BAB
11
“Hai
princess.” Suara Zamani kedengaran manja.
“Assalammualaikum.”
Clarissa berbahasa. Kan lebih elok mengucapkan salam.
“Waalaikumusalam. Ops... terlupa nak
bagi salam.” Seperti faham akan sindiran Clarissa terus saja Zamani menyatakan
kealpaan diri. Sebenarnya dia seronok mendengar suara Clarissa. Mendengar suara
manja wanita itu telah membuatkan dirinya terangsang. Pergaulannya yang lepas bebas
di U.K telah membuatkan dia lupa asal usulnya. Dia sentiasa mendambakan
kehangatan pelukan wanita yang diminatinya. Tetapi dia sekarang berada di
Malaysia. Dia tahu pantang larang di sini. Kebanyakan wanita di sini masih lagi
taboo berkenaan dengan pergaulan seks bebas. Wanita Malaysia dari
pemerhatiannya hanya akan menyerah dengan lelaki yang mereka cintai sahaja. Tiada
istilah one night stand di sini. Jika ada pun tidak ramai yang mengamalkannya. Dia
berazam untuk menambat hati Clarissa. Dia tidak mahu terburu-buru bimbang
jeratnya tidak menjadi.
“Yes Zamani. Anything yang I boleh
tolong you? Tadi tanya I kedai makan paling sedap di PJ. Ni nak tanya apa
pula?”Saja Clarissa menduga tapi sebenarnya di dalam hati sedang bergangnam
style.
Zamani mengekek gelak. Clarissa
memang pandai mengesan niatnya. “ I nak ajak you keluar.”
“Keluar? Pergi mana?”
“Temankan I pergi downtown. Teringinlah
nak pergi.” Kini giliran Clarissa pula gelak. Tak ada tempat lain ke nak pergi?
Ayoyo, tak romantik langsung.
“You nak beli apa?”
“Tak ada apa cuma rindu nak rasa
suasana macam tu. Bising, sesak dan bau masam.”Bagai digeletek, mengekek zamani
gelak.
“Okey. Malam ni you ambil I kat
rumah. Pukul 10.00 yek.”
Senyum Zamani meleret. Senang
rupanya mengajak Clarissa keluar. “Yes sayang. Pukul 9.55 I datang. Address
you?”
“Sekejap lagi I bbm you.” Clarissa
tersenyum senang hati. Suka dia dipanggil sayang. Sudah lama tiada lelaki
memanggilnya begitu. Setelah menghantar blackberry massenger kepada Zamani, Clarissa
menyambung semula tugasnya.
“Mesti boyfriend yang call kan? Senyum
sampai ke telinga.” Sapa Melly. Dari tadi diperhatikan sahaja gelagat Clarissa
yang sedang meliuk lintuk ibarat terkena ulat bulu.
“Puan Melly.” Terketar-ketar
Clarissa bangun. Kantoi. Huh! Macammanalah boleh kantoi dengan boss ni.
“Yang awak takut sangat ni kenapa? Saya
faham. Orang muda macam awak perlukan cinta. Asalkan tak effect kerja awak, saya
takkan menegur.”
“Eh Puan Melly, mana ada boyfriend. Baru
nak keluar dating.” Dating? Alahai dating pergi downtown, Cheras. Bolehlah
daripada tak ada.
“Baru nak mulalah seronok. Perasaan
tu indah kan?” Teringat saat pertama kali bertentang mata dengan bekas suaminya.
Saat itu hatinya berdebar-debar. Tidur malamnya tidak menentu. Makannya tidak
kenyang. Betullah kata orang, hidup tak keruan jadinya.
“Kawan ajelah Puan Melly. Tak ada
apa-apa hubungan pun.” Dalih Clarissa tapi memang betul pun. Kembang setaman
hati di dalam. Siap ada rama-rama dan ladybird lagi.
“Lapar pulak perut saya
petang-petang ni.” Melly menggosok-gosok perutnya. Tengahari tadi dia hanya
makan bihun sup sahaja, mungkin sebab itu perutnya cepat lapar.
“Puan nak air? Milo? nescafe? Saya
pun lapar ni.” Clarissa bangun tanpa sempat Melly menjawab kata-katanya. Diatur
langkah ke pantry. Cepat sahaja tangannya membancuh dua mug milo 2 in 1. Aromanya
menusuk ke hidung.
“Semakin lapar perut saya bau milo
yang awak bancuh tu.” Kata Melly setelah dia sampai di pantry. Ditariknya
kerusi yang terdapat di situ dan dia pun melabuhkan punggungnya.
“Makan dengan ni.” Biskut lemak
manis yang terdapat di dalam tupperware disuakan kepada Melly.
“Biskut siapa ni?”
“Biskut sayalah. Memang saya
sentiasa simpan makanan kat pantry ni.” Clarissa gelak kecil.
“Nampak sangat saya tak pernah masuk
pantry.” Melly juga ketawa.
“Mestilah. Puan Mellykan busy.” Tangan
Clarissa mengambil sekeping lagi biskut lalu dicelupkan ke dalam air milo.
“Busy untuk mengisi kesunyian hati.”
Satu keluhan dilepaskan.
Clarissa
berhenti mengunyah. Dia tahu majikannya itu baru beberapa bulan kehilangan
suaminya. Pasti kesedihan masih terasa. “ Kalau Puan Melly tak kisah, Puan
Melly boleh lepak-lepak dengan saya.”
Pelawaan itu membuatkan Melly
tersentuh. “ Terima kasih tapi saya dah tualah Rissa. Nanti boring awak kalau
saya melepak sama.”
“Mana ada tua. Puan Melly ni buat
saya nak tergelak saja.”
“Saya minta diri dululah Rissa. Terima
kasih sebab buatkan saya air.” Melly meminta diri lalu masuk ke biliknya dengan
membawa sekali mug berisi milo yang dibuat Clarissa.
“DAH LAMA KE you sampai?” Soal
Clarissa sewaktu melihat Zamani sedang menghisap rokok sambil bersandar di keretanya.
Jaket hitam dan cermin mata warna yang sama membuatkan Zamani nampak sangat
kacak. Bergoyang juga iman dibuatnya.
“Tak lama. Adalah sejam.”
“Sejam?” Mata Clarissa terbeliak.
“Boringlah duduk rumah. Jom minum.” Ajak
Zamani sambil menunjuk ke arah restoran mamak di seberang jalan.
“Malam nikan dah nak keluar.” Tak
sabar juga mamat ni. Kan dah janji nak jumpa pukul 10 malam ni.
“I tak sabar nak jumpa you. Jomlah
sayang. Temankan I minum.”
Akhirnya Clarissa mengalah. Dia
berjalan beriringan menuju ke kedai mamak. Setelah memesan dua gelas teh tarik
dan roti nan, mereka hanya mendiamkan diri. Mata Zamani tidak lepas dari
memandang ke wajah Clarissa. Dia mula membayangkan sesuatu.
“Berapa lama you kat sini?” Soalan
Clarissa mengejutkan Zamani.
“Three weeks.”
“You tak ada girlfriend ke?”
“Kenapa you tanya?”
“Takutlah kalau girlfriend you marah
I keluar dengan you.” Zamani senang dengan soalan itu. Gadis melayu memang
cakap berlapik. Kalau nak tahu statusnya tanya sajalah. Tak payah nak berkias
begini.
“Kan I dah cakap yang I mencari
calon isteri.”
“Really. I ingat you bergurau saja.”
“Muka I nampak bergurau ke?”
“Ada gak.” Clarissa gelak diikuti
oleh Zamani. Mereka berbual-bual kosong dan akhirnya pulang ke rumah
masing-masing. Malam ini masih ada lagi untuk mereka menyambung perbualan yang
terhenti.
Pukul 7.00 malam, Clarissa sampai ke
rumah. Dia terus mandi dan bersolat. Sambil menunggu masuknya waktu Isyak, Clarissa
duduk di ruang tamu bersama-sama dengan Ameena.
“Kau teka aku nak keluar dengan
siapa malam ni?” Ameena mengerutkan dahinya. Nak main pop kuizlah pulak budak
ni.
“Manalah aku tahu.”
“Zamani.”
“Lelaki yang kau kenal kat kelab
tu?”
“Haah. Dia ajak aku keluar. Tadi pun
dia tunggu aku keluar office. Kami pergi lepak-lepak kat kedai mamak.” Wajah
Clarissa kelihatan ceria. Ameena terpempam. Habislah programnya. Kalau Clarissa
menyukai orang lain macammanalah dia mahu mengkenen-kenenkan dengan Anugerah.
“Kau percaya orang macam tu?”
“Meena, janganlah berprasangka
sangat. Aku bukannya dah confirm nak serius dengan dia. Baru nak kenal.”
“Okey.” Tidak mahu bertekak dengan
Clarissa, Ameena membiarkan sahaja Clarissa dengan perasaannya sendiri.
Zamani datang menjemput seawal pukul
9.30 malam. Terkocoh-kocoh Clarissa bersiap. Mereka makan malam dahulu. Selepas
itu barulah mereka menapak menyelusuri downtown Cheras yang boleh tahan
besarnya itu. Sepanjang keluar bersama,tidak sekali pun Zamani cuba mengambil
kesempatan. Clarissa kagum dengan lelaki itu. Bertahun tinggal di luar negara
yang diketahuinya lepas bebas tanpa sebarang sekatan, tetapi lelaki ini masih
lagi berpijak di bumi yang nyata. Hatinya tersentuh.
BAB
12
“Meena... aku rasa aku sukalah kat
Zamani tu.” Dengan wajah berseri-seri Clarissa membuka rahsia hatinya. Saat ini
dirasakan yang hatinya sangat bahagia.
“Biar benar kau. Baru jumpa dah
suka.” Hancurlah rancangan Ameena. Belum lagi nak bermula, harapannya sudah pun
hancur berkecai. Sebelum ini tiadalah pula Zamani muncul dalam hidup Clarissa.
“Kau yang nak sangat aku berubah
kan. Kalau aku dah jumpa Mr Right aku, aku janji akan kahwin dan tinggalkan
dunia malam aku.”
“Iyolah tu.Mr Rightlah sangat.Jangan
cepat rasa suka. Selalunya yang cepat sangatlah ni akan berakhir dengan
kecewa.” Cebik Ameena. Saja dia mahu mematahkan semangat Clarissa.
Telefon bimbit milik Clarissa berbunyi.
Dengan pantas Clarissa menyambut panggilan.
“Hai sayang.” Suara ceria Zamani
kedengaran.
“Hai.” Jawab Clarissa ringkas. Sebenarnya
dia gembira menerima panggilan itu tetapi perlulah juga menjaga tertib sebagai
wanita melayu. Tidak boleh nampak gelojoh sangat, tak manis kan.
“Tak tidur lagi?”
“Tak. I tengah chat dengan housemate
I.”
“If you dont mind jom keluar? Rindulah
tak tengok muka you hari ni.” Pancing Zamani. Saja dia tidak mengganggu
Clarissa siang tadi. Semalam, sewaktu mereka keluar bersama, Clarissa dilihat
sudah semakin jinak dengannya. Dia mahu membiarkan gadis itu ternanti-nanti.
Clarissa melirik jam di dinding. Sudah
pun pukul 10.45 malam. Dia berfikir seketika. Hatinya memang resah apabila
Zamani langsung tidak menghubunginya hari ini tetapi hari sudah pun lewat
malam. Besok dia perlu ke pejabat. Sudahlah tadi dia lambat 15 minit kerana
terbabas tidur akibat terlalu mengantuk kerana pulang lewat. Dia tidak mahu
rekod kedatangannya buruk lagi untuk kedua kalinya. “Sorrylah Zamani. I takut
lambat lagilah masuk office besok. Pagi tadi I dah terbabas.” Jujur Clarissa
memberikan alasan.
“I janji tak ambil masa you lama. I
dah ada depan rumah you ni.” Clarissa tersentak. Dia meluru ke jendela dan
dapat dia lihat Zamani sedang tersenyum sambil melambai ke arahnya.
“You tunggu kejap.” Dengan cepat
Clarissa masuk ke biliknya. Dia bersiap ala kadar. Ameena hanya memberi
jelingan tajam saat Clarissa melintasinya.
CLARISSA
IMANI menguap beberapa kali. Malam tadi hampir pukul 2.30 pagi baru Zamani
menghantarnya pulang ke rumah. Kata mahu keluar sekejap tetapi apabila sudah
bertemu dia rasa tidak mahu berenggang dengan lelaki itu. Sifat Zamani yang
kelakar dan pandai mengambil hati membuatkan masa berlalu tanpa disedari.
Di
suatu tempat yang lain, Ameena sedang termenung sendirian. Entah mengapa hatinya
tidak senang melihat Clarissa rapat dengan lelaki bernama Zamani itu. Saat
pertama kali dia melihat ke arah lelaki itu, dia seperti dapat merasa yang
lelaki itu seperti ada udang di sebalik batu. Ligat otaknya berfikir agar dia
dapat merapatkan Clarissa dengan Anugerah. Telefon bimbit di atas meja diambil
lalu dia pun mendail nombor Cassandra Amani adik kepada Clarissa Imani.
“Kak
Meena. Lama tak dengar khabar.” Terjerit Cassandra mendapat panggilan dari
Ameena.
“Rindulah
kat adik kakak ni.” Sahut Ameena.Adiknya Ameera berada nun jauh di Kuching, Sarawak.
Hanya kepada Cassandralah dia mencurahkan kasih sayangnya di bumi semenanjung
ini.
“Kakak
macammana? Sihat ke dia?”
“Inilah
yang Kak Meena nak bincangkan ni.” Cassandra terkedu. Risau dia memikirkan
kakaknya yang seorang itu. Ini mesti ada hal penting kalau tak takkan Kak
Ameenanya akan menelefon ajak berbincang.
“Kenapa
dengan kakak? Dia sakit ke?” Pancing Cassandra. Pasti sesuatu telah berlaku
kepada Clarissa. Jantungnya mula bergerak laju.
“Sakit.”
“Hah!”
Terjerit Cassandra dibuatnya.
“Sakit
cinta. Tengah angau dengan mamat mana ntah.” Bagai bertih jagung terus saja
Ameena menceritakan tentang Clarissa, aktiviti malam sahabatnya itu, keseksian
Clarissa yang merisaukannya dan rancangannya untuk menjodohkan Clarissa dengan Anugerah.
“Kakak
nak Sandra buat apa?” Setelah habis Ameena bercerita terus sahaja Cassandra menyoal.
“Apa
kata Sandra datang sini. Sekarang tengah cuti semester kan. Kalau Sandra ada
sini senanglah Kak Meena nak aturkan strategi.”
“Tapi
nanti mama kata apa pulak.”
“Alah,
tentang mama tu biar Kak Meena yang settlekan. Amacam?” Persetujuan Cassandra
ditagih.
“Kak
Meena punya pasal Sandra setuju.” Itulah yang diharapkan oleh Ameena. Dia
memang mengharapkan persetujuan Cassandra.
“Okey.
Besok Sandra datang sini naik bas. Nanti Sandra stop kat mana-mana. Sandra
beritahu saja Kak Meena. Biar Kak Meena datang ambil.”
“Okey
Kak. Bye.”
“Bye.”
Talian diputuskan. Ameena tersenyum puas hati. Dia menyambung semula tugasnya
yang sudah lama tergendala.
BERPELUH-PELUH
Ameena mencucuk tayar kereta Clarissa dengan besi tajam yang dibelinya di kedai
hardware. Clarissa sedang mandi jadi dia mengambil peluang yang ada untuk
menjalankan rancangan gilanya. Setelah puas hati dengan hasil kerjanya, Ameena
masuk ke dalam rumah. Dia terkejut apabila melihat Clarissa sedang mengeringkan
rambut di ruang tamu.
“Mana kau pergi? Berpeluh-peluh
macam ni.” Soal Clarissa pelik.
“Aku pergi ambil angin kat luar. Panaslah.”
Bohong Ameena. Nasib baiklah besi tajam tadi sudah pun selamat disorokkan
awal-awal di rak kasut yang terletak di luar rumah.
“Hai... dah pergi ambil angin pun
berpeluh-peluh macam ni.”
“Entahlah. Panas betullah.” Ameena
mengipas-ngipas tangannya ke badan tanda kepanasan. “Eh, aku nak masuk
mandilah.” Cepat saja dia berlari masuk ke bilik. Clarissa geleng kepala. Ada-ada
sajalah Ameena ni. Clarissa duduk di sofa. Ingatannya kembali kepada apa yang
berlaku ketika Zamani menghantarnya semalam. Lelaki itu hampir mencium pipinya
tetapi cepat saja ditahan. Entah mengapa dia tidak marah tetapi rasa bangga
kerana ada orang yang tergila-gilakannya.
“Betul kata Meena. Lama-lama iman
akan goyang juga. Hmmm.. kalau Zamani sukakan aku kenapa baru beberapa kali
jumpa dia dah nak kiss aku?” Bisik Clarissa perlahan. “ Kata Ustazah Asma, lelaki
yang baik akan menjaga maruah wanita yang disukainya.” Sambung Clarissa lagi.
“Hei Rissa. Kau cakap dengan sapa
ni?” Sergah Ameena. Clarissa melompat terkejut.
“Kus semangat kau ni. Nasib baik
jantung aku tak gugur.” Muka Clarissa masam mencuka. Diusap dadanya lembut.
“Kalau kau dah start bercakap
sorang-sorang ni aku risau.”
“Meena, Aron dulu ada tak ambil kesempatan
nak kiss kau?” Soal Clarissa sambil membetulkan silanya.
“Kenapa kau tanya macam ni?” Ameena sudah
duduk di sebelah Clarissa. Dia berminat untuk tahu.
“Semalam, sebelum aku keluar kereta
Zamani hampir-hampir nak kiss aku. Nasib baik aku sempat elak.”
“Aku dah madah ngan kau duluk lelaki
macam ya sik boleh dipercayak, baruk bejumpa dah mauk kesempatan. Ko ya satu
intingal.” Bebel Ameena dalam bahasa Sarawaknya.
“Apa kau merepek ni. Kalau marah aje
mulalah bahasa Sarawak kau tu keluar. Kalau aku faham tak apalah. Ni aku tak
faham.Bila aku tak dengar nasihat kau, kau marah pulak kat aku.” Clarissa
membuat bebelan balas.
“Rissa, dia dah lama tinggal
overseas. Pada dia semua ni perkara biasa. Kalau dia serius dengan kau tak apa,
kalau dia main-main saja macammana? Dia kerja di U.K. Cinta jarak jauh susah
nak berjaya.”
Kata-kata Ameena itu diakui ada
benarnya juga. Clarissa menghadiahkan satu senyuman kepada Ameena. “Kau jangan
risaulah. Aku tahu jaga diri aku.”Sebenarnya Clarissa keliru dengan hatinya
sendiri. Dia mula menyukai Zamani tetapi kenapa rasa sangsinya melebihi rasa
sukanya?