Anugerah
ralit memerhatikan ke arah anaknya Sutra Ashikin yang sedang asyik menolong
ibunya menggentel kuih buah melaka. Nasib baiklah ibunya dapat menerima kehadiran
Sutra Ashikin di dalam keluarga mereka. Walaupun dia dapat merasakan yang ibu
dan ayahnya seperti kecewa dengan dirinya tetapi dia tahu ibunya menyayangi
anaknya Sutra Ashikin. Sudah sebulan dia di Malaysia. Dia masih lagi belum
mencari kerja. Puan Suci Harum sudah mula bertanya tetapi dipekakkan saja
telinga. Dia tahu ibunya mahu mengikatnya di sini. Jika dia sudah dapat kerja
di Malaysia pasti peratus untuk dia pulang semula ke Australia semakin
mengecil. Itu yang ibunya mahukan.
Anugerah
melemparkan pandangannya pula ke luar jendela. Peristiwa tiga tahun dulu
menjelma semula diingatannya.
“Kau
gila ke apa? Macammana aku nak bela budak ni? Sutra Ashikin tu baru nak masuk
dua tahun. Manalah aku reti nak jaga budak kecil macam ni.” Ditenung wajah
Tabah.
“Tolonglah
aku Anugerah. Pada siapa lagi aku nak minta tolong. Kaulah satu-satunya harapan
aku. Tolonglah jagakan Sutra Ashikin.” Wajah Tabah nampak cengkung. Tidak
sampai hati Anugerah mahu menghampakan harapan kembarnya itu.
“Kau
suruhlah ibu dengan ayah jagakan.”
“Tak
boleh Anugerah. Ibu dan ayah tak tahu pasal perkahwinan aku. Aku tak mahu ibu
dan ayah semakin kecewa. Dahlah selama bertahun ni aku tak pernah menjenguk
diaorang. Lagi satu, aku tak mahu Melia rampas Sutra Ashikin. Melia pasti akan
cari rumah ibu dan ayah jika dia tak jumpa aku.”
“Abang
long dan Kak Fina pula macammana? Diaorang mesti boleh tolong jagakan.”
“
Mesti abang long marah aku. Dulu abang long pun kahwin kat Siam, kau tak ingat
apa yang berlaku pada mak dan abah Kak Fina dulu? Aku tak mahu diaorang kecewa
seperti mana abah dan mak Kak Fina kecewa. Kalau dia tahu aku engkar nasihat
dia panjang ceritanya nanti. Silap-silap haribulan ibu akan dapat tahu.”
“Tabah...”
“Tolonglah
Anugerah. Melia nak dapatkan hak penjagaan Sutra. Sekarang dia dah kaya
raya.Aku tak mampu nak lawan Melia. Kau tolonglah aku. Masa dah suntuk buat
aku.”
Anugerah
merenung ke arah Sutra Ashikin yang sedang asyik bermain dengan anak patung
Hello Kitty yang baru saja dibelikan tadi. Gelak tawa anak kecil itu membuatkan
dia tersenyum sendiri. Hatinya tersentuh melihat wajah comel itu. Tabah
berkahwin dengan Melia tanpa pengetahuan ibu dan bapa tiri mereka.Melia adalah
gadis liar yang diselamatkan oleh Tabah dari terjebak ke kancah pelacuran. Pada
mulanya perkahwinan mereka sangat bahagia tetapi ketika Sutra Ashikin berumur
empat bulan, Melia telah meninggalkan Anugerah dan anak mereka kerana gilakan
seorang kerabat diraja yang kaya raya. Tidak sekali pun dia mengambil tahu
tentang Sutra Ashikin sehinggalah apabila Melia terserempak dengan Tabah dan
Sutra Ashikin yang comel itu di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur. Melia
telah meminta untuk menjaga Sutra Ashikin tetapi ditentang keras oleh Tabah dan
akhirnya Melia mengugut untuk mendapatkan hak penjagaan Sutra Ashikin.
“Apa
maksud kau masa dah suntuk?”
“Erk
tak... maksud aku tiket aku balik ke Malaysia datenya tiga hari lagi jadi aku
kesuntukan masa. Kau cepatlah setuju Anugerah.”
“Baiklah. Aku akan jaga Sutra
Ashikin.” Akhirnya Anugerah mengalah. Tabah pantas memeluk tubuh Anugerah.
Bersusah payah dia datang ke Australia untuk mendapatkan pertolongan kembarnya
dan akhirnya usahanya berbaloi. Selepas ini dia akan pulang ke Malaysia untuk
menyelesaikan satu tugas lagi. Keampunan dari ibu dan ayahnya perlu ditagih. Telah
terlalu banyak dia melukakan hati mereka. Hajatnya, dia mahu melihat wajah ibu
dan ayahnya sebelum dia menutup mata.
Masih segar di ingatan Anugerah hari
pertama dia menjaga Sutra Ashikin setelah Tabah pulang ke Malaysia.
“Makan... makan ni.” Marah Anugerah
apabila Sutra Ashikin tidak mahu makan makanan yang dimasaknya. “Kalau lapar
karang sapa susah? Uncle juga yang susah.” Sutra Ashikin cebik dan akhirnya
menangis dengan kuat.
“Eh! Budak ni kang, aku lepuk baru
kau tau. Asyik nak melalak aje.” Bebel Anugerah. Sutra Ashikin masih lagi
menangis. Sayu pula hati Anugerah melihat Sutra Ashikin mengerekot duduk di
sudut dinding. Dia dibaluti rasa bersalah. Didekatinya anak kecil itu dan dia
menarik tangan Sutra Ashikin. Tangisan Sutra Ashikin semakin kuat apabila
tangannya ditarik.
“Dah.... dah... jangan nangis ya
sayang. Uncle marah sebab tak mahu Sutra lapar. Sutra tak nak makan kenapa?”
Pujuknya. Tubuh Sutra Ahikin dipeluknya tetapi Sutra Ashikin meronta-ronta
minta dilepaskan.
“Assalammualaikum. “ Sayup-sayup
kedengaran suara perempuan memberi salam. Anugerah bingkas bangun dan membuka
pintu utama.
“Kak Mah.” Dia terperanjat. Pelik
juga dia jiran sebelahnya datang ke rumah pagi-pagi begini.
“Tak kerja kamu Anugerah? Boleh Kak
Mah masuk?”
Anugerah serba-salah. Nak mampus
ajak isteri orang masuk ke rumah. Kang apa pula kata suami Kak Sarimah.
“Erk...”
“Tu suara sapa yang menangis tu?”
Soal Kak Sarimah sambil terjenguk-jenguk. “Sebenarnya dari tadi Kak Mah dengar
suara budak menangis, ni Kak Mah datang sebab nak tanya kamu perlukan
pertolongan ke?” Kata-kata Kak Sarimah itu membuatkan Anugerah terkejut. Tidak
disangkanya jeritan Sutra Ashikin boleh didengari oleh jirannya itu.
“Masuk Kak Mah. Saya dah buntu dah
ni. Sejak pagi budak ni tak mahu makan atau minum. Bila dipaksa dia asyik
melalak aje.” Adu Anugerah. Kak Sarimah mendekati Sutra Ashikin. Dibelainya
lembut rambut kanak-kanak itu. Didukungnya dan dipeluknya dengan penuh
kasih-sayang. Sutra Ashikin berhenti menangis. Anugerah geram.
“Kalau dengan saya tak mahu, dengan
Kak Mah dia nak pulak.”
“Dengan budak-budak ni kena
berlembut. Tak boleh marah-marah. Tak boleh paksa-paksa.”
“Penat saya masak burger ni tadi,
langsung dia tak mahu makan.” Anugerah meluahkan rasa hati.
Kak Sarimah merenung burger di atas
meja. “ Kamu ni Anugerah, manalah budak tu lalu nak makan burger. Bagilah
makanan yang sesuai dengan diri dia.”
“Erk... tak boleh bagi makan burger
ke?”
“Bukan tak boleh tapi tak sesuai.”
Hidung Kak Sarimah bergerak-gerak. Dia mencari-cari sesuatu. Diletakkannya
Sutra Ashikin di atas lantai dan dia membongkok menyelak lampin pakai buang
yang dipakai oleh Sutra Ashikin.
“Kenapa Kak Mak? Saya tak adalah nak
buat benda tak baik kat budak ni. Dia anak saudara saya sendiri. Takkan saya
nak cabul budak ni Kak Mah.” Risau Anugerah apabila melihat Kak Sarimah menelek
ke dalam lampin pakai buang Sutra Ashikin.
“Kamu ni Anugerah, bukan tulah
maksud Kak Mah. Macammanalah budak ni tak menangis, dia beraklah.”
“Berak?” Soal Anugerah terkejut.
“Ya, berak. Kalau tak selesa
memanglah budak-budak akan menangis. Ni kamu nak cuci ke atau Kak Mah cuci?”
Wajah Anugerah berubah rona. Tidak
dapat dia bayangkan yang tangannya akan mencuci punggung orang lain. Sebelum
ini Tabah tidak pernah memintanya untuk membuat kerja-kerja begini.
“Saya... saya...”
“Biar Kak Mah ajelah yang cuci.”
Tubuh Sutra Ashikin diangkat lalu dibawa ke bilik air. “ Sian awak, tak ada
siapa yang nak cuci berak awak.” Kata Kak Sarimah kepada Sutra Ashikin.
Anugerah terasa seperti kata-kata itu adalah sindiran buatnya.
Kak Sarimah telah memandikan Sutra
Ashikin sekali. Setelah itu Sutra Ashikin dipakaikan baju dan diletakkan losyen
dan bedak. Wajah Sutra Ashikin yang tadinya suram bertukar ceria setelah
dirinya bersih dan wangi.
“Terima kasih Kak Mah. Kalau Kak Mah
tak tolong saya tadi mahu mati kering budak ni menangis.”
“ Kalau Kak Mah tanya Anugerah
jangan marah ya?” Soal Kak Sarimah berbasi-basi. Risau juga dia kalau
pertanyaannya akan mengguris hati Anugerah.
“Apa dia Kak Mah?”
“Ini anak siapa?”
“Anak kepada kembar saya. Dia dah
bercerai dengan isterinya dan saya disuruh untuk menjaga anak dia ni.” Terus
sahaja Anugerah menceritakan sejarah perkahwinan Tabah dan bagaimana Sutra
Ashikin boleh sampai ke bumi Australia. Terangguk-angguk Kak Sarimah mendengar
cerita.
“ Habis tu apa rancangan kamu?”
“Saya dah bincang dengan kawan saya
di Perth. Dia sanggup jagakan. Bukan saya tak mahu jaga Kak Mah tapi susah saya
nak tumpukan perhatian pada kerja. Dua minggu sekali nanti saya pergilah ke
Perth untuk jenguk Sutra.”
“Kalau kamu nak Kak Mah jagakan
sementara kamu bekerja, Kak Mah tak kisah. Lagi pun dah lama sangat rumah Kak
Mah tu tak ada budak kecil.” Tanpa diduga Kak Sarimah menawarkan diri untuk
menjaga Sutra Ashikin.
“ Terima kasih Kak Mah tapi saya dah
janji dengan kawan saya tu. Karang apa pula katanya.” Tawaran Kak Sarimah
ditolak dengan baik.
“Kalau dah macam tu Kak Mah balik
dululah ya. Sutra sayang, Sutra dengar cakap daddy ya?”
“Erk uncle Kak Mah. Bukannya daddy.”
“Daddylah elok kan Sutra. Mesra
sikit.” Kata Kak Sarimah kepada Sutra Ashikin. Anugerah terpempam.
“Daddy.. daddy...” Suara Sutra
Ashikin kedengaran nyaring. Anugerah menoleh memandang Sutra Ashikin dan
barulah dia sedari yang dia sedang mengelamun.
“Ya sayang.”
“Look at this. Is it pretty?” Sutra Ashikin
menunjukkan tepung yang sudah dilenyek-lenyeknya menjadi bentuk yang sukar
ditafsirkan oleh Anugerah.
“Cantik
sangat.” Pipi comel Sutra Ashikin diciumnya. Sutra Ashikin mengekek gelak
gembira karyanya dipuji oleh daddynya.
“Jom
keluar dengan daddy?”
“Where
to?” Petah Sutra Ashikin bertanya.
“Jogging.”
Sutra
Ashikin geleng. Bibirnya dicebikkan. “No.. I want to help nenek.” Pelat saja
Sutra Ashikin menolak ajakan Anugerah.
“Kita
pergi playground nak?” Pancing Anugerah. Sebenarnya dia sendiri merasa bosan
terperuk di dalam rumah itu sahaja. Lebih baik dia berjogging sambil membawa
anaknya bermain di padang permainan berdekatan.
“No...
nenek, nenek... engok daddy ni... tacau Sutra nak toyong nenek...” Comel saja
Sutra Ashikin berlari mendapatkan Puan Suci Harum.
“Kamu
nak ke mana Anugerah?”
“Nak
jogging kejap.”
“Tak
payahlah bawa Sutra.” Puan Suci Harum mencium dahi Sutra Ashikin. Anak kecil
itu puas hati neneknya menyebelahinya. Anugerah senyum. Dia gembira melihat
hubungan antara cucu dan nenek itu semakin rapat. Semoga hubungan mereka akan
berkekalan begitu.
*** Ada kawan baca Bab 5 BDD and terus sahaja komen "Eh! Macam cerita Cinta Untuk Emeldalah. Ops.... nantikan episod seterusnya. Baru boleh menilai yek... :) Ada berpuluh bab lagi ni... hehehe...