruang tamu rumah kalau-kalau Ku Jumiza ada di situ tetapi dia hampa. Cepat benar Ku Jumiza hilang entah ke mana.
“Ada apa Eja?”Soal Rashid berminat. Dia memang rapat dengan Khadeeja.
“Pejam mata...”Arah Khadeeja sambil matanya dipejamkan sebagai contoh untuk diikuti oleh Rashid.
“Sampai nak kena tutup mata?”
“Bolehlah.”
“Okey.”Rashid segera menutup matanya. Dia menunggu dengan sabar apakah kejutan yang bakal diberikan oleh Khadeeja.
“Buka mata.”Arah Khadeeja sambil menggoyangkan tangan Rashid.
“Lukisan.”Kata Rashid sambil menyambut lukisan seorang lelaki memakai kot di tangan Khadeeja.
“Ini gambar Bang Ashid jadi kaya.”Rashid tergelak.
“Bang Ashid kaya?”
“Yelah. Nanti Bang Ashid banyak duit, pakai baju macam ni.”
“Tapi Bang Ashid belum periksa SPM pun lagi.”
“Ni gambar nanti.Lama... lama... lama... lama... masa Bang Ashid dah kerja.”
“Oooo....”Panjang anggukkan Rashid. “Terima kasih ya Eja. Boleh Bang Ashid simpan gambar ni?”
“Boleh.”Angguk Eja senyum. Dengan hati-hati Rashid melipat lukisan kertas bersaiz A4 itu lalu dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
“Bang Ashid nak cuci longkang. Nanti kita sembang lagi ya.”
Khadeeja mengangguk. Senyumannya tadi dimaniskan. Rashid membalas senyuman Khadeeja lalu dia berlalu untuk menyambung semula kerjanya yang terbengkalai.

                                                                                                  ~ Liz Haliza ~















3 comments:

  1. Best laa kak Liz... tak sangka, ada lagi kes macam cerita Antara Dua Darjat tu... macam cerita Ibu Mertuaku... haihh, apalah salahnya kalau Ku Jumiza nikah dgn Abdullah skalipun, bukan boleh bawak bala apa...
    Lagipun, kesian kt Eja... 8 tahun dia tak pernah jumpa nenek dia, entah tau entah tidak si Khadeeja tu y dia ada nenda...

    ReplyDelete
  2. Kn tggu bab by bab ya laling... Actually darjat bkn yg mahu ditonjolkan dlm cerita tapi jeng3.... Hehe....

    ReplyDelete
  3. Kn tggu bab by bab ya laling... Actually darjat bkn yg mahu ditonjolkan dlm cerita tapi jeng3.... Hehe....

    ReplyDelete